Friday, December 24, 2021

APA YANG MEREKA MAHU SEBENARNYA?

Usai muzakarah kitab Fathulbari bersama Dr Muhsin Audah hari Rabu lepas. Kami bersembang tentang keadaan beberapa rakan kami yang menolak vaksin. Ramai juga agamawan yang berkeras tidak mahu mengambil vaksin dengan pelbagai alasan walaupun keputusan mereka itu menyusahkan pihak lain terutama bagi mereka yang bekerja kerajaan.


“Sebenarnya apa yang mereka ni mahu?”

“Mereka ni mahu pahala dan taqwa kah?”

“Adakah mengambil vaksin itu satu dosa?”

“ Kita sebagai orang beriman perlu tahu siapa kita. Adakah kita ini alim mujtahid yang boleh membuat keputusan sendiri sehingga mengenepikan pandangan para ulamak muktabar moden. Adakah itu yang dikatakan takwa?”

Itulah antara respon Dr Muhsin kepada persoalan kami. Ya, memang pendirian mereka ini bukan sahaja menyebabkan diri mereka susah. Malah mereka juga telah menyusahkan orang sekeliling, lebih lebih lagi bagi mereka yang bekerja dalam sektor pendidikan. Ramai yang tidak berpuas hati dengan golongan ini kerana diberi banyak kelonggaran dalam kerja dan kerja mereka terpaksa dipikul oleh orang lain.

Hidup ini janganlan menyusahkan orang lain. Kerana ia juga adalah dosa. Buatlah keputusan yang terbaik demi masa depan kita di dunia dan akhirat.

Thursday, September 02, 2021

BANGUNLAH DI SATU PERTIGA MALAM

Bangun bertahajjud pada waktu pagi 3 jam sebelum subuh.  Saat itulah waktu yang paling selesa untuk tidur dan berehat. Namun saat itu lah waktu yang paling baik untuk bermunajat mengadap Allah Taala.





Al Quran banyak memberi panduan kepada kita bagaimana melihat dan menilai masa yang berkualiti. Antaranya ialah saat membina hubungan dengan Allah Taala. Allah memberi peringatan dalam ayat 79 Surah al Isra’:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا (79)

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

Walaupun ia tidak diwajibkan, namun Allah menyebut dengan jelas sebagai ibadat tambahan atau ibadat sunat menunjukkan bahawa betapa tingginya tahap ibadat tahajjud itu sendiri. Kerana ia adalah ibadah yang akan membentuk jiwa dan jati diri manusia.

 

 إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا (6)

Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.

Inilah yang menjadi amalan harian Rasulullah, para sahabat dan juga tokoh-tokoh Islam dulu dan kini. Amalan inilah yang memberi kekuatan kepada pejuang dan juga pendakwah untuk menghadapi cabaran dalam menegakkan Islam dalam kehidupan.

Marilah kita berusaha untuk menjejak langkah ini.

Walaupun ianya amat susah dan berat.

Tapi itulah mujahadah dan perjuangan.

Berjuang dulu melawan diri sendiri sebelum mengorak langkah.

Berjaya istiqamah ibadah tahajjud insya Allah Islam akan kembali mulia.