Ketika menyentuh tentang surau dan kehidupan beragama penduduk
kampung, beliau mengeluh.
“Masalah di sini kan, kamu tahu bah ustaz. Banyak suku-suku di
sini. Semuanya mahu bikin surau sendiri.”
Saya mendengar dengan penuh perhatian.
“Imam-imamnya tidak ngam. Jadi dibikinnya surau asing-asing.
Akhirnya berpecahlah. Tiada kesatuan. Satu surau, berapa orang saja ada.”
Beliau menyambung lagi,
“Sepatutnya masyarakat ini boleh bersama, bekerjasama, satu hati.
Jadi... nah, sekarang sudah berpecah. Sepatutnya imam-imam ini bersatu,
menyatukan masyarakat.”
Saya termenung mendengar luahan itu.
Benar atau tidak keseluruhan ceritanya, saya tidak tahu. Tentunya
setiap pihak mempunyai pandangan dan alasan masing-masing. Namun satu perkara
yang boleh kita renungkan ialah betapa besarnya peranan seorang imam dalam
sesebuah masyarakat.
Imam bukan sekadar orang yang berdiri di hadapan ketika solat
berjemaah. Dalam masyarakat kampung khususnya, imam sering menjadi tempat
rujukan, pendamai dan orang yang diharapkan dapat menyatukan hati masyarakat.
Sebab itulah kepimpinan agama memerlukan keluasan jiwa. Perbezaan
suku, keluarga, latar belakang dan pandangan tidak sepatutnya menjadi sebab
umat semakin berjauhan. Masjid dan surau seharusnya menjadi tempat hati-hati
yang berbeza dipertemukan.
Allah SWT berfirman:
“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali Allah, dan
janganlah kamu bercerai-berai.”
(Surah Ali ‘Imran: 103)
Perbualan kami kemudian beralih kepada kaum ibu.
Menurut ketua kampung itu, kaum ibu di situ juga sangat memerlukan
bimbingan agama. Mereka mahu belajar mengaji dan mendalami ilmu agama, tetapi
peluang mereka agak terbatas.
Anak-anak dan remaja masih boleh mendapat pendidikan di sekolah.
Kaum lelaki pula boleh datang ke surau, masjid atau menghadiri kuliah agama.
Namun ramai kaum ibu sibuk menguruskan rumah tangga dan keluarga.
“Kalau ada ustazah datang, saya sanggup jadikan rumah saya tempat
mereka berkumpul dan belajar,” katanya.
Saya tersentuh mendengarnya.
Rupa-rupanya bukan tidak mahu belajar. Bukan tidak mahu mendekati
agama. Kadang-kadang peluang dan kemudahan itu yang belum sampai kepada mereka.
Beliau kemudian menunjukkan kawasan sekitar rumahnya. Katanya,
terdapat beberapa orang ibu tunggal yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Ada yang kehilangan suami dan terpaksa membesarkan anak-anak sendirian.
“Entah kenapa lelaki di sini ramai yang pendek umur. Tinggallah
isteri jadi janda, anak-anak jadi yatim. Tiada siapa yang menjaga. Kita yang
lelaki di sini cubalah tengok-tengok dan bantu mana yang boleh. Itu pun satu
masalah juga.”
Kata-katanya membuatkan saya berfikir panjang.
Rupa-rupanya masih banyak kelompok masyarakat Islam yang memerlukan
perhatian dan bantuan kita. Mereka mungkin jauh daripada pandangan masyarakat
umum, tetapi kehidupan mereka sarat dengan cabaran yang perlu disantuni.
Ziarah seperti ini membuka mata bahawa membantu masyarakat bukan
sekadar membawa bakul makanan.
Ada perut yang perlu diisi, tetapi ada juga jiwa yang perlu
dibimbing.
Mereka memerlukan bantuan kebendaan untuk meneruskan kehidupan,
tetapi dalam masa yang sama mereka juga memerlukan ilmu, bimbingan agama,
pendidikan al-Quran dan sokongan sebuah komuniti yang saling mengambil berat.
Allah SWT berfirman:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan dan
ketakwaan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Mungkin kita tidak mampu menyelesaikan semua masalah mereka. Namun
kita boleh memulakannya dengan sesuatu yang kecil — datang menziarahi,
mendengar keluhan, membantu keluarga yang susah, mengajar al-Quran, membimbing
kaum ibu dan menghidupkan surau dengan ilmu.
Dan yang paling penting, mereka yang diberi amanah memimpin
masyarakat perlu berusaha menyatukan, bukan menambahkan jurang perbezaan.
Kerana masjid dan surau bukan milik mana-mana suku, keluarga atau
kelompok.
Ia rumah Allah.
Di situlah sepatutnya hati-hati yang berbeza bertemu, saf-saf
dirapatkan dan persaudaraan dibina.
Kadang-kadang kita datang membawa bantuan untuk mereka.
Tetapi akhirnya, kita pula yang pulang membawa pengajaran daripada
mereka.
No comments:
Post a Comment