Tuesday, November 05, 2024

ENTA BANGUN QIAM MALAM TADI?

 Itu adalah  antara soalan yang dilontarkan oleh sahabat saya Amrullah ketika bersembang berbual-bual usai solat isyak sebelum pulang kerumah. Memang sahabat ini lain dari yang lain. Ketika berbual-bual santai dengan kawan-kawan dengan pelbagai topik yang pelbagai dia akan mencelah dengan topik atau soalan yang menjentik perasaan.

“Banyak mana dah kita berselawat kepada nabi hari ini”

“Apakah ayat al Quran yang enta dah tadabbur? Boleh kongsi dengan ana?”.

“Bila kali terakhir enta telefon mak ayah? Mereka sihat kah?”

“Kita nak buat apa ya untuk ajak sahabat-sahabat kita istiqamah solat jemaah di masjid?”.

“Banyak betul nikmat yang Allah dah bagi pada ana. Apa yang perlu ana buat sebagai bukti tanda syukur pada Allah?”



Itulah antara persoalan yang dilontarkan bila bersembang dengan dia. Boleh dikatakan tidak pernah ada pertemuan, sesi ngeteh atau lepak santai melainkan ada saja topik yang menyentuh jiwa.

Beliau memang begitu. Bila saya bertanya kepadanya tentang kelainanan ini. Dia menyebut bahawa sebagai seorang muslim, kita perlu sentiasa mengingatkan sahabat-sahabat tentang iman dan taqwa. Itu juga cara untuk ingatkan diri sendiri dan pada masa yang sama boleh sampaikan mesej pada orang lain. Itu juga adalah salah satu cara dakwah agar perbualan kita tidak kosong dengan perkara lagha dan dunia semata-mata. Jadilah pencetus kepada iman dan taqwa dimana saja kita berada.

Ya. Ini lah yang perlu kita jadikan budaya dalam kehidupan seharian. Di samping kita bersosial, berbual mesra dengan keluarga dan sahabat handai, alangkah baiknya jika menjadi pencetus kepada kebaikan. Selepas rancak berbual dengan topik berkaitan keduniaan dan mungkin topik yang tiada nilai akhirat cubalah selitkan dengan sesuatu yang memberi makna kepada akhirat.

Tidak salah kita mencelah dan menyelit perbualan kita dengan topik-topik dan isu mudah seperti

“Eh, semalam aku dengar ustaz cakap masa kuliah, Nabi kita istighfar minta ampun pada Allah hampir 100 kali sehari. Kita dah berapa kali istighfar hari ini?”.

“Aku ni belum bersedekah lagi hari ini? Hang ada mana-mana QR kod tak? Boleh aku tonyoh henset aku ni. Ada la bekal aku sikit di akhirat nanti”.

“Allah, aku risau kat akhirat nanti, banyak nak kena bayar pampasan orang yang sakit hati dengan aku. Kau ada cara tak nak kurangkan bayar pampasan ni”.

Ataupun kita boleh petik ayat al Quran atau hadis yang  ingat agar boleh jadikan perbincangan dan pengajaran kepada rakan sembang dan juga rakan ngeteh.

Semoga kita semua diberkati Allah.

No comments: