Selepas melepasi sempadan Jordan dan setelah selesai urusan imigresen kami berhenti sekejap di Pekan Ramtha. Urusan imigresen di sebelah Jordan amat lancar sama dengan sebelah Syiria. Cuma tanpa bayaran Bakhsyis (tips). Dua penumpang Arab yang bersama kami turun di Pekan Ramtha. Tinggal saya dan Yusof dalam teksi.
Pemandu minta saya duduk di hadapan sebelahnya sebagai teman
berbual. Kali ini pemandu kami Ammu Jamal amat peramah, berbanding semasa
perjalanan dari Damsyik ke sempadan. Dia hanya diam seribu bahasa dan hanya
beberapa patah perkataan saja yang keluar dari mulutnya.
Saya bertanya kepada saya kami buat apa di Syiria.
“Syu bitammal fi Dimasyk?” (Kamu buat apa di
Damsyik?).
Saya memberitahu kami hanya melancong melawat tempat-tempat
bersejarah. Kami pergi sampai ke Halab dan macam-macam lagi. Dia memberitahu
saya bawa pandangannya Syiria tak sesuai untuk diziarahi. Bahaya dari aspek
keselamatan. Mabahis (mata-mata) ada di merata tempat. Mereka mencari kesalahan
rakyatnya dan juga orang luar yang melanggar undang-undang. Bukan sekadar itu
saja. Apa yang menakutkan mereka mencari maklumat mereka yang tidak suka kepada
Presiden mereka Hafiz al Asad.
Kalau ada maklumat sesiapa saja yang mencela atau
memperlekehkan presiden mereka, siaplah, kalau ditangkap maknanya almarhum lah.
Kemungkinan untuk hidup adalah tipis.
“Dah tu kamu pun kesana setiap hari?” Saya mencelah
“Ini dah kerja saya. Saya cari makan dengan cara ini.
Terpaksalah kesana.” Jawab Ammu Jamal
“Di Syiria rakyat mereka cukup takut kepada kerajaan. Mereka
juga hidup miskin, hinggakan nak makan pun susah.”
“Sesiapa yang memberi maklumat kebencian terhadap Presiden
mereka atau penentangan akan dapat habuan lumayan. Hinggakan ramai rakyat
mereka secara diam-diam mencari makan dengan cara ini.”
“Ada juga yang amat takut kepada tindakan kerajaan jika
ada anasir kebencian dan penentangan
dalam kalangan rakan, jiran atau keluarga sendiri. Kalau ada laporan
satu kampung atau satu keluarga di tangkap dan di penjara atau hilang tanpa
berita. Mungkin di bunuh.”
“Selalu terjadi laporan dibuat oleh keluarga sendiri.
Anak lapor tentang anak. Anak lapor tentang ayah. Pendek kata, ahli keluarga
sendiri pun tidak boleh dipercayai.
Apatah lagi kawan-kawan”.
“Di Syiria ni aku tak percaya pada sesiapa pun. Tu yang
kamu lihat saya senyap banyak cakap”.
“Dalam kereta tadi dengan kami pun tak banyak cakap tadi”.
Saya mencelah.
“Ya.. tadi ada arab dua orang. Aku risau juga boleh jadi
juga mereka mata-mata atau akan beri maklumat demi duit kepada pihak polis. Kamu
berdua orang Malaysia aku yakin tak akan buat begitu”.
“Kereta aku sendiri pun aku tak percaya. Boleh jadi
kereta aku boleh buat laporan pada polis aku tak suka pada presiden Syiria.”
“Sekarang kita ada di Jordan negara aku sendiri. Lega
bila kita sudah melepasi sempadan. Bebas sikit nak bercakap”.
Saya dan Yusof ketawa mendengar kata-kata Ammu Jamal. Panjang
lebar Ammu Jamal bercerita kepada kami tentang keadaan di Syiria. Aku mengesahkan
ceritanya kerana dalam tempoh seminggu lebih kami di Syiria banyak pengalaman
yang kami lalui. Dalam beberapa negara Arab yang sudah saya sampai, Syiria lah negara
yang menggerunkan kami. Hati kami tidak tenang sepanjang kami berada di sana.
Sekarang kami sudah sampai ke Jordan. Negara kami yang kedua
selepas Malaysia. Negara yang bebas untuk rakyatnya hidup dan mengemukakan
pandangan. Saya bersyukur kerana lahir di Malaysia negara yang aman dan bebas.
Saya simpati dengan rakyat Syiria yang di kawal begitu
sekali. Rakyat mereka di sogokkan dengan maklumat bahawa negara mereka sajalah yang
paling maju di dunia. Sehinggakan ketika di Halab ada seorang bertanya kepada
saya adakah Malaysia mempunyai jalan raya seperti mereka. Mereka menganggap bahawa
kereta yang ada di negara mereka adalah teknologi yang canggih tak ada di
tempat lain.
Belum dikira lagi tentang kawalan pemikiran. Nasib baik
masih ramai ulamak dan penggiat ilmu agama masih bertahan menjalan tugas
mereka. Suatu hari nanti Allah akan bebaskan Syiria, bumi Syam yang barakah
ini.
Setelah tiba di Stesen teksi di Irbid. Selesai membayar
tambang kepada Ammu Jamal, kami terus menaiki bas balik ke Mafraq. Kami sudah rindu
kehidupan Mafraq yang tenang.
No comments:
Post a Comment