Monday, September 14, 2026

MAGHRIBI:CABAR DIRI DENGAN PEMANDUAN MANUAL SEBELAH KIRI

Setelah berpuas hati dengan keadaan Renault Clio yang akan menjadi kenderaan kami sepanjang perjalanan di Maghribi, semua urusan dokumen akhirnya selesai. Beberapa panduan tentang pengurusan kereta dan pemanduan di Maghribi juga telah saya peroleh daripada Hibah. 

Sebelum beredar, Hibah menyerahkan tiket parkir yang perlu saya bayar. Dia turut meninggalkan nombor telefon penting untuk dihubungi sekiranya berlaku sebarang masalah berkaitan kereta sepanjang tempoh sewaan.

Setelah semua bagasi dimasukkan ke dalam bonet, saya membuka pintu dan duduk di tempat pemandu.

Di sebelah kiri!

Terasa amat kekok.

Di Malaysia, saya sudah terbiasa memandu dengan kedudukan pemandu di sebelah kanan. Kali ini semuanya seperti terbalik. Kedudukan pemandu berbeza, laluan jalan berbeza, malah banyak gerakan yang selama ini dilakukan secara spontan perlu difikirkan semula.

Saya tidak boleh terus memandu begitu sahaja.

Ini kali pertama saya kembali memandu dengan kedudukan pemandu di sebelah kiri setelah kali terakhir melakukannya sekitar tahun 1999. Kini sudah tahun 2022. Lebih dua dekad berlalu.

Lebih mencabar, Renault Clio ini menggunakan transmisi manual.

Sudah hampir 10 tahun saya tidak memandu kereta manual. Selepas menjual Avanza biru saya, kereta-kereta yang saya gunakan semuanya menggunakan transmisi automatik. Kaki kiri sudah lama berehat daripada menekan klac, manakala tangan kiri juga sudah lama tidak sibuk menukar gear. Tapi kali ini saya perlu menukar gear dengan tangan kanan!.

Namun saya sebenarnya sengaja memilih kereta manual.

Selain kadar sewanya lebih murah, penggunaan petrol juga dijangka lebih menjimatkan. Saya telah merancang perjalanan kami merentas Maghribi sejauh kira-kira 2,000 kilometer. Berdasarkan sedikit kajian dan kiraan kasar yang saya buat, penggunaan kereta manual dijangka dapat menjimatkan kos petrol sehingga lebih RM400 berbanding kereta automatik.

Tambahan pula, besar kemungkinan sayalah yang akan memandu hampir keseluruhan perjalanan ini.

Tetapi ada satu lagi sebab saya memilih kereta manual.

Saya mahu mencabar diri sendiri.

Saya tidak mahu terlalu lama berada dalam zon selesa sehingga perkara yang mudah pun menjadikan kita takut mencuba sesuatu yang berbeza. Sesekali kita perlu memberikan cabaran baharu kepada diri supaya fikiran terus bekerja, fokus terus terlatih dan keberanian membuat keputusan tidak menjadi tumpul.

Sebelum menghidupkan enjin, saya memeriksa satu demi satu sistem kawalan kereta. Renault Clio ialah kereta buatan Perancis. Susun atur dan beberapa cirinya agak berbeza daripada kereta Jepun dan Korea yang lebih biasa saya gunakan.

Saya menekan klac.

Masuk gear satu.

Gear dua.

Gear tiga.

Kemudian kembali ke neutral.

Saya mengulanginya beberapa kali.

Saya cuba mendapatkan kembali “rasa” kawalan klac yang sudah lama hilang. Saya tidak mahu nanti enjin tiba-tiba mati ketika berhenti di persimpangan atau lampu isyarat hanya kerana kaki tersalah mengawal klac.

Setelah agak selesa, saya mula memandu perlahan-lahan mengelilingi kawasan parkir. Mujurlah kawasan itu luas dan banyak petak parkir kosong. Beberapa kali saya membuat pusingan untuk membiasakan tangan, kaki dan fikiran dengan kereta baharu ini.

Selepas beberapa pusingan, keyakinan mula datang.

“Insya-Allah, boleh ni…”

Saya pun mencari jalan keluar dari kawasan parkir.

Namun belum pun jauh, saya tergamam.

Saya hampir tersalah mengambil laluan!

Refleks pemanduan di Malaysia masih kuat dalam kepala. Saya perlu mengingatkan diri bahawa sistem jalan raya di Maghribi berbeza daripada Malaysia. Kedudukan kenderaan di atas jalan, cara memasuki simpang dan ketika membelok semuanya perlu diberi perhatian.

Saya mengulanginya dalam hati berkali-kali.

Jangan ikut kebiasaan. Tengok jalan. Fokus.

Rupanya apabila suasana berubah, perkara yang selama ini kita lakukan secara automatik perlu dipelajari semula.

Walaupun agak rumit, saya sebenarnya menyukai cabaran ini.

Bagi saya, cabaran baharu memaksa otak bekerja dengan lebih aktif. Kita perlu fokus, membuat pertimbangan dan mengambil keputusan dengan lebih berhati-hati. Saya selalu percaya bahawa keselesaan yang berlebihan boleh menumpulkan minda, sedangkan cabaran yang terkawal boleh menjadikan kita lebih cekap dan matang.

Namun mencabar diri bukan bermaksud bertindak secara melulu.

Keberanian perlu berjalan bersama ilmu, persediaan dan sikap berhati-hati. Islam sendiri mengajar kita supaya berusaha bersungguh-sungguh sebelum menyerahkan hasilnya kepada Allah.

Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

“Dan orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
(Surah al-‘Ankabut: 69)

Ayat ini bukan bermaksud kita boleh mengambil risiko tanpa pertimbangan. Sebaliknya, ia mengajar bahawa usaha, kesungguhan dan pergantungan kepada Allah perlu berjalan bersama.

Sebab itulah untuk peringkat awal, saya mengehadkan kelajuan sekitar 50 kilometer sejam.

Perlahan!

Beberapa kali juga saya dibunyikan hon oleh pemandu lain. Saya biarkan sahaja. Saya lebih rela orang membunyikan hon daripada saya memandu terlalu laju ketika masih belum benar-benar biasa dengan kereta dan sistem jalan raya di sini.

Lagipun, saya masih teringat pesanan Hibah.

“Dalam bandar jangan lebih 60 kilometer sejam… melainkan awak kaya dan sanggup bayar saman berkali-kali!”

Saya tersenyum mengingatkan pesanannya.

Alhamdulillah, Muaz sudah agak biasa dengan jalan-jalan di Marrakech. Dialah yang menjadi penunjuk jalan dan “pembantu pemandu” saya. Muaz pula kurang cekap menggunakan kereta manual dan dia sendiri kurang yakin untuk memandunya. Jadi saya tidak mahu mengambil risiko menyerahkan stereng kepadanya.

Saya menggunakan Waze untuk menuju ke destinasi pertama kami, Riad Marrakech House. Jaraknya hanya sekitar 9 kilometer dari lapangan terbang.

Namun 9 kilometer pertama itulah yang terasa begitu mencabar.

Saya memandu perlahan. Mata sentiasa memandang ke hadapan. Saya tidak mahu leka melihat pemandangan kiri dan kanan. Buat masa ini, saya hanya mempunyai satu tugas:

Fokus memandu.

Biasakan diri dengan kereta manual.

Biasakan diri dengan kedudukan pemandu di sebelah kiri.

Biasakan diri dengan sistem jalan raya yang berbeza.

Perjalanan 2,000 kilometer mengelilingi Maghribi baru sahaja bermula. Masih terlalu jauh untuk saya fikirkan semuanya sekaligus.

Saya hanya perlu menempuh kilometer pertama dengan baik, kemudian kilometer berikutnya.

Begitulah juga kehidupan.

Kadang-kadang kita terlalu takut melihat jauhnya perjalanan sehingga terlupa bahawa perjalanan yang panjang sebenarnya diselesaikan sedikit demi sedikit. Kita tidak perlu menjadi hebat pada langkah pertama. Kita hanya perlu berani memulakan, bersedia untuk belajar, berhati-hati sepanjang perjalanan dan sentiasa memohon pertolongan Allah.

Cabaran tidak semestinya datang untuk menyusahkan kita. Ada kalanya cabaran itulah yang memperkenalkan kita kepada kemampuan diri yang selama ini tidak pernah kita sedari.

Bismillah.

Semoga Allah mempermudahkan perjalanan kami dan melindungi kami sepanjang hampir 2,000 kilometer merentas bumi Maghribi ini.

Sunday, September 13, 2026

MAGHRIBI: RENAULT CLIO GANTI FIAT PANDA

 Umaimah menunjukkan kepada saya kereta sewa yang sudah tersedia di kawasan parkir.

Saya memandang kereta itu seketika.

“Eh… saya tempah Fiat Panda. Ini Renault Clio.”

Tidak lama kemudian, seorang staf wanita datang membawa fail dan memperkenalkan dirinya. Namanya Hibah, wakil daripada syarikat Locationauto yang menguruskan kereta sewa saya. 

Hibah menjelaskan bahawa Fiat Panda yang saya tempah sudah kehabisan. Sebagai ganti, pihak syarikat memberikan sebuah Renault Clio.

“Kereta ini lebih bagus, lebih besar dan lebih selesa. Harga sewanya sebenarnya lebih mahal, tetapi kami berikan kepada tuan dengan harga yang sama,” terang Hibah.

Saya hanya menganggukkan kepala tanda bersetuju.

Saya mengelilingi kereta itu sambil memerhatikan keadaannya. Memang benar, Renault Clio ini kelihatan lebih baik daripada Fiat Panda yang saya tempah. Saiznya lebih besar dan ruang bonetnya juga lebih luas. Lebih sesuai untuk memuatkan bagasi yang kami bawa.

Sebelum datang ke Maghribi, saya sudah membayar deposit tempahan secara dalam talian sebanyak 66 euro. Baki yang perlu dibayar ialah 1,550 dirham. Keseluruhan kos sewaan untuk sembilan hari lebih kurang RM982.

Harga tersebut termasuk perlindungan insurans. Jika tanpa perlindungan tambahan, kos sewanya sekitar RM600 sahaja.

Saya memilih untuk mengambil perlindungan penuh kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku sepanjang perjalanan. Bagi saya, inilah sebahagian daripada ikhtiar sebelum bertawakal. Kita mengambil langkah berjaga-jaga semampu mungkin, kemudian menyerahkan segala urusan kepada Allah.

Lebih baik mengeluarkan sedikit wang untuk perlindungan daripada terpaksa menanggung kerugian yang jauh lebih besar sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Saya pun membayar baki sewaan menggunakan kad kredit.

“Tuan perlu imbas kad sekali lagi untuk cagaran saman sebanyak 800 euro,” terang Hibah sambil menyerahkan satu lagi dokumen untuk saya tandatangani.

Saya sedikit terkejut.

“Lapan ratus euro?”

Jangan bimbang. Ini memang prosedur biasa. Cagaran ini untuk saman, terutama saman had laju yang dikesan melalui kamera. Jika tuan melakukan kesalahan, jumlah saman akan ditolak daripada kad kredit. Kalau tiada saman, tidak perlu risau.”

Kemudian Hibah memberikan satu nasihat yang sangat penting.

“Patuhi had laju. Di lebuh raya jangan melebihi 120 kilometer sejam. Kalau ada saman, biasanya selepas beberapa hari bayaran akan diambil daripada kad kredit.”

Menakutkan juga bunyinya.

Saya kena lebih berhati-hati memandu kali ini.

“Biasanya di lebuh raya tidak banyak masalah. Yang perlu lebih berhati-hati ialah apabila masuk kawasan bandar. Had lajunya lebih rendah. Jadi, sentiasa tengok papan tanda. Polis di sini rajin. Mereka memantau siang dan malam,” sambung Hibah panjang lebar.

Saya mengangguk sambil cuba mengingati segala pesanannya.

Selepas selesai menandatangani pelbagai dokumen serta membuat bayaran dan urusan cagaran menggunakan kad kredit, saya mula memeriksa kereta dengan lebih teliti.

Saya mengambil gambar dan merakam video seluruh bahagian kereta depan, belakang, kiri, kanan, tayar, cermin dan bahagian badan yang mempunyai kesan calar. Rakaman ini penting sebagai bukti keadaan asal kereta sebelum saya menerimanya.

Alhamdulillah.

Semakin lama saya memerhatikan Renault Clio berwarna hitam itu, semakin saya berpuas hati. Memang lebih selesa daripada Fiat Panda yang saya tempah pada asalnya.

Sebenarnya saya sengaja memilih kereta kecil kerana sepanjang perjalanan nanti hanya saya dan isteri yang akan banyak bergerak. Muaz perlu memberikan tumpuan kepada peperiksaan akhir dan pembentangan projeknya. Hanya beberapa hari sahaja dia dapat bersama-sama kami.

Jadi, kereta kecil sudah memadai.

Namun Allah menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik dan lebih selesa tanpa saya perlu menambah harga sewaan.

Ketika melihat kereta itu, saya teringat satu ungkapan yang disebut dalam hadis tentang antara unsur kebahagiaan hidup seseorang Muslim:

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ

“Antara kebahagiaan seseorang ialah kenderaan yang menyenangkan, tempat tinggal yang luas dan jiran yang baik.”

Dalam riwayat lain disebut antara kebahagiaan seseorang Muslim ialah memiliki al-markab al-ṣāliḥ  kenderaan yang baik.

Saya semakin memahami bahawa kenderaan juga merupakan satu nikmat Allah yang kadang-kadang kita pandang biasa.

Ia bukan sekadar besi, tayar dan enjin.

Kenderaan membawa kita ke tempat yang ingin dituju, memudahkan urusan, melindungi daripada panas dan hujan serta menjimatkan tenaga dan masa. Lebih-lebih lagi bagi seorang musafir yang bakal menempuh perjalanan jauh di bumi asing.

Firman Allah SWT:

وَجَعَلَ لَكُمْ مِنَ الْفُلْكِ وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ ۝ لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ

“Dan Dia menjadikan untuk kamu kapal-kapal dan haiwan ternakan yang kamu tunggangi, supaya kamu duduk tetap di atasnya, kemudian kamu mengingati nikmat Tuhanmu apabila kamu telah berada di atasnya.”(Surah al-Zukhruf: 12–13)

Ayat ini mengajar kita sesuatu yang sangat indah. Apabila menaiki kenderaan, seorang Mukmin bukan sekadar memikirkan destinasi yang hendak dituju. Dia sepatutnya mengingati nikmat Allah yang menyediakan kemudahan perjalanan untuknya.

Daripada Fiat Panda yang saya tempah, Allah gantikan dengan Renault Clio yang lebih besar dan selesa.

Nampak seperti perkara kecil.

Namun kadang-kadang nikmat Allah hadir melalui perkara-perkara kecil yang tidak pernah kita rancang.

Saya memandang Renault Clio hitam yang akan menjadi teman perjalanan kami selama sembilan hari di Maghribi.

Alhamdulillah.

Allah sekali lagi mempermudahkan urusan kami.

Mudah-mudahan kenderaan ini menjadi al-markab al-ṣāliḥ kenderaan yang baik yang membawa kami dengan selamat dalam pengembaraan menyusuri bumi Maghribi yang penuh sejarah ini.

Saturday, September 12, 2026

TRAVELOG MAGHRIBI: DIALEK DARIJAH MAGHRIBI YANG UNIK

Sambil berjalan menuju ke tempat mengambil kereta sewa, saya mengambil kesempatan berbual dengan Umaimah dan Asma. Kali ini saya mahu belajar sesuatu yang baharu daripada mereka — beberapa ungkapan asas dalam Darijah Maghribi (الدارجة المغربية)


Kaifa al-hal? Kalau dalam Darijah, macam mana nak cakap?” saya bertanya.

لاباس؟ — Labas?” jawab mereka.

“Labas?”

“Ya, لاباس؟ — Labas? Maksudnya lebih kurang ‘Apa khabar?’ Kalau nak jawab boleh kata لاباس، الحمد لله — Labas, alhamdulillah.”

Saya pun mengulanginya beberapa kali sambil cuba mendapatkan sebutan yang betul.

لاباس؟ Labas?

Umaimah dan Asma nampaknya cukup seronok mendapat “pelajar baharu” pagi itu. Sepanjang berjalan, beberapa perkataan lagi sempat mereka ajarkan kepada saya.

“Kalau terima kasih?”

شكراً — Shukran.

“Kalau nak kata terima kasih banyak?”

شكراً بزاف — Shukran bzzaf!

“Bizzaf?”

“Ya. بزاف — bizzaf maksudnya banyak atau sangat.”

Menarik juga!

Saya cuba menghafal beberapa ungkapan mudah yang mungkin berguna sepanjang 10 hari berada di Maghribi:

لاباس؟ — Labas?
Apa khabar? / Semuanya baik?

لاباس، الحمد لله — Labas, alhamdulillah
Baik, alhamdulillah.

شكراً بزاف — Shukran bzzaf
Terima kasih banyak-banyak.

عافاك — ‘Afak
Tolong / sila. Ungkapan yang sangat berguna apabila meminta sesuatu dengan sopan.

سمح ليا — Smah liya
Maaf / maafkan saya / tumpang tanya.

مزيان — Mzyan
Bagus / baik.

ماشي مشكل — Mashi mushkil
Tidak mengapa / tiada masalah.

بسلامة — Bslama
Selamat tinggal.

Saya rasa memang perlu mempelajari sedikit bahasa tempatan. Bukanlah sampai mahu menjadi pakar Darijah dalam tempoh 10 hari, tetapi sekurang-kurangnya cukuplah untuk bertanya, membeli barang, meminta pertolongan atau sekadar membuka bicara dengan masyarakat setempat.

Pengalaman saya mengembara mengajar satu perkara: apabila kita cuba bercakap menggunakan bahasa masyarakat tempatan, walaupun hanya sepatah dua perkataan, suasana biasanya menjadi lebih mesra.

Kadang-kadang kita hanya menyebut:

السلام، لاباس؟ — Salam, labas?

Wajah orang di hadapan kita sudah berubah. Dia tersenyum kerana orang asing sedang cuba bercakap dalam bahasanya.

Ada sesuatu pada bahasa yang mampu mendekatkan manusia.

Darijah Maghribi pula memang unik. Ia ialah ragam bahasa Arab yang digunakan secara meluas dalam komunikasi harian masyarakat Maghribi. Walaupun asas utamanya daripada bahasa Arab, Darijah berkembang dalam lingkungan sejarah dan masyarakat Maghribi yang tersendiri.

Bahasanya turut menerima pengaruh Amazigh, selain pengaruh bahasa Eropah khususnya Perancis dan Sepanyol. Sebab itulah terdapat kosa kata tertentu yang mungkin kedengaran asing kepada orang yang hanya biasa dengan bahasa Arab fusha.

Tambahan pula, orang Maghribi kadang-kadang bercakap dengan sangat pantas. Sebahagian bunyi dan huruf pula diringkaskan dalam pertuturan harian.

Bagi orang yang belajar dan biasa dengan bahasa Arab fusha seperti saya, ada masanya apabila mendengar orang Maghribi bercakap sesama mereka, saya hanya mampu memandang.

Dalam hati saya tertanya-tanya:

“Eh, bahasa Arab ke ni?”

Langsung saya tidak tahu hujung pangkalnya!

Tetapi itulah menariknya bahasa. Bahasa bukan sekadar perkataan dan tatabahasa. Di dalamnya tersimpan sejarah, budaya, pergaulan dan pengalaman panjang sesebuah masyarakat.

Tidak mengapa kalau saya tidak memahami semuanya.

Sekurang-kurangnya sekarang saya sudah mempunyai beberapa “kata kunci” untuk memulakan perbualan.

Saya pernah mendengar satu ungkapan Arab yang sangat masyhur:

مَنْ تَعَلَّمَ لُغَةَ قَوْمٍ أَمِنَ مَكْرَهُمْ

Man ta‘allama lughata qawmin amina makrahum.

“Sesiapa mempelajari bahasa sesuatu kaum, dia akan aman daripada tipu daya mereka.”

Ungkapan ini kadang-kadang disebut sebagai hadis Rasulullah SAW. Namun setelah disemak, ungkapan tersebut tidak mempunyai sandaran yang sahih sebagai hadis Nabi SAW. Oleh itu, kita tidak sepatutnya menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.

Walaupun begitu, terdapat kisah sahih yang menunjukkan kepentingan mempelajari bahasa lain.

Zaid bin Thabit RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW memintanya mempelajari tulisan atau bahasa yang digunakan oleh orang Yahudi kerana Baginda memerlukannya dalam urusan surat-menyurat.

Dalam satu riwayat, Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

يَا زَيْدُ تَعَلَّمْ لِي كِتَابَ يَهُودَ

“Wahai Zaid, pelajarilah untukku tulisan orang Yahudi.”

Zaid RA kemudian mempelajarinya sehingga mampu membantu Rasulullah SAW dalam urusan membaca dan menulis surat.

Peristiwa ini memberi satu pengajaran yang cukup menarik kepada saya: mempelajari bahasa orang lain bukan sekadar menambah ilmu, tetapi boleh menjadi jambatan untuk memahami manusia dan memudahkan urusan dengan mereka.

Itulah yang sedang saya cuba lakukan di Maghribi.

Bukan mahu menjadi ahli bahasa.

Cukuplah menjadi seorang musafir yang tahu bagaimana hendak berkata:

عافاك — ‘Afak, apabila meminta pertolongan.

سمح ليا — Smah liya, apabila mahu meminta maaf.

شكراً بزاف — Shukran bzzaf, apabila orang membantu.

Dan akhirnya:

بسلامة — Bslama, apabila mahu berpisah.

Tempat mengambil kereta sewa rupanya agak jauh, terletak di penghujung kawasan lapangan terbang. Kami berjalan agak lama juga untuk sampai ke sana.

Mujurlah jauh. Disebabkan jauh, dapatlah beberapa patah perkataan Darijah saya bawa sebagai “modal” untuk menjelajah Maghribi sepanjang 10 hari berikutnya.

Lebih daripada pelajaran bahasa itu, layanan mesra Umaimah dan Asma memberikan gambaran awal kepada saya tentang keramahan masyarakat di bumi ini.

Baru beberapa jam menjejakkan kaki di Marrakech, saya sudah memperoleh dua orang guru bahasa Darijah secara percuma!

Saya tersenyum sendiri.

شكراً بزاف، أميمة وأسماء

Shukran bzzaf, Umaimah wa Asma’.

Terima kasih banyak, Umaimah dan Asma.

Semoga keramahan mereka menjadi pembuka kepada perjalanan yang lebih indah sepanjang kami berada di bumi Maghribi.

Dan sekarang saya sudah tahu satu lagi perkataan penting sekiranya kami berpisah:

بسلامة!

Bslama!

Selamat jalan dan selamat tinggal.

Friday, September 11, 2026

TRAVELOG MAGHRIBI: SAYA TERASA SEPERTI BERADA DALAM KULIAH UNIVERSITI!

Uploading: 2821959 of 2821959 bytes uploaded.
Selepas mengambil semua bagasi, saya dan isteri terus bergerak keluar dari balai ketibaan. Alhamdulillah, keempat-empat beg kami yang berat keseluruhannya hampir 96 kilogram selamat tiba tanpa sebarang kerosakan. 

Hebat juga pengurusan bagasi Qatar Airways dan Royal Air Maroc. Peruntukan bagasi 46 kilogram seorang saya gunakan sepenuhnya. Banyak juga bekalan makanan yang kami bawa dari Malaysia untuk Muaz dan rakan-rakan serumahnya.

Setelah selesai urusan bagasi, saya melihat sekeliling mencari kelibat Muaz. Tidak nampak.

Rupanya di Lapangan Terbang Marrakech, orang luar tidak dibenarkan masuk sesuka hati ke dalam bangunan terminal. Mereka yang datang menjemput perlu menunggu di luar.

Sebelum keluar, mata saya terpandang sebuah mesin ATM di satu sudut. Saya mengambil keputusan untuk mengeluarkan wang tunai terlebih dahulu.

Saya sebenarnya langsung tidak membawa wang tunai ke Maghribi. Hanya kad kredit dan kad debit. Bagi saya lebih mudah mengeluarkan dirham Maghribi terus daripada mesin ATM tempatan berbanding menukar ringgit Malaysia kepada dolar Amerika terlebih dahulu, kemudian menukarnya sekali lagi kepada dirham.

Selesai urusan ATM, kami pun keluar dari terminal.

Mata saya segera mencari-cari kelibat Muaz.

Masih tidak nampak.

Namun tiba-tiba saya terlihat dua orang gadis sedang berdiri sambil memegang sekeping kertas besar.

Tertulis di atasnya:

“MR ABDULLAH HAMZAH”

Eh, siapa pula mereka?

Saya agak terkejut kerana saya tidak menggunakan mana-mana ejen pelancongan untuk menguruskan perjalanan kami di Maghribi.

Saya pun menghampiri mereka.

“Assalamualaikum! Masā’ al-khair…”

“Waalaikumussalam… Masā’ al-nūr…”

Serentak mereka berdua menjawab.

“Mr Abdullah?”

Salah seorang daripada mereka bertanya sambil menunjuk ke arah saya.

Saya mengangguk.

Kemudian saya bertanya siapa mereka dan mengapa mereka berada di situ menunggu saya. Semuanya saya tuturkan dalam bahasa Arab fusha.

Saya perasan mereka agak terkejut mendengar saya bercakap dalam bahasa Arab. Pada mulanya mereka cuba bertutur dengan kami dalam bahasa Inggeris. Namun saya terus melayan mereka dalam bahasa Arab fusha.

Rupa-rupanya mereka ialah Asma dan Umaimah, wakil daripada syarikat kereta sewa yang saya tempah melalui Skyscanner.

“Naḥnu min syarikat al-sayyārāt…”

Kami dari syarikat kereta sewa.

“Sayyāratuka hunāka… tantaẓiruka…”

Kereta tuan ada di sana… sedang menunggu tuan.

Ujar Umaimah sambil tersenyum.

Semakin lama kami berbual, semakin saya perasan sesuatu yang agak pelik. Kedua-duanya seperti sedang berusaha menahan ketawa. Mereka bercakap dengan sangat berhati-hati. Ayat bahasa Arab fusha mereka keluar sepatah demi sepatah.

Akhirnya Asma tidak dapat menahan dirinya lagi.

“Wallāh… naḥnu nasy‘uru ka’annanā fī al-kulliyyah!”

Demi Allah… kami terasa seperti berada di universiti!

Kami semua ketawa.

Oh, rupanya itu sebabnya!

Mereka bukan mentertawakan bahasa Arab saya. Sebaliknya, mereka berasa lucu dan teruja kerana sudah lama tidak berbual dalam bahasa Arab fusha seperti itu.

Kata mereka, perbualan kami mengingatkan mereka kepada zaman belajar di universiti dahulu—zaman mereka mendengar pensyarah memberikan kuliah dan berbicara dalam bahasa Arab fusha.

Dalam kehidupan seharian di Maghribi, mereka lebih banyak menggunakan dialek tempatan yang dikenali sebagai Darijah. Dialek ini agak berbeza daripada bahasa Arab fusha yang dipelajari secara formal. Bahasa Arab fusha lebih banyak digunakan dalam suasana rasmi, pendidikan, penulisan dan sebahagian siaran berita. Dalam perbualan harian pula, Darijah lebih dominan.

Tidak lama kemudian Muaz muncul.

Rupa-rupanya dia sudah sampai lebih awal. Oleh sebab tidak dapat menghubungi kami, dia meminta izin khas untuk masuk ke kawasan terminal bagi mencari kami. Kami memang menghadapi sedikit masalah komunikasi ketika itu kerana telefon kami masih belum mempunyai talian internet tempatan.

Alhamdulillah, akhirnya bertemu juga dengan Muaz setelah sekian lama terpisah.

Asma dan Umaimah kemudian membawa kami ke kawasan parkir untuk urusan penyerahan kereta sewa.

Sepanjang berjalan, kami terus berbual dalam bahasa Arab fusha. Sesekali mereka mengajar saya beberapa perkataan dalam Darijah Maghribi.

Saya pula terus bercakap dalam fusha.

Mungkin bagi saya, itulah bahasa Arab yang paling mudah untuk berkomunikasi.

Tetapi bagi Asma dan Umaimah, perbualan petang itu membawa mereka kembali ke satu dunia yang sudah lama ditinggalkan.

Dunia kuliah.

Dunia universiti.

Dan mungkin dalam hati mereka masih berkata:

“Wallāh… ka’annanā fī al-kulliyyah!”

Demi Allah… terasa seperti berada dalam kuliah universiti!

Thursday, September 10, 2026

AWAK TINGGAL DI RIAD YANG MANA?

Turun sahaja dari pesawat ATR Royal Air Maroc, saya dan isteri terus berjalan memasuki balai ketibaan Lapangan Terbang Marrakech. 

Alhamdulillah. Setelah menempuh perjalanan selama 22 jam 30 minit dari Malaysia, dengan tiga kali menaiki pesawat, akhirnya kami sampai juga ke bumi Marrakech — bumi yang saya suka gelarkan sebagai bumi al-Murabitun.

Terasa juga keletihan setelah melalui perjalanan yang begitu panjang. Namun saya dan isteri menguatkan semangat untuk menghabiskan sisa perjalanan yang hampir cukup sehari semalam itu.

Lagipun, ada sesuatu yang jauh lebih kuat daripada rasa penat.

Kami tidak sabar hendak bertemu anakanda Muaz yang sudah hampir tiga tahun berpisah dengan kami. Sudah tentu dia sedang menunggu di luar sana.

Sebaik sahaja masuk ke ruang ketibaan, saya agak terkejut melihat begitu ramai orang. Suasananya jauh lebih sibuk berbanding Lapangan Terbang Casablanca yang baru kami lalui sebelumnya. Kami terpaksa beratur panjang di kaunter imigresen. Mujurlah urusannya berjalan lancar.

Apabila tiba giliran saya, saya menghulurkan pasport sambil memberi salam.

Pegawai imigresen itu menjawab salam dengan wajah yang serius. Memang jarang saya bertemu pegawai imigresen yang tersenyum kepada pelawat. Mungkin tugas mereka memang menuntut wajah begitu.

Tiba-tiba dia bertanya,

“Awak tinggal di mana nanti di sini?”

Dengan yakin saya menjawab,

“Riad.”

Dia memandang saya.

“Ya... riad mana?”

Saya masih belum menangkap maksud soalannya. Dengan lebih yakin saya menjawab,

“Riad Hotel.”

“Banyak riad di sini. Riad bukan nama hotel. Semua riad. Riad yang mana satu?”

Nada suaranya semakin tegas.

Barulah saya mula rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan jawapan saya.

Saya segera membuka fail dokumen perjalanan dan mencari kertas tempahan penginapan. Setelah menyelak beberapa helai, akhirnya saya menjumpainya.

Oh, rupanya ada nama penuh!

Riad Marrakech House.

Saya menunjukkan kertas itu kepadanya.

“Riad Marrakech House,” jawab saya.

Sebaik sahaja mendengar nama tersebut, dia tidak melihat pun kertas yang saya hulurkan. Pasport saya terus dicop.

Cop!

Selesai.

Dia terus memanggil pelawat berikutnya. Barisan di belakang masih panjang. Nampaknya dia memang mahu cepat.

Ketika itulah saya baru teringat bahawa semasa membuat carian tempat penginapan di Maghribi, saya sering terlihat perkataan “riad” selain hotel. Saya menyangka ia sekadar sebahagian daripada nama atau kategori hotel.

Rupa-rupanya saya silap.

Riad (رياض) di Maghribi bukanlah nama sebuah hotel tertentu. Ia merujuk kepada bentuk rumah tradisional Maghribi yang dibina mengelilingi sebuah halaman dalaman. Kebiasaannya ruang rumah menghadap ke halaman tersebut yang dihiasi taman kecil, pokok, pancutan air atau kolam.

Banyak rumah riad lama, khususnya di kota-kota bersejarah seperti Marrakech dan Fez, kemudiannya dipulihkan dan dijadikan rumah penginapan atau hotel butik. Sebab itulah apabila mencari penginapan di Marrakech, perkataan riad muncul di sana sini.

Patutlah pegawai imigresen tadi bertanya:

“Riad yang mana?”

Bagi saya yang baru pertama kali sampai, “riad” itu saya sangka nama hotel.

Bagi orang Marrakech pula, jawapan saya itu mungkin seperti seseorang ditanya,

“Awak tinggal di hotel mana?”

Lalu dia menjawab,

“Hotel.”

Memang patutlah dia bertanya sekali lagi!

Sebenarnya sebelum bertolak, saya sudah menyediakan jadual perjalanan yang agak lengkap sepanjang berada di Maghribi. Nama tempat penginapan, lokasi yang akan dikunjungi dan dokumen tempahan semuanya saya simpan dalam satu fail. Bagi saya, dokumen seperti ini penting ketika mengembara ke luar negara, terutama apabila berurusan dengan imigresen atau sekiranya timbul sebarang masalah.

Namun saya tidak menyangka bahawa belum pun sempat keluar dari lapangan terbang, saya sudah mendapat pelajaran pertama tentang Maghribi.

Riad bukan sekadar hotel.

Ia sebahagian daripada seni bina, budaya dan cara hidup masyarakat Maghribi yang diwarisi sejak sekian lama.

Perjalanan kami di bumi al-Murabitun baru sahaja hendak bermula, tetapi sudah ada peristiwa kecil yang membuatkan saya tersenyum apabila mengenangnya.

Saya yakin selepas ini akan ada banyak lagi perkara baharu yang akan kami pelajari.

Rasa penat perjalanan selama hampir sehari semalam seakan-akan hilang.

Di luar sana, Muaz sedang menunggu.

Dan di hadapan kami pula terbentang sebuah bumi yang selama ini hanya saya kenali melalui buku, sejarah dan cerita.

Marrakech, kami sudah sampai.

Wednesday, September 09, 2026

SEORANG LAGI BOLEH MASUK SAF DEPAN

 Sebelum mengangkat takbir, imam Masjid Lama Tanjung Huma, Batu Feringgi, melakukan sesuatu yang menarik perhatian saya. 

Selesai bilal melaungkan iqamah, beliau tidak terus mengangkat takbir. Sebaliknya, beliau berpaling ke belakang dan memerhatikan keadaan saf makmum satu persatu.

Beberapa ketika kemudian beliau berkata,

“Seorang lagi boleh masuk saf depan.”

Kemudian beliau menyambung,

“Bagi ruang. Rapatkan lagi saf dan betulkan.”

Makmum mula bergerak. Ruang yang masih kosong dirapatkan. Saf yang kurang lurus dibetulkan.

Imam terus memerhati.

Hanya setelah berpuas hati dengan keadaan saf, barulah beliau menghadap kiblat, mengangkat takbir dan memulakan solat.

Peristiwa kecil itu menarik perhatian saya.

Saya pernah bersolat di banyak masjid dan surau. Lazimnya sebelum memulakan solat, imam sekadar berpesan,

“Luruskan dan rapatkan saf.”

Ada juga imam yang menggunakan ungkapan Arab,

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ وَتَرَاصُّوا

“Luruskan saf kamu dan rapatkanlah.”

Selepas itu imam terus mengangkat takbir.

Makmum pula membetulkan saf sekadar yang sempat. Ada yang bergerak, ada yang kekal di tempatnya. Kadang-kadang masih terdapat ruang kosong di saf hadapan sedangkan saf baharu sudah terbentuk di belakang.

Arahan telah diberikan, tetapi hasilnya tidak semestinya diperiksa.

Sedangkan apabila kita meneliti sunnah Rasulullah SAW, Baginda bukan sekadar menyuruh para sahabat meluruskan saf. Baginda juga memastikan saf itu benar-benar lurus sebelum memulakan solat.

Al-Nu‘man bin Basyir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW meluruskan saf para sahabat dengan begitu teliti sehingga saf mereka diumpamakan seperti batang anak panah yang diluruskan. Pada suatu hari, ketika Baginda hampir mengangkat takbir, Baginda terlihat dada seorang lelaki terkeluar sedikit daripada saf. Baginda lalu bersabda:

لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ

“Demi sesungguhnya kamu hendaklah meluruskan saf-saf kamu, atau Allah akan menjadikan perselisihan antara kamu.”

Riwayat Muslim, no. 436.

Malah terdapat riwayat yang lebih jelas menggambarkan kaedah Baginda. Al-Nu‘man bin Basyir RA berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يُسَوِّي صُفُوفَنَا إِذَا قُمْنَا لِلصَّلَاةِ، فَإِذَا اسْتَوَيْنَا كَبَّرَ

“Rasulullah SAW meluruskan saf kami apabila kami berdiri untuk solat. Apabila kami telah benar-benar lurus, barulah Baginda bertakbir.”

Riwayat Abu Dawud. Hadis ini dinilai sahih dan mempunyai asal riwayat dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

Perhatikan susunannya.

Baginda melihat. Baginda membetulkan. Baginda memastikan. Kemudian barulah Baginda memulakan solat.

Ini menjadikan tindakan imam yang saya temui pagi itu bukan sekadar suatu kebiasaan yang baik. Ia sebenarnya mempunyai asas yang kuat daripada sunnah Rasulullah SAW.

Daripada satu saf solat, sebenarnya kita boleh belajar sesuatu yang lebih besar tentang kepimpinan.

Pemimpin bukan sekadar orang yang pandai memberikan arahan.

“Buat ini.”

“Betulkan itu.”

“Pastikan semuanya selesai.”

Kemudian dia menganggap tanggungjawabnya telah selesai kerana arahan sudah dikeluarkan.

Dalam pengurusan moden, kita mengenali konsep pemantauan, penyelarasan dan maklum balas. Arahan perlu diikuti dengan pemerhatian terhadap pelaksanaan. Jika terdapat kekurangan, pembetulan perlu dilakukan. Jika masih ada ruang, penyelarasan perlu dibuat sehingga matlamat benar-benar tercapai.

Menariknya, prinsip seperti ini sudah dapat kita lihat dalam pengurusan saf oleh Rasulullah SAW.

Baginda tidak sekadar berkata, “Luruskan saf.”

Baginda melihat sendiri keadaan saf.

Apabila ada yang terkehadapan, Baginda menegur. Apabila saf telah benar-benar tersusun, barulah Baginda bertakbir. Bahkan riwayat tentang para khalifah menunjukkan perhatian yang sama; Umar RA dilaporkan menugaskan orang tertentu memastikan saf telah lurus dan beliau tidak bertakbir sehingga mendapat pengesahan bahawa saf telah tersusun.

Solat berjemaah dengan demikian bukan sahaja mendidik hubungan manusia dengan Allah, tetapi turut mengajar disiplin kehidupan bermasyarakat.

Imam berada di hadapan, tetapi dia tidak boleh bergerak sesuka hati.

Makmum berada di belakang, tetapi mereka juga tidak boleh bertindak sesuka hati.

Imam memimpin dengan tertib. Makmum mengikut dengan disiplin. Jika imam tersilap, makmum mengingatkan. Jika saf tidak sempurna, imam membetulkan.

Masing-masing mempunyai peranan.

Sebab itulah saf yang lurus mempunyai nilai pendidikan yang sangat besar. Kita berdiri dengan latar belakang, pekerjaan, pangkat dan kedudukan sosial yang berbeza. Namun apabila menghadap Allah, kita berdiri dalam satu barisan yang sama.

Tiada seorang pun sepatutnya terlalu ke hadapan.

Tiada seorang pun sengaja tertinggal di belakang.

Dan apabila masih ada ruang di hadapan, kita diminta bergerak untuk mengisinya.

Barangkali sebab itulah teguran ringkas imam pagi itu begitu melekat dalam fikiran saya:

“Seorang lagi boleh masuk saf depan.”

Ayatnya mudah. Namun di sebaliknya ada satu pelajaran kepimpinan yang besar.

Pemimpin yang baik bukan sekadar memberi arahan. Dia melihat, menyemak, membetulkan dan memastikan orang yang dipimpinnya bergerak bersama-sama menuju arah yang betul.

Begitulah imam memimpin makmum dalam solat.

Dan begitulah juga sepatutnya seorang pemimpin memimpin manusia dalam kehidupan.

 

 

Tuesday, September 08, 2026

HAJI ISMAIL YANG BAIK HATI

 Ketika saya dan keluarga sedang enak bersarapan di medan selera di atas Bukit Bendera, tiba-tiba saya menerima mesej daripada PIC pelajar. 

“Program akan bermula jam 10.30 pagi.”

Saya tersentak.

Saya ingatkan program bermula jam 2.00 petang!

Saya melihat jam. Sudah pukul 8.57 pagi.

Saya perlu turun segera jika mahu sempat sampai ke tempat program di Bukit Coombe. Walaupun jaraknya hanya sekitar 14 kilometer, saya tahu pergerakan di Pulau Pinang tidak semudah yang disangka. Kesesakan dan keadaan jalan boleh menyebabkan perjalanan mengambil masa lebih lama.

Masalahnya, kami sekeluarga baru sahaja sampai di Bukit Bendera. Sarapan pun baru bermula. Selepas itu kami bercadang untuk meneroka kawasan sekitar dan menikmati pemandangan dari atas bukit.

Rugilah kalau semuanya terpaksa turun bersama saya. Tiket pun sudah dibayar RM16 seorang.

“Tak apalah. Saya turun seorang.”

Saya membuat keputusan. Namun timbul pula satu masalah lain.

Saya masih belum menukar pakaian untuk menghadiri program. Beg pakaian saya berada di dalam Starex yang diletakkan di kawasan parkir di bawah Bukit Bendera. Saya akan pergi ke Bukit Coombe dengan kereta Proton anak saya. Saya hanya perlukan kunci untuk mengambil pakaian sahaja.

Dengan sembilan orang ahli keluarga, urusan kenderaan kami memang sedikit rumit. Kalau saya turun dan membuka Starex untuk mengambil pakaian, bagaimana pula dengan kuncinya? Takkan saya hendak naik semula ke Bukit Bendera semata-mata untuk menyerahkan kunci kepada anak sebelum turun sekali lagi dan bergegas ke Bukit Coombe?

Tidak masuk akal. Akhirnya saya mendapat satu idea. Saya akan tinggalkan sahaja kunci Starex kepada seseorang di bawah Bukit Bendera. Nanti anak saya turun dan mengambilnya. Mudah.

Tetapi persoalannya, kepada siapa saya hendak amanahkan kunci kereta?

Selepas turun, saya mengambil beg pakaian dari dalam Starex. Kemudian saya mula mencari seseorang yang boleh dipercayai untuk memegang kunci itu buat sementara waktu.

Saya bertanya kepada beberapa orang penjaga kedai di kawasan bawah Bukit Bendera. Mereka menolak dengan baik. Saya faham.

Bukan mudah menerima kunci sebuah kereta daripada seseorang yang langsung tidak dikenali. Mungkin mereka bimbang jika berlaku sesuatu kepada kereta itu, mereka pula akan dipersalahkan.

Ada yang mencadangkan supaya saya menyerahkan kunci kepada pengawal keselamatan. Saya pergi ke tempat kawalan keselamatan. Tiada sesiapa.

Saya mencari di sekitar kawasan itu. Masih tidak kelihatan seorang pun pengawal keselamatan. Hairan juga saya. Ketika itulah seorang pemilik kedai berbangsa Tionghua memberikan satu cadangan.

“Cuba pergi kedai makan sana. Kedai seorang Haji. Mungkin dia boleh tolong.”

Saya pun menuju ke kedai yang ditunjukkannya. Di situlah saya bertemu dengan Haji Ismail.

Saya menerangkan secara ringkas bahawa saya ingin meninggalkan kunci kereta dan anak saya akan datang mengambilnya kemudian.

“Boleh. Nanti saya simpan kunci ini hingga anak tuan datang.”

Begitu sahaja jawapannya. Tidak banyak soal. Haji Ismail sanggup menerima amanah itu walaupun kami tidak pernah mengenali satu sama lain sebelum ini.

Selepas itu barulah kami sempat berbual. Dia bertanya saya datang dari mana dan apa urusan saya di Pulau Pinang. Saya pun menceritakan keadaan sebenar — saya perlu segera ke sebuah program di Bukit Coombe sedangkan keluarga masih berada di atas Bukit Bendera.

Saya berkali-kali mengucapkan terima kasih kepadanya. Sebelum beredar, saya meminta izin mengambil gambarnya dan gambar kedainya. Saya menghantarnya kepada anak supaya mudah dia mengenali Haji Ismail dan mencari kedainya apabila turun nanti.

Alhamdulillah. Dalam keadaan saya sedang mengejar masa dan mencari jalan keluar, Allah menemukan saya dengan seorang insan yang sudi membantu. Nampak kecil sahaja pertolongannya. Sekadar memegang sebentuk kunci kereta.

Namun bagi orang yang sedang memerlukan, bantuan yang kecil boleh menjadi sangat besar nilainya. Saya teringat sabda Rasulullah SAW:

مَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ

“Sesiapa yang memenuhi keperluan saudaranya, Allah akan memenuhi keperluannya.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

“Allah sentiasa menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Begitulah indahnya akhlak yang diajar oleh Islam. Apabila melihat seseorang dalam kesusahan, kita berusaha memudahkannya. Apabila seseorang memerlukan pertolongan yang mampu kita berikan, janganlah terlalu berkira.

Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

“Dan hendaklah kamu saling membantu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.” (Surah al-Ma'idah: 2)

Membantu orang lain tidak semestinya dengan wang yang banyak atau tenaga yang besar. Kadang-kadang sekadar memegang kunci, menunjukkan jalan, memberikan sedikit masa atau memudahkan urusan seseorang sudah cukup menjadi satu amal kebajikan.

Namun Islam juga tidak mengajar kita bertindak tanpa pertimbangan.

Berbuat baik tidak bererti kita perlu membuang segala kewaspadaan. Kita tetap perlu melihat keadaan, menilai risiko dan menggunakan kebijaksanaan. Berhati-hati itu perlu, tetapi jangan sampai prasangka menyebabkan kita menutup semua pintu untuk berbuat baik kepada manusia.

Ada masanya kita menjadi orang yang memerlukan pertolongan. Ada masanya pula Allah meletakkan kita pada kedudukan untuk menolong orang lain. Hari itu, saya berada pada kedudukan orang yang memerlukan. Dan Allah menghadirkan Haji Ismail.

Saya tidak tahu apakah nilai perbuatan kecil itu pada pandangan manusia. Namun boleh jadi sesuatu yang dianggap kecil oleh manusia sebenarnya besar di sisi Allah.

Rasulullah SAW mengingatkan:

لَا تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا

“Janganlah engkau meremehkan sedikit pun daripada suatu kebaikan.” (Riwayat Muslim)

Benar. Jangan pernah meremehkan peluang untuk berbuat baik. Hari ini mungkin kita memudahkan urusan seseorang. Esok, ketika kita pula berada dalam kesempitan, mungkin Allah menghantar seseorang untuk memudahkan urusan kita.

Itulah kehidupan seorang Muslim. Berbuat baik apabila berpeluang. Membantu apabila mampu. Berhati-hati dengan hikmah. Kemudian bertawakal kepada Allah.

Kerana akhirnya, hidup ini bukan sekadar tentang sejauh mana perjalanan yang sempat kita tempuh, tetapi berapa banyak kebaikan yang sempat kita tinggalkan sepanjang perjalanan menuju Allah.

Monday, September 07, 2026

MARI SAYA TOLONG!

 Dalam kegelapan pagi, sekitar jam 4.00, saya dan anak-anak sedang terkial-kial menukar tayar kereta yang pecah teruk di Lebuh Raya Timur-Barat. 


Tiba-tiba sebuah kereta peronda polis berhenti. Seorang anggota polis turun dan menghampiri kami.

“Mari saya tolong!”

Saya agak keberatan.

“Tak apa, tuan. Saya ada anak-anak yang membantu.”

Dua orang anak lelaki saya memang sedang bersama-sama membantu menukar tayar ketika itu. Namun anggota polis tersebut tersenyum.

“Tak apa. Saya pun tak ada kerja ni. Nak buat hilang mengantuk.”

Katanya dalam loghat Kelantan. Mendengar jawapan itu, saya tidak sampai hati lagi untuk menolak. Saya membiarkannya turut sama membantu kami.

Malam itu kami dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Pulau Pinang. Pada siang Jumaat, kami menghadiri beberapa kenduri keluarga di Kota Bharu. Keesokan paginya pula saya mempunyai urusan di IPG Pulau Pinang.

Kami bertolak sekitar jam 1.00 pagi dengan harapan dapat tiba di Pulau Pinang sebelum Subuh. Rancangannya, kami mahu menunaikan solat Subuh di Masjid Negeri Pulau Pinang sebelum meneruskan perjalanan ke Bukit Bendera untuk menikmati suasana awal pagi.

Namun sejak awal perjalanan, hati saya terasa sedikit lain daripada biasa. Entah mengapa, ada rasa tidak sedap hati. Seolah-olah sesuatu akan berlaku. Kami bergerak dengan dua buah kereta. Sebuah lagi dipandu oleh anak saya dengan Proton Saganya, mengekori kereta saya dari belakang.

Kali ini saya memilih untuk memandu sendiri. Pada hemat saya, perjalanan malam merentasi Lebuh Raya Timur-Barat bukanlah perjalanan yang boleh dipandang ringan. Jalannya berliku, gelap dan merentasi kawasan hutan. Gajah juga boleh muncul pada bila-bila masa, terutama di beberapa kawasan yang memang terkenal sebagai laluan haiwan liar.

Selagi belum melepasi kawasan tersebut, hati saya masih belum benar-benar tenang. Kira-kira 15 minit selepas melepasi Tasik Banding dan kawasan yang biasa menjadi laluan gajah, barulah saya mula menarik nafas lega.

“Alhamdulillah, dah lepas kawasan gajah,” bisik hati saya.

Namun rupanya perjalanan malam itu belum selesai menguji kami. Tidak lama kemudian, saya terlihat papan tanda yang menunjukkan kerja-kerja pembaikan jalan sedang dilakukan. Beberapa jentera berada di tepi jalan. Permukaan tar lama baru sahaja dikikis menyebabkan jalan menjadi kasar, berbatu dan tidak rata. Kawasan itu tidaklah panjang, mungkin sekitar satu kilometer lebih sahaja.

Beberapa kilometer selepas melepasi kawasan tersebut, ketika kereta sedang melalui satu selekoh panjang menuruni bukit, tiba-tiba saya terdengar bunyi—

“Pop!”

Pada masa yang sama, saya terasa bahagian belakang kereta sedikit senget dan tidak stabil. Saya sudah dapat mengagak.

Tayar pecah!

Namun saya tidak boleh terus berhenti. Ketika itu kereta sedang berada di selekoh menuruni bukit. Di sebelah kiri pula terdapat besi penghadang jalan. Hampir tiada ruang untuk meletakkan kereta dengan selamat. Jika saya berhenti di situ, sebahagian badan kereta akan berada di atas laluan utama.

Saya memperlahankan kereta sambil mencari tempat yang lebih selamat. Tidak lama kemudian, saya mula terdengar bunyi geseran besi. Hati saya semakin berdebar. Tayar itu mungkin sudah hancur dan kereta sedang bergerak menggunakan rim.

Saya tidak mempunyai banyak pilihan. Saya terpaksa berhenti walaupun sebahagian kereta masih berada di atas jalan. Saya segera keluar dan bergegas ke belakang.

Benar.

Tayar belakang sudah hancur. Serpihan tayar berselirat memenuhi ruang di sekeliling roda. Alhamdulillah, saya berhenti awal. Jika diteruskan juga, mungkin serpihan tayar itu boleh merosakkan komponen lain di sekitar roda. Saya melihat jam.

4.03 pagi.

Gelap. Kami berada di tengah-tengah laluan hutan Lebuh Raya Timur-Barat. Saya meminta seorang anak membawa papan tanda amaran kira-kira 300 meter ke hadapan, sebelum selekoh. Saya memintanya memberi isyarat kepada kenderaan yang datang menggunakan lampu telefon supaya mereka menyedari ada kereta rosak selepas selekoh.

Ketika itulah kereta peronda polis berhenti. Dalam keadaan kami sedang berusaha menukar tayar, Allah menghadirkan seseorang untuk membantu.

“Mari saya tolong!”

Ayatnya ringkas. Bantuannya juga mungkin kelihatan kecil. Tetapi pada jam empat pagi, di tengah-tengah laluan hutan yang gelap, bantuan seperti itu terasa amat besar nilainya. Dengan bantuan anggota polis tersebut, proses menukar tayar akhirnya selesai dalam tempoh kira-kira setengah jam. Saya menarik nafas panjang.

Alhamdulillah.

Semua selamat. Ketika itu saya mula berfikir tentang apa yang baru sahaja berlaku.

Keadaan tayar kereta saya memang sudah sekitar 20 peratus dan saya sememangnya merancang untuk menukarnya dalam beberapa minggu lagi. Saya sedar tayar sebegitu tidak lagi sesuai untuk perjalanan jauh, lebih-lebih lagi dengan sebuah kenderaan yang berat.

Namun ada satu perkara yang membuatkan saya sangat bersyukur. Tayar itu pecah ketika saya sedang melalui selekoh panjang menuruni bukit. Disebabkan keadaan jalan, saya hanya memandu sekitar 60 km/j.

Saya terfikir:

Bagaimana kalau tayar itu pecah ketika saya sedang memandu 110 atau 120 km/j di jalan lurus?

Bagaimana kalau ia berlaku ketika sedang memotong? Bagaimana kalau saya hilang kawalan? Saya tidak tahu apa yang mungkin berlaku. Hanya Allah yang mengetahui.

Sebab itu saya memilih untuk melihat kejadian malam itu sebagai satu peringatan dan rahmat daripada Allah. Musibah tetap musibah, tetapi kadangkala di sebalik sesuatu yang menyusahkan kita, ada perlindungan Allah yang tidak mampu kita lihat.

Saya teringat firman Allah SWT:

وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَىٰ دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Dan sesungguhnya Kami akan merasakan kepada mereka sebahagian daripada azab yang dekat sebelum azab yang lebih besar, mudah-mudahan mereka kembali.” (Surah al-Sajdah: 21)

Ayat ini mengingatkan saya bahawa ujian dan kesusahan di dunia kadangkala menjadi teguran yang membawa manusia kembali kepada Allah. Mungkin kita tidak mengetahui hikmah sebenar di sebalik sesuatu kejadian. Tetapi seorang mukmin belajar untuk mengambil peringatan daripadanya. Malam itu saya belajar satu perkara:

Jangan tunggu sesuatu yang lebih buruk berlaku sebelum kita mengambil tindakan.

Saya sudah tahu tayar itu semakin haus. Saya sudah merancang untuk menukarnya. Tetapi saya masih menangguhkan. Kadangkala kita berkata, “Nantilah.” Sedangkan keselamatan tidak sepatutnya ditangguhkan. Dalam kesusahan itu juga Allah menghadirkan kemudahan.

Firman-Nya:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ۝ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

“Maka sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.” (Surah al-Syarh: 5–6)

Di tengah-tengah kesusahan kami, sebuah kereta peronda berhenti. Seorang anggota polis turun. Tidak banyak bicara.

“Mari saya tolong!”

Itulah kemudahan yang Allah hadirkan pada pagi itu.

Saya sangat menghargai sikap anggota polis tersebut. Mungkin baginya membantu menukar tayar hanyalah perkara biasa. Namun bagi kami yang terkandas pada jam empat pagi di tengah-tengah Lebuh Raya Timur-Barat, pertolongan itu amat bermakna.

Kadangkala kebaikan tidak memerlukan sesuatu yang besar. Cukup dengan berhenti. Cukup dengan bertanya. Cukup dengan menghulurkan tangan.

“Mari saya tolong!”

Alhamdulillah. Saya bersyukur kepada Allah yang memelihara perjalanan kami pada pagi itu. Sebuah tayar boleh diganti. Sebuah rim boleh dibaiki. Wang yang hilang boleh dicari kembali. Tetapi nyawa tidak ada gantinya.

Semoga Allah membalas kebaikan anggota polis yang membantu kami pada pagi itu. Semoga Allah terus memelihara mereka yang bertugas menjaga keselamatan pengguna jalan raya ketika kebanyakan kita sedang lena.

Dan semoga Allah sentiasa memelihara saya serta keluarga daripada segala musibah, sama ada yang terlihat mahupun yang tidak terlihat.

Ya Allah, selamatkanlah kami di dunia, dan selamatkanlah kami di akhirat.

Wednesday, August 26, 2026

KEHADIRAN AISHAH MENGAJAR ERTI KEHIDUPAN

 Selepas Aishah pergi, kehidupan perlahan-lahan kembali kepada rutinnya.

Saya dan isteri kembali ke sekolah dan meneruskan latihan praktikum seperti biasa. Tiada lagi perjalanan tergesa-gesa ke Hospital Kajang selepas tamat waktu sekolah. Tiada lagi kepulangan lewat malam. Tiada lagi berdiri di hadapan inkubator sambil memerhatikan tubuh kecil Aishah yang dipenuhi wayar. 

Namun kehidupan kami sebenarnya tidak pernah kembali seperti dahulu. Aishah telah mengubah cara saya melihat kehidupan. Dia hadir hanya sebentar.

Dia tidak pernah memanggil saya “ayah”. Tidak pernah berlari mendapatkan kami. Tidak pernah meminta dibelikan sesuatu. Tidak pernah bercerita atau mengajarkan apa-apa kepada kami dengan kata-kata. Namun bayi kecil itulah yang telah mengajar saya begitu banyak perkara tentang kehidupan.

Apabila saya mengenang kembali perjalanan itu, saya semakin menyedari bahawa ada perkara yang dahulu saya pelajari sebagai ilmu, tetapi melalui Aishah, Allah mengajar saya untuk merasainya sebagai kehidupan.

Saya pernah belajar tentang qada dan qadar. Tetapi Aishah mengajar saya bagaimana menerima qada dan qadar.

Saya pernah belajar tentang sabar.Tetapi Aishah mengajar saya bagaimana rasanya apabila kesabaran benar-benar diperlukan.

Saya pernah belajar tentang tawakal. Tetapi melalui Aishah, saya belajar bagaimana rasanya apabila seorang manusia sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dilakukan selain menyerahkan semuanya kepada Allah.

Peristiwa ini mengajar saya hidup dan mati bukan milik kita. Kami telah merancang kehidupan seperti pasangan muda yang lain. Ketika isteri mengandung, kami menjangkakan anak pertama kami akan lahir sekitar bulan Oktober. Kami menyusun kehidupan berdasarkan jangkaan itu. Latihan praktikum akan selesai, kemudian kami akan menyambut kelahiran anak pertama dengan lebih tenang.

Itulah perancangan kami. Tetapi Allah mempunyai perancangan yang lain. Aishah lahir terlalu awal pada 12 Julai 2000 dengan berat hanya 950 gram. Segala perancangan kami berubah dalam sekelip mata. Ketika itulah saya semakin memahami bahawa manusia boleh merancang, tetapi kita tidak pernah memiliki hari esok.

Allah berfirman:

وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ

Dan tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan diusahakannya esok, dan tiada seorang pun yang mengetahui di bumi mana dia akan mati.” (Surah Luqman, 31:34)

Kami mengharapkan Aishah hidup panjang. Kami berdoa. Kami menunggu. Kami berharap setiap hari keadaannya bertambah baik. Tetapi akhirnya Allah menentukan bahawa perjalanan hidupnya bersama kami hanya sampai di situ. Saya belajar bahawa hidup dan mati bukan milik manusia. Kita hanya menerima amanah untuk suatu tempoh yang Allah tentukan.

Kelahiran Aishah juga menyebabkan saya berhadapan dengan persoalan hukum yang sebelum itu mungkin hanya saya baca dalam kitab. Aishah lahir dalam keadaan kandungan yang sangat muda. Timbul persoalan tentang tempoh kandungan dan kedudukan nasab seorang anak menurut hukum syarak.

Saya mula memahami bahawa perbahasan ulama tentang tempoh kehamilan bukan sekadar perbahasan akademik. Di sebalik sesuatu hukum ada kehidupan manusia, maruah keluarga dan hak seorang anak yang perlu dipelihara.

Secara jujurnya saya tidak mengetahui tentang perbahasan ini. Kehadiran Aishah yang telah membuka mata saya tentang ini. Ketika itulah saya semakin memahami bahawa syariat bukan sekadar untuk dipelajari. Syariat ialah panduan manusia dalam kehidupan  kehidupan seharian.

Hari-hari bersama Aishah bukanlah hari yang mudah. Saya dan isteri masih muda. Kami sedang menjalani praktikum. Kewangan sangat terhad. Setiap hari pula kami perlu berulang-alik ke hospital. Namun dalam kesempitan itu, sentiasa ada jalan yang Allah bukakan.

Firman Allah SWT:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ۝ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

“Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.” (Surah al-Syarh, 94:5–6)

Saya semakin memahami bahawa ayat itu tidak mengatakan kesenangan hanya datang selepas kesusahan. Allah menyebut: مَعَ الْعُسْرِ — bersama kesusahan. Ketika kesusahan itu sedang berlaku pun, sebenarnya ada kemudahan yang Allah letakkan bersamanya.

Ada doktor yang merawat. Ada jururawat yang membantu. Ada keluarga yang mendoakan. Ada pensyarah yang memahami. Ada guru-guru yang memberikan sokongan. Ada sahabat dan jiran yang menghulurkan pertolongan. Dalam kesusahan, Allah tidak meninggalkan kami bersendirian.

Ada masanya saya bertanya dalam hati, mengapa semua ini perlu berlaku? Namun saya teringat sabda Rasulullah SAW:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ

“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya seluruh urusannya adalah baik baginya.” (Riwayat Muslim)

Jika mendapat kesenangan, dia bersyukur dan itu menjadi kebaikan baginya. Jika ditimpa kesusahan, dia bersabar dan itu juga menjadi kebaikan baginya. Saya mula melihat kehidupan daripada sudut yang berbeza. Seorang mukmin tidak hanya bertanya:

“Kenapa perkara ini berlaku kepada aku?”

Tetapi dia juga perlu belajar bertanya:

“Apakah yang Allah mahu aku pelajari daripada apa yang berlaku?”

Soalan kedua itu mengubah cara kita melihat musibah.

Saya juga belajar bersangka baik kepada Allah. Inilah antara pelajaran yang paling sukar. Mudah untuk mengatakan bahawa kita bersangka baik kepada Allah ketika kehidupan berjalan seperti yang kita kehendaki. Tetapi bagaimana apabila kita telah berdoa bersungguh-sungguh, namun akhirnya yang berlaku bertentangan dengan apa yang kita minta?

Kami mahu Aishah sembuh. Kami mahu membawanya pulang. Kami mahu melihatnya membesar. Tetapi semua itu tidak berlaku. Dalam hadis qudsi, Allah SWT berfirman:

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي

“Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Saya belajar bahawa bersangka baik kepada Allah bukan bermaksud kita akan sentiasa mendapat apa yang kita inginkan. Bersangka baik kepada Allah ialah tetap percaya kepada kasih sayang, ilmu dan kebijaksanaanNya walaupun kita tidak mendapat apa yang kita inginkan. Allah mengetahui sesuatu yang saya tidak tahu.

Kehadiran Aishah mengajar saya kebergantungan pada Allah. Ketika doktor sudah berusaha dan keadaan Aishah semakin merosot, saya semakin sedar betapa lemahnya manusia. Ada perkara yang wang tidak mampu selesaikan. Ada perkara yang ilmu perubatan tidak mampu janjikan. Ada perkara yang kasih seorang ayah dan ibu juga tidak mampu mengubahnya. Pada saat seperti itulah seorang hamba mengetahui kepada siapa sebenarnya dia perlu bergantung.

Allah SWT berfirman:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ

“Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat.” (Surah al-Baqarah, 2:45)

Kami berdoa. Kami berharap. Kami bersabar semampu mungkin. Dan akhirnya kami belajar menyerahkan keputusan kepada Allah. Tawakal rupanya bukan bererti kita berhenti berusaha. Tawakal ialah apabila kita telah melakukan segala yang termampu, kemudian hati berkata:

“Ya Allah, selepas semua usaha ini, aku serahkan keputusan kepada-Mu.”

Saya juga mempelajari bahawa rezeki diatur oleh Allah. Ketika itu elaun yang saya dan isteri terima hanya sekitar RM840. Dengan jumlah itulah kami menjalani kehidupan sebagai pasangan muda. Dalam masa yang sama kami perlu berulang-alik ke hospital hampir setiap hari.

Jika dihitung secara matematik, tentu terasa sempit. Namun kami terus hidup. Ada makanan. Ada petrol untuk kenderaan. Kami dapat pergi ke sekolah. Kami dapat pergi ke hospital. Keperluan asas kami tetap tersedia. Keperluan bayi juga dapat dipenuhi. Keperluan praktikum juga cukup. Entah bagaimana, Allah mencukupkannya.

Pengalaman itu mengajar saya bahawa rezeki bukan semata-mata tentang berapa banyak yang kita ada. Kadang-kadang rezeki ialah berapa banyak yang Allah cukupkan daripada apa yang sedikit kita ada.

Firman Allah:

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

“Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah mencukupkannya.” (Surah al-Talaq, 65:3)

Saya tidak menjadi kaya ketika itu. Tetapi Allah mencukupkan. Dan kadang-kadang, itulah bentuk kekayaan yang tidak kita sedari.

Sepanjang perjalanan bersama Aishah, saya bertemu ramai manusia yang baik. Doktor,Jururawat, Pensyarah, Guru-guru, Jiran, Saudara-mara, Sahabat dan lain lain.Ada yang membantu dengan wang. Ada yang memberikan masa. Ada yang memberikan nasihat. Ada yang sekadar meletakkan tangan di bahu dan berkata:

“Sabar.”

Kadang-kadang satu perkataan itu sudah cukup untuk menguatkan seseorang yang sedang lemah. Saya juga belajar bahawa orang baik ada di mana-mana. Malah ada antara mereka yang berbeza bangsa dan agama dengan kami, tetapi tetap turut bersimpati dan membantu.

Allah mengajar saya supaya tidak terlalu cepat menilai manusia berdasarkan kelompoknya. Lihatlah akhlaknya. Lihatlah kebaikannya. Lihatlah bagaimana dia memperlakukan manusia lain.

Saya dan isteri masih muda. Kami baru belajar membina kehidupan bersama. Banyak perkara tentang rumah tangga yang belum kami fahami. Kemudian datang Aishah. Dalam tempoh yang singkat, kami belajar perkara yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dipelajari oleh pasangan lain.

Kami belajar menghadapi ketakutan bersama. Kami belajar membuat keputusan bersama. Kami belajar berjimat bersama. Kami belajar berulang-alik ke hospital bersama. Kami belajar berdoa bersama. Kami belajar menangis bersama.

Dan akhirnya kami belajar melepaskan seseorang yang sangat kami sayangi bersama-sama. Musibah boleh menjauhkan dua hati. Tetapi musibah juga boleh mendekatkan dua hati apabila kedua-duanya memilih untuk berpaut kepada Allah dan saling menguatkan.

Saya semakin memahami bahawa perkahwinan bukan hanya tentang berkongsi kebahagiaan. Perkahwinan juga ialah mempunyai seseorang yang tetap berada di sisi ketika dunia terasa begitu berat.

Bertahun-tahun kemudian, apabila saya melihat kembali semua yang berlaku, saya mula memahami sesuatu. Rupanya Aishah datang untuk mengajar kami. Dahulu saya menyangka kehadiran Aishah adalah untuk menjadikan saya seorang ayah.

Saya membayangkan akan mendukungnya. Melihatnya membesar. Mendengar perkataan pertamanya. Memimpin tangannya berjalan. Menghantarnya ke sekolah. Tetapi Allah tidak menulis perjalanan itu untuk kami.

Sebaliknya, Allah menulis sebuah perjalanan yang jauh lebih singkat. Namun perjalanan yang singkat itu meninggalkan pelajaran yang sangat panjang. Aishah mengajar saya bahawa manusia hanya merancang, sedangkan Allah menentukan.

Dia mengajar saya bahawa ilmu agama perlu hidup ketika kita berhadapan dengan realiti kehidupan. Dia mengajar saya tentang sabar. Tentang doa. Tentang tawakal. Tentang rezeki. Tentang kebaikan manusia. Tentang kasih seorang suami dan isteri. Tentang kehilangan. Dan akhirnya tentang reda.

Allah SWT berfirman:

وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ

“Dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.” (Surah Fussilat, 41:46)

Ada ketentuan Allah yang kita fahami ketika ia berlaku. Ada yang hanya kita fahami bertahun-tahun kemudian. Dan mungkin ada yang tidak akan kita fahami sepenuhnya sepanjang kehidupan ini. Tetapi seorang mukmin belajar untuk percaya bahawa Allah Maha Mengetahui sedangkan kita tidak mengetahui.

Allah Maha Bijaksana. Allah Maha Pengasih. Allah Maha Penyayang. Allah tidak menzalimi hamba-Nya.

Kini apabila saya mengenang Aishah, saya tidak mahu hanya mengenangnya sebagai seorang anak yang pergi terlalu awal. Saya mahu mengenangnya sebagai seorang anak yang Allah hadirkan untuk mendidik kami.

Aishah tidak pernah mampu berkata-kata. Tetapi dia telah mengajar kami begitu banyak perkara. Dia datang sebentar sahaja. Namun pelajaran yang ditinggalkannya terus hidup dalam diri kami.

Dahulu saya menyangka saya akan menjadi gurunya apabila dia membesar. Rupanya Allah menentukan sebaliknya. Aishahlah yang terlebih dahulu menjadi guru kehidupan kepada saya.

Subhanallah.. Mahasuci Allah yang telah mengatur segalanya dalam dunia ini.