Sebelum beredar, Hibah menyerahkan tiket parkir yang perlu
saya bayar. Dia turut meninggalkan nombor telefon penting untuk dihubungi
sekiranya berlaku sebarang masalah berkaitan kereta sepanjang tempoh sewaan.
Setelah semua bagasi dimasukkan ke dalam bonet, saya membuka
pintu dan duduk di tempat pemandu.
Di sebelah kiri!
Terasa amat kekok.
Di Malaysia, saya sudah terbiasa memandu dengan kedudukan
pemandu di sebelah kanan. Kali ini semuanya seperti terbalik. Kedudukan pemandu
berbeza, laluan jalan berbeza, malah banyak gerakan yang selama ini dilakukan
secara spontan perlu difikirkan semula.
Saya tidak boleh terus memandu begitu sahaja.
Ini kali pertama saya kembali memandu dengan kedudukan
pemandu di sebelah kiri setelah kali terakhir melakukannya sekitar tahun 1999.
Kini sudah tahun 2022. Lebih dua dekad berlalu.
Lebih mencabar, Renault Clio ini menggunakan transmisi
manual.
Sudah hampir 10 tahun saya tidak memandu kereta manual.
Selepas menjual Avanza biru saya, kereta-kereta yang saya gunakan semuanya
menggunakan transmisi automatik. Kaki kiri sudah lama berehat daripada menekan
klac, manakala tangan kiri juga sudah lama tidak sibuk menukar gear. Tapi kali
ini saya perlu menukar gear dengan tangan kanan!.
Namun saya sebenarnya sengaja memilih kereta manual.
Selain kadar sewanya lebih murah, penggunaan petrol juga
dijangka lebih menjimatkan. Saya telah merancang perjalanan kami merentas
Maghribi sejauh kira-kira 2,000 kilometer. Berdasarkan sedikit kajian dan
kiraan kasar yang saya buat, penggunaan kereta manual dijangka dapat
menjimatkan kos petrol sehingga lebih RM400 berbanding kereta automatik.
Tambahan pula, besar kemungkinan sayalah yang akan memandu
hampir keseluruhan perjalanan ini.
Tetapi ada satu lagi sebab saya memilih kereta manual.
Saya mahu mencabar diri sendiri.
Saya tidak mahu terlalu lama berada dalam zon selesa
sehingga perkara yang mudah pun menjadikan kita takut mencuba sesuatu yang
berbeza. Sesekali kita perlu memberikan cabaran baharu kepada diri supaya
fikiran terus bekerja, fokus terus terlatih dan keberanian membuat keputusan
tidak menjadi tumpul.
Sebelum menghidupkan enjin, saya memeriksa satu demi satu
sistem kawalan kereta. Renault Clio ialah kereta buatan Perancis. Susun atur
dan beberapa cirinya agak berbeza daripada kereta Jepun dan Korea yang lebih
biasa saya gunakan.
Saya menekan klac.
Masuk gear satu.
Gear dua.
Gear tiga.
Kemudian kembali ke neutral.
Saya mengulanginya beberapa kali.
Saya cuba mendapatkan kembali “rasa” kawalan klac yang sudah
lama hilang. Saya tidak mahu nanti enjin tiba-tiba mati ketika berhenti di
persimpangan atau lampu isyarat hanya kerana kaki tersalah mengawal klac.
Setelah agak selesa, saya mula memandu perlahan-lahan
mengelilingi kawasan parkir. Mujurlah kawasan itu luas dan banyak petak parkir
kosong. Beberapa kali saya membuat pusingan untuk membiasakan tangan, kaki dan
fikiran dengan kereta baharu ini.
Selepas beberapa pusingan, keyakinan mula datang.
“Insya-Allah, boleh ni…”
Saya pun mencari jalan keluar dari kawasan parkir.
Namun belum pun jauh, saya tergamam.
Saya hampir tersalah mengambil laluan!
Refleks pemanduan di Malaysia masih kuat dalam kepala. Saya
perlu mengingatkan diri bahawa sistem jalan raya di Maghribi berbeza daripada
Malaysia. Kedudukan kenderaan di atas jalan, cara memasuki simpang dan ketika
membelok semuanya perlu diberi perhatian.
Saya mengulanginya dalam hati berkali-kali.
Jangan ikut kebiasaan. Tengok jalan. Fokus.
Rupanya apabila suasana berubah, perkara yang selama ini
kita lakukan secara automatik perlu dipelajari semula.
Walaupun agak rumit, saya sebenarnya menyukai cabaran ini.
Bagi saya, cabaran baharu memaksa otak bekerja dengan lebih
aktif. Kita perlu fokus, membuat pertimbangan dan mengambil keputusan dengan
lebih berhati-hati. Saya selalu percaya bahawa keselesaan yang berlebihan
boleh menumpulkan minda, sedangkan cabaran yang terkawal boleh menjadikan kita
lebih cekap dan matang.
Namun mencabar diri bukan bermaksud bertindak secara melulu.
Keberanian perlu berjalan bersama ilmu, persediaan dan sikap
berhati-hati. Islam sendiri mengajar kita supaya berusaha bersungguh-sungguh
sebelum menyerahkan hasilnya kepada Allah.
Allah SWT berfirman:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا
لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
“Dan orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh kerana
memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke
jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berusaha
memperbaiki amalannya.”
(Surah al-‘Ankabut: 69)
Ayat ini bukan bermaksud kita boleh mengambil risiko tanpa
pertimbangan. Sebaliknya, ia mengajar bahawa usaha, kesungguhan dan
pergantungan kepada Allah perlu berjalan bersama.
Sebab itulah untuk peringkat awal, saya mengehadkan kelajuan
sekitar 50 kilometer sejam.
Perlahan!
Beberapa kali juga saya dibunyikan hon oleh pemandu lain.
Saya biarkan sahaja. Saya lebih rela orang membunyikan hon daripada saya
memandu terlalu laju ketika masih belum benar-benar biasa dengan kereta dan
sistem jalan raya di sini.
Lagipun, saya masih teringat pesanan Hibah.
“Dalam bandar jangan lebih 60 kilometer sejam… melainkan
awak kaya dan sanggup bayar saman berkali-kali!”
Saya tersenyum mengingatkan pesanannya.
Alhamdulillah, Muaz sudah agak biasa dengan jalan-jalan di
Marrakech. Dialah yang menjadi penunjuk jalan dan “pembantu pemandu” saya. Muaz
pula kurang cekap menggunakan kereta manual dan dia sendiri kurang yakin untuk
memandunya. Jadi saya tidak mahu mengambil risiko menyerahkan stereng
kepadanya.
Saya menggunakan Waze untuk menuju ke destinasi pertama
kami, Riad Marrakech House. Jaraknya hanya sekitar 9 kilometer dari lapangan
terbang.
Namun 9 kilometer pertama itulah yang terasa begitu
mencabar.
Saya memandu perlahan. Mata sentiasa memandang ke hadapan.
Saya tidak mahu leka melihat pemandangan kiri dan kanan. Buat masa ini, saya
hanya mempunyai satu tugas:
Fokus memandu.
Biasakan diri dengan kereta manual.
Biasakan diri dengan kedudukan pemandu di sebelah kiri.
Biasakan diri dengan sistem jalan raya yang berbeza.
Perjalanan 2,000 kilometer mengelilingi Maghribi baru sahaja
bermula. Masih terlalu jauh untuk saya fikirkan semuanya sekaligus.
Saya hanya perlu menempuh kilometer pertama dengan baik,
kemudian kilometer berikutnya.
Begitulah juga kehidupan.
Kadang-kadang kita terlalu takut melihat jauhnya perjalanan
sehingga terlupa bahawa perjalanan yang panjang sebenarnya diselesaikan sedikit
demi sedikit. Kita tidak perlu menjadi hebat pada langkah pertama. Kita hanya
perlu berani memulakan, bersedia untuk belajar, berhati-hati sepanjang
perjalanan dan sentiasa memohon pertolongan Allah.
Cabaran tidak semestinya datang untuk menyusahkan kita.
Ada kalanya cabaran itulah yang memperkenalkan kita kepada kemampuan diri yang
selama ini tidak pernah kita sedari.
Bismillah.
Semoga Allah mempermudahkan perjalanan kami dan melindungi
kami sepanjang hampir 2,000 kilometer merentas bumi Maghribi ini.
No comments:
Post a Comment