Alhamdulillah. Setelah menempuh perjalanan selama 22 jam
30 minit dari Malaysia, dengan tiga kali menaiki pesawat, akhirnya kami
sampai juga ke bumi Marrakech — bumi yang saya suka gelarkan sebagai bumi
al-Murabitun.
Terasa juga keletihan setelah melalui perjalanan yang begitu
panjang. Namun saya dan isteri menguatkan semangat untuk menghabiskan sisa
perjalanan yang hampir cukup sehari semalam itu.
Lagipun, ada sesuatu yang jauh lebih kuat daripada rasa
penat.
Kami tidak sabar hendak bertemu anakanda Muaz yang sudah
hampir tiga tahun berpisah dengan kami. Sudah tentu dia sedang menunggu di luar
sana.
Sebaik sahaja masuk ke ruang ketibaan, saya agak terkejut
melihat begitu ramai orang. Suasananya jauh lebih sibuk berbanding Lapangan
Terbang Casablanca yang baru kami lalui sebelumnya. Kami terpaksa beratur
panjang di kaunter imigresen. Mujurlah urusannya berjalan lancar.
Apabila tiba giliran saya, saya menghulurkan pasport sambil
memberi salam.
Pegawai imigresen itu menjawab salam dengan wajah yang
serius. Memang jarang saya bertemu pegawai imigresen yang tersenyum kepada
pelawat. Mungkin tugas mereka memang menuntut wajah begitu.
Tiba-tiba dia bertanya,
“Awak tinggal di mana nanti di sini?”
Dengan yakin saya menjawab,
“Riad.”
Dia memandang saya.
“Ya... riad mana?”
Saya masih belum menangkap maksud soalannya. Dengan lebih
yakin saya menjawab,
“Riad Hotel.”
“Banyak riad di sini. Riad bukan nama hotel. Semua riad.
Riad yang mana satu?”
Nada suaranya semakin tegas.
Barulah saya mula rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan
jawapan saya.
Saya segera membuka fail dokumen perjalanan dan mencari
kertas tempahan penginapan. Setelah menyelak beberapa helai, akhirnya saya
menjumpainya.
Oh, rupanya ada nama penuh!
Riad Marrakech House.
Saya menunjukkan kertas itu kepadanya.
“Riad Marrakech House,” jawab saya.
Sebaik sahaja mendengar nama tersebut, dia tidak melihat pun
kertas yang saya hulurkan. Pasport saya terus dicop.
Cop!
Selesai.
Dia terus memanggil pelawat berikutnya. Barisan di belakang
masih panjang. Nampaknya dia memang mahu cepat.
Ketika itulah saya baru teringat bahawa semasa membuat
carian tempat penginapan di Maghribi, saya sering terlihat perkataan “riad”
selain hotel. Saya menyangka ia sekadar sebahagian daripada nama atau kategori
hotel.
Rupa-rupanya saya silap.
Riad (رياض) di Maghribi
bukanlah nama sebuah hotel tertentu. Ia merujuk kepada bentuk rumah
tradisional Maghribi yang dibina mengelilingi sebuah halaman dalaman.
Kebiasaannya ruang rumah menghadap ke halaman tersebut yang dihiasi taman
kecil, pokok, pancutan air atau kolam.
Banyak rumah riad lama, khususnya di kota-kota bersejarah
seperti Marrakech dan Fez, kemudiannya dipulihkan dan dijadikan rumah
penginapan atau hotel butik. Sebab itulah apabila mencari penginapan di
Marrakech, perkataan riad muncul di sana sini.
Patutlah pegawai imigresen tadi bertanya:
“Riad yang mana?”
Bagi saya yang baru pertama kali sampai, “riad” itu saya
sangka nama hotel.
Bagi orang Marrakech pula, jawapan saya itu mungkin seperti
seseorang ditanya,
“Awak tinggal di hotel mana?”
Lalu dia menjawab,
“Hotel.”
Memang patutlah dia bertanya sekali lagi!
Sebenarnya sebelum bertolak, saya sudah menyediakan jadual
perjalanan yang agak lengkap sepanjang berada di Maghribi. Nama tempat
penginapan, lokasi yang akan dikunjungi dan dokumen tempahan semuanya saya
simpan dalam satu fail. Bagi saya, dokumen seperti ini penting ketika
mengembara ke luar negara, terutama apabila berurusan dengan imigresen atau
sekiranya timbul sebarang masalah.
Namun saya tidak menyangka bahawa belum pun sempat keluar
dari lapangan terbang, saya sudah mendapat pelajaran pertama tentang Maghribi.
Riad bukan sekadar hotel.
Ia sebahagian daripada seni bina, budaya dan cara hidup
masyarakat Maghribi yang diwarisi sejak sekian lama.
Perjalanan kami di bumi al-Murabitun baru sahaja hendak
bermula, tetapi sudah ada peristiwa kecil yang membuatkan saya tersenyum
apabila mengenangnya.
Saya yakin selepas ini akan ada banyak lagi perkara baharu
yang akan kami pelajari.
Rasa penat perjalanan selama hampir sehari semalam
seakan-akan hilang.
Di luar sana, Muaz sedang menunggu.
Dan di hadapan kami pula terbentang sebuah bumi yang selama
ini hanya saya kenali melalui buku, sejarah dan cerita.
Marrakech, kami sudah sampai.
No comments:
Post a Comment