Tuesday, November 12, 2024

"AWAK SILAP KHEMAH NI, GRADUAN PHD DI SANA!"

Aku terkebil-kebil bila petugas kovokesyen UM menegur aku ketika sedang berbaris bersama rakan-rakan master untuk masuk ke dewan Canselori UM.

Sudahlah aku terlewat sampai kerana tersilap percaturan masa. Aku ingatkan satu jam setengah perjalanan dari rumah ke UM pagi itu sudah mencukupi untuk aku sampai sebelum masa yang telah ditetapkan. Tapi aku terlewat hampir 15 minit sehingga aku terpaksa berlari-lari ke khemah graduan.

Selepas masuk ke khemah yang dikhaskan untuk graduan master dan aku mengambil tempat dalam barisan,  aku di tegur pula oleh petugas kerana silap khemah. Aku sudah pasti dan tidak salah baca tulisan di hadapan khemah. Aku keluar sekali lagi membaca tanda khemah.

Betul dah ini khemah graduan master”. Tutur ku pada petugas tadi.

Khemah untuk graduan PHD di sebelah sana”. Ujarnya sambil menunjukan ke satu khemah.

Eh! Saya ni graduan master bukannya graduan PHD”. Aku membantah terkejut.

Dah tu kenapa awak pakai hood dan jubah PHD?”. Ujarnya.

Baru aku perasan bahawa jubah dan hood yang aku pakai berbeza dari rakan-rakan yang lain. Semua rakan memakai hood biru muda dan hood aku memang berbeza warna. Apa yang aku pasti mortar board yang aku pakai bebentuk empat segi memang untuk pelajar master. Aku hanya pakai set jubah yang aku terima.Tidak pula aku semak jenis jubah dan hood yang sebenar untuk graduan master.

Saya pakai apa yang saya dapat dalam set jubah tu. Saya tidak tahu pula ada macam-macam jenis baju dan warna hood”. Jelas saya pada petugas. Aku menunjukkan dokumen aku kepada petugas membuktikan bahawa aku adalah pelajar master dan bukannya pelajar PHD.

Petugas tadi memanggil sorang kawannya untuk membawa aku ke satu bilik persalinan di belakang dewan Canselori  untuk menukar jubah dan Hood.

Nampaknya awak kena kena terus sambung belajar PHD ni! Alang-alang tersilap pakai. Satu hari nanti awak kena pakai balik jubah ni.”

Kata petugas itu sambil tersenyum. Dia telah ambil jubah simpanan dan membantu aku memakainya. Setelah itu dia membetulkan hood dengan kemas dan meletakkan pin agar hood itu tidak jatuh terlondeh.

Aku hanya tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepadanya. Hatiku berkata cukuplah setakat ini aku belajar. Nak habiskan pengajian master ini pun dah hampir separuh mati rasanya. Pelbagai ujian dan cabaran yang terpaksa aku hadapi. Aku sudah melepasi syarat minima untuk kelayakan aku sebagai pensyarah IPG iaitu memiliki sijil sarjana tak memerlukan aku memiliki ijazah PHD.

Aku terus bergegas ke khemah garduan master dengan melalui khemah graduan PHD. Disitu lah aku baru tahu rupanya topi gaduan PHD ni lain dari yang lain. Bulat berkedut-kedut dipanggil 'Bonnet'. Jubah mereka juga berbeza. Aku berbisik jangan berangan-angan lah nak pakai topi ini. Ini bukan tempat aku.

Oleh kerana aku terlewat menukar jubah dan hood, aku sudah terpisah dari kawan-kawan yang lain dan berada bersama graduan fakulti lain untuk masuk dewan Canselori.

Tapi sekarang baru aku terfikir dan teringat Kembali peristiwa jubah UM ini. Rupanya peristiwa itu adalah petunjukkan yang Allah telah berikan untuk aku agar terus belajar. Tuturan gurauan petugas itu masih lagi terngiang-ngiang di telinga aku. Allah maha besar. Dia telah mengaturkan segalanya untuk aku.

Sesungguhnya Allah mengetahui. Sesungguhnya Allah maha bijaksana mengaturkan segalanya. Sejujurnya sampai sekarang aku masih tak pasti adakah betul aku silap memakai jubah PHD. Apa yang aku pasti ialah hood yang aku pakai tu memang berbeza. Tapi petugas telah menukarkan jubah berserta hood melainkan mortarboard sahaja tidak ditukar.

Ini semua berkat doa ibuku yang tak putus berdoa untuk kejayaan aku. Jadi Allah telah aturkan semuanya untuk aku.

No comments: