Wednesday, October 21, 2026

TIDAK BOLEH MENGINAP BERTIGA DALAM BILIK BERDUA

 Travelog Maghribi 2022

Dalam keadaan badan yang semakin keletihan, saya kembali memandu menuju ke bandar Rabat. Kali ini saya meminta isteri mencari dan menempah mana-mana hotel yang masih mempunyai bilik kosong.

“Cari hotel di bandar lama Rabat. Kalau boleh yang dekat dengan Kasbah Oudaya. Esok pagi kita boleh jalan kaki saja ke sana. Tak payah nak memandu lagi.”

Saya sudah tidak mahu terlalu berkira tentang harga. Kalau sebelum ini saya begitu teliti membandingkan harga penginapan, kali ini lain pula ceritanya. Asalkan tidak terlalu mahal, selesa dan berdekatan dengan tempat menarik, saya sudah cukup berpuas hati. 


Badan sudah terlalu penat. Fikiran pun sudah malas hendak membuat banyak pertimbangan.

Tidak lama kemudian, isteri menunjukkan sebuah hotel yang ditemuinya melalui aplikasi Agoda.

“Darna Hotel. RM170 semalam, termasuk sarapan.”

Saya melihat sepintas lalu.

“Bolehlah. Tempah saja.”

Cuma ada satu masalah kecil. Harga RM170 itu untuk bilik berdua, sedangkan kami bertiga — saya, isteri dan Muaz.

Dalam aplikasi tersebut hanya bilik berdua yang masih ditawarkan. Tiada pilihan bilik bertiga.

“Tak apalah. Ambil saja bilik berdua. Nanti kita bincang dengan hotel. Muaz boleh tidur sekali dengan saya.”

Saya tidak mahu memikirkan perkara itu panjang-panjang. Apa yang bermain dalam fikiran hanyalah tilam, bantal dan tidur!

Saya minta isteri saya melihat ulasan pengunjung juga. Risau dengan apa yang berlaku di Temara tadi. Isteri saya memaklumkan rating hotel 7.2. kira sangat bagus. Banyak pujian pelanggan untuk hotel ini. Saya setuju.

RUPANYA KAMI KEMBALI KE TEMPAT YANG SAMA!

Selepas kira-kira setengah jam memandu, akhirnya kami tiba di kawasan hotel.

Ketika memasuki jalan menuju ke hotel tersebut, mata saya terpandang sebuah pintu gerbang yang terasa begitu biasa.

“Eh! Kita dah lalu sini petang tadi!”

Saya cuba mengingati semula perjalanan kami.

Ya, memang benar!

Kami sebenarnya sudah sampai ke kawasan ini pada lewat petang tadi, sebelum meneruskan perjalanan ke Temara untuk mencari rumah penginapan yang telah ditempah tetapi tidak berjaya ditemukan.

Rupa-rupanya setelah berpusing jauh, kami kembali semula ke kawasan yang pernah kami lalui!

Kalaulah dari awal lagi kami menempah hotel ini, tentu sudah lama kami dapat berehat. Tidak perlulah bersusah payah memandu ke sana sini mencari penginapan yang entah di mana.

Namun, apakan daya. Semuanya sudah berlaku.

Saya hanya mampu tersenyum sendiri.

Beginilah pengalaman bermusafir. Kadangkala kita sudah merancang sebaik mungkin, tetapi perjalanan membawa kita melalui pengalaman yang langsung tidak dijangka.

“TUAN, BILIK BERDUA TAK BOLEH MASUK BERTIGA!”

Setelah meletakkan kereta, kami bertiga masuk ke hotel untuk urusan daftar masuk.

Saya menyerahkan maklumat tempahan kepada petugas kaunter.

Dia meneliti tempahan tersebut sebelum memandang kami bertiga.

“Tuan bertiga?”

“Ya, kami bertiga.”

“Tapi tuan tempah bilik berdua. Tidak boleh masuk bertiga dalam bilik berdua.”

Alamak!

Inilah perkara yang saya bimbangkan tadi.

“Memang kami bertiga. Tapi dalam Agoda hanya ada bilik berdua. Itu saja yang masih ada,” jelas saya.

Dalam hati sudah mula berkira-kira.

Kalau terpaksa mengambil satu lagi bilik, bertambahlah perbelanjaan malam ini. Sudahlah penginapan yang ditempah sebelum ini bermasalah, sekarang kena bayar bilik tambahan pula!

Namun, petugas tersebut memberikan satu tawaran.

“Sebenarnya kami masih ada bilik bertiga. Cuma bilik itu tidak diiklankan dalam Agoda. Kalau tuan mahu, kami boleh tukarkan. Tuan hanya perlu tambah 100 dirham.”

Saya terdiam seketika.

Seratus dirham!

Dalam kepala saya terus membuat kira-kira. Lebih kurang RM40 lebih juga tambahan yang perlu dibayar.

Saya cuba berunding.

“Tak bolehkah kami masuk bertiga dalam bilik berdua itu? Ada dua katil, kan? Saya boleh tidur satu katil dengan anak saya. Lagipun sekarang sudah lewat malam. Esok pagi kami keluar awal.”

Saya cuba memujuk dengan harapan dia dapat memberikan sedikit kelonggaran.

Namun, petugas itu tetap bertegas.

“Maaf, tuan. Tidak boleh. Itu memang polisi hotel. Bilik berdua hanya untuk dua orang.”

Dia menyambung lagi.

“Tuan ada dua pilihan. Ambil bilik bertiga dengan tambahan 100 dirham atau ambil dua bilik berasingan. Kami tidak boleh benarkan tiga orang menginap dalam bilik berdua.”

Nampaknya tiada ruang lagi untuk berunding.

Saya mengalah.

“Baiklah. Tukarkan kepada bilik bertiga.”

Dalam keadaan terlalu letih, saya tidak sanggup lagi mencari hotel lain. Tambahan 100 dirham itu akhirnya terpaksa saya anggap sebagai sebahagian daripada kos pengalaman bermusafir.

Sekurang-kurangnya kami tidak perlu membayar harga dua bilik.

KATIL, AKU DATANG!

Selesai urusan tambahan bayaran, petugas hotel membawa kami naik ke tingkat atas dan menunjukkan bilik baharu.

Alhamdulillah.

Bilik itu mempunyai tiga buah katil. Cukuplah untuk kami bertiga berehat dengan selesa.

Saya sudah tidak berminat hendak memeriksa apa-apa lagi. Tidak mahu melihat kemudahan bilik, tidak mahu bertanya tentang sarapan esok, malah tidak terfikir pun hendak mengambil gambar seperti kebiasaan saya setiap kali menginap di tempat baharu.

Sebaik sahaja masuk ke bilik, saya terus menuju ke katil.

Saya merebahkan badan.

Nikmatnya!

Tanpa menukar pakaian, tanpa mandi dan tanpa sempat berbual panjang, saya terus melelapkan mata.

Badan terasa seolah-olah sudah kehabisan seluruh tenaga.

Sejak awal pagi saya memandu dari Marrakech menuju ke Casablanca. Kemudian meneruskan perjalanan ke Rabat, berpusing-pusing di bandar lama, sebelum bergerak pula ke Temara mencari rumah penginapan yang tidak berjaya ditemukan.

Akhirnya berpatah balik semula ke Rabat.

Lebih 400 kilometer perjalanan hari itu, belum termasuk segala pusingan tambahan akibat tersalah jalan dan mencari penginapan.

Semuanya saya pandu seorang diri.

Muaz belum biasa memandu kereta manual. Tambahan pula, pemanduan di Maghribi menggunakan kedudukan pemandu di sebelah kiri kereta dan kenderaan bergerak di sebelah kanan jalan, berbeza dengan kebiasaan di Malaysia.

Jadi, mahu tidak mahu, sayalah pemandu tunggal sepanjang perjalanan.

Memang benar-benar meletihkan!

Hari itu saya belajar bahawa dalam perjalanan jauh, bukan semua perkara boleh berjalan mengikut perancangan kita.

Ada penginapan yang ditempah tetapi tidak ditemukan. Ada perjalanan yang terpaksa diulang. Ada pula perbelanjaan tambahan yang tidak dijangka.

Dalam bermusafir, kita bukan sahaja perlu menyediakan wang untuk makan, minyak dan penginapan. Kita juga perlu menyediakan sedikit ruang dalam bajet untuk perkara yang tidak dijangka.

Namun, di sebalik segala kepenatan itu, saya tetap bersyukur.

Kami selamat sampai. Ada tempat untuk bermalam. Ada katil untuk merehatkan badan. Dan esok, insya-Allah, kami akan meneruskan pengembaraan menikmati keindahan kota Rabat.

Malam itu, saya tidak lagi memikirkan berapa banyak wang tambahan yang sudah dibelanjakan.

Saya cuma mahu tidur.

Itulah nikmat yang benar-benar saya rasai pada malam tersebut.

Rabat, Maghribi
6 Jun 2022

Tuesday, October 20, 2026

TEMPAH PENGINAPAN YANG TIDAK WUJUD!

Travelog Maghribi Jun 2022

Selesai menikmati minum petang di Maqha al-Malaki dan bersiar-siar di sekitar kawasan Habous, Casablanca, kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Rabat. Hari sudah semakin lewat petang. Kami perlu segera bergerak kerana saya telah menempah penginapan untuk bermalam di sana. 


Perjalanan dari Casablanca ke Rabat mengambil masa lebih kurang sejam lebih. Kami memilih laluan yang menyusuri kawasan pesisir pantai. Namun, tidak banyak pemandangan laut yang dapat dinikmati kerana sebahagian besar jalan raya agak jauh dari pantai.

Dalam perjalanan, kami melintasi bandar Mohammedia.

“Abah, dekat sini ada universiti. Ada juga pelajar Malaysia yang belajar di sini,” beritahu Muaz.

Menurut Muaz, universiti di bandar inilah antara tempat yang pernah diharapkannya untuk menyambung pengajian ketika mula-mula merancang datang ke Maghribi. Namun, rezekinya akhirnya membawa dia ke Universiti Cadi Ayyad di Marrakech.

Saya sekadar memandang ke arah bandar tersebut. Terlintas juga keinginan untuk singgah melihat suasananya. Namun, memandangkan hari semakin lewat, hasrat itu terpaksa dilupakan.

Dalam cahaya senja yang semakin menghilang, akhirnya kami memasuki Rabat, ibu negara Maghribi.

Pada mulanya, saya bercadang untuk menjelajah kawasan bandar lama Rabat. Saya memang suka melihat kehidupan masyarakat tempatan, bangunan lama dan deretan kedai tradisional yang mempunyai keunikan tersendiri.

Namun, setelah beberapa kali berpusing di sekitar bandar lama, kami mengambil keputusan untuk terus ke tempat penginapan. Badan sudah mula terasa letih. Sejak pagi saya memandu dari Marrakech ke Casablanca, kemudian menyambung perjalanan pula ke Rabat.

Cukuplah untuk hari ini. Esok masih ada masa untuk berjalan.

RUPANYA BUKAN DI RABAT!

Saya membuka semula aplikasi Agoda untuk melihat alamat penginapan yang telah ditempah.

Alamak!

Rupa-rupanya penginapan tersebut bukan terletak di pusat bandar Rabat, tetapi di kawasan Témara, kira-kira 18 kilometer dari bandar lama Rabat.

Jauh juga rupanya!

Saya menyangka penginapan itu berada di sekitar Rabat. Tidak mengapalah. Tempahan sudah dibuat. Kami perlu pergi juga.

Saya cuba menghubungi nombor telefon pemilik penginapan yang tertera dalam aplikasi.

Tidak berjawab.

Saya mencuba sekali lagi.

Masih tidak berjawab.

Sedikit rasa curiga mula timbul. Namun, saya cuba bersangka baik. Mungkin pemiliknya sedang sibuk atau tidak mendengar telefon.

Kami meneruskan perjalanan berpandukan Google Maps.

Setelah lebih setengah jam memandu, akhirnya kami tiba di kawasan Témara ketika azan Isyak sedang berkumandang.

Kawasan tersebut agak padat dengan bangunan kediaman. Jalan-jalannya pula semakin kecil apabila kami memasuki kawasan perumahan.

Google Maps terus memberikan arahan sehingga akhirnya kami memasuki sebuah lorong yang agak sunyi.

“Destinasi anda berada di sini.”

Saya memberhentikan kereta.

Saya memandang ke kiri dan ke kanan.

Mana rumahnya?

Tiada papan tanda penginapan. Tiada nama rumah seperti yang tertera dalam tempahan. Tiada sesiapa yang menunggu untuk menyerahkan kunci.

Yang ada hanyalah deretan bangunan kediaman dan beberapa buah kereta yang diparkir di tepi jalan.

Keadaan sudah gelap. Lorong itu pula sunyi tanpa orang yang lalu-lalang.

Saya membuka semula aplikasi Agoda. Memeriksa nama penginapan, alamat dan lokasi.

Memang di sinilah tempatnya!

Saya cuba menelefon pemilik sekali lagi.

Tidak berjawab juga.

Hati mula berasa tidak sedap.

RM128 UNTUK SEBUAH RUMAH!

Sebenarnya, sejak membuat tempahan lagi saya sudah berasa sedikit pelik.

Bayangkan, harga yang ditawarkan hanya RM128 semalam untuk sebuah rumah!

Murah sungguh.

Dengan harga sebegitu, memang sukar untuk mendapatkan sebuah rumah penginapan yang selesa, apatah lagi di kawasan berhampiran ibu negara.

Namun, saya tetap membuat tempahan.

Mengapa?

Kerana penginapan tersebut ditawarkan melalui Agoda, aplikasi yang telah lama saya gunakan untuk menempah hotel dan penginapan sepanjang perjalanan ke luar negara.

Setakat itu, saya belum pernah menghadapi masalah besar dengannya.

Saya terlalu yakin kepada platform tempahan tersebut sehingga terlepas pandang satu perkara penting.

Penginapan itu langsung tidak mempunyai ulasan pelanggan!

Sepatutnya perkara ini sudah cukup untuk membuatkan saya lebih berhati-hati.

Tetapi apabila melihat harga yang begitu murah, pertimbangan saya mungkin sudah dipengaruhi oleh keinginan untuk berjimat.

Maklumlah, perjalanan jauh memerlukan perbelanjaan yang banyak. Kalau boleh berjimat pada penginapan, bolehlah wang selebihnya digunakan untuk perkara lain.

Rupa-rupanya, keinginan untuk berjimat itu bakal memberikan satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan.

“RUMAH ITU MEMANG TIDAK WUJUD!”

Saya tidak mahu terus membuat andaian.

Kami berpusing beberapa kali di sekitar kawasan tersebut, mencari kalau-kalau terdapat pintu masuk lain atau bangunan yang terlepas pandang.

Tetapi semuanya sia-sia.

Akhirnya, saya berhenti di sebuah kedai runcit kecil yang masih dibuka.

Saya menunjukkan alamat dan nama penginapan yang tertera dalam tempahan kepada beberapa orang lelaki di situ.

Mereka meneliti alamat tersebut.

“Ya, memang betul. Ini kawasan dan jalan yang kamu cari.”

Saya mula berasa lega.

Tetapi kelegaan itu tidak bertahan lama.

Mereka memberitahu bahawa tiada rumah penginapan dengan nama seperti yang tertera dalam tempahan saya.

Lebih mengejutkan, menurut mereka, sebelum ini sudah ada orang lain yang datang mencari penginapan yang sama!

Namun, penginapan tersebut memang tidak ditemui.

Mereka mengesyaki saya mungkin telah menjadi mangsa penipuan.

Aduh!

Barulah saya sedar.

Rupa-rupanya bukan saya seorang yang datang mencari rumah misteri ini.

Sudah ada orang lain yang menerima nasib serupa!

Dalam hati saya berkata, “Patutlah murah sangat. Rumahnya pun tak wujud!”

Hendak marah pun tidak tahu kepada siapa.

Hendak ketawa pun terasa pahit.

Saya hanya mampu menggelengkan kepala.

Inilah kali pertama saya berhadapan pengalaman sebegini sepanjang menggunakan Agoda.

JAM SUDAH HAMPIR 11 MALAM!

Saya melihat jam.

Hampir pukul 11 malam!

Badan sudah benar-benar letih. Sejak pagi saya memandu dari Marrakech ke Casablanca, berjalan di sekitar bandar, kemudian meneruskan perjalanan ke Rabat dan Témara.

Kini, selepas berjam-jam di atas jalan raya, kami masih belum mempunyai tempat untuk bermalam.

Penginapan yang sudah dibayar pula tidak wujud!

Saya mula memikirkan apa yang perlu dilakukan.

Tidak mungkin kami terus menunggu di lorong sunyi itu. Nombor telefon pemilik tidak dapat dihubungi. Penduduk tempatan pula sudah mengesahkan bahawa penginapan tersebut memang tidak diketahui kewujudannya.

Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk kembali ke Rabat dan mencari penginapan lain.

Terpaksalah saya memandu lagi pada malam yang semakin larut.

Perjalanan yang sepatutnya berakhir dengan berehat di tempat penginapan bertukar menjadi satu lagi episod pencarian hotel.

Memang meletihkan.

Tetapi inilah sebahagian daripada pengalaman mengembara sendiri tanpa menggunakan khidmat agensi pelancongan.

Ada kalanya perjalanan berjalan lancar seperti yang dirancang.

Ada kalanya kita terpaksa berhadapan perkara yang langsung tidak dijangka.

Dan malam itu, saya belajar bahawa alamat yang tertera dalam aplikasi belum tentu menjamin wujudnya sebuah rumah di lokasi tersebut!

PENGAJARAN DARIPADA SEBUAH RUMAH YANG TIDAK WUJUD

Keesokan harinya, saya membuat laporan kepada pihak Agoda berhubung penginapan tersebut.

Alhamdulillah, wang tempahan saya akhirnya dipulangkan semula.

Sekurang-kurangnya, kerugian wang dapat dielakkan.

Namun, masa, tenaga dan keletihan akibat mencari penginapan pada lewat malam tentu sekali tidak dapat dikembalikan.

Pengalaman ini memberikan beberapa pengajaran yang cukup berharga kepada saya.

Pertama, jangan terlalu mudah terpengaruh dengan tawaran harga yang jauh lebih murah daripada kebiasaan. Harga murah memang menggembirakan, tetapi harga yang terlalu murah sepatutnya menimbulkan persoalan.

Kedua, bacalah ulasan pelanggan sebelum membuat tempahan. Ulasan daripada mereka yang pernah menginap boleh membantu kita menilai sama ada sesuatu penginapan benar-benar wujud dan boleh dipercayai.

Ketiga, hubungi pemilik penginapan lebih awal, terutama apabila menempah rumah persendirian. Jangan tunggu sehingga tiba di lokasi pada waktu malam, barulah hendak mengesahkan alamat dan urusan daftar masuk.

Keempat, jangan terlalu bergantung kepada aplikasi. Teknologi memang memudahkan perjalanan, tetapi ia bukan jaminan bahawa semua maklumat yang dipaparkan adalah tepat.

Saya teringat pengalaman kami pada siang tadi ketika Waze membawa kereta kami memasuki lorong-lorong sempit di Casablanca.

Kini, pada sebelah malam pula, Google Maps membawa kami tepat ke lokasi sebuah penginapan yang tidak wujud!

Dua pengalaman dalam sehari yang mengajar saya perkara hampir sama.

Teknologi boleh menunjukkan jalan, tetapi akal dan pertimbangan manusia tetap diperlukan untuk menentukan sama ada jalan itu benar.

Akhirnya, saya menyedari bahawa berjimat itu memang baik. Islam sendiri mengajar kita supaya tidak membazir dan berbelanja secara berhemah.

Namun, berjimat juga memerlukan kebijaksanaan.

Jangan kerana mahu menjimatkan sedikit wang, kita akhirnya terpaksa membayar dengan masa, tenaga dan ketenangan.

Dalam perjalanan hidup, tidak semua yang murah itu menguntungkan. Tidak semua yang kelihatan mudah itu benar-benar memudahkan.

Catatan Kembara Maghribi — Rabat dan Témara, Jun 2022.

Tuesday, October 13, 2026

CARI KITAB, JUMPA KOPI DI HABOUS

 Travelog Maghribi | Casablanca, Jun 2022

Selepas selesai menziarahi Masjid Hassan II, Muaz membawa kami ke sebuah kawasan yang terkenal dengan kedai-kedai buku agama di Casablanca. Kawasan ini dikenali sebagai Quartier Habous atau Hay al-Ahbas (حي الأحباس). 

Saya memang berhajat untuk mencari beberapa buah buku berkaitan pedagogi dan kaedah pengajaran bahasa Arab sebagai bahan rujukan Jabatan Bahasa Arab di institut tempat saya bertugas.

Sebelum datang ke Maghribi, saya sudah menyenaraikan puluhan judul buku yang ingin dicari. Saya berharap dapat menemui sebahagiannya di sini, memandangkan Maghribi merupakan antara negara Arab yang mempunyai tradisi keilmuan Islam dan bahasa Arab yang cukup panjang.

Namun, harapan tidak semudah kenyataan.

Daripada puluhan judul yang dicari, hanya dua buah buku sahaja yang berjaya ditemukan. Rupa-rupanya buku-buku berkaitan pedagogi bahasa Arab yang saya kehendaki agak langka dan sukar diperoleh, walaupun di negara Arab sendiri.

Walaupun sedikit kecewa, saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya ada dua buah buku yang dapat dibawa pulang.

TERPESONA DENGAN SUASANA HABOUS

Selesai urusan mencari buku, kami berjalan menyusuri kawasan Habous.

Saya tertarik melihat suasana persekitarannya. Bangunan-bangunan lama dengan seni bina tradisional Maghribi, deretan kedai kecil, pintu gerbang melengkung dan lorong-lorong yang dipenuhi pelbagai barangan menjadikan kawasan ini begitu unik.

Di sepanjang jalan terdapat kedai menjual cenderamata, pakaian tradisional, hasil kraftangan dan pelbagai barangan tempatan.

Kawasan Habous sebenarnya mempunyai sejarah tersendiri. Ia dibangunkan pada awal abad ke-20, ketika Maghribi berada di bawah naungan Perancis. Seni binanya menggabungkan ciri bandar tradisional Maghribi dengan susun atur bandar yang lebih terancang.

Lebih menarik, perkataan Habous mempunyai hubungan dengan istilah wakaf. Dalam tradisi Maghribi, harta wakaf dikenali sebagai al-ahbas (الأحباس), iaitu harta yang ditahan manfaatnya untuk kepentingan kebajikan dan masyarakat.

Tidak hairanlah kawasan ini mempunyai identiti Islam yang begitu ketara.

MAQHA AL-MALAKI, TEMPAT ORANG TEMPATAN BERSANTAI

Sedang kami berjalan, perhatian saya tertumpu kepada sebuah kafe di tepi jalan.

CAFÉ IMPÉRIAL.

Pada papan tandanya turut tertulis dalam bahasa Arab, مقهى الملكية.

Suasana kafe itu benar-benar menarik perhatian saya.

Meja-meja kecil disusun di kaki lima. Kerusi-kerusi dipenuhi pelanggan yang sedang menikmati minuman sambil berbual santai. Payung-payung besar berwarna kuning menaungi sebahagian meja daripada pancaran matahari petang.

Kebanyakan pelanggan kelihatan seperti penduduk tempatan. Ada yang berbual bersama rakan, ada yang menikmati minuman sambil memerhatikan orang lalu-lalang.

Saya tertarik dengan budaya masyarakat di sini. Kafe bukan sekadar tempat makan dan minum, tetapi juga tempat bersosial, bertukar cerita dan menghabiskan waktu petang.

Saya mengajak isteri dan Muaz singgah sebentar.

Setelah penat berjalan mencari buku dan melihat kedai-kedai, inilah masanya untuk berehat sambil menikmati suasana Casablanca.

KOPI LATTE DAN CROISSANT PERANCIS

Kami memilih sebuah meja di bahagian luar kafe, bersama pelanggan-pelanggan tempatan.

Saya membelek helaian menu yang kebanyakannya ditulis dalam bahasa Perancis.

Akhirnya kami memilih kopi latte dan croissant. Kemudian kami dihidang tiga botol air mineral ‘Ain Atlas’. Kami tidak memesannya. Setelah bertanya rupanya termasuk pakej dengan air mineral. Sudah pasti dengan kos tambahan. Kami menerimanya kerana perlu juga menari air mineral.

Menikmati kopi panas bersama croissant di kaki lima sebuah kafe di Casablanca memberikan pengalaman yang agak berbeza.

Croissant merupakan pastri yang sangat sinonim dengan budaya makanan Perancis. Kehadirannya di kafe-kafe Maghribi memperlihatkan pengaruh sejarah hubungan kedua-dua negara.

Maghribi pernah berada di bawah sistem naungan Perancis dari tahun 1912 sehingga mencapai kemerdekaan pada tahun 1956. Pengaruh tersebut masih dapat dilihat melalui bahasa, seni bina, makanan dan budaya kafe.

Di sekeliling kami, pelanggan terus berbual santai. Kenderaan sesekali melalui jalan di hadapan kafe, manakala orang ramai berjalan keluar masuk dari kedai berhampiran.

Saya menikmati kopi sambil memerhatikan kehidupan masyarakat tempatan.

Kadangkala, pengalaman seperti inilah yang menjadikan sesuatu perjalanan lebih bermakna. Bukan semata-mata kerana tempatnya terkenal, tetapi kerana kita dapat merasai sendiri suasana kehidupan masyarakatnya.

KEDAI PASTRI BENNIS YANG MEMUKAU

Bersebelahan kawasan kafe terdapat sebuah kedai pastri yang menarik perhatian saya.

Pâtisserie Bennis Habous.

Dari luar lagi, kedai ini sudah kelihatan istimewa. Pintu masuknya dihiasi ukiran kayu yang halus, manakala dinding sekelilingnya mempunyai jubin bercorak geometri tradisional Maghribi.

Saya mengambil kesempatan bergambar di hadapan kedai tersebut.

Rupa-rupanya Pâtisserie Bennis merupakan antara kedai pastri tradisional yang terkenal di Casablanca, dengan sejarah perniagaan sejak tahun 1930-an.

Kedai ini terkenal dengan pelbagai kuih tradisional Maghribi, termasuk pastri berasaskan badam, madu dan bijan.

Antara kuih tradisional yang terkenal di Maghribi ialah kaab el ghzal, sejenis pastri berbentuk bulan sabit yang berintikan pes badam.

Apa yang menarik perhatian saya bukan sahaja kuihnya, tetapi juga seni bina kedainya.

Ukiran kayu, susunan jubin berwarna-warni dan reka bentuk pintu memperlihatkan betapa masyarakat Maghribi menghargai seni pertukangan tradisional.

Sebuah kedai pastri pun boleh menjadi tempat untuk menikmati keindahan seni bina warisan mereka!

BERSIAR DI DATARAN MASJID

Setelah selesai minum petang, kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki di sekitar kawasan tersebut.

Kami singgah melihat beberapa kedai cenderamata yang menjual barangan tradisional Maghribi.

Saya juga tertarik melihat sebuah motosikal roda tiga yang digunakan untuk mengangkut barangan. Kenderaan kecil seperti ini kelihatan praktikal untuk melalui lorong-lorong sempit di kawasan perniagaan lama.

Kami kemudian bersiar-siar di kawasan dataran berhampiran masjid.

Di situ terdapat sebuah menara masjid yang tinggi dengan reka bentuk tradisional Maghribi. Menaranya berbentuk empat segi, dihiasi ukiran geometri dan mempunyai ciri seni bina Islam Afrika Utara yang tersendiri.

Pohon-pohon palma yang menghiasi kawasan dataran menambahkan lagi keindahan suasana.

Saya dan isteri mengambil kesempatan bergambar sebagai kenangan.

Petang itu memberikan pengalaman yang cukup menarik.

 

Monday, October 12, 2026

DI SINI TAK BOLEH BERGAMBAR!

Sebaik sahaja keluar dari Masjid Hassan II, saya mengambil kesempatan untuk merakam beberapa keping gambar di sekitar perkarangan masjid. Sayang rasanya kalau peluang ini dilepaskan begitu sahaja. Masjid yang begitu indah dan tersergam megah di hadapan mata, bukan selalu dapat saya kunjungi. 

Sedang asyik mengambil gambar, tiba-tiba seorang pengawal keselamatan datang menegur.

“Tak boleh ambil gambar di sini. Waktu sudah habis!”

Saya sedikit terkejut.

Rupa-rupanya bukan sahaja ruang solat masjid ditutup selepas waktu yang ditetapkan, malah kawasan perkarangan masjid juga perlu dikosongkan.

Saya memerhatikan beberapa orang pengawal sedang menjalankan tugas mengarahkan pengunjung meninggalkan kawasan masjid. Ada yang masih mahu mengambil gambar, ada yang berjalan perlahan-lahan sambil menoleh ke belakang, seolah-olah belum puas menikmati keindahan masjid ini.

Mungkin mereka juga seperti kami. Datang dari jauh, semata-mata mahu menyaksikan sendiri kehebatan seni bina Masjid Hassan II yang begitu terkenal.

Namun, apakan daya. Peraturan tetap peraturan.

Apabila saya menoleh ke sekeliling, rupa-rupanya hanya tinggal kami bertiga, saya, isteri dan Muaz, yang masih berada di perkarangan masjid. Pengunjung lain semuanya sudah beredar.

Saya belum puas bergambar!

Lalu saya cuba memujuk pengawal tersebut.

“Ma‘lish... Ana min Malizia. Saya datang dari Malaysia. Naik kapal terbang hampir 20 jam untuk sampai ke Maghribi. Saya datang jauh-jauh nak tengok masjid yang sangat indah ini. Masjid ini luar biasa! Tak ada masjid lain yang serupa dengannya!”

Saya bercakap dengan penuh bersungguh-sungguh sambil menunjuk ke arah masjid.

Pengawal itu memandang saya, kemudian tersenyum.

Barangkali dia terhibur mendengar rayuan seorang pelancong dari Malaysia yang begitu bersemangat mahu bergambar.

“Daqiqah!” katanya sambil mengangkat satu jari.

Seminit!

Alhamdulillah. Ada peluang!

Saya segera mengucapkan terima kasih.

Namun, sebelum meneruskan sesi bergambar, saya sempat mengajaknya bergambar bersama.

“Saya mahu bergambar dengan pengawal yang tampan dan baik hati ini!”

Dia ketawa kecil mendengar pujian saya.

Nampaknya pujian itu menjadi!

Bukan sahaja dia membenarkan kami mengambil gambar, malah dia turut membantu memastikan kami tidak diganggu oleh pengawal lain. Apabila ada rakannya yang datang, dia memberitahu bahawa kami sudah mendapat kebenaran untuk mengambil gambar sebentar.

Alhamdulillah. Daripada langsung tidak boleh bergambar, akhirnya dapat juga kami merakam kenangan.

Begitulah pengalaman saya berurusan dengan masyarakat Arab. Kadang-kadang, bahasa yang lembut, sedikit gurauan dan pujian yang ikhlas mampu mencairkan suasana yang pada mulanya agak tegang.

Bukan semua urusan perlu diselesaikan dengan perdebatan. Ada kalanya senyuman dan kata-kata yang baik jauh lebih berkesan.

Kami bertiga pun mengambil peluang itu untuk bergambar dengan pelbagai gaya dan posisi berlatarbelakangkan Masjid Hassan II.

Sekejap di sini. Sekejap di sana.

Muaz menjadi jurugambar. Kemudian kami bergilir-gilir pula mengambil gambar.

Seminit yang diberikan terasa begitu berharga!

Saya sedar pengawal itu sebenarnya sedang menjalankan tugas. Sebab itulah kami perlu menghargai kelonggaran yang diberikannya.

Bukan mudah untuk sampai ke sini.

Perjalanan dari Malaysia ke Maghribi sahaja sudah mengambil masa hampir sehari semalam. Kemudian kami memandu pula dari Marrakech ke Casablanca, semata-mata mahu menunaikan solat Asar dan melihat sendiri keindahan masjid yang selama ini hanya saya tatap melalui gambar dan video.

Kini, masjid itu benar-benar tersergam di hadapan mata.

Masya-Allah, tabarakallah!

Masjid Hassan II bukan sekadar sebuah bangunan besar. Ia merupakan lambang kehebatan seni bina Islam Maghribi, hasil gabungan kemahiran, ketelitian dan kesenian para tukang yang diwarisi sejak berabad-abad lamanya.

Kedudukannya yang menghadap Lautan Atlantik menambahkan lagi keistimewaannya. Menara yang menjulang tinggi, ukiran yang begitu halus dan binaannya yang megah benar-benar mengundang rasa kagum.

Ada satu lagi sebab mengapa masjid ini begitu dekat di hati saya.

Saya sebenarnya sudah lama meminati bacaan al-Quran oleh salah seorang imamnya yang terkenal, Syeikh Umar al-Qazabri (عمر القزابري).

Saya sering mendengar bacaan beliau, khususnya rakaman solat tarawih dari Masjid Hassan II. Suaranya yang merdu, dengan alunan bacaan menurut riwayat Warsh daripada Imam Nafi‘, begitu menyentuh hati.

Riwayat Warsh inilah yang menjadi tradisi bacaan al-Quran yang meluas diamalkan di Maghribi, berbeza dengan riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim yang biasa kita dengar di Malaysia.

Selama ini saya hanya mengenali masjid ini melalui suara imamnya dan gambar-gambar keindahannya.

Hari ini, Allah mengizinkan saya berdiri sendiri di hadapannya.

Terasa suatu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Saya memandang sekali lagi ke arah masjid sebelum melangkah meninggalkan perkarangannya.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akbar.

Betapa banyaknya nikmat Allah yang sering kita terima tanpa kita sedari.

Nikmat kesihatan untuk bermusafir. Nikmat rezeki untuk sampai ke tempat yang jauh. Nikmat kesempatan untuk melihat kebesaran ciptaan-Nya dan hasil kehalusan seni yang dikurniakan kepada manusia.

Dan pada hari ini, satu lagi nikmat kecil yang begitu bermakna.

Nikmat bertemu seorang pengawal yang baik hati, yang menghadiahkan kami seminit untuk mengabadikan kenangan sepanjang hayat.

Benarlah, kadang-kadang sesuatu perjalanan bukan hanya meninggalkan kenangan tentang tempat yang kita lawati, tetapi juga tentang manusia yang kita temui.

Terima kasih, wahai pengawal Masjid Hassan II. Semoga Allah membalas kebaikanmu.

Alhamdulillah ‘ala kulli hal.

Catatan Travelog Maghribi — Casablanca, Jun 2022.

Friday, October 09, 2026

LEPAS SALAM TERUS BERGAMBAR!

 TRAVELOG MAGHRIBI | MASJID HASSAN II, CASABLANCA

Sebelum menunaikan solat Asar, Muaz sudah berbisik kepada saya.

“Baba, lepas salam nanti kita kena terus bergambar. Tak payah tunggu selesai wirid dan doa.”

Saya mengangguk sahaja walaupun agak kehairanan.

Pelik juga. Takkanlah baru lepas salam terus nak bergambar?

Namun, saya tidak banyak bertanya. Muaz sudah biasa dengan suasana masjid di Maghribi. Tentulah dia lebih mengetahui selok-beloknya berbanding saya yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid Hassan II ini.

Sebaik sahaja imam memberi salam, Muaz terus mencuit saya. 


“Baba, jom! Kita pergi belakang.”

Kami segera bergerak ke bahagian belakang ruang solat. Kamera telefon bimbit mula memainkan peranannya.

Subhanallah!

Sungguh indah seni bina masjid ini. Ukiran halus pada dinding, tiang-tiang yang tersusun megah, siling yang tinggi dan hiasan bercirikan seni Islam Maghribi benar-benar memukau pandangan.

Ruang solatnya begitu luas. Rasanya kalau hendak meneliti setiap sudut dan keunikan seni binanya, satu jam pun belum tentu mencukupi.

Kami bergilir-gilir mengambil gambar. Sekejap Muaz menjadi jurugambar, sekejap saya pula mengambil gambarnya.

Namun, dalam keseronokan itu, hati saya tetap berasa sedikit janggal.

Jemaah lain masih duduk berwirid dan berdoa. Kami pula sibuk berjalan sambil mengambil gambar!

Macam kurang manis pula perbuatan kami ini.

Tetapi Muaz sudah mengingatkan saya lebih awal.

“Kalau tunggu habis doa, memang tak sempat, Baba. Nanti masjid terus tutup.”

Saya terpaksa mempercayainya.

Wirid dan doa selepas solat

Ada satu perkara menarik yang saya perhatikan sepanjang berada di dalam masjid ini.

Selepas solat, imam turut memimpin wirid dan doa. Amalan ini tidaklah terlalu asing bagi kita di Malaysia.

Cuma terdapat sedikit perbezaan dari segi pelaksanaannya.

Bacaan imam kedengaran perlahan. Saya tidak dapat mendengar dengan jelas keseluruhan wirid dan doanya. Para jemaah pula kelihatan berzikir dan berdoa dengan tenang.

Suasananya agak berbeza daripada kebiasaan di sebahagian masjid di Malaysia, apabila imam memimpin zikir dan doa menggunakan pembesar suara sehingga dapat didengari oleh seluruh jemaah.

Ada kalanya suara yang terlalu kuat boleh mengganggu mereka yang masih menyempurnakan solat, khususnya makmum masbuk.

Pada pandangan saya, kedua-dua suasana ini mengingatkan kita kepada pentingnya menjaga adab dan keselesaan orang lain ketika beribadah.

Zikir dan doa merupakan amalan yang sangat baik. Namun, pelaksanaannya juga perlu mengambil kira keadaan jemaah di sekeliling.

Rupa-rupanya Muaz betul!

Selesai sahaja doa, saya melihat para jemaah mula bangun dan bergerak menuju ke pintu keluar.

Tidak ada yang berlengah-lengah.

Maklumlah, selepas solat Asar tidak ada solat sunat ba'diah yang disyariatkan secara khusus sebagaimana selepas Zuhur, Maghrib dan Isyak.

Dalam beberapa ketika sahaja, ruang solat yang tadinya dipenuhi jemaah mula lengang.

Akhirnya, tinggal saya dan Muaz yang masih sibuk mengambil gambar.

Belum puas kami merakamkan keindahan masjid, pintu utama sudah pun ditutup!

Seorang petugas masjid datang menunjukkan kepada kami sebuah pintu kecil yang masih terbuka.

Melalui pintu itulah kami diarahkan keluar.

Barulah saya faham mengapa Muaz bersungguh-sungguh berpesan supaya kami bergambar sejurus selepas salam.

Nasib baik ikut cakap Muaz. Kalau tidak, satu gambar pun mungkin tak sempat diambil!

Walaupun begitu, hanya beberapa sudut masjid sahaja yang sempat kami rakamkan.

Saya masih belum puas menikmati keindahan ruang dalam Masjid Hassan II yang begitu mengagumkan.

Masjid ditutup selepas solat?

Sebaik sahaja keluar, Muaz menerangkan kepada saya tentang kebiasaan waktu pembukaan masjid yang diketahuinya sepanjang tinggal di Maghribi.

Menurutnya, banyak masjid di sini dibuka menjelang waktu solat fardu berjemaah dan ditutup semula tidak lama selepas jemaah selesai menunaikan solat.

Bagi waktu solat yang mempunyai sunat ba'diah, jemaah diberikan kesempatan untuk menyempurnakannya sebelum masjid ditutup.

Bagaimanapun, antara Maghrib dengan Isyak, sesetengah masjid dibuka lebih lama kerana jarak antara kedua-dua waktu solat itu agak dekat.

Masjid Hassan II yang kami kunjungi pada petang tersebut juga memperlihatkan amalan pengurusan waktu yang agak ketat.

Saya tertarik memikirkan perkara ini.

Di Malaysia, kita sudah biasa melihat masjid yang dibuka dalam tempoh panjang. Malah, terdapat masjid yang boleh dikunjungi sepanjang hari dan malam.

Sesiapa sahaja boleh singgah untuk solat, membaca al-Quran, beriktikaf atau sekadar berehat sebentar dalam perjalanan.

Sebaliknya, pengalaman saya pada hari itu memperlihatkan pendekatan pengurusan yang berbeza.

Sudah tentu tidak adil untuk mengatakan semua masjid di Maghribi mempunyai peraturan yang sama. Waktu pembukaan boleh berbeza mengikut tempat, pentadbiran dan fungsi sesebuah masjid.

Namun, pengalaman di Masjid Hassan II ini benar-benar membuka mata saya.

Mengapa masjid perlu dikunci?

Muaz turut menceritakan bahawa antara alasan yang pernah didengarnya berkaitan penutupan masjid di luar waktu solat ialah untuk mengelakkan ruang masjid digunakan sebagai tempat tidur atau perlindungan oleh mereka yang tidak mempunyai kediaman.

Saya tidak pasti sejauh mana alasan tersebut menjadi dasar rasmi pengurusan masjid di Maghribi.

Mungkin terdapat pertimbangan lain seperti keselamatan, kebersihan, penyelenggaraan dan kawalan pengunjung, lebih-lebih lagi bagi masjid besar yang menjadi tarikan pelancong seperti Masjid Hassan II.

Namun, cerita itu membuatkan saya berfikir.

Apakah sebenarnya fungsi sebuah masjid dalam kehidupan masyarakat Islam?

Adakah masjid sekadar tempat umat Islam datang menunaikan solat fardu berjemaah, kemudian pulang ke rumah masing-masing?

Atau masjid sepatutnya menjadi pusat kehidupan umat Islam yang lebih luas?

Terkenang suasana masjid di Malaysia

Saya teringat suasana masjid-masjid di tanah air.

Banyak masjid di Malaysia bukan sekadar menyediakan ruang untuk solat berjemaah.

Ada yang menyediakan air minuman percuma, ruang makan, kerusi rehat, tandas yang selesa dan tempat persinggahan untuk musafir.

Malah, terdapat masjid yang menyediakan kemudahan mandi, ruang berehat serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Masjid juga menjadi tempat berlangsungnya kuliah agama, kelas al-Quran, program kebajikan, majlis ilmu dan pertemuan masyarakat.

Sudah tentu tidak semua masjid dibuka 24 jam. Ada yang terpaksa dikunci pada waktu tertentu kerana masalah keselamatan, kecurian atau kekurangan petugas.

Namun, secara umumnya, usaha menjadikan masjid sebagai pusat ibadah dan kehidupan masyarakat merupakan sesuatu yang sangat baik dan wajar diperkasakan.

Saya teringat firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah, ayat 18:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk dalam kalangan orang yang mendapat petunjuk.”(Surah al-Taubah, 9:18)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa memakmurkan masjid bukan sekadar membina bangunan yang besar, indah dan tersergam megah.

Memakmurkan masjid juga bermaksud menghidupkannya dengan keimanan, ibadah, ilmu dan pelbagai amalan kebaikan.

Masjid yang indah memang membanggakan.

Namun, masjid yang hidup dengan kehadiran manusia yang beribadah, menuntut ilmu dan saling membantu jauh lebih bermakna.

Masjid bukan sekadar bangunan

Saya tidak mengatakan pendekatan pengurusan masjid di Maghribi salah, manakala pendekatan di Malaysia semuanya betul.

Setiap negara mempunyai latar masyarakat, keperluan keselamatan dan kaedah pentadbiran yang tersendiri.

Masjid Hassan II pula merupakan sebuah monumen seni bina Islam yang sangat besar dan memerlukan pengurusan yang rapi.

Cuma, sebagai seorang Muslim, saya berharap agar masjid di mana-mana sahaja dapat menjadi tempat yang sentiasa dekat dengan kehidupan umat Islam.

Masjid bukan sekadar bangunan yang dibuka ketika azan dan dikunci selepas solat.

Masjid ialah tempat manusia mendekatkan diri kepada Allah, mencari ketenangan, menambah ilmu dan membina persaudaraan.

Bahkan, dalam sejarah Islam, Masjid Nabawi pada zaman Rasulullah SAW memainkan peranan yang sangat luas. Selain menjadi tempat solat, masjid juga merupakan pusat pendidikan, pertemuan masyarakat dan pelbagai urusan umat Islam.

Saya teringat pula kepada golongan Ahl al-Suffah, iaitu sebahagian sahabat Nabi SAW yang miskin dan tidak mempunyai kediaman tetap. Mereka mendapat tempat berlindung di kawasan berbumbung yang bersambung dengan Masjid Nabawi.

Sejarah ini memberikan pengajaran bahawa masjid mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kebajikan dan keperluan masyarakat.

Sudah tentu pengurusan masjid pada zaman moden memerlukan peraturan yang sesuai. Namun, peraturan tersebut sewajarnya membantu masjid mencapai tujuan pengimarahan, bukan menjauhkannya daripada masyarakat.

Petang itu, saya meninggalkan Masjid Hassan II dengan dua perasaan.

Pertama, rasa kagum terhadap kehebatan seni bina Islam yang dipamerkan melalui masjid yang tersergam indah di pesisir Lautan Atlantik.

Kedua, rasa syukur kerana di Malaysia kita mempunyai banyak masjid yang bukan sahaja indah bangunannya, bahkan berusaha menyediakan pelbagai kemudahan kepada masyarakat.

Masjid yang hebat bukan hanya masjid yang indah dipandang, tetapi masjid yang sentiasa dirindui untuk dikunjungi.

Thursday, October 08, 2026

MAGHRIBI: ISI KASUT DALAM PLASTIK HIJAU!

Selesai berwuduk, saya dan Muaz bergegas naik ke ruang solat utama Masjid Hassan II, Casablanca. Waktu Asar semakin hampir. Saya tidak mahu terlepas peluang menunaikan solat berjemaah di salah sebuah masjid yang begitu terkenal dengan keindahan seni binanya ini. 


Ketika menghampiri pintu masuk, saya melihat beberapa orang berkerumun di hadapan sebuah bekas kayu besar. Di dalamnya terdapat banyak beg plastik berwarna hijau.

Seorang demi seorang mengambil plastik tersebut sebelum melangkah masuk ke masjid.

Saya tertanya-tanya. Untuk apa agaknya plastik ini?

Ketika saya menghampiri bekas berkenaan, seorang lelaki menghulurkan sehelai plastik kepada saya.

“Syukran!” ucap saya sambil menyambutnya.

Saya masih belum mengerti kegunaannya.

Saya memerhatikan gelagat jemaah lain. Rupa-rupanya mereka memasukkan kasut atau selipar masing-masing ke dalam plastik tersebut. Kemudian, plastik berisi kasut itu dibawa bersama ke dalam ruang solat.

Oh! Begitu rupanya.

Kasut pun ikut masuk masjid!

Di Malaysia, kita sudah terbiasa dengan rak kasut yang disediakan di luar ruang solat. Ada masjid yang menyediakan rak bertingkat-tingkat, malah ada yang menyediakan ruang penyimpanan kasut yang tersusun dan begitu kemas.

Namun, berdasarkan pemerhatian saya ketika itu, Masjid Hassan II tidak menyediakan rak kasut untuk kegunaan jemaah di pintu masuk yang kami lalui. Sebaliknya, setiap orang membawa sendiri kasut atau selipar masing-masing.

Amalan menggunakan plastik kasut ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing bagi saya.

Di Masjid Nabawi, Madinah, saya pernah melihat beg plastik diedarkan kepada jemaah untuk menyimpan kasut. Bezanya, di Masjid Nabawi masih terdapat rak kasut yang disediakan di beberapa bahagian masjid.

Di Masjidil Haram, Makkah pula, kita biasa melihat jemaah membawa kasut atau selipar bersama ketika solat. Ada yang meletakkannya di tepi, di hadapan tempat sujud atau menyimpannya di dalam beg.

Keadaan ini boleh difahami. Masjidil Haram menerima jumlah jemaah yang sangat besar, khususnya pada musim haji dan Ramadan. Pintu masuk dan keluarnya pula begitu banyak. Seseorang mungkin masuk melalui satu pintu, tetapi keluar melalui pintu yang lain.

Kalau kasut ditinggalkan di rak berhampiran pintu masuk, boleh jadi pening kepala pula hendak mencarinya semula!

Namun, Masjid Hassan II agak berbeza.

Walaupun bangunannya sangat besar dan mampu menampung puluhan ribu jemaah, jumlah jemaah yang saya lihat ketika solat Asar itu masih terkawal. Pergerakan keluar masuk juga kelihatan teratur.

Pada pandangan saya, tidak mustahil untuk pihak pengurusan menyediakan kemudahan penyimpanan kasut yang lebih sistematik, sekurang-kurangnya di beberapa pintu masuk utama.

Tetapi barangkali ada pertimbangan lain yang saya tidak ketahui.

Saya bertanya kepada Muaz tentang amalan ini.

Menurut Muaz, membawa kasut atau selipar bersama ke dalam masjid merupakan kebiasaan yang ditemuinya di Maghribi.

Saya mengangguk.

Lain negara, lain budaya. Lain masyarakat, lain pula pendekatan pengurusan masjidnya.

Namun, satu perkara yang menarik perhatian saya ialah soal kebersihan.

Walaupun kasut dimasukkan ke dalam plastik, saya masih merasakan kaedah ini kurang ideal berbanding penyimpanan kasut di luar ruang solat. Lebih-lebih lagi jika plastik yang digunakan sudah kotor atau tidak diselenggara dengan baik.

Bagaimanapun, dari sudut yang lain, kaedah ini mempunyai kelebihan tersendiri. Jemaah tidak perlu bimbang terlupa tempat meletakkan kasut, tersalah mengambil kasut orang lain atau kehilangan kasut ketika keluar dari masjid.

Selesai solat nanti, plastik hijau itu perlu dipulangkan semula ke dalam bekas kayu yang disediakan.

Pada mulanya, saya menyangka plastik tersebut hanya digunakan sekali sahaja.

Dalam fikiran saya sudah terbayang berapa banyak kos yang terpaksa ditanggung pihak masjid setiap hari jika ribuan plastik digunakan dan dibuang begitu sahaja.

Rupa-rupanya plastik tersebut digunakan semula!

Oh, begitu. Jimat juga.

Dari sudut pengurusan sumber, pendekatan ini mempunyai nilai ekonomi. Penggunaan semula dapat mengurangkan pembaziran, walaupun aspek kebersihan plastik dan ketahanannya tetap perlu diberi perhatian.

Saya terfikir, mungkin inilah antara perkara kecil yang boleh kita pelajari daripada pengalaman mengunjungi masjid di negara orang.

Tidak semestinya semua amalan mereka lebih baik daripada amalan kita. Begitu juga sebaliknya.

Ada perkara yang boleh dicontohi, ada yang boleh diperbaiki dan ada juga yang perlu difahami berdasarkan keadaan setempat.

Namun, di sebalik plastik hijau ini, fikiran saya melayang kepada satu persoalan yang lebih besar.

Mengapa kita masih perlu begitu bimbang tentang keselamatan kasut di rumah Allah?

Saya tidak tahu sama ada amalan membawa kasut di Masjid Hassan II ini benar-benar disebabkan oleh kejadian kecurian atau sekadar budaya pengurusan yang sudah lama diamalkan.

Tetapi persoalan kehilangan kasut di masjid memang bukan sesuatu yang asing dalam masyarakat Islam.

Bukankah masjid merupakan tempat manusia datang untuk mendekatkan diri kepada Allah?

Bukankah orang yang datang ke masjid sepatutnya datang dengan hati yang ingin menjadi lebih baik?

Allah SWT berfirman:

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ

“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”

(Surah al-‘Ankabut, 29:45)

Ayat ini begitu besar maknanya.

Solat bukan sekadar pergerakan anggota badan. Bukan hanya berdiri, rukuk, sujud dan memberi salam.

Solat sepatutnya mendidik manusia mengenal Allah, merasakan pengawasan-Nya dan menghormati hak sesama manusia.

Jika seseorang benar-benar menghayati solatnya, bagaimana mungkin dia tergamak mengambil kasut orang lain?

Bukankah kasut itu milik seseorang yang juga datang untuk menyembah Allah?

Mungkin kasut itu tidak mahal. Mungkin hanya selipar buruk yang sudah bertahun-tahun digunakan.

Tetapi nilai sesuatu barang tidak menentukan halal atau haram mengambilnya tanpa izin.

Hak orang lain tetap hak orang lain.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

“Seorang Muslim ialah orang yang kaum Muslimin selamat daripada gangguan lidah dan tangannya.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Betapa indahnya jika setiap orang yang melangkah masuk ke masjid benar-benar menghayati prinsip ini.

Tidak perlu bimbang kasut hilang.

Tidak perlu risau barang peribadi dicuri.

Tidak perlu mencurigai orang yang solat di sebelah kita.

Semua orang berasa selamat kerana masing-masing menghormati hak orang lain.

Malangnya, realiti kehidupan tidak selalunya seindah itu.

Saya teringat satu pengalaman ketika berada di Mesir dahulu.

Seorang rakan saya menunaikan solat di sebuah masjid. Barangkali kerana bimbang kasutnya hilang, dia mengambil keputusan meletakkan kasut tersebut di hadapannya ketika solat.

Dengan cara itu, fikirnya, kasut tersebut sentiasa berada dalam pengawasan.

Namun, sesuatu yang tidak disangka-sangka berlaku.

Ketika dia bangkit daripada sujud, kasut yang diletakkan di hadapannya tadi sudah tiada!

Hilang ketika sedang sujud!

Saya sendiri sukar membayangkan bagaimana perkara itu boleh berlaku.

Orang sedang sujud menyembah Allah, ada pula yang sempat mengambil kasutnya!

Kisah itu mungkin kedengaran lucu, tetapi sebenarnya sangat menyedihkan.

Kita mungkin boleh mentertawakannya, namun di sebalik kejadian tersebut tersimpan persoalan besar tentang keberkesanan pendidikan rohani dalam kehidupan umat Islam.

Apakah hubungan antara ibadah yang kita lakukan dengan akhlak yang kita amalkan?

Mengapa ada orang yang begitu menjaga hubungan dengan Allah melalui ibadah, tetapi masih mengabaikan hak sesama manusia?

Sudah tentu kita tidak boleh menghukum seluruh masyarakat hanya berdasarkan perbuatan segelintir individu. Tidak semua orang yang datang ke masjid mempunyai niat yang sama. Bahkan, tidak semua orang yang memasuki kawasan masjid semestinya datang untuk beribadah.

Namun, kejadian seperti ini wajar menjadi bahan muhasabah.

Masalahnya bukan pada solat yang tidak mampu mendidik manusia, tetapi pada sejauh mana manusia benar-benar menghayati dan membenarkan solat itu mendidik dirinya.

Solat yang dilaksanakan dengan penuh kesedaran sepatutnya membentuk rasa amanah, kejujuran dan tanggungjawab.

Kita bukan sahaja dituntut menjaga hubungan dengan Allah, tetapi juga menjaga hak manusia.

Malah, Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang golongan muflis pada hari akhirat. Mereka datang membawa pahala solat, puasa dan zakat, tetapi pada masa yang sama pernah menzalimi orang lain. Akhirnya, pahala amalan mereka diberikan kepada orang yang dizalimi.

(Riwayat Muslim, hadis 2581)

Alangkah ruginya jika seseorang bersusah payah mengumpulkan pahala ibadah, tetapi kehilangan ganjarannya kerana tidak menjaga hak orang lain.

Saya kembali memandang plastik hijau yang berisi kasut di sisi jemaah.

Plastik itu kelihatan biasa sahaja. Harganya mungkin tidak seberapa.

Namun, pengalaman kecil ini membuka ruang untuk saya berfikir tentang perkara yang jauh lebih besar.

Tentang budaya masyarakat.

Tentang pengurusan masjid.

Tentang kebersihan dan keselamatan.

Dan yang paling penting, tentang hubungan antara solat dengan pembentukan akhlak seorang Muslim.

Saya berharap suatu hari nanti masjid-masjid kita bukan sahaja terkenal kerana keindahan seni bina, kebersihan dan kemudahan yang disediakan, tetapi juga kerana ketinggian akhlak manusia yang mengimarahkan rumah Allah.

Biarlah sesiapa sahaja yang datang ke masjid berasa tenang dan selamat.

Bukan sekadar selamat daripada kehilangan kasut, tetapi juga selamat daripada gangguan lidah, tangan dan perbuatan orang lain.

Alangkah indahnya jika manusia boleh meninggalkan kasut di luar masjid tanpa rasa bimbang, sebagaimana mereka meninggalkan segala urusan dunia untuk menghadap Allah dalam solat.

Semoga solat yang kita dirikan setiap hari benar-benar menjadi madrasah yang mendidik jiwa dan membentuk akhlak.

Kerana akhirnya, ukuran keberkesanan solat bukan hanya pada kesempurnaan pergerakan ketika berdiri di hadapan Allah, tetapi juga pada perubahan tingkah laku setelah kita selesai memberi salam.

Masjid Hassan II, Casablanca, Maghribi.

Catatan perjalanan, Jun 2022.

Tuesday, October 06, 2026

BERWUDUK DALAM BALDI KECIL

Usai azan berkumandang, saya bergegas turun ke bahagian bawah Masjid Hassan II untuk mengambil wuduk. Ruang wuduknya luas dan tersusun. Namun ada sesuatu yang segera menarik perhatian saya.

Walaupun terdapat paip air, para jemaah di situ tidak berwuduk terus daripada paip sebagaimana yang biasa kita lakukan di Malaysia. Sebaliknya, setiap orang menggunakan sebuah baldi kecil. 

Mereka membuka paip, menadah air ke dalam baldi, kemudian menutupnya. Selepas itu tangan dicelup ke dalam baldi untuk mencedok air. Air dicedok untuk berkumur, kemudian dicedok lagi untuk membasuh muka. Begitulah seterusnya sehingga membasuh tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kaki.

Saya berdiri memerhatikan.

Dalam hati mula timbul persoalan.

“Boleh ke berwuduk begini?”

Maklumlah, sejak kecil kita di Malaysia dibesarkan dengan pengajian fiqh Mazhab Syafi‘i. Antara perkara yang pernah dipelajari ialah hukum air musta‘mal — air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas.

Dalam Mazhab Syafi‘i, air musta‘mal adalah suci tetapi tidak lagi menyucikan:

طَاهِرٌ غَيْرُ مُطَهِّرٍ

Air itu bukan najis, tetapi apabila benar-benar telah menjadi air musta‘mal, ia tidak boleh digunakan semula untuk mengangkat hadas.

Sebab itulah saya agak berhati-hati melihat tangan mereka berkali-kali dicelup ke dalam baldi kecil yang sama.

Apabila seorang jemaah selesai berwuduk dan meninggalkan tempatnya, saya pun duduk di hadapan paip tersebut.

Saya buka paip.

Lalu saya mula berwuduk seperti kebiasaan kita di Malaysia — terus menggunakan air yang mengalir daripada paip.

Tiba-tiba lelaki di sebelah menegur.

“Akhi... guna baldi ini.”

Dia menunjukkan baldi kecil di hadapan saya.

Saya tersenyum.

Barangkali pada pandangannya, saya sedang membazir air.

Saya pun menurut. Saya isi air ke dalam baldi dan cuba berwuduk sebagaimana mereka.

Namun persoalan tadi masih bermain dalam fikiran.

Bagaimana dengan air musta‘mal?

Kemudian saya teringat sesuatu yang sangat penting.

Saya bukan berada di Malaysia. Saya berada di Maghribi.

Dan Maghribi mempunyai tradisi fiqh yang berbeza daripada kita.

Mazhab fiqh yang menjadi pegangan utama masyarakat Maghribi ialah Mazhab Maliki, sedangkan masyarakat Islam di Malaysia secara tradisinya berpegang kepada Mazhab Syafi‘i.

Di sinilah perjalanan kadangkala mengajar kita sesuatu yang tidak diperoleh hanya dengan membaca buku.

RUPANYA ADA PERBEZAAN MAZHAB

Dalam Mazhab Syafi‘i, terdapat perbahasan yang agak terperinci mengenai air sedikit dan air musta‘mal. Namun satu perkara perlu diperbetulkan: bukan setiap kali tangan dicelup ke dalam baldi, seluruh air di dalamnya secara automatik menjadi air musta‘mal.

Ada perinciannya.

Jika seseorang hanya mencedok air dengan tangannya, kemudian air itu digunakan untuk membasuh muka dan air basuhan tersebut jatuh ke lantai, baki air di dalam baldi tidak semestinya berubah menjadi air musta‘mal.

Perbahasan menjadi lebih khusus apabila anggota yang wajib dibasuh dimasukkan terus ke dalam air yang sedikit dengan tujuan mengangkat hadas. Di sinilah terdapat hukum-hakam terperinci dalam Mazhab Syafi‘i yang perlu diperhatikan.

Mazhab Maliki pula mempunyai pendekatan yang berbeza.

Secara umumnya, air yang telah digunakan untuk bersuci tidak kehilangan sifatnya sebagai air yang menyucikan semata-mata kerana ia telah digunakan untuk wuduk. Terdapat perincian tentang keutamaan dan kemakruhan menggunakan air yang telah digunakan apabila terdapat air lain, tetapi konsepnya tidak sama dengan hukum air musta‘mal dalam Mazhab Syafi‘i.

Barulah saya semakin memahami apa yang sedang berlaku di hadapan mata.

Amalan yang pada mulanya kelihatan ganjil kepada saya sebenarnya berlaku dalam sebuah masyarakat yang mempunyai tradisi fiqh tersendiri.

Dan mereka telah mengamalkannya sejak sekian lama.

JANGAN CEPAT MENGHUKUM

Peristiwa kecil di tempat wuduk Masjid Hassan II itu akhirnya memberikan pengajaran yang jauh lebih besar daripada sekadar persoalan baldi dan air.

Kadang-kadang kita melihat amalan Muslim di negara lain lalu cepat berkata:

“Eh, salah ni!”

“Tak sah macam ni.”

“Kenapa mereka buat begitu?”

Sedangkan persoalan pertama yang sepatutnya kita tanyakan ialah:

“Apakah mazhab yang mereka pegang?”

Dunia Islam luas.

Di Malaysia, Indonesia, Brunei dan sebahagian Asia Tenggara, kita sangat akrab dengan Mazhab Syafi‘i.

Apabila pergi ke Maghribi, kita memasuki wilayah yang kuat dengan tradisi Mazhab Maliki.

Pergi ke tempat lain pula, kita mungkin bertemu masyarakat yang berpegang kepada Mazhab Hanafi atau Hanbali.

Semuanya berada dalam khazanah besar fiqh Ahli Sunnah wal Jamaah.

Perbezaan dalam masalah furu‘ seperti ini sepatutnya meluaskan ilmu kita, bukan menyempitkan dada kita.

Saya teringat satu kaedah yang sangat penting dalam memahami perbezaan fiqh:

لَا إِنْكَارَ فِي مَسَائِلِ الِاجْتِهَادِ

Dalam perkara yang menjadi ruang ijtihad ulama, kita tidak sewajarnya mudah mengingkari orang lain seolah-olah hanya satu pandangan sahaja yang mempunyai tempat dalam Islam.

Kita boleh terus beramal dengan mazhab yang kita pegang. Tidak perlu meninggalkannya.

Tetapi dalam masa yang sama, kita belajar menghormati keluasan khazanah fiqh Islam.

Akhirnya saya meneruskan wuduk menggunakan baldi kecil itu.

Sambil berwuduk, saya tersenyum sendiri.

Datang ke Masjid Hassan II, saya menyangka saya hanya mahu menunaikan solat Asar.

Rupanya Allah mengajar saya satu pelajaran fiqh di hadapan sebuah baldi kecil.

Musafir bukan sekadar membawa kita melihat tempat baharu.

Musafir juga mengajar kita bahawa dunia Islam jauh lebih luas daripada apa yang biasa kita lihat di tempat sendiri.

Dan kadang-kadang, untuk memahami keluasan Islam itu, kita hanya memerlukan...

sebuah baldi kecil di tempat wuduk.