Namun sebelum memulakan perjalanan ke Casablanca, kami
singgah terlebih dahulu di rumah Muaz di Rue Ibn Zohair. Dari situ, kami menuju
ke Universiti Cadi Ayyad. Saya memang berhajat untuk melihat sendiri tempat
Muaz menuntut ilmu. Muaz pula mahu melihat jadual pembentangan projek akhirnya
yang mungkin sudah diumumkan tarikhnya.
Muaz mengambil pengajian dalam bidang Fiqh, Usul dan
Istidlal di Jabatan Pengajian Islam. Jabatan ini berada di bawah Fakulti
Sains Kemanusiaan atau dalam bahasa Arabnya كلية
العلوم الإنسانية (Kulliyyat al-‘Ulūm
al-Insāniyyah).
Université Cadi Ayyad atau جامعة
القاضي عياض merupakan sebuah
universiti awam yang ditubuhkan pada tahun 1978. Daripada sebuah
institusi pengajian tinggi di Marrakech, universiti ini kemudiannya berkembang
dengan pelbagai institusi dan kampus di beberapa bandar lain di wilayah
sekitarnya.
Apa yang menarik perhatian saya ialah nama universiti ini
sendiri.
Antara karya beliau yang paling masyhur ialah al-Shifā’
bi Ta‘rīf Ḥuqūq al-Muṣṭafā (الشفا بتعريف حقوق
المصطفى), sebuah karya penting yang membicarakan kedudukan, kemuliaan
dan hak Rasulullah SAW.
Terasa istimewa apabila sebuah universiti moden mengambil
nama seorang ulama besar. Seolah-olah nama itu sendiri menjadi peringatan
bahawa universiti bukan sekadar tempat mendapatkan sijil, tetapi tempat
menyambung warisan ilmu yang telah dibina oleh para ulama sejak ratusan tahun
dahulu.
Walaupun bangunan fakulti tempat Muaz belajar kelihatan agak
klasik dan berusia, kawasannya amat bersih dan teratur. Saya mengambil peluang
berjalan melihat bilik-bilik kuliah dan kawasan sekitar fakulti. Saya juga
sempat bertemu dengan beberapa orang pensyarah Muaz.
Alhamdulillah, saya bersyukur apabila mengetahui Muaz
berpeluang menuntut ilmu daripada pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam
bidang fiqh dan usul. Bagi seorang ayah, melihat sendiri tempat anak menimba
ilmu memberikan satu perasaan yang sukar digambarkan.
Apabila berjalan di sekitar fakulti ini, terasa seolah-olah
saya kembali ke zaman silam. Bangunannya berwarna merah bata, seakan-akan
dibina daripada tanah merah yang begitu sinonim dengan seni bina Marrakech.
Bangunan-bangunan itu pula dihiasi dengan pokok-pokok dan
bunga-bungaan. Gabungan warna merah tanah, kehijauan pepohon dan suasana kampus
yang sunyi menjadikan persekitarannya cukup indah dan harmoni.
Suasananya amat menenangkan.
Ketika kami datang, Universiti Cadi Ayyad tidak begitu sibuk
kerana sedang berada dalam musim cuti semester dan keputusan peperiksaan baru
sahaja diumumkan. Kebanyakan pelajar sudah pulang. Hanya kelihatan sebahagian
pelajar pascasiswazah yang datang untuk urusan akademik atau menghadiri
pembentangan dan seminar yang telah dijadualkan.
Kebetulan pada hari itu berlangsung satu sesi viva voce
seorang pelajar PhD yang turut dibuka kepada orang ramai.
Saya sebenarnya teringin untuk masuk dan melihat sendiri
bagaimana sesi pembentangan PhD dijalankan di universiti Maghribi. Tentunya
menarik untuk melihat budaya perbahasan dan tradisi keilmuan mereka.
Namun masa tidak mengizinkan.
Kami perlu segera meneruskan perjalanan ke Casablanca yang
jaraknya sekitar 240 hingga 250 kilometer dari Marrakech. Kami mahu sampai
sebelum Zuhur supaya berpeluang memasuki Masjid Hassan II dan menunaikan solat
di sana.
Sebelum meninggalkan kampus, saya sempat memandang sekali
lagi bangunan tempat Muaz menuntut ilmu.
Sebagai seorang ayah, saya hanya mampu berdoa:
اللَّهُمَّ انْفَعْهُ بِمَا
عَلَّمْتَهُ، وَعَلِّمْهُ مَا يَنْفَعُهُ، وَزِدْهُ عِلْمًا
“Ya Allah, berilah manfaat kepadanya dengan ilmu yang
Engkau ajarkan, ajarkanlah kepadanya ilmu yang bermanfaat, dan tambahkanlah
ilmunya.”
Melihat sendiri tempat anak menuntut ilmu di bumi yang jauh
membuatkan saya semakin memahami bahawa perjalanan mencari ilmu bukan sekadar
perjalanan mendapatkan segulung ijazah. Ia adalah perjalanan membentuk
pemikiran, adab dan kehidupan.
Saya teringat doa yang Allah SWT ajarkan kepada Rasulullah
SAW:
وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا
“Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, tambahkanlah kepadaku
ilmu.”
(Surah Taha: 114)
Semoga bumi Universiti Cadi Ayyad ini menjadi salah satu
tempat yang membentuk Muaz menjadi insan berilmu, beradab dan mampu memberikan
manfaat kepada agama serta masyarakat apabila pulang ke tanah air nanti.
Kami pun meninggalkan universiti dan memulakan perjalanan
menuju Casablanca.
Masih ada hampir 250 kilometer perjalanan yang
menanti.
No comments:
Post a Comment