Friday, October 02, 2026

MASJID HASSAN II, KAMI DATANG PADAMU!

Alhamdulillah. Setelah kira-kira 10 minit memandu dari restoran, akhirnya kami sampai di kawasan Masjid Hassan II, Casablanca. 

Dari kejauhan lagi menaranya sudah kelihatan menjulang tinggi. Semakin hampir, semakin jelas kemegahannya. Sebaik sahaja bangunan masjid itu terbentang di hadapan mata, saya benar-benar terpaku.

Subhanallah!

Inilah Masjid Hassan II yang selama ini hanya saya tatap melalui gambar dan video di YouTube. Hari ini, bangunan yang sekian lama hanya berada di skrin telefon dan komputer itu benar-benar berdiri di hadapan mata saya.

Sampai juga akhirnya!

Saya memarkir Renault Clio kami di kawasan parkir awam di seberang jalan berhadapan masjid. Tidak banyak masa untuk berlengah. Waktu Asar semakin hampir dan azan akan berkumandang sebentar lagi.

Saya, isteri dan Muaz segera melintas jalan menuju ke masjid.

Namun, sebelum masuk kami perlu mencari tandas dan tempat berwuduk terlebih dahulu. Rupanya tempat wuduk berada di bahagian bawah kompleks masjid. Agak jauh juga kami berjalan mencarinya. Kompleks Masjid Hassan II memang sangat luas. Keseluruhan kompleks keagamaan dan kebudayaannya merangkumi kira-kira 15 hektar serta mempunyai pelbagai kemudahan termasuk ruang solat, madrasah, tempat wuduk, hammam, perpustakaan, muzium dan Akademi Seni Tradisional.

Selesai berwuduk, saya kembali memandang bangunan masjid yang tersergam di hadapan.

Sekali lagi bibir saya spontan menyebut,

“Subhanallah... Alhamdulillah.”

Sukar hendak digambarkan perasaan ketika itu.

Masjid Hassan II bukan sekadar besar. Seni binanya benar-benar memukau. Ukiran, jubin zellij, marmar, kayu berukir dan pelbagai seni pertukangan tradisional Maghribi digabungkan dengan teknologi pembinaan moden. Malah, lebih 10,000 meter persegi zellij dan lebih 53,000 meter persegi kayu berukir digunakan pada kemasan ruang solatnya.

Lebih mengagumkan, masjid ini dibina betul-betul menghadap Lautan Atlantik. Ombak laut yang terbentang luas menjadi latar kepada kemegahan bangunannya.

Pembinaan masjid ini bermula apabila Raja Hassan II meletakkan batu asas pada 11 Julai 1986. Selepas kira-kira tujuh tahun pembinaan, masjid ini dirasmikan pada 30 Ogos 1993, bersempena sambutan Maulid Nabi pada tahun tersebut. Reka bentuknya merupakan hasil kerjasama arkitek Perancis Michel Pinseau dengan para tukang dan artisan Maghribi.

Pemilihan tapaknya di tepi Lautan Atlantik juga mempunyai cerita tersendiri. Menurut sejarah rasmi masjid, Raja Hassan II mengaitkan pembinaannya di atas pesisir laut dengan firman Allah:

وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ

“Dan Arasy-Nya berada di atas air.” Surah Hud: 7

Sebab itulah sebahagian struktur masjid seolah-olah berdiri di atas laut. Dari kawasan masjid, pandangan terus terbuka luas menghadap Lautan Atlantik.

Menaranya pula menjulang sekitar 200 meter ke langit Casablanca. Di bahagian atas menara terdapat pancaran laser yang dihalakan ke arah Makkah dan boleh mencapai jarak sekitar 30 kilometer.

Ruang solat utamanya sahaja berkeluasan kira-kira 20,000 meter persegi dan boleh menampung sekitar 25,000 jemaah. Bumbungnya pula boleh dibuka dalam masa kira-kira lima minit, membolehkan cahaya dan udara dari luar memasuki ruang solat.

Keseluruhan kompleks Masjid Hassan II pula mampu menampung lebih 120,000 orang.

Berdiri di hadapannya membuatkan saya terfikir bahawa masjid ini bukan sekadar sebuah tempat ibadah.

Ia menjadi lambang seni bina Islam Maghribi; sebuah negara yang sejarah Islamnya telah berakar lebih seribu tahun. Pada dinding, tiang, pintu, ukiran kayu dan susunan zellij-nya terserlah warisan seni yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

Di sinilah terasa pertemuan antara iman, sejarah, seni dan tamadun.

Saya, isteri dan Muaz mengambil beberapa keping gambar sebagai kenangan. Kamera telefon tidak berhenti merakam. Setiap sudut terasa cantik dan setiap kali menoleh, ada sahaja pemandangan yang mahu diabadikan.

Namun kami tidak boleh terlalu lama melayan kekaguman.

Waktu Asar semakin hampir.

Kami segera mencari pintu masuk utama untuk masuk ke dalam masjid.

Hari itu kami bukan datang sekadar untuk melihat salah sebuah masjid paling mengagumkan di Maghribi.

Kami datang untuk sujud kepada Allah di dalamnya.

Thursday, October 01, 2026

PERGI! TAK PERLU BAYAR PARKING.

 Usai menjamu selera di Restoran Les Fleur dengan sajian tajine d’agneau dan tajine de poulet, kami segera bergegas menuju ke kereta yang diparkir di seberang jalan. 

Saya mencari-cari anak muda yang tadi menunjukkan tempat untuk saya memarkir kereta. Dialah yang membantu menahan kenderaan lain supaya saya dapat masuk ke ruang parkir dengan mudah.

Sebelum kami masuk ke restoran tadi, dia sempat berpesan,

“Nanti bayar masa mahu keluar.”

Saya pun mengangguk sahaja.

Ketika sedang tercari-cari pemuda itu, tiba-tiba saya terdengar bunyi hon sebuah lori kecil yang turut diparkir di tepi jalan. Pemandunya memandang ke arah saya lalu bertanya sama ada saya mempunyai masalah.

Rupanya sejak tadi dia memerhatikan saya yang mundar-mandir seperti sedang mencari seseorang.

“Saya mencari anak muda yang jaga parking di sini tadi. Saya mahu bayar parking,” jawab saya.

“Oh, begitu... Pergilah! Tak perlu bayar parking. Di sini parking percuma. Dia tu jaga parking haram. Dia ambil kesempatan saja!”

Pemandu lori itu memberitahu saya dengan bersungguh-sungguh dan wajah yang serius.

Saya sebenarnya pernah membaca ulasan para pengembara di Tripadvisor tentang kewujudan penjaga parkir tidak rasmi seperti ini di Maghribi. Namun, rata-rata pengembara yang berkongsi pengalaman tidak terlalu mempermasalahkannya. Bagi mereka, tidak salah memberikan sedikit wang sebagai saguhati atas bantuan yang diberikan.

Saya pun berpendapat begitu.

Walaupun tempat parkir itu percuma, pemuda tadi tetap membantu saya mendapatkan ruang parkir. Dia menahan kenderaan lain dan memberi isyarat ketika saya memasukkan kereta. Kalau diberi sedikit wang sebagai tanda penghargaan, saya rasa tidaklah menjadi masalah.

Anggap sahaja sebagai sedekah. Mudah-mudahan ada pahala di sisi Allah. Memberi sedikit penghargaan kepada orang yang membantu juga sebahagian daripada adab yang baik.

Lagipun bukan banyak pun.

Dua atau tiga dirham sahaja. Ikut keikhlasan hati.

Saya berdiri seketika sambil memerhatikan sekeliling.

Memang langsung tidak kelihatan kelibat pemuda tadi.

“Tak ada rezeki dia hari ini,” bisik saya dalam hati.

Kami pula tidak boleh menunggu lama. Kami perlu segera ke Masjid Hassan II. Waktu Asar semakin hampir. Kami masih perlu mencari tandas dan mengambil wuduk terlebih dahulu.

Masjid Hassan II pula bukan masjid kecil. Kawasannya sangat luas. Sudah tentu kami perlu memperuntukkan sedikit masa untuk mencari tandas, tempat wuduk dan pintu masuk yang betul.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pemandu lori tadi lalu melambaikan tangan kepadanya.

Kami pun meneruskan perjalanan.

Dengan bantuan Waze sekali lagi, kami bergerak menuju ke Masjid Hassan II.

Alhamdulillah.

Kali ini Waze membawa kami melalui jalan utama.

Bukan lagi lorong sempit seperti sebelumnya!