Friday, September 25, 2026

MAGRIBI: HENTIAN REHAT AIRE DE SERVICE BENGUÉRIR


Setelah memandu kira-kira sejam menyusuri Autoroute A7 dari Marrakech menuju Casablanca, saya terlihat sebuah kawasan rehat di sebelah kanan lebuh raya. Kami mengambil keputusan untuk singgah sebentar untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan yang masih panjang. Uploading: 3399508 of 3399508 bytes uploaded.

Hentian ini dikenali sebagai Aire de Service de Benguérir, atau boleh disebut dalam bahasa Arab sebagai استراحة بنجرير (Istirāḥat Benguérir). Kedudukannya kira-kira 70 hingga 80 kilometer dari Marrakech, menjadikannya antara hentian yang sesuai bagi mereka yang melakukan perjalanan menuju Casablanca.

R&R ini kelihatan cantik, bersih dan agak moden. Kemudahannya juga lengkap dengan stesen minyak Shell, restoran dan kedai, ruang solat serta taman permainan kanak-kanak. Kawasannya luas dan selesa untuk berehat seketika selepas hampir sejam memandu.

Namun, perkara yang paling menarik perhatian saya bukanlah bangunan atau kemudahan di situ. Di bahagian tepi kawasan R&R terdapat deretan panjang hasil tembikar dan kraftangan Maghribi yang tersusun cantik.

Pelbagai jenis barangan dipamerkan — pinggan hiasan bercorak geometri, pasu, mangkuk, cawan, bekas bertutup serta tajine dalam pelbagai saiz dan warna. Ada yang dihiasi dengan motif geometri dan corak tradisional Maghribi, sementara sebahagiannya menggunakan warna biru, hijau, kuning dan warna tanah yang begitu sinonim dengan seni seramik negara ini.

Memang cantik!

Saya sendiri memang meminati tembikar. Kalau mengikutkan hati, mahu sahaja membeli beberapa buah sebagai kenang-kenangan. Namun perjalanan kami masih jauh dan percutian baru sahaja bermula. Membawa barangan tembikar yang mudah pecah ke sana ke mari tentu menyusahkan. Jadi kali ini cukuplah sekadar melihat dan mengambil gambar.

Satu lagi pengalaman yang agak berbeza ialah kemudahan tandas. Seperti beberapa tandas yang kami temui sepanjang perjalanan di Maghribi, tandas di sini tidak menyediakan bidet atau paip air seperti yang lazim kita temui di Malaysia. Kami memang sudah bersedia dengan membawa botol air sendiri ke tandas untuk bersuci.

Dari sudut hukum, istinjak dengan benda kesat yang suci seperti tisu adalah dibenarkan dengan syarat-syaratnya, termasuk dalam mazhab Syafi‘i. Namun bagi kami yang sejak kecil terbiasa bersuci menggunakan air, penggunaan tisu semata-mata terasa agak janggal. Bukan soal tidak sah atau tidak dibenarkan, tetapi lebih kepada kebiasaan dan rasa lebih selesa menggunakan air.

Selepas puas meninjau tembikar, perhatian saya tertarik pula kepada sebuah gerai kecil yang menjual jus oren segar.

Saya meminta segelas. Penjualnya terus mengambil beberapa biji oren, membelahnya satu persatu lalu memerahnya menggunakan alat pemerah besi di hadapan saya. Jus itu kemudian ditapis dan terus dituangkan ke dalam gelas.

Tiada air ditambah. Tiada sirap. Tiada pati oren.

Oren diperah terus ke dalam gelas!

Rasanya memang segar dan sedap, lebih-lebih lagi diminum dalam cuaca Maghribi yang panas ketika itu.

Saya sudah tidak ingat harga sebenar segelas jus tersebut. Kalau tidak silap ingatan, sekitar 5 hingga 8 dirham segelas. Saya tidak dapat memastikan angka itu lagi, tetapi yang saya ingat, harganya terasa sangat berbaloi untuk segelas jus oren yang baru diperah di hadapan mata.

Maghribi memang terkenal dengan buah oren dan jus oren segarnya. Di banyak tempat, khususnya di pasar, dataran dan gerai tepi jalan, kita boleh melihat buah oren ditimbun di hadapan gerai dan hanya diperah apabila pelanggan membuat pesanan. Berbeza dengan sesetengah minuman “jus oren” yang biasa kita temui yang mungkin dicampur air, gula atau pati, yang saya minum di Benguérir ini benar-benar jus daripada buah oren yang baru diperah.

Nampaknya persinggahan yang pada asalnya sekadar mahu berehat seketika akhirnya memberikan satu lagi pengalaman kecil yang saya masih ingat sehingga hari ini.

Tembikar Maghribi yang cantik dan segelas jus oren segar di Istirāḥat Benguérir.

No comments: