Wednesday, November 13, 2024

“KAJIAN APA NI? TIADA NILAI ILMIAH LANGSUNG!”

Pengajian Sarjana Muda Bahasa Arab di Universiti al Albayt memerlukan pelajarnya menyiapkan satu kertas projek kajian (Masyruk takharruj) pada tahun akhir sebagai syarat graduan. Ini adalah antara keistimewaan universiti kami walaupun terletak nun jauh di padang pasir Mafraq.
Oleh kerana aku minat membaca karya kreatif seperti cerpen, aku memilih tajuk kajian ‘Perkembangan Penulisan Cerpen Dalam Sastera Arab’. Kononnya dengan tajuk ini aku berpeluang membaca banyak cerpen klasik Arab. Menyesal tak sudah aku memilih tajuk itu. Bila sudah separuh jalan mengumpul data, baru aku sedar bahawa tajuk itu amat luas.

Aku telah mengadap penyelia aku Dr Abdul Qadir Abu Syarifah Ketua Jabatan Bahasa Arab Ketika itu untuk menukar tajuk atau mengecilkan skop kajian. Namun beliau menasihati aku agar kekal dengan tajuk itu dan membuat batasan kajian untuk mengecil skop. Alasannya ialah kajian ini hanya berbentuk kertas projek sebagai syarat graduan sarjana muda sahaja. Tidak perlu mendalam sebagaimana kajian peringkat master dan PHD.
Setelah bertungkus lumus berjuang dan ada ketikanya rasa macam hampir syahid, akhirnya siap juga projek kajian aku. Melihat hampir setiap hari ada saja rakan-rakan sepengajian telah menyelesaikan pengajian dan pulang ke Malaysia kepangkuan keluarga memberi tekanan kepada aku untuk segera menyiapkan kajian. Hampir semua perpustakaan besar di Jordan aku sampai demi melengkap data dan rujukan. Aku juga terpaksa membaca manuskrip akhbar lama zaman kolonial Perancis melalui mikrofilem untuk melihat tema cerpen.
Setelah menyelesaikan kajian, kami sebagai pelajar perlu membuat 4 salinan laporan kajian. 3 salinan diserahkan kepada Jabatan Bahasa Arab manakala satu lagu untuk aku ulangkaji untuk pembentangan nanti. Hebatnya ketika itu, semua kajian projek tahun akhir mesti dibentangkan dalam sesi ‘Munaqasyah’ dan akan dinilai oleh dua orang panel. Lebih kurang seperti VIVA VOCE peringkat master dan PHD. Apa yang paling menggerunkan pembentangan ini terbuka untuk dihadiri oleh pensyarah dan pelajar lain yang berminat.. Memang kelat lah muka. Kalau di Malaysia pembentang atau VIVA VOCE akan diadakan secara tertutup.
Kami juga diminta membuat ringkasan dan teks pembentangan sekadar 15 minit untuk dibentangkan dihadapan ahli panel. Cuma ketika itu belum ada lagi pembentangan dengan powerpoint. Hanya sekadar mengadap ahli panel sahaja.
Walaupun aku sudah bersedia, aku tetap berdebar masa pembentangan. Kenapa tidak, ada beberapa orang pensyarah dan juga beberapa orang pelajar yang hadir. Seingat aku sekitar 10 orang juga. Apa yang menarik pada kajian aku ni hingga menggamit mereka hadir mengikuti pembentangan. Mereka nak tengok aku kantoi kah.
Ahh.. aku mahu lulus saja, bukannya nak cemerlang pun”. Aku memujuk diriku menguatkan semangat.
Pembentangan dipengerusikan oleh Pensyarah penyelia aku Dr Abdul Qadir Abu Syarifah. Panel pertama ialah Dr Imad al Hatim dan panel kedua ialah Dr Mahmud al Halhuliy. Aku melihat ditangan mereka naskhah salinan kertas projek aku.
Setelah Pengerusi memberi kata alu-aluan, beliau menjemput aku membuat pembentangan. Setelah selesai aku membentang, tibalah sesi soal jawab. Wah, aku dicincang selumatnya oleh Dr Imad.
“Kajian apa ini? Tiada nilai ilmiah langsung”.
“Banyak maklumat tidak mencukupi. Rujukan pun banyak peringat maraji bukannya masadir”.
Banyak lagi komennya tak henti-henti. Sehinggakan Dr Abdul Qadir Abu Syarifah sebagai pengerusi terpaksa membentikan Dr Imad.
“Cukuplah.. Ini kajian peringkat sarjana muda, bukannya kajian peringkat master atau PHD, pelajar ni juga orang Malaysia. Sumbernya terhad. Kajian pun hanya dalam tempoh yang singkat.”
“Kajian ini pun, kalau dilihat dengan teliti adalah amat baik dan mempunyai nilai ilmiah sesuai dengan tahap sarjana muda”.
Aku lega mendengar penyelia membela dan juga memuji kajian aku. Sejuk sikit hati aku. Merah muka semakin kurang. Malu weh.. ramai penonton yang hadir ketika sesi pembentangan. Kalau ikut hemat Dr Imad, kajian aku ni hampeh, tak ada nilai ilmiah. Ulasan panel kedua tidak panjang. Mungkin semua kritikan telah dihamburkan oleh panel pertama, tiada lagi berbaki untuknya. Dia hanya memuji usaha aku untuk menyiapkan kajian ini. Terdapat beberapa rumusan yang kurang tepat yang perlu diperbaiki. Hanya sekadar itu sahaja.
Pembentangan yang sepatutnya setengah jam melarat hingga hampir sejam juga sehingga selesai. Lega rasa hati ini. Selesai juga akhirnya. Aku di beri peluang untuk membuat pembetulan dalam tempoh dua minggu. Dengan selesainya pembentangan ini secara rasmi aku telah selesaikan semua tuntutan sebagai syarat penganugerahkan sijil pengajian sarjana muda Bahasa Arab dan sastera.
Alhamdulillah. Puji dan syukur pada Allah yang maha besar. Bolehlah aku mula memikirkan untuk balik ke Malaysia jumpa keluarga tercinta.

No comments: