Thursday, September 24, 2026

PETROL RM7.25 SELITER!

Setelah selesai urusan di Universiti Cadi Ayyadh, hari sudah hampir tengah hari. Kami perlu segera bertolak ke Casablanca. Perjalanan masih jauh dan kami merancang untuk menunaikan solat Asar di Masjid Hassan II, masjid terbesar di benua Afrika.

Di Maghribi, kebanyakan masjid tidak dibuka sepanjang masa. Ada masjid yang hanya dibuka kepada orang ramai menjelang waktu solat dan ditutup semula selepas selesai solat. Begitu juga dengan akses pelawat di sesetengah masjid.


Sebelum memulakan perjalanan jauh, Renault Clio yang kami sewa perlu diisi petrol. Baki petrol ketika itu sudah kurang daripada separuh tangki.

Menurut Muaz, harga petrol di Maghribi tidak sama antara satu stesen dengan stesen yang lain dan boleh berubah mengikut keadaan pasaran. Terdapat beberapa jenama stesen minyak seperti Afriquia, Shell, TotalEnergies, Petrom dan Winxo.

Muaz sendiri tidak pasti stesen mana yang menawarkan harga paling murah. Cuma katanya, rakan-rakannya biasa mengisi minyak di Afriquia. Pelanggannya kelihatan sentiasa ramai. Mungkin harganya lebih kompetitif.

Jadi, saya memilih untuk berhenti di sebuah stesen Afriquia.

Memang terpampang papan tanda besar yang menunjukkan harga petrol pada hari itu. Namun, saya tidak begitu menghiraukannya. Kata Muaz, perbezaan harga antara stesen biasanya tidaklah terlalu jauh.

Setelah berhenti di salah sebuah pam, seorang atendan datang menghampiri.

“Full,” kata saya ringkas kerana mahu mengisi penuh tangki.

“Blaan...?” soal atendan itu kembali.

Itulah bunyi perkataan yang saya dengar. Saya sekadar mengangguk tanda setuju.

“Bessah...?” tanyanya lagi sambil memandang saya, seolah-olah mahu memastikan bahawa saya benar-benar mahu mengisi penuh.

“Blaan,” saya ulang sekali lagi.

Muaz yang berada bersama saya membantu menjelaskan bahawa perkataan yang saya dengar sebagai blaan itu merujuk kepada “penuh”, manakala bessah? pula digunakan untuk mendapatkan kepastian  lebih kurang maksudnya, “Betul?” atau “Serius?”

Mungkin atendan itu agak terkejut apabila saya mahu mengisi penuh tangki. Entahlah. Mungkin juga dia sekadar mahu memastikan arahan saya betul.

Apabila saya melihat semula papan tanda harga, barulah saya tersentak.

MAD14.25 seliter!

Apabila ditukarkan kepada nilai ringgit ketika itu, jumlahnya kira-kira RM7.25 seliter.

“Patutlah dia tanya beberapa kali!” bisik hati saya.

Saya berdiri memerhatikan atendan mengisi petrol ke dalam Renault Clio kami. Akhirnya meter menunjukkan 24.62 liter, dan jumlah bayaran dibundarkan kepada MAD400.

Kalau ditukarkan kepada ringgit ketika itu, nilainya sekitar RM178.

Itu pun belum penuh tangki!

Saya terus teringat harga petrol RON95 di Malaysia ketika itu — sekitar RM2.05 seliter. Jika dibandingkan secara kasar, harga yang saya bayar di Maghribi lebih tiga kali ganda.

Ketika itulah saya benar-benar terasa betapa besarnya perbezaan kos petrol antara kedua-dua negara.

Sepanjang berada di Marrakech, saya juga mula memerhatikan cara masyarakat di sini menggunakan kenderaan. Kos bahan api yang tinggi tentunya menjadi salah satu perkara yang perlu diambil kira dalam perbelanjaan harian mereka. Saya terfikir, sekiranya kita di Malaysia terpaksa membayar petrol sehingga RM7.25 seliter, tentu kesannya sangat besar terhadap perbelanjaan isi rumah dan kos kehidupan seharian.

Patutlah tidak sesak dengan kenderaan. Tidak ramai yang mampu mengisi petrol untuk kegunaan harian. Kosnya amat besar.

Saat itu hati saya terdetik:

Betapa banyak nikmat yang kita miliki tetapi hanya kita sedari nilainya apabila melihat kehidupan di tempat lain.

Di Malaysia ketika itu, petrol RON95 sekitar RM2.05 seliter. Kadang-kadang kita merungut kerana merasakan harganya mahal. Namun apabila berada di negara lain dan membayar lebih tiga kali ganda, barulah terasa besarnya nikmat yang selama ini berada di depan mata.

Benarlah firman Allah SWT:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat kepada kamu...” (Surah Ibrahim, 14:7)

Allah SWT juga menggalakkan manusia berjalan di muka bumi, melihat dan mengambil pengajaran:

قُلْ سِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا

“Katakanlah: Berjalanlah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah...” (Surah al-An‘am, 6:11)

Rupa-rupanya perjalanan bukan sekadar membawa kita melihat tempat baharu. Perjalanan juga mengajar kita melihat semula kehidupan sendiri dengan pandangan yang berbeza.

Kadang-kadang kita perlu keluar jauh untuk mengetahui betapa berharganya sesuatu yang selama ini terlalu dekat dengan kita.

Kami menyambung perjalanan yang masih ke Casablanca yang jaraknya hampir 250km Dari Marrakech. Saya teruja untuk memulakan pemanduan jarak jauh kali pertama dengan pemanduan kiri.

Pastinya banyak pengalaman baru lain menanti.

No comments: