Selepas Aishah pergi, kehidupan perlahan-lahan kembali kepada rutinnya.
Saya dan isteri kembali ke sekolah dan meneruskan latihan praktikum seperti biasa. Tiada lagi perjalanan tergesa-gesa ke Hospital Kajang selepas tamat waktu sekolah. Tiada lagi kepulangan lewat malam. Tiada lagi berdiri di hadapan inkubator sambil memerhatikan tubuh kecil Aishah yang dipenuhi wayar.Namun kehidupan kami sebenarnya tidak pernah kembali seperti
dahulu. Aishah telah mengubah cara saya melihat kehidupan. Dia hadir hanya
sebentar.
Dia tidak pernah memanggil saya “ayah”. Tidak pernah berlari
mendapatkan kami. Tidak pernah meminta dibelikan sesuatu. Tidak pernah
bercerita atau mengajarkan apa-apa kepada kami dengan kata-kata. Namun bayi
kecil itulah yang telah mengajar saya begitu banyak perkara tentang kehidupan.
Apabila saya mengenang kembali perjalanan itu, saya semakin
menyedari bahawa ada perkara yang dahulu saya pelajari sebagai ilmu, tetapi
melalui Aishah, Allah mengajar saya untuk merasainya sebagai kehidupan.
Saya pernah belajar tentang qada dan qadar. Tetapi Aishah
mengajar saya bagaimana menerima qada dan qadar.
Saya pernah belajar tentang sabar.Tetapi Aishah mengajar
saya bagaimana rasanya apabila kesabaran benar-benar diperlukan.
Saya pernah belajar tentang tawakal. Tetapi melalui Aishah,
saya belajar bagaimana rasanya apabila seorang manusia sudah tidak mempunyai
apa-apa lagi untuk dilakukan selain menyerahkan semuanya kepada Allah.
Peristiwa ini mengajar saya hidup dan mati bukan milik
kita. Kami telah merancang kehidupan seperti pasangan muda yang lain. Ketika
isteri mengandung, kami menjangkakan anak pertama kami akan lahir sekitar bulan
Oktober. Kami menyusun kehidupan berdasarkan jangkaan itu. Latihan praktikum
akan selesai, kemudian kami akan menyambut kelahiran anak pertama dengan lebih
tenang.
Itulah perancangan kami. Tetapi Allah mempunyai perancangan
yang lain. Aishah lahir terlalu awal pada 12 Julai 2000 dengan berat hanya 950
gram. Segala perancangan kami berubah dalam sekelip mata. Ketika itulah saya
semakin memahami bahawa manusia boleh merancang, tetapi kita tidak pernah
memiliki hari esok.
Allah berfirman:
وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا
ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ
“Dan tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan
diusahakannya esok, dan tiada seorang pun yang mengetahui di bumi mana dia akan
mati.” (Surah Luqman, 31:34)
Kami mengharapkan Aishah hidup panjang. Kami berdoa. Kami
menunggu. Kami berharap setiap hari keadaannya bertambah baik. Tetapi akhirnya
Allah menentukan bahawa perjalanan hidupnya bersama kami hanya sampai di situ. Saya
belajar bahawa hidup dan mati bukan milik manusia. Kita hanya menerima amanah
untuk suatu tempoh yang Allah tentukan.
Kelahiran Aishah juga menyebabkan saya berhadapan dengan
persoalan hukum yang sebelum itu mungkin hanya saya baca dalam kitab. Aishah
lahir dalam keadaan kandungan yang sangat muda. Timbul persoalan tentang tempoh
kandungan dan kedudukan nasab seorang anak menurut hukum syarak.
Saya mula memahami bahawa perbahasan ulama tentang tempoh
kehamilan bukan sekadar perbahasan akademik. Di sebalik sesuatu hukum ada
kehidupan manusia, maruah keluarga dan hak seorang anak yang perlu dipelihara.
Secara jujurnya saya tidak mengetahui tentang perbahasan
ini. Kehadiran Aishah yang telah membuka mata saya tentang ini. Ketika itulah
saya semakin memahami bahawa syariat bukan sekadar untuk dipelajari. Syariat
ialah panduan manusia dalam kehidupan kehidupan seharian.
Hari-hari bersama Aishah bukanlah hari yang mudah. Saya dan
isteri masih muda. Kami sedang menjalani praktikum. Kewangan sangat terhad.
Setiap hari pula kami perlu berulang-alik ke hospital. Namun dalam kesempitan
itu, sentiasa ada jalan yang Allah bukakan.
Firman Allah SWT:
فَإِنَّ
مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
“Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.
Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.” (Surah al-Syarh, 94:5–6)
Saya semakin memahami bahawa ayat itu tidak mengatakan
kesenangan hanya datang selepas kesusahan. Allah menyebut: مَعَ الْعُسْرِ — bersama kesusahan. Ketika kesusahan
itu sedang berlaku pun, sebenarnya ada kemudahan yang Allah letakkan
bersamanya.
Ada doktor yang merawat. Ada jururawat yang membantu. Ada
keluarga yang mendoakan. Ada pensyarah yang memahami. Ada guru-guru yang
memberikan sokongan. Ada sahabat dan jiran yang menghulurkan pertolongan. Dalam
kesusahan, Allah tidak meninggalkan kami bersendirian.
Ada masanya saya bertanya dalam hati, mengapa semua ini
perlu berlaku? Namun saya teringat sabda Rasulullah SAW:
عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ
كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ
“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya
seluruh urusannya adalah baik baginya.” (Riwayat Muslim)
Jika mendapat kesenangan, dia bersyukur dan itu menjadi
kebaikan baginya. Jika ditimpa kesusahan, dia bersabar dan itu juga menjadi
kebaikan baginya. Saya mula melihat kehidupan daripada sudut yang berbeza. Seorang
mukmin tidak hanya bertanya:
“Kenapa perkara ini berlaku kepada aku?”
Tetapi dia juga perlu belajar bertanya:
“Apakah yang Allah mahu aku pelajari daripada apa yang
berlaku?”
Soalan kedua itu mengubah cara kita melihat musibah.
Saya juga belajar bersangka baik kepada Allah. Inilah
antara pelajaran yang paling sukar. Mudah untuk mengatakan bahawa kita
bersangka baik kepada Allah ketika kehidupan berjalan seperti yang kita
kehendaki. Tetapi bagaimana apabila kita telah berdoa
bersungguh-sungguh, namun akhirnya yang berlaku bertentangan dengan apa yang
kita minta?
Kami mahu Aishah sembuh. Kami mahu membawanya pulang. Kami
mahu melihatnya membesar. Tetapi semua itu tidak berlaku. Dalam hadis qudsi,
Allah SWT berfirman:
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي
“Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku.” (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Saya belajar bahawa bersangka baik kepada Allah bukan
bermaksud kita akan sentiasa mendapat apa yang kita inginkan. Bersangka baik
kepada Allah ialah tetap percaya kepada kasih sayang, ilmu dan kebijaksanaanNya
walaupun kita tidak mendapat apa yang kita inginkan. Allah mengetahui
sesuatu yang saya tidak tahu.
Kehadiran Aishah mengajar saya kebergantungan pada Allah. Ketika
doktor sudah berusaha dan keadaan Aishah semakin merosot, saya semakin sedar
betapa lemahnya manusia. Ada perkara yang wang tidak mampu selesaikan. Ada
perkara yang ilmu perubatan tidak mampu janjikan. Ada perkara yang kasih
seorang ayah dan ibu juga tidak mampu mengubahnya. Pada saat seperti itulah
seorang hamba mengetahui kepada siapa sebenarnya dia perlu bergantung.
Allah SWT berfirman:
وَاسْتَعِينُوا
بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ
“Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat.” (Surah
al-Baqarah, 2:45)
Kami berdoa. Kami berharap. Kami bersabar semampu mungkin. Dan
akhirnya kami belajar menyerahkan keputusan kepada Allah. Tawakal rupanya bukan
bererti kita berhenti berusaha. Tawakal ialah apabila kita telah melakukan
segala yang termampu, kemudian hati berkata:
“Ya Allah, selepas semua usaha ini, aku serahkan
keputusan kepada-Mu.”
Saya juga mempelajari bahawa rezeki diatur oleh Allah.
Ketika itu elaun yang saya dan isteri terima hanya sekitar RM840. Dengan jumlah
itulah kami menjalani kehidupan sebagai pasangan muda. Dalam masa yang sama
kami perlu berulang-alik ke hospital hampir setiap hari.
Jika dihitung secara matematik, tentu terasa sempit. Namun
kami terus hidup. Ada makanan. Ada petrol untuk kenderaan. Kami dapat pergi ke
sekolah. Kami dapat pergi ke hospital. Keperluan asas kami tetap tersedia.
Keperluan bayi juga dapat dipenuhi. Keperluan praktikum juga cukup. Entah
bagaimana, Allah mencukupkannya.
Pengalaman itu mengajar saya bahawa rezeki bukan semata-mata
tentang berapa banyak yang kita ada. Kadang-kadang rezeki ialah berapa
banyak yang Allah cukupkan daripada apa yang sedikit kita ada.
Firman Allah:
وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ
حَسْبُهُ
“Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah
mencukupkannya.” (Surah al-Talaq, 65:3)
Saya tidak menjadi kaya ketika itu. Tetapi Allah
mencukupkan. Dan kadang-kadang, itulah bentuk kekayaan yang tidak kita sedari.
Sepanjang perjalanan bersama Aishah, saya bertemu ramai
manusia yang baik. Doktor,Jururawat, Pensyarah, Guru-guru, Jiran, Saudara-mara,
Sahabat dan lain lain.Ada yang membantu dengan wang. Ada yang memberikan masa.
Ada yang memberikan nasihat. Ada yang sekadar meletakkan tangan di bahu dan
berkata:
“Sabar.”
Kadang-kadang satu perkataan itu sudah cukup untuk
menguatkan seseorang yang sedang lemah. Saya juga belajar bahawa orang baik ada
di mana-mana. Malah ada antara mereka yang berbeza bangsa dan agama dengan
kami, tetapi tetap turut bersimpati dan membantu.
Allah mengajar saya supaya tidak terlalu cepat menilai
manusia berdasarkan kelompoknya. Lihatlah akhlaknya. Lihatlah kebaikannya. Lihatlah
bagaimana dia memperlakukan manusia lain.
Saya dan isteri masih muda. Kami baru belajar membina
kehidupan bersama. Banyak perkara tentang rumah tangga yang belum kami fahami. Kemudian
datang Aishah. Dalam tempoh yang singkat, kami belajar perkara yang mungkin
mengambil masa bertahun-tahun untuk dipelajari oleh pasangan lain.
Kami belajar menghadapi ketakutan bersama. Kami belajar
membuat keputusan bersama. Kami belajar berjimat bersama. Kami belajar
berulang-alik ke hospital bersama. Kami belajar berdoa bersama. Kami belajar
menangis bersama.
Dan akhirnya kami belajar melepaskan seseorang yang sangat
kami sayangi bersama-sama. Musibah boleh menjauhkan dua hati. Tetapi musibah
juga boleh mendekatkan dua hati apabila kedua-duanya memilih untuk berpaut
kepada Allah dan saling menguatkan.
Saya semakin memahami bahawa perkahwinan bukan hanya tentang
berkongsi kebahagiaan. Perkahwinan juga ialah mempunyai seseorang yang tetap
berada di sisi ketika dunia terasa begitu berat.
Bertahun-tahun kemudian, apabila saya melihat kembali semua
yang berlaku, saya mula memahami sesuatu. Rupanya Aishah datang untuk
mengajar kami. Dahulu saya menyangka kehadiran Aishah adalah untuk
menjadikan saya seorang ayah.
Saya membayangkan akan mendukungnya. Melihatnya membesar. Mendengar
perkataan pertamanya. Memimpin tangannya berjalan. Menghantarnya ke sekolah. Tetapi
Allah tidak menulis perjalanan itu untuk kami.
Sebaliknya, Allah menulis sebuah perjalanan yang jauh lebih
singkat. Namun perjalanan yang singkat itu meninggalkan pelajaran yang sangat
panjang. Aishah mengajar saya bahawa manusia hanya merancang, sedangkan Allah
menentukan.
Dia mengajar saya bahawa ilmu agama perlu hidup ketika kita
berhadapan dengan realiti kehidupan. Dia mengajar saya tentang sabar. Tentang
doa. Tentang tawakal. Tentang rezeki. Tentang kebaikan manusia. Tentang kasih
seorang suami dan isteri. Tentang kehilangan. Dan akhirnya tentang reda.
Allah SWT berfirman:
وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ
“Dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada
hamba-hamba-Nya.” (Surah Fussilat, 41:46)
Ada ketentuan Allah yang kita fahami ketika ia berlaku. Ada
yang hanya kita fahami bertahun-tahun kemudian. Dan mungkin ada yang tidak akan
kita fahami sepenuhnya sepanjang kehidupan ini. Tetapi seorang mukmin belajar
untuk percaya bahawa Allah Maha Mengetahui sedangkan kita tidak mengetahui.
Allah Maha Bijaksana. Allah Maha Pengasih. Allah Maha
Penyayang. Allah tidak menzalimi hamba-Nya.
Kini apabila saya mengenang Aishah, saya tidak mahu hanya
mengenangnya sebagai seorang anak yang pergi terlalu awal. Saya mahu
mengenangnya sebagai seorang anak yang Allah hadirkan untuk mendidik kami.
Aishah tidak pernah mampu berkata-kata. Tetapi dia telah
mengajar kami begitu banyak perkara. Dia datang sebentar sahaja. Namun
pelajaran yang ditinggalkannya terus hidup dalam diri kami.
Dahulu saya menyangka saya akan menjadi gurunya apabila dia
membesar. Rupanya Allah menentukan sebaliknya. Aishahlah yang terlebih
dahulu menjadi guru kehidupan kepada saya.
Subhanallah.. Mahasuci Allah yang telah mengatur
segalanya dalam dunia ini.
No comments:
Post a Comment