Satu hari saya didatangi oleh Mus. Beliau ada seorang pelajar yang aktif dalam program rakan iman. Sentiasa bersemangat dan selalu mempunyai idea untuk tingkatkan perkembangan program rakan iman. Saya amat berterima kasih kepadanya.
“Ustaz, ada seorang pelajar ni dia suruh tanya ustaz. Dia kristian. Bolehkah dia hadir di Masjid al Aqsa nak ikut dengan kuliah maghrib Ustaz?”.
Memang di SMK Elopura, semua pelajar asrama muslim wajib hadir ke masjid untuk solat maghrib dan mendengar kuliah maghrib. Pelajar perempuan yang uzur pun diwajibkan hadir. Mereka akan menunggu di belakang ketika solat maghrib. Mereka akan duduk bersama pelajar perempuan lain bila kuliah maghrib dimulakan.
Jadi, hanya
pelajar non Muslim sahaja yang akan
berada di asrama di waktu maghrib hingga isyak.
“Harry Sim bilang dia boring berada di asrama sebab
tiada kawan”.
“Dari dia duduk saja di asrama bagus dia dengar kuliah ustaz. Lagi pun saya
nampak dia banyak berminat tentang Islam”.
“Boleh saja, kalau dia mahu, kita tak boleh paksa. Cuma jangan timbul cerita kita yang bawa dia ke masjid untuk dakwah dia masuk Islam. Payah kita nanti”. Saya memberikan kebenaran dengan bersyarat.
Harry Sim adalah pelajar baru masuk ke SMK Elopura. Di SMKE ini jumlah pelajar non muslim agak ramai juga sekitar 30 peratus juga. Saya tidak kenal Harry Sim ini kerana ia pelajar baru tingkatan 6 dan saya tidak mengajarnya. Si Mus pun tak bawa dia jumpa saya. Hanya sekadar menjadi orang tengah minta kebenaran untuk hadi ke masjid al Aqsa mendengar kuliah maghrib.
Oleh kerana bilangan pelajar muslim ramai banyak program diatur untuk mereka. Bagi pelajar asrama diwajibkan solat berjamaah dan yang paling besar ialah program rakan iman yang memberi fokus pembacaan al Quran dan juga pemantapan ilmu fardu ain secara berkumpulan. Jadi setiap hari meriah dengan program. Manakala pelajar non muslim bebas dengan tiada program khusus untuk mereka.
Selepas beberapa hari Mus datang lagi berjumpa saya . Mus memberitahu bahawa Harry Sim gembira saya benarkan dia ke masjid dan akur dengan apa yang saya tegaskan . Dia perlu mengatakan bahawa dia sendiri yang mahu hadir ke masjid tiada siapa yang ajak. Dia juga sudah dapat kebenaran saya untuk hadir. Dia perlu jelaskan ini jika timbul persoalan dan pertanyaan dari guru dan juga pelajar lain.
“Tapi ustaz, boleh kah orang non muslim masuk ke dalam masjid?. Ada beberapa orang pelajar beritahu saya haram bagi orang non muslim masuk ke masjid. Alasan mereka non muslim ni dikira najis”.
“Jadi sebenarnya saya jadi ragu-ragu. Saya risau juga mereka nanti akan menghalang Harry Sim atau memberitahu Harry Sim tentang ini”.
Mus mengemukakan kemusykilan berkaitan keadaan Harry Sim ke masjid.
“ Tak mengapa. Nanti malam ini saya terangkan kepada pelajar semua tentang keadaan sebenar isu non Muslum masuk kedalam masjid agar semua pelajar pendapat penerangan yang jelas dari saya sendiri.”
“Harry Sim akan hadirkan malam ni?”. tanya saya.
“Ya, dia akan hadir malam ini”. Jawab Mus sambil melirik senyum gembira.
Pada malam tersebut kuliah maghrib saya berfokuskan tentang peranan Masjid dalam masyarakat Islam. Saya langsung tidak menyentuh tentang Harry Sim yang minta hadir ke masjid. Saya pun tak bertanya siapa Harry Sim dalam kalangan pelajar. Saya hanya berkuliah seperti biasa.
Saya menerangkan tentang isu non muslim masuk ke masjid yang terbahagi kepada dua pandangan.
Pandangan
pertama yang berpegang kepada haram bagi
non muslim masuk ke masjid berdasarkan dalil ayat al Quran Surah al Taubah ayat 28:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu kotor, maka janganlah mereka mendekati Masjidil haram sesudah tahun ini..
Dalil yang kedua ialah ayat 18 surah al taubah;
إِنَّمَا يَعْمُرُ
مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ
الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ
Maksudnya: Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat.
Imam Nawawi dan juga Imam Malik mengharamkan non Muslim masuk ke masjid.
Manakala pandangan kedua pula mengharuskan non Muslim masuk ke masjid dengan dengan menggunakan dalil yang sama iaitu ayat 28 Surah al taubah. Imam al Syafie berpendapat bahawa larangan non muslim masuk ke masjid hanya terikat kepada masjidil haram saja dan tidak kepada masjid yang lain.
Terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Imam al Bukahri
yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat
oleh Rasulullah SAW di dalam masjid yang ditangkap atas satu kesalahan:
بعث رسول اللَّهِ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ
فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ من بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ له ثُمَامَةُ بن أُثَالٍ
فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ من سَوَارِي الْمَسْجِدِ
Maksudnya : Rasulullah SAW menghantar seorang berkuda di
arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah ( sedang mengintip)
yang bernama Thumamah Bin Uthal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang
masjid
Selepas tiga hari, akhirnya setelah dia melihat bagaimana
umat islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya
keadaannya, dia akhirnya memeluk Islam kerana tertawan melihat keindahan
kehidupan dan ibadah umat Islam.
Baginda juga pernah menerima orang Kristian dari Najran
didalam masjid baginda di Madinah. Apabila tiba waktu sembahyang mereka, mereka
akan bersembahyang di masjid menghadap ke arah timur. Rasululllah SAW bersabda,
yang bermaksud: “Biarkan mereka”.
Saya memberitahu
kepada pelajar bahawa kita di Malaysia berpegang kepada pandangan yang
kedua ini. Banyak maslahah dan kebaikan yang boleh raih sesuai dengan negara Malaysia
yang majmuk. Saya menggalakkan pelajar
untuk membawa pelajar non Muslim ke masjid untuk melihat sendiri
bagaimana cara orang Islam beribadah.
Apa yang orang islam sembah.
Jangan sekali-kali kita menegah dan menghalang non muslim
masuk ke masjid jika mereka berniat
baik. Lain lah kalau mereka berniat
tidak baik dan tidak beradab seperti masuk dengan kasut atau membuat
bising dalam masjid. Jadi sebagai para sahabat yang menyambut baik Thumamah dan
beramah mesra denganya walaupun dia dalam keadaan terikat di tiang masjid.
Saya juga menyebut mudah-mudahan jika ada pelajar non muslim yang datang ke masjid boleh jadi
mereka mengikut jejak langkah Thamamah
yang masuk islam setelah memerhatikan
cara orang islam solat dalam masjid dan tertarik dengan akhlak mulia Islam.
Saya memerhatikan juga di kalangan pelajar lelaki dimanakah
Harry Sim. Saya tidak dapat mengenali
yang mana satu Harry Sim kerana ketika itu ramai pelajar yang baru dari kalangan
pelajar tingkatan 6. Usai solat Isyak
saya bertanya kepada Mus dimanakah Harry
Sim.
“Ada tadi ustaz . Dia dibelakang. Lepas kuliah ustaz tadi semasa azan Isyak dia pulang.”
Begitulah keadaan Harry Sim padi hari-hari yang lain. Dia
hadir ke masjid selepas selesai solat Maghrib
dan akan pulang ketika azan Isyak. Dia duduk bersama pelajar lain . Alhamdulillah
selepas penerangan saya tentang keharusan non muslim masuk ke masjid tidak ada
lagi suara-suara pelajar selepas itu.
No comments:
Post a Comment