Malam tadi saya pulang agak lewat kerana perlu menyelesaikan
masalah kad SIM Maghribi yang baru dibeli tetapi tidak berfungsi. Setelah
beberapa kali mencuba dengan bantuan rakan-rakan Muaz, akhirnya kad SIM itu
berjaya diaktifkan. Lega rasanya. Sekurang-kurangnya urusan komunikasi dan
internet sepanjang perjalanan selepas ini akan menjadi lebih mudah.
Sebelum pulang ke hotel, saya mengajak Muaz ke pasar raya
berdekatan untuk membeli sedikit bekalan makanan bagi perjalanan awal pagi esok
ke Casablanca. Muaz membawa kami ke Marjane Menara, sebuah pasar raya besar di
Marrakech.
Di sini saya mula membuat perbandingan harga barangan dengan
Malaysia. Pada pemerhatian saya, harga sesetengah makanan, minuman dan barangan
keperluan agak tinggi. Bayangkan, sebotol air minuman 500 ml pun harganya
sekitar 4 dirham. Itu belum lagi beberapa jenis air mineral berjenama yang
harganya lebih tinggi.
Saya membeli setengah dozen air mineral dan beberapa kotak
susu sebagai bekalan sepanjang perjalanan nanti. Dalam perjalanan jauh, bekalan
air dan makanan ringan memang penting. Sekurang-kurangnya kami tidak perlu
berhenti terlalu kerap semata-mata untuk mencari minuman.
Keesokan paginya, setelah selesai mandi, bersiap dan
mengemas semua barang untuk daftar keluar, saya dan isteri turun untuk
bersarapan.
Inilah kali pertama saya ingin merasai sarapan pagi ala
Maghribi Moroccan style.
Hidangannya sebenarnya agak ringkas. Terdapat beberapa jenis
roti yang dimakan bersama jem. Ada juga satu hidangan yang kelihatan seperti
bubur atau sup ala Maghribi. Tidak banyak pilihan seperti bufet sarapan di
hotel-hotel besar yang biasa kita lihat.
Walaupun hidangannya ringkas, ramai juga tetamu hotel yang
turun bersarapan. Ketika sedang mengambil makanan, saya berkenalan dengan
seorang pelancong dari Jerman. Dia terlebih dahulu menegur saya dan bertanyakan
dari mana saya datang. Mungkin dia jarang melihat pelancong dari Asia menginap
di situ.
“Sarapan kat sini ringkas sangat. Tak banyak pilihan,”
keluhnya sambil melihat hidangan yang tersedia.
Saya tersenyum lalu bertanyakan berapa harga yang dibayarnya
untuk satu malam.
“25 euro. Mereka cadangkan saya tambah 1 euro lagi untuk
sarapan,” jawabnya.
Saya agak terkejut.
Rupanya kadar bilik yang dibayarnya lebih murah daripada
saya. Dia datang terus ke hotel dan mendaftar masuk tanpa membuat tempahan
awal. Harga 25 euro ketika itu tidak sampai RM120.
Tetapi yang lebih menarik perhatian saya ialah harga
sarapannya.
Hanya 1 euro!
Lebih kurang beberapa ringgit sahaja.
Saya pula membayar sekitar RM130 untuk satu malam termasuk
sarapan bagi kami berdua. Tidaklah jauh sangat bezanya. Mungkin dia mendapat
kadar yang lebih murah kerana datang terus dan membayar dalam euro.
“Yalah... kalau bayar 1 euro untuk sarapan, memang
sesuailah dengan apa yang ada. Tak bolehlah nak bandingkan dengan hotel lima
bintang,” ujar saya sambil tersenyum.
Dia ketawa kecil mendengar kata-kata saya.
Rakan baharu dari Jerman itu sudah tiga hari berada di
Marrakech. Katanya, dia sangat seronok berada di sini. Dia kemudian bercerita
tentang Jemaa el-Fna, dataran terkenal yang menjadi antara tarikan utama
Marrakech.
Menurutnya, terdapat pelbagai jenis makanan di sana dengan
harga yang berpatutan. Dia bersungguh-sungguh mencadangkan supaya saya mencuba
pelbagai hidangan apabila berkunjung ke Jemaa el-Fna nanti.
Dia merancang untuk menghabiskan masa selama seminggu hanya
di Marrakech. Banyak tempat yang mahu dilawatinya dan, katanya, seminggu pun
mungkin belum tentu mencukupi.
Saya termenung seketika mendengarnya.
Dia memperuntukkan seminggu hanya untuk Marrakech,
sedangkan saya pula hanya mempunyai sekitar sembilan hari untuk menjelajah
beberapa tempat di seluruh Maghribi!
Nampaknya perjalanan saya selepas ini memang akan padat.
Saya dan isteri meneruskan sarapan pagi dengan tenang.
Walaupun hidangannya ringkas dan, berdasarkan bayaran rakan Jerman tadi,
nilainya hanya sekitar 1 euro, bagi saya ia tetap berbaloi.
Tambahan pula kami menikmatinya dalam suasana penginapan
yang sarat dengan sentuhan seni dan budaya Maghribi. Kadangkala kenikmatan
sesuatu hidangan bukan semata-mata terletak pada banyaknya pilihan makanan,
tetapi pada suasana, pengalaman dan rasa syukur ketika menikmatinya.
Saya teringat firman Allah SWT:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ
لَأَزِيدَنَّكُمْ
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu:
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat kepada
kamu.” (Surah Ibrahim: 7)
Sarapan 1 euro mungkin kelihatan kecil nilainya. Namun
nikmat sebenarnya jauh lebih besar — tubuh yang sihat, isteri yang menemani
perjalanan, anak yang dapat ditemui kembali setelah sekian lama, tempat untuk
berehat dan rezeki untuk meneruskan musafir.
Saya bersyukur dengan apa yang Allah berikan.
Selesai bersarapan, perjalanan yang lebih jauh sedang
menanti kami pagi itu.
Casablanca, kami datang!
Semoga Allah mempermudahkan perjalanan kami, melindungi kami
sepanjang musafir dan melimpahkan rezeki serta pengalaman yang baik di bumi
Maghribi ini.
No comments:
Post a Comment