Wednesday, September 16, 2026

MAGHRIBI: RUMAH MALAYSIA DI RUE IBN ZOHAIR

 Saya mengambil peluang berehat seketika setelah melalui perjalanan jauh hampir 24 jam dari Kuala Lumpur ke Marrakech. Badan memang terasa penat setelah melalui penerbangan yang panjang dan beberapa kali transit. 

Setelah berehat hampir sejam di Riad Marrakech House, kami bersiap untuk bergerak ke rumah sewa Muaz yang terletak berhampiran Universiti Cadi Ayyad. Saya masih belum biasa dengan jalan-jalan di Marrakech. Lebih baik kami bergerak awal sebelum malam menjelma. Sekurang-kurangnya saya masih dapat melihat keadaan jalan dan kawasan sekitarnya. Ini tentu akan memudahkan perjalanan pulang nanti walaupun menggunakan bantuan Waze.

Rumah Muaz terletak di Rue Ibn Zohair, tidak jauh dari Universiti Cadi Ayyad. Menurut Muaz, dari rumah sewanya dia hanya perlu berjalan kaki sekitar 10 hingga 15 minit untuk sampai ke universiti. Dari tempat penginapan kami pula, jaraknya kira-kira lima kilometer.

Tidak sampai 15 minit memandu, kami sudah tiba.

Muaz tinggal bersama beberapa orang pelajar Malaysia dan juga pelajar dari Thailand. Bilangan pelajar Thailand di sana tidak ramai. Mereka nampaknya lebih serasi tinggal bersama pelajar Malaysia kerana mempunyai banyak persamaan dari segi budaya dan agama. Sebahagian mereka berasal dari selatan Thailand dan berbangsa Melayu. Pendek kata, kami serumpun.

Saya tertarik dengan nama jalan tempat mereka tinggal  Rue Ibn Zohair.

Perkataan rue berasal daripada bahasa Perancis yang bermaksud “jalan” atau street. Penggunaan istilah Perancis seperti rue, avenue dan boulevard memang sangat biasa dalam alamat di Maghribi. Ia merupakan antara kesan sejarah hubungan dan pentadbiran Perancis di negara ini. Walaupun Maghribi mempunyai identiti Arab, Amazigh dan Islam yang sangat kuat, kesan bahasa Perancis masih jelas kelihatan dalam kehidupan moden masyarakatnya.

Nama Ibn Zohair pula menarik perhatian saya. Ia mengingatkan kepada Abu Marwan ‘Abd al-Malik Ibn Zuhr, tokoh perubatan Muslim Andalusia yang terkenal di Barat dengan nama Avenzoar. Beliau hidup pada zaman pemerintahan al-Murabitun dan al-Muwahhidun dan dikenali sebagai salah seorang tokoh penting dalam perkembangan ilmu perubatan di Andalusia. Menarik juga apabila sebuah jalan di Marrakech membawa nama seorang ilmuwan besar Islam.

Rumah yang didiami Muaz dan rakan-rakannya merupakan sebuah rumah lama. Keadaannya cukup sederhana. Namun itulah antara rumah yang mampu mereka sewa kerana kadar sewaan di Marrakech agak tinggi, khususnya bagi pelajar.

Marrakech pula merupakan antara bandar pelancongan utama di Maghribi. Rumah Muaz terletak di kawasan bandar moden, berbeza dengan wajah Marrakech lama yang terkenal dengan kawasan medina, Jemaa el-Fnaa dan Masjid Koutoubia.

Insya-Allah, saya akan sampai juga ke sana nanti.

Malam itu saya dan isteri mengambil kesempatan beramah mesra dengan rakan-rakan serumah Muaz. Mereka memasak nasi untuk makan malam. Dapatlah kami merasa masakan pelajar bujang Malaysia di bumi Maghribi.

Walaupun sederhana, terasa juga nikmatnya.

Mereka kelihatan amat gembira apabila melihat bekalan makanan yang kami bawa dari Malaysia. Hampir 80 kilogram bagasi kami dipenuhi dengan pelbagai stok makanan untuk Muaz dan rakan-rakannya. Pakaian kami sendiri hanya sedikit. Sebahagian besar ruang bagasi memang kami korbankan untuk membawa makanan dari tanah air.

Bagi kami, tidak mengapa.

Melihat kegembiraan anak-anak muda ini menerima makanan dari Malaysia sudah cukup menggembirakan hati kami.

Walaupun rumah mereka amat sederhana, cukuplah sebagai tempat berteduh sepanjang menuntut ilmu. Di rumah inilah mereka tidur, makan, berbincang, mengulang kaji pelajaran dan menjalani kehidupan sebagai anak perantauan.

Bukan mudah hidup jauh daripada keluarga.

Mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan budaya yang berbeza, bahasa yang berbeza, cuaca yang berbeza dan makanan yang kadang-kadang asing daripada selera sendiri. Dalam keadaan serba sederhana itulah mereka meneruskan perjuangan menuntut ilmu.

Saya teringat sabda Rasulullah SAW:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya dengan sebab itu jalan menuju syurga.”
(Riwayat Muslim)

Barangkali bagi orang lain, rumah lama di Rue Ibn Zohair ini hanyalah sebuah rumah sewa biasa.

Namun bagi saya, rumah ini mempunyai cerita yang tersendiri.

Di sinilah beberapa orang anak muda dari Malaysia dan Thailand berkongsi kehidupan. Mereka berjimat, memasak sendiri, belajar berdikari dan saling membantu. Mereka meninggalkan keluarga dan keselesaan di tanah air untuk mengejar sebuah cita-cita bernama ilmu.

Saya dan isteri mungkin hanya datang menziarahi mereka untuk satu malam dan membawa bekalan makanan yang mungkin cukup untuk beberapa bulan.

Namun saya berharap kunjungan kecil kami itu dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka.

Kadang-kadang anak-anak yang belajar jauh di perantauan bukan hanya rindukan makanan dari tanah air.

Mereka juga rindukan suasana rumah, wajah keluarga dan rasa bahawa ada orang yang datang dari jauh membawa bersama mereka sedikit bau Malaysia.

Malam itu, sebuah rumah sederhana di Rue Ibn Zohair, Marrakech terasa seperti sebuah Rumah Malaysia.

No comments: