Monday, September 07, 2026

MARI SAYA TOLONG!

 Dalam kegelapan pagi, sekitar jam 4.00, saya dan anak-anak sedang terkial-kial menukar tayar kereta yang pecah teruk di Lebuh Raya Timur-Barat. 


Tiba-tiba sebuah kereta peronda polis berhenti. Seorang anggota polis turun dan menghampiri kami.

“Mari saya tolong!”

Saya agak keberatan.

“Tak apa, tuan. Saya ada anak-anak yang membantu.”

Dua orang anak lelaki saya memang sedang bersama-sama membantu menukar tayar ketika itu. Namun anggota polis tersebut tersenyum.

“Tak apa. Saya pun tak ada kerja ni. Nak buat hilang mengantuk.”

Katanya dalam loghat Kelantan. Mendengar jawapan itu, saya tidak sampai hati lagi untuk menolak. Saya membiarkannya turut sama membantu kami.

Malam itu kami dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Pulau Pinang. Pada siang Jumaat, kami menghadiri beberapa kenduri keluarga di Kota Bharu. Keesokan paginya pula saya mempunyai urusan di IPG Pulau Pinang.

Kami bertolak sekitar jam 1.00 pagi dengan harapan dapat tiba di Pulau Pinang sebelum Subuh. Rancangannya, kami mahu menunaikan solat Subuh di Masjid Negeri Pulau Pinang sebelum meneruskan perjalanan ke Bukit Bendera untuk menikmati suasana awal pagi.

Namun sejak awal perjalanan, hati saya terasa sedikit lain daripada biasa. Entah mengapa, ada rasa tidak sedap hati. Seolah-olah sesuatu akan berlaku. Kami bergerak dengan dua buah kereta. Sebuah lagi dipandu oleh anak saya dengan Proton Saganya, mengekori kereta saya dari belakang.

Kali ini saya memilih untuk memandu sendiri. Pada hemat saya, perjalanan malam merentasi Lebuh Raya Timur-Barat bukanlah perjalanan yang boleh dipandang ringan. Jalannya berliku, gelap dan merentasi kawasan hutan. Gajah juga boleh muncul pada bila-bila masa, terutama di beberapa kawasan yang memang terkenal sebagai laluan haiwan liar.

Selagi belum melepasi kawasan tersebut, hati saya masih belum benar-benar tenang. Kira-kira 15 minit selepas melepasi Tasik Banding dan kawasan yang biasa menjadi laluan gajah, barulah saya mula menarik nafas lega.

“Alhamdulillah, dah lepas kawasan gajah,” bisik hati saya.

Namun rupanya perjalanan malam itu belum selesai menguji kami. Tidak lama kemudian, saya terlihat papan tanda yang menunjukkan kerja-kerja pembaikan jalan sedang dilakukan. Beberapa jentera berada di tepi jalan. Permukaan tar lama baru sahaja dikikis menyebabkan jalan menjadi kasar, berbatu dan tidak rata. Kawasan itu tidaklah panjang, mungkin sekitar satu kilometer lebih sahaja.

Beberapa kilometer selepas melepasi kawasan tersebut, ketika kereta sedang melalui satu selekoh panjang menuruni bukit, tiba-tiba saya terdengar bunyi—

“Pop!”

Pada masa yang sama, saya terasa bahagian belakang kereta sedikit senget dan tidak stabil. Saya sudah dapat mengagak.

Tayar pecah!

Namun saya tidak boleh terus berhenti. Ketika itu kereta sedang berada di selekoh menuruni bukit. Di sebelah kiri pula terdapat besi penghadang jalan. Hampir tiada ruang untuk meletakkan kereta dengan selamat. Jika saya berhenti di situ, sebahagian badan kereta akan berada di atas laluan utama.

Saya memperlahankan kereta sambil mencari tempat yang lebih selamat. Tidak lama kemudian, saya mula terdengar bunyi geseran besi. Hati saya semakin berdebar. Tayar itu mungkin sudah hancur dan kereta sedang bergerak menggunakan rim.

Saya tidak mempunyai banyak pilihan. Saya terpaksa berhenti walaupun sebahagian kereta masih berada di atas jalan. Saya segera keluar dan bergegas ke belakang.

Benar.

Tayar belakang sudah hancur. Serpihan tayar berselirat memenuhi ruang di sekeliling roda. Alhamdulillah, saya berhenti awal. Jika diteruskan juga, mungkin serpihan tayar itu boleh merosakkan komponen lain di sekitar roda. Saya melihat jam.

4.03 pagi.

Gelap. Kami berada di tengah-tengah laluan hutan Lebuh Raya Timur-Barat. Saya meminta seorang anak membawa papan tanda amaran kira-kira 300 meter ke hadapan, sebelum selekoh. Saya memintanya memberi isyarat kepada kenderaan yang datang menggunakan lampu telefon supaya mereka menyedari ada kereta rosak selepas selekoh.

Ketika itulah kereta peronda polis berhenti. Dalam keadaan kami sedang berusaha menukar tayar, Allah menghadirkan seseorang untuk membantu.

“Mari saya tolong!”

Ayatnya ringkas. Bantuannya juga mungkin kelihatan kecil. Tetapi pada jam empat pagi, di tengah-tengah laluan hutan yang gelap, bantuan seperti itu terasa amat besar nilainya. Dengan bantuan anggota polis tersebut, proses menukar tayar akhirnya selesai dalam tempoh kira-kira setengah jam. Saya menarik nafas panjang.

Alhamdulillah.

Semua selamat. Ketika itu saya mula berfikir tentang apa yang baru sahaja berlaku.

Keadaan tayar kereta saya memang sudah sekitar 20 peratus dan saya sememangnya merancang untuk menukarnya dalam beberapa minggu lagi. Saya sedar tayar sebegitu tidak lagi sesuai untuk perjalanan jauh, lebih-lebih lagi dengan sebuah kenderaan yang berat.

Namun ada satu perkara yang membuatkan saya sangat bersyukur. Tayar itu pecah ketika saya sedang melalui selekoh panjang menuruni bukit. Disebabkan keadaan jalan, saya hanya memandu sekitar 60 km/j.

Saya terfikir:

Bagaimana kalau tayar itu pecah ketika saya sedang memandu 110 atau 120 km/j di jalan lurus?

Bagaimana kalau ia berlaku ketika sedang memotong? Bagaimana kalau saya hilang kawalan? Saya tidak tahu apa yang mungkin berlaku. Hanya Allah yang mengetahui.

Sebab itu saya memilih untuk melihat kejadian malam itu sebagai satu peringatan dan rahmat daripada Allah. Musibah tetap musibah, tetapi kadangkala di sebalik sesuatu yang menyusahkan kita, ada perlindungan Allah yang tidak mampu kita lihat.

Saya teringat firman Allah SWT:

وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَىٰ دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Dan sesungguhnya Kami akan merasakan kepada mereka sebahagian daripada azab yang dekat sebelum azab yang lebih besar, mudah-mudahan mereka kembali.” (Surah al-Sajdah: 21)

Ayat ini mengingatkan saya bahawa ujian dan kesusahan di dunia kadangkala menjadi teguran yang membawa manusia kembali kepada Allah. Mungkin kita tidak mengetahui hikmah sebenar di sebalik sesuatu kejadian. Tetapi seorang mukmin belajar untuk mengambil peringatan daripadanya. Malam itu saya belajar satu perkara:

Jangan tunggu sesuatu yang lebih buruk berlaku sebelum kita mengambil tindakan.

Saya sudah tahu tayar itu semakin haus. Saya sudah merancang untuk menukarnya. Tetapi saya masih menangguhkan. Kadangkala kita berkata, “Nantilah.” Sedangkan keselamatan tidak sepatutnya ditangguhkan. Dalam kesusahan itu juga Allah menghadirkan kemudahan.

Firman-Nya:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ۝ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

“Maka sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.” (Surah al-Syarh: 5–6)

Di tengah-tengah kesusahan kami, sebuah kereta peronda berhenti. Seorang anggota polis turun. Tidak banyak bicara.

“Mari saya tolong!”

Itulah kemudahan yang Allah hadirkan pada pagi itu.

Saya sangat menghargai sikap anggota polis tersebut. Mungkin baginya membantu menukar tayar hanyalah perkara biasa. Namun bagi kami yang terkandas pada jam empat pagi di tengah-tengah Lebuh Raya Timur-Barat, pertolongan itu amat bermakna.

Kadangkala kebaikan tidak memerlukan sesuatu yang besar. Cukup dengan berhenti. Cukup dengan bertanya. Cukup dengan menghulurkan tangan.

“Mari saya tolong!”

Alhamdulillah. Saya bersyukur kepada Allah yang memelihara perjalanan kami pada pagi itu. Sebuah tayar boleh diganti. Sebuah rim boleh dibaiki. Wang yang hilang boleh dicari kembali. Tetapi nyawa tidak ada gantinya.

Semoga Allah membalas kebaikan anggota polis yang membantu kami pada pagi itu. Semoga Allah terus memelihara mereka yang bertugas menjaga keselamatan pengguna jalan raya ketika kebanyakan kita sedang lena.

Dan semoga Allah sentiasa memelihara saya serta keluarga daripada segala musibah, sama ada yang terlihat mahupun yang tidak terlihat.

Ya Allah, selamatkanlah kami di dunia, dan selamatkanlah kami di akhirat.

No comments: