Saturday, September 12, 2026

TRAVELOG MAGHRIBI: DIALEK DARIJAH MAGHRIBI YANG UNIK

Sambil berjalan menuju ke tempat mengambil kereta sewa, saya mengambil kesempatan berbual dengan Umaimah dan Asma. Kali ini saya mahu belajar sesuatu yang baharu daripada mereka — beberapa ungkapan asas dalam Darijah Maghribi (الدارجة المغربية)


Kaifa al-hal? Kalau dalam Darijah, macam mana nak cakap?” saya bertanya.

لاباس؟ — Labas?” jawab mereka.

“Labas?”

“Ya, لاباس؟ — Labas? Maksudnya lebih kurang ‘Apa khabar?’ Kalau nak jawab boleh kata لاباس، الحمد لله — Labas, alhamdulillah.”

Saya pun mengulanginya beberapa kali sambil cuba mendapatkan sebutan yang betul.

لاباس؟ Labas?

Umaimah dan Asma nampaknya cukup seronok mendapat “pelajar baharu” pagi itu. Sepanjang berjalan, beberapa perkataan lagi sempat mereka ajarkan kepada saya.

“Kalau terima kasih?”

شكراً — Shukran.

“Kalau nak kata terima kasih banyak?”

شكراً بزاف — Shukran bzzaf!

“Bizzaf?”

“Ya. بزاف — bizzaf maksudnya banyak atau sangat.”

Menarik juga!

Saya cuba menghafal beberapa ungkapan mudah yang mungkin berguna sepanjang 10 hari berada di Maghribi:

لاباس؟ — Labas?
Apa khabar? / Semuanya baik?

لاباس، الحمد لله — Labas, alhamdulillah
Baik, alhamdulillah.

شكراً بزاف — Shukran bzzaf
Terima kasih banyak-banyak.

عافاك — ‘Afak
Tolong / sila. Ungkapan yang sangat berguna apabila meminta sesuatu dengan sopan.

سمح ليا — Smah liya
Maaf / maafkan saya / tumpang tanya.

مزيان — Mzyan
Bagus / baik.

ماشي مشكل — Mashi mushkil
Tidak mengapa / tiada masalah.

بسلامة — Bslama
Selamat tinggal.

Saya rasa memang perlu mempelajari sedikit bahasa tempatan. Bukanlah sampai mahu menjadi pakar Darijah dalam tempoh 10 hari, tetapi sekurang-kurangnya cukuplah untuk bertanya, membeli barang, meminta pertolongan atau sekadar membuka bicara dengan masyarakat setempat.

Pengalaman saya mengembara mengajar satu perkara: apabila kita cuba bercakap menggunakan bahasa masyarakat tempatan, walaupun hanya sepatah dua perkataan, suasana biasanya menjadi lebih mesra.

Kadang-kadang kita hanya menyebut:

السلام، لاباس؟ — Salam, labas?

Wajah orang di hadapan kita sudah berubah. Dia tersenyum kerana orang asing sedang cuba bercakap dalam bahasanya.

Ada sesuatu pada bahasa yang mampu mendekatkan manusia.

Darijah Maghribi pula memang unik. Ia ialah ragam bahasa Arab yang digunakan secara meluas dalam komunikasi harian masyarakat Maghribi. Walaupun asas utamanya daripada bahasa Arab, Darijah berkembang dalam lingkungan sejarah dan masyarakat Maghribi yang tersendiri.

Bahasanya turut menerima pengaruh Amazigh, selain pengaruh bahasa Eropah khususnya Perancis dan Sepanyol. Sebab itulah terdapat kosa kata tertentu yang mungkin kedengaran asing kepada orang yang hanya biasa dengan bahasa Arab fusha.

Tambahan pula, orang Maghribi kadang-kadang bercakap dengan sangat pantas. Sebahagian bunyi dan huruf pula diringkaskan dalam pertuturan harian.

Bagi orang yang belajar dan biasa dengan bahasa Arab fusha seperti saya, ada masanya apabila mendengar orang Maghribi bercakap sesama mereka, saya hanya mampu memandang.

Dalam hati saya tertanya-tanya:

“Eh, bahasa Arab ke ni?”

Langsung saya tidak tahu hujung pangkalnya!

Tetapi itulah menariknya bahasa. Bahasa bukan sekadar perkataan dan tatabahasa. Di dalamnya tersimpan sejarah, budaya, pergaulan dan pengalaman panjang sesebuah masyarakat.

Tidak mengapa kalau saya tidak memahami semuanya.

Sekurang-kurangnya sekarang saya sudah mempunyai beberapa “kata kunci” untuk memulakan perbualan.

Saya pernah mendengar satu ungkapan Arab yang sangat masyhur:

مَنْ تَعَلَّمَ لُغَةَ قَوْمٍ أَمِنَ مَكْرَهُمْ

Man ta‘allama lughata qawmin amina makrahum.

“Sesiapa mempelajari bahasa sesuatu kaum, dia akan aman daripada tipu daya mereka.”

Ungkapan ini kadang-kadang disebut sebagai hadis Rasulullah SAW. Namun setelah disemak, ungkapan tersebut tidak mempunyai sandaran yang sahih sebagai hadis Nabi SAW. Oleh itu, kita tidak sepatutnya menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.

Walaupun begitu, terdapat kisah sahih yang menunjukkan kepentingan mempelajari bahasa lain.

Zaid bin Thabit RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW memintanya mempelajari tulisan atau bahasa yang digunakan oleh orang Yahudi kerana Baginda memerlukannya dalam urusan surat-menyurat.

Dalam satu riwayat, Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

يَا زَيْدُ تَعَلَّمْ لِي كِتَابَ يَهُودَ

“Wahai Zaid, pelajarilah untukku tulisan orang Yahudi.”

Zaid RA kemudian mempelajarinya sehingga mampu membantu Rasulullah SAW dalam urusan membaca dan menulis surat.

Peristiwa ini memberi satu pengajaran yang cukup menarik kepada saya: mempelajari bahasa orang lain bukan sekadar menambah ilmu, tetapi boleh menjadi jambatan untuk memahami manusia dan memudahkan urusan dengan mereka.

Itulah yang sedang saya cuba lakukan di Maghribi.

Bukan mahu menjadi ahli bahasa.

Cukuplah menjadi seorang musafir yang tahu bagaimana hendak berkata:

عافاك — ‘Afak, apabila meminta pertolongan.

سمح ليا — Smah liya, apabila mahu meminta maaf.

شكراً بزاف — Shukran bzzaf, apabila orang membantu.

Dan akhirnya:

بسلامة — Bslama, apabila mahu berpisah.

Tempat mengambil kereta sewa rupanya agak jauh, terletak di penghujung kawasan lapangan terbang. Kami berjalan agak lama juga untuk sampai ke sana.

Mujurlah jauh. Disebabkan jauh, dapatlah beberapa patah perkataan Darijah saya bawa sebagai “modal” untuk menjelajah Maghribi sepanjang 10 hari berikutnya.

Lebih daripada pelajaran bahasa itu, layanan mesra Umaimah dan Asma memberikan gambaran awal kepada saya tentang keramahan masyarakat di bumi ini.

Baru beberapa jam menjejakkan kaki di Marrakech, saya sudah memperoleh dua orang guru bahasa Darijah secara percuma!

Saya tersenyum sendiri.

شكراً بزاف، أميمة وأسماء

Shukran bzzaf, Umaimah wa Asma’.

Terima kasih banyak, Umaimah dan Asma.

Semoga keramahan mereka menjadi pembuka kepada perjalanan yang lebih indah sepanjang kami berada di bumi Maghribi.

Dan sekarang saya sudah tahu satu lagi perkataan penting sekiranya kami berpisah:

بسلامة!

Bslama!

Selamat jalan dan selamat tinggal.

No comments: