Selepas kira-kira 20 minit melalui pengalaman pemanduan pertama yang agak mencabar, akhirnya dengan bantuan Muaz, kami sampai di Riad Marrakech House. Lega rasanya apabila kereta selamat diparkir di hadapan tempat penginapan.
Muaz sebenarnya sudah datang melihat tempat ini lebih awal
selepas saya membuat tempahan melalui Agoda. Sekurang-kurangnya dia sudah tahu
lokasi dan keadaan penginapan yang bakal menjadi tempat kami bermalam.
Riad Marrakech House merupakan antara penginapan sederhana
yang menyediakan sarapan pagi. Kadar penginapan di Marrakech agak tinggi jika
dibandingkan dengan apa yang biasa saya bayar di Malaysia. Mungkin kerana
Marrakech merupakan antara bandar pelancongan utama Maghribi yang menerima
kunjungan pelancong dari seluruh dunia.
Sebab itu, saya agak bersyukur apabila berjaya mendapatkan
penginapan ini dengan harga sekitar RM131 semalam termasuk sarapan pagi.
Inilah antara penginapan termurah yang saya temui ketika membuat carian.
Konsep riad pula agak menarik. Secara tradisinya,
riad ialah rumah masyarakat Maghribi yang dibina mengelilingi ruang atau
halaman dalaman. Sebahagian rumah seperti ini kemudiannya diubah suai menjadi
tempat penginapan untuk pelancong.
Riad Marrakech House yang kami duduki ini pula kelihatan
lebih besar dan telah ditambah dengan bangunan beberapa tingkat. Walaupun tidak
sepenuhnya menyerupai riad tradisional yang saya bayangkan, unsur seni bina dan
dekorasi Maghribi masih jelas kelihatan.
Selepas memarkir kereta di hadapan riad, saya masuk untuk
mendaftar. Selesai urusan daftar masuk dan menerima kunci, saya bersama isteri
dan Muaz mula mengangkat beg ke bilik.
Tiba-tiba staf di kaunter menegur kami dari jauh.
“Ini siapa seorang lagi? Kamu daftar bilik untuk dua orang.
Kenapa kamu bertiga?”
“Ini anak saya,” jawab saya ringkas.
“Kamu tidak boleh tinggal bertiga dalam bilik sebab kamu
bayar untuk dua orang sahaja. Kalau dia menginap sekali, perlu bayar tambahan,”
jelas staf tersebut dengan tegas.
Saya agak terkejut.
Rupanya peraturan penginapan di sini lebih ketat daripada
yang biasa saya alami ketika menginap di beberapa tempat lain. Dalam pengalaman
saya sebelum ini, kadang-kadang bilik ditempah mengikut jenis bilik dan
bilangan katil. Jika ada tetamu tambahan, mungkin hanya kemudahan seperti katil
tambahan atau tuala yang tidak disediakan.
Namun di sini, bilangan penghuni nampaknya benar-benar
diambil kira.
Staf itu sekali lagi mengingatkan saya bahawa bilik tersebut
hanya untuk dua orang.
Saya pun terpaksa menerangkan keadaan sebenar.
“Dia anak saya. Dia belajar dan tinggal di Marrakech. Dia
cuma datang membantu kami membawa beg. Selepas ini saya akan hantar dia pulang
ke rumah sewanya. Malam nanti kami berdua sahaja yang tinggal di sini.”
Barulah staf tersebut kelihatan memahami keadaan kami.
Rimas juga apabila terpaksa menerangkan dengan panjang
lebar. Namun saya sedar, setiap negara mempunyai peraturan dan budaya
penginapan yang berbeza. Kita sebagai tetamulah yang perlu belajar menyesuaikan
diri.
Masuk sahaja ke dalam Riad Marrakech House, saya mula
tertarik dengan suasananya.
Memang klasik!
Susun atur lobi dan kaunternya menampilkan identiti seni
Maghribi. Begitu juga hiasan di dalam bilik. Ukiran dan corak tradisional
terdapat di sana sini, daripada dinding, pintu dan tangga hinggalah ke bahagian
siling.
Seni bina Maghribi memang mempunyai identitinya yang
tersendiri. Corak geometri, ukiran halus dan hiasan yang memenuhi ruang
menjadikan suasananya sangat berbeza daripada hotel moden yang biasa saya
kunjungi.
Bahkan tandasnya juga memberikan pengalaman baharu kepada
saya.
Tiada bidet seperti yang biasa kita gunakan di
Malaysia. Saya terpaksa mencari jalan sendiri untuk menyediakan air bagi
kegunaan tandas. Tong sampah kecil yang ada akhirnya bertukar fungsi menjadi
bekas menadah air!
Itulah pengembaraan.
Kadang-kadang perkara yang begitu biasa dalam kehidupan kita
rupa-rupanya bukan sesuatu yang biasa bagi masyarakat di tempat lain.
Semakin saya melihat sekeliling, semakin saya tertarik
dengan seni dekorasi Maghribi. Tangga, lif, dinding, pintu dan ruang-ruang
kecil di dalam bangunan ini seolah-olah membawa saya mengenali sedikit demi
sedikit budaya masyarakat Maghribi yang kaya dengan seni dan warisan.
Baru hari pertama, sudah banyak perkara baharu yang saya
pelajari.
Pengembaraan kami sebenarnya baru sahaja bermula. Masih
banyak tempat yang belum diterokai, banyak manusia yang belum ditemui dan
tentunya banyak pengalaman baharu yang sedang menunggu di hadapan.
Perjalanan bukan sekadar berpindah dari sebuah tempat ke
sebuah tempat. Perjalanan juga membuka mata kita bahawa dunia ini jauh lebih
luas daripada lingkungan kehidupan yang biasa kita lalui.
Melihat perbezaan budaya, bahasa, makanan, seni bina dan
cara hidup manusia mengingatkan saya kepada firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا
خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ
لِتَعَارَفُوا
Maksudnya:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang
lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan
bersuku-suku agar kamu saling mengenali.”
(Surah al-Hujurat: 13)
Benarlah, Allah SWT menciptakan manusia dengan kepelbagaian
bangsa, bahasa dan budaya bukan supaya kita saling menjauhkan diri, tetapi
supaya kita لِتَعَارَفُوا — saling mengenali.
Apabila kita mengembara, kita belajar bahawa cara hidup kita
bukanlah satu-satunya cara hidup manusia. Kita belajar menghormati perbezaan,
mengambil perkara yang baik daripada orang lain dan pada masa yang sama semakin
menghargai nikmat yang selama ini kita anggap biasa.
Barangkali itulah antara hikmah terbesar sebuah
pengembaraan.
Kita keluar untuk melihat dunia, tetapi akhirnya
perjalanan itu mengajar kita melihat kehidupan dengan pandangan yang lebih
luas.
Dan perjalanan saya di bumi Maghribi baru sahaja bermula.
No comments:
Post a Comment