Sunday, September 13, 2026

MAGHRIBI: RENAULT CLIO GANTI FIAT PANDA

 Umaimah menunjukkan kepada saya kereta sewa yang sudah tersedia di kawasan parkir.

Saya memandang kereta itu seketika.

“Eh… saya tempah Fiat Panda. Ini Renault Clio.”

Tidak lama kemudian, seorang staf wanita datang membawa fail dan memperkenalkan dirinya. Namanya Hibah, wakil daripada syarikat Locationauto yang menguruskan kereta sewa saya. 

Hibah menjelaskan bahawa Fiat Panda yang saya tempah sudah kehabisan. Sebagai ganti, pihak syarikat memberikan sebuah Renault Clio.

“Kereta ini lebih bagus, lebih besar dan lebih selesa. Harga sewanya sebenarnya lebih mahal, tetapi kami berikan kepada tuan dengan harga yang sama,” terang Hibah.

Saya hanya menganggukkan kepala tanda bersetuju.

Saya mengelilingi kereta itu sambil memerhatikan keadaannya. Memang benar, Renault Clio ini kelihatan lebih baik daripada Fiat Panda yang saya tempah. Saiznya lebih besar dan ruang bonetnya juga lebih luas. Lebih sesuai untuk memuatkan bagasi yang kami bawa.

Sebelum datang ke Maghribi, saya sudah membayar deposit tempahan secara dalam talian sebanyak 66 euro. Baki yang perlu dibayar ialah 1,550 dirham. Keseluruhan kos sewaan untuk sembilan hari lebih kurang RM982.

Harga tersebut termasuk perlindungan insurans. Jika tanpa perlindungan tambahan, kos sewanya sekitar RM600 sahaja.

Saya memilih untuk mengambil perlindungan penuh kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku sepanjang perjalanan. Bagi saya, inilah sebahagian daripada ikhtiar sebelum bertawakal. Kita mengambil langkah berjaga-jaga semampu mungkin, kemudian menyerahkan segala urusan kepada Allah.

Lebih baik mengeluarkan sedikit wang untuk perlindungan daripada terpaksa menanggung kerugian yang jauh lebih besar sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Saya pun membayar baki sewaan menggunakan kad kredit.

“Tuan perlu imbas kad sekali lagi untuk cagaran saman sebanyak 800 euro,” terang Hibah sambil menyerahkan satu lagi dokumen untuk saya tandatangani.

Saya sedikit terkejut.

“Lapan ratus euro?”

Jangan bimbang. Ini memang prosedur biasa. Cagaran ini untuk saman, terutama saman had laju yang dikesan melalui kamera. Jika tuan melakukan kesalahan, jumlah saman akan ditolak daripada kad kredit. Kalau tiada saman, tidak perlu risau.”

Kemudian Hibah memberikan satu nasihat yang sangat penting.

“Patuhi had laju. Di lebuh raya jangan melebihi 120 kilometer sejam. Kalau ada saman, biasanya selepas beberapa hari bayaran akan diambil daripada kad kredit.”

Menakutkan juga bunyinya.

Saya kena lebih berhati-hati memandu kali ini.

“Biasanya di lebuh raya tidak banyak masalah. Yang perlu lebih berhati-hati ialah apabila masuk kawasan bandar. Had lajunya lebih rendah. Jadi, sentiasa tengok papan tanda. Polis di sini rajin. Mereka memantau siang dan malam,” sambung Hibah panjang lebar.

Saya mengangguk sambil cuba mengingati segala pesanannya.

Selepas selesai menandatangani pelbagai dokumen serta membuat bayaran dan urusan cagaran menggunakan kad kredit, saya mula memeriksa kereta dengan lebih teliti.

Saya mengambil gambar dan merakam video seluruh bahagian kereta depan, belakang, kiri, kanan, tayar, cermin dan bahagian badan yang mempunyai kesan calar. Rakaman ini penting sebagai bukti keadaan asal kereta sebelum saya menerimanya.

Alhamdulillah.

Semakin lama saya memerhatikan Renault Clio berwarna hitam itu, semakin saya berpuas hati. Memang lebih selesa daripada Fiat Panda yang saya tempah pada asalnya.

Sebenarnya saya sengaja memilih kereta kecil kerana sepanjang perjalanan nanti hanya saya dan isteri yang akan banyak bergerak. Muaz perlu memberikan tumpuan kepada peperiksaan akhir dan pembentangan projeknya. Hanya beberapa hari sahaja dia dapat bersama-sama kami.

Jadi, kereta kecil sudah memadai.

Namun Allah menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik dan lebih selesa tanpa saya perlu menambah harga sewaan.

Ketika melihat kereta itu, saya teringat satu ungkapan yang disebut dalam hadis tentang antara unsur kebahagiaan hidup seseorang Muslim:

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ

“Antara kebahagiaan seseorang ialah kenderaan yang menyenangkan, tempat tinggal yang luas dan jiran yang baik.”

Dalam riwayat lain disebut antara kebahagiaan seseorang Muslim ialah memiliki al-markab al-ṣāliḥ  kenderaan yang baik.

Saya semakin memahami bahawa kenderaan juga merupakan satu nikmat Allah yang kadang-kadang kita pandang biasa.

Ia bukan sekadar besi, tayar dan enjin.

Kenderaan membawa kita ke tempat yang ingin dituju, memudahkan urusan, melindungi daripada panas dan hujan serta menjimatkan tenaga dan masa. Lebih-lebih lagi bagi seorang musafir yang bakal menempuh perjalanan jauh di bumi asing.

Firman Allah SWT:

وَجَعَلَ لَكُمْ مِنَ الْفُلْكِ وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ ۝ لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ

“Dan Dia menjadikan untuk kamu kapal-kapal dan haiwan ternakan yang kamu tunggangi, supaya kamu duduk tetap di atasnya, kemudian kamu mengingati nikmat Tuhanmu apabila kamu telah berada di atasnya.”(Surah al-Zukhruf: 12–13)

Ayat ini mengajar kita sesuatu yang sangat indah. Apabila menaiki kenderaan, seorang Mukmin bukan sekadar memikirkan destinasi yang hendak dituju. Dia sepatutnya mengingati nikmat Allah yang menyediakan kemudahan perjalanan untuknya.

Daripada Fiat Panda yang saya tempah, Allah gantikan dengan Renault Clio yang lebih besar dan selesa.

Nampak seperti perkara kecil.

Namun kadang-kadang nikmat Allah hadir melalui perkara-perkara kecil yang tidak pernah kita rancang.

Saya memandang Renault Clio hitam yang akan menjadi teman perjalanan kami selama sembilan hari di Maghribi.

Alhamdulillah.

Allah sekali lagi mempermudahkan urusan kami.

Mudah-mudahan kenderaan ini menjadi al-markab al-ṣāliḥ kenderaan yang baik yang membawa kami dengan selamat dalam pengembaraan menyusuri bumi Maghribi yang penuh sejarah ini.

No comments: