Sunday, November 10, 2024

AMALKAN SALAM INSYA ALLAH SELAMAT

 “Ayah pernah bermimpi. Ada sekumpulan orang menunggu di tepi jalan nak pukul ayah. Tapi bila dah sampai dekat dengan mereka ayah bagi salam. Bagi salam dengan suara kuat. Kira mereka semua dengarlah. Mereka jawab salam. Lepas jawab salam keadaan mereka berubah. Tidak jadi nak pukul ayah dan benarkan ayah pergi begitu saja”.


Ayahku bercerita satu hari tentang salam. Selepas peristiwa hari itu Beliau berkata dia sentiasa memberi salam kepada sesiapa saja. Memberi salam ini adalah sunnah nabi. Beliau mengingatkan bahawa salam adalah doa keselamatan dan kesejahteraan sudah pasti ada auranya tersendiri. Hukum memberi salam adalah sunat, namun menjawab salam adalah wajib.

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. [al-Nisa’:86]

Ayahku juga menyebut pesan Rasulullah kepada kita mengamalkan salam

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : ( تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ .

Maksudnya: “Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 11, 27, 5767 dan di dalam Riwayat Muslim, no. Hadith 56].

Amalkan salam sentiasa dimana saja berada. Orang yang kita kenal atau pun tidak”.

Bagi salam ni bukan saja bila datang ke rumah orang saja. Nak masuk bank, pejabat pos, polis tepi jalan, siapa sajalah”.

Lafaz salam juga mesti diucapkan dengan lantang dan jelas agar ia dapat didengari orang yang di beri salam. Ketika salam di jawab kalau boleh pandang kewajahnya dan matanya agar salam tadi bukan sekadar di mulut. Ianya juga akan terus masuk kepada hati dan jiwanya. Salam juga mesti diucapkan dengan disertakan dengan senyum dan wajah ceria.

Salam ni adalah sunnah nabi sudah pastinya mempunyai faedahnya dalam membina hubungan antara sesama islam. Salam adalah jaminan keselamatan. Salam juga juga adalah doa. Salam adalah pengikat tali persaudaraan dan perhubungan. Salam juga adalah pembuka bicara dan kemesraan dengan orang yang baru kita kenal.

Cuba perhatikan! Kalau kita bagi salam pada seseorang. Sebagai contoh kita bagi salam kepada polis yang tahan kita tepi  jalan. Mesti ada beza layanan dia pada kita berbanding kalau tidak bagi salam”. Ayahku bagi contoh situasi.

Memang pernah berlaku pada aku dulu. Ya, memang betul. Polis itu hanya mengingatkan aku agar patuh pada peraturan dan jangan buat lagi.

Itulah pesan ayahku tentang salam. Sehingga hari ini jika aku teringat tentang salam, sudah pasti aku teringat kepada pesan ayah. Alhamdulillah aku sentiasa mengamalkan pesan ayah ini. Semoga amalan ini menjadi saham kepada ayahku di alam sana. Amin.

No comments: