Monday, January 27, 2025

SYIRIA 20: PASPORT SIAP DI COP TAK SAMPAI 5 MINIT!

Saya dan Yusof sambung tidur sekejap selepas solat subuh kerana tidak cukup tidur lantaran gangguan Madam malam tadi. Tiga kali terganggu tidur gara-gara tawaran khidmat madam ke bilik kami. Nasib baik Iman kami kuat dan tidak tergoda dengan tawaran tersebut.

Selepas hampir dua jam kami sambung tidur, saya dan Yusof bangun membersihkan diri dan mengemas barang terus mendaftar keluar hotel. Di Kaunter saya lihat orang lain yang bertugas. Bukan lagi anak muda berkumis nipis yang aku tunjuk penumbuk ke mukanya malam tadi. Mungkin syifnya sudah selesai. 


Kami berjalan kaki ke stesen kereta sewa yang lebih kurang hampir 15 minit berjalan dengan menjinjing beg kami yang agak berat. Beg yang masa datang dulu kosong sekarang penuh terisi dengan barang-barang sebagai hadiah untuk keluarga di Malaysia.

Setelah sampai di stesen teksi, sudah ada teksi yang akan bertolak ke Irbid hanya menunggu seorang saja lagi penumpang. Teksi tersebut mengambil 4 orang penumpang. Saya, Yusuf dan ada seorang lagi Arab Jordan  terpaksa menunggu seorang lagi penumpang untuk penuhkan satu teksi.

Sementara menuggu, saya dan yusof mengambil peluang bersarapan dengan syawarma dan teh panas bersama na’na. Kali terakhir merasai makanan di Syiria. Lebih kurang setengah jam menunggu, pemandu teksi memanggil kami untuk mula bergerak kerana penumpang sudah cukup bilangannya.

Saya, Yusof dan penumpang baharu itu duduk di belakang. Manakalan warga Jordan seorang lagi duduk di hadapan sebelah pemandu. Saya sudah lupa secara tepat tambang teksi tersebut dari Damsyik ke Bandar Irbid. Kalau tak silap ialah sekitar 12 atau 13 Dinar Jordan. Tambang di bayar bila sampai ke destinasi nanti. Jadi duit Lira saya masih masih berbaki sekitar 50 lira lagi.

Sepanjang perjalanan kami semua senyap membungkam. Sesekali terdengar pemandu berbual dengan warga Jordan sebelahnya. Tapi sekadar perbualan pendek. Semuanya melayan perasaan masing-masing. Saya dan Yusof melayan tidur lagi. Sekali sekala bila tersedar saya memandang keluar tingkap melihat suasana di Syiria. Dari segi muka bumi sama sahaja antara negara Syiria dan Jordan seolah tak ada beza langsung. Apa yang berbeza ialah sedikit pertuturan dan penampilan masyarakat sahaja. Itupun hanya golongan warga emas.

Saya tersedar dari tidur bila dikejutkan oleh pemandu teksi meminta kami semua memasukkan duit 10 lira dalam pasport masing-masing.

“Hattu asyara lira juwwa al jawaaz.” (letakkan 10 lira dalam pasport)

“Syu ya ammu. Haaza khata’ haza rashwah”. (Apa ni Pakcik. Ini salah. Ini Rasuah). Aku membantah. Tak pernah aku buat kerja ini walaupun banyak kali juga aku lalui mana-mana sempadan mesti letak duit dalam pasport.

Biddak ta’uud ilal Urdun wa la laa?’”. (Kamu nak balik Jordan atau tidak?)

Sergah Ammu Jamal, pemandu teksi tu pada saya dan Yusuf. Saya lihat penumpang Arab sebelah kami pun sudah siap meletakkan duit dalam pasport dan menghulurnya kepada pemandu Ammu Jamal.

Haati jawaz. Antum Khallu fis sayyarah”. (Beri kepada saya pasport. Kamu semua kekal dalam kereta).

Arah Ammu jamal sambil keluar membawa pasport kami semua.

Saya lihat dia berjalan ke dalam bangunan dan tak sampai 5 minit saya lihat dia sudah keluar dan masuk balik ke dalam kereta. Dia agihkan pasport kepada kami semua dalam kereta.

Cepatnya selesai. Amat berbeza dengan urusan ketika kami datang dahulu. Saya membelek pasport. Ya. Sudah siap di cop keluar dari Syiria. Rupanya kena masukkan angpow dalam pasport. Ketika kami datang dulu tidak ada siapa pun bagitahu kepada kami tips ini. Patutlah kami disidai lebih 3 jam menunggu pasport untuk di cop.

Rupanya mereka yang sekejap saja selesai sudah tahu tips sebenar untuk berurusan dengan imigresen Syiria. Kami tak perlu pun keluar tunjuk muka kami untuk di cop pasport. Boleh dikirim saja kepada sesiapa sahaja bila sudah diletakkan angpow dalam pasport.

Kemudia teksi kami ditahan lagi untuk pemeriksaan kastam. Beg saya di buka dan petugas melihat banyak lembaran tulisan khat sulam yang saya beli untuk hadiah keluarga. Saya dikenakan cukai 20 lira hanya  dibayar kepada pegawai tersebut tanpa resit.

Ammu Jamal memarahi saya kerana tidak memaklumkan kepadanya bahawa saya membawa banyak barang. Katanya kalau dia tahu dari awal dia boleh tolong ja untuk lepaskan tak perlu bayar cukai. Mereka tidak akan buat pemeriksaan pun. Saya kata kalau kena bayar, sama saja rasuah dengan cukai tadi.

“la.. Basiitah. Bass Haza..Khalas… masyil hall..” ( Tidak.. mudah ja.. cukup hanya ini.. semua selesai) Nafi Ammu Jamal sambil dia tunjukkan rokok yang sedang di hisap di jarinya…

Ohh.. Hanya dengan sebatang rokok sahaja mereka dah tak perlu buat pemerksaan barang. Begitu rupanya keadaan pegawai yang menjaga sempadan. Terdetik di hati ini, kalaulah beginilah keadaan di seluruh Syiria negara ini akan hancur satu hari nanti.

Saya hanya mampu berdoa agar hal sebegini tidak berlaku di Malaysia, negaraku yang tercinta..


No comments: