Friday, September 11, 2026

TRAVELOG MAGHRIBI: SAYA TERASA SEPERTI BERADA DALAM KULIAH UNIVERSITI!

Uploading: 2821959 of 2821959 bytes uploaded.
Selepas mengambil semua bagasi, saya dan isteri terus bergerak keluar dari balai ketibaan. Alhamdulillah, keempat-empat beg kami yang berat keseluruhannya hampir 96 kilogram selamat tiba tanpa sebarang kerosakan. 

Hebat juga pengurusan bagasi Qatar Airways dan Royal Air Maroc. Peruntukan bagasi 46 kilogram seorang saya gunakan sepenuhnya. Banyak juga bekalan makanan yang kami bawa dari Malaysia untuk Muaz dan rakan-rakan serumahnya.

Setelah selesai urusan bagasi, saya melihat sekeliling mencari kelibat Muaz. Tidak nampak.

Rupanya di Lapangan Terbang Marrakech, orang luar tidak dibenarkan masuk sesuka hati ke dalam bangunan terminal. Mereka yang datang menjemput perlu menunggu di luar.

Sebelum keluar, mata saya terpandang sebuah mesin ATM di satu sudut. Saya mengambil keputusan untuk mengeluarkan wang tunai terlebih dahulu.

Saya sebenarnya langsung tidak membawa wang tunai ke Maghribi. Hanya kad kredit dan kad debit. Bagi saya lebih mudah mengeluarkan dirham Maghribi terus daripada mesin ATM tempatan berbanding menukar ringgit Malaysia kepada dolar Amerika terlebih dahulu, kemudian menukarnya sekali lagi kepada dirham.

Selesai urusan ATM, kami pun keluar dari terminal.

Mata saya segera mencari-cari kelibat Muaz.

Masih tidak nampak.

Namun tiba-tiba saya terlihat dua orang gadis sedang berdiri sambil memegang sekeping kertas besar.

Tertulis di atasnya:

“MR ABDULLAH HAMZAH”

Eh, siapa pula mereka?

Saya agak terkejut kerana saya tidak menggunakan mana-mana ejen pelancongan untuk menguruskan perjalanan kami di Maghribi.

Saya pun menghampiri mereka.

“Assalamualaikum! Masā’ al-khair…”

“Waalaikumussalam… Masā’ al-nūr…”

Serentak mereka berdua menjawab.

“Mr Abdullah?”

Salah seorang daripada mereka bertanya sambil menunjuk ke arah saya.

Saya mengangguk.

Kemudian saya bertanya siapa mereka dan mengapa mereka berada di situ menunggu saya. Semuanya saya tuturkan dalam bahasa Arab fusha.

Saya perasan mereka agak terkejut mendengar saya bercakap dalam bahasa Arab. Pada mulanya mereka cuba bertutur dengan kami dalam bahasa Inggeris. Namun saya terus melayan mereka dalam bahasa Arab fusha.

Rupa-rupanya mereka ialah Asma dan Umaimah, wakil daripada syarikat kereta sewa yang saya tempah melalui Skyscanner.

“Naḥnu min syarikat al-sayyārāt…”

Kami dari syarikat kereta sewa.

“Sayyāratuka hunāka… tantaẓiruka…”

Kereta tuan ada di sana… sedang menunggu tuan.

Ujar Umaimah sambil tersenyum.

Semakin lama kami berbual, semakin saya perasan sesuatu yang agak pelik. Kedua-duanya seperti sedang berusaha menahan ketawa. Mereka bercakap dengan sangat berhati-hati. Ayat bahasa Arab fusha mereka keluar sepatah demi sepatah.

Akhirnya Asma tidak dapat menahan dirinya lagi.

“Wallāh… naḥnu nasy‘uru ka’annanā fī al-kulliyyah!”

Demi Allah… kami terasa seperti berada di universiti!

Kami semua ketawa.

Oh, rupanya itu sebabnya!

Mereka bukan mentertawakan bahasa Arab saya. Sebaliknya, mereka berasa lucu dan teruja kerana sudah lama tidak berbual dalam bahasa Arab fusha seperti itu.

Kata mereka, perbualan kami mengingatkan mereka kepada zaman belajar di universiti dahulu—zaman mereka mendengar pensyarah memberikan kuliah dan berbicara dalam bahasa Arab fusha.

Dalam kehidupan seharian di Maghribi, mereka lebih banyak menggunakan dialek tempatan yang dikenali sebagai Darijah. Dialek ini agak berbeza daripada bahasa Arab fusha yang dipelajari secara formal. Bahasa Arab fusha lebih banyak digunakan dalam suasana rasmi, pendidikan, penulisan dan sebahagian siaran berita. Dalam perbualan harian pula, Darijah lebih dominan.

Tidak lama kemudian Muaz muncul.

Rupa-rupanya dia sudah sampai lebih awal. Oleh sebab tidak dapat menghubungi kami, dia meminta izin khas untuk masuk ke kawasan terminal bagi mencari kami. Kami memang menghadapi sedikit masalah komunikasi ketika itu kerana telefon kami masih belum mempunyai talian internet tempatan.

Alhamdulillah, akhirnya bertemu juga dengan Muaz setelah sekian lama terpisah.

Asma dan Umaimah kemudian membawa kami ke kawasan parkir untuk urusan penyerahan kereta sewa.

Sepanjang berjalan, kami terus berbual dalam bahasa Arab fusha. Sesekali mereka mengajar saya beberapa perkataan dalam Darijah Maghribi.

Saya pula terus bercakap dalam fusha.

Mungkin bagi saya, itulah bahasa Arab yang paling mudah untuk berkomunikasi.

Tetapi bagi Asma dan Umaimah, perbualan petang itu membawa mereka kembali ke satu dunia yang sudah lama ditinggalkan.

Dunia kuliah.

Dunia universiti.

Dan mungkin dalam hati mereka masih berkata:

“Wallāh… ka’annanā fī al-kulliyyah!”

Demi Allah… terasa seperti berada dalam kuliah universiti!

No comments: