Friday, January 31, 2025

HARRY SIM 2: MAHU SOLAT WALAUPUN BELUM SYAHADAH

Selepas beberapa  bulan Harry Sim sentiasa ke Masjid al Aqsa hampir setiap malam  untuk mendengar kuliah maghrib dari Ustaz-ustaz SMKE, Mus datang lagi berjumpa dengan saya.

Ustaz! Harry minta saya tanyakan. Boleh kah dia ikut solat bersama dengan pelajar lain walaupun dia belum Islam”.

“Mengapa dia nak solat?” Tanya saya minta kepastian kerana dia belum lagi mengucap syhadah secara rasmi.

“Dia  bilang   seronok tengok pelajar lain solat. Dia tertarik dengan pergerakan solat yang dia lihat. Dia mahu rasa bagaimana  keadaan pergerakan solat tu”.

“Dia mahu belajar solat juga”. Terang Mus kepada saya.

Boleh. Tiada masalah. Ok ja. Terpulang pada dia lah. Nanti Mus ajarlah dia bagaimana cara untuk solat tu. Terangkan kepada dia tentang susun atur pergerakan solat. Terangkan juga tentang falsafah pergerakan solat kepadanya agar dia faham”. Saya memberi panduan kepada Mus untuk membimbing Harry Sim untuk solat. 


Beberapa kali dalam kuliah maghrib saya lihat Harry Sim berada  di bahagian depan bukan lagi dibelakang seperti dulu. Dulu dia hadir ke masjid selepas pelajar lain selesai solat maghrib dan  tiada ruang lagi di hadapan .  Dia terpaksa  duduk di belakang. Saya mendidik pelajar saya agar sentiasa berebut untuk berada paling hadapan berdekatan dengan pengkuliah. Semakin dekat dengan pengkuliah samakin banyak dapat barakah ilmu.

Kali ini Harry Sim berada di depan  mungkin dia solat di saf bertama atau kedua. Pelajar lain pun sudah boleh menerima kehadiran Harry Sim bersama mereka dan menganggap tidak  asing lagi walaupun mereka tahu  Harry Sim masih lagi belum Islam.

“Harry Sim sudah ingat pergerakan solat. Cuma bacaan solat tu dia belum hafal. Dia sekadar ikut pergerakan saja. Boleh kah saya ajar dia bacaan solat. Dia minta saya ajarkan. Tetapi saya bilang mahu tanya ustaz dulu.”   Mus datang bertanya kepada saya satu hari ketika waktu rehat.

Boleh saja. Ajar asas penting dulu. Surah al fatihah dan tahiyyat. Ajar sekali dengan makna sekali agar dia faham dan hayati    apa yang terkandung dalam bacaan tersebut”.

“Bagaimana dengan  falsafah pergerakan solat ? Kamu dah terangkan kepadanya kah?”.

“Belum ustaz. Saya hanya bercerita tentang  susunan pergerakan solat saja kepadanya. Lagi pun dia  solat ikut saja pergerakan orang lain.  Dia tak solat sendiri lagi.”

“Saya pun tak tahu sangat tentang falsafah pergerakan solat. Nanti ustaz terangkan dalam kuliah Maghrib nanti. Semua pelajar boleh tahu juga.”  Mus mencadangkan kepada saya.

Kuliah maghrib minggu tersebut saya memberi penerangan tentang falsafah pergerakan solat.  Kenapa ia sangat istimewa. Solat yang dilakukan dengan betul dan khusyuk dapat mencegah seseorang dari melakukan perkara mungkar.

Falsafah pergerakan solat dalam Islam bukan sekadar ritual fizikal, tetapi mengandungi makna rohani, disiplin, dan pengajaran yang mendalam. Setiap pergerakan dalam solat mempunyai simbolik dan tujuan tertentu yang berkait rapat dengan hubungan antara hamba dan Penciptanya (Allah SWT). Berikut adalah penjelasan falsafah di sebalik pergerakan solat:

1. Berdiri (Qiyam)

  • Falsafah: Berdiri melambangkan kesediaan, ketundukan, dan fokus sepenuhnya kepada Allah. Ia menggambarkan kesedaran manusia tentang keagungan Allah dan kedudukannya sebagai hamba.
  • Pengajaran: Manusia perlu sentiasa sedar akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah dan bersedia melaksanakan perintah-Nya.

2. Takbiratul Ihram (Mengangkat Tangan dan Mengucap "Allahu Akbar")

  • Falsafah: Takbir menandakan permulaan solat dan pemutusan hubungan sementara dengan dunia luar. Ia melambangkan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.
  • Pengajaran: Manusia perlu mengakui kebesaran Allah dan meletakkan segala urusan dunia di bawah kekuasaan-Nya.

3. Rukuk (Membongkok)

  • Falsafah: Rukuk melambangkan kerendahan hati dan pengakuan akan kelemahan diri sebagai makhluk. Ia juga menggambarkan kesediaan untuk tunduk kepada perintah Allah.
  • Pengajaran: Manusia perlu sentiasa rendah hati dan tidak sombong, kerana segala kekuatan dan kemampuan datang dari Allah.

4. Iktidal (Berdiri Selepas Rukuk)

  • Falsafah: Iktidal melambangkan keseimbangan antara kerendahan hati (rukuk) dan kekuatan (berdiri). Ia juga menggambarkan kesedaran manusia untuk bangkit setelah tunduk kepada Allah.
  • Pengajaran: Manusia perlu sentiasa mencari keseimbangan dalam hidup, antara tunduk kepada Allah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.

5. Sujud

  • Falsafah: Sujud adalah simbolik penyerahan diri yang paling tinggi. Kedudukan dahi menyentuh tanah melambangkan kerendahan dan kehambaan yang mutlak kepada Allah.
  • Pengajaran: Manusia perlu sentiasa mengingati asal-usulnya (tanah) dan mengakui bahawa segala kemuliaan hanya milik Allah.

6. Duduk Antara Dua Sujud

  • Falsafah: Duduk antara dua sujud melambangkan permohonan ampun dan rahmat dari Allah. Ia juga menggambarkan hubungan intim antara hamba dan Penciptanya.
  • Pengajaran: Manusia perlu sentiasa memohon keampunan dan rahmat Allah dalam setiap keadaan.

7. Tahiyyat (Duduk Akhir)

  • Falsafah: Duduk tahiyyat melambangkan kesyukuran dan pengakuan terhadap kebesaran Allah serta penghormatan kepada Nabi Muhammad SAW.
  • Pengajaran: Manusia perlu sentiasa bersyukur dan menghormati ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

8. Salam (Memberi Salam)

  • Falsafah: Memberi salam ke kanan dan kiri melambangkan doa dan harapan agar rahmat Allah dilimpahkan kepada seluruh makhluk.
  • Pengajaran: Manusia perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk dirinya dan orang lain.

 

Saya juga menerangkan bahawa agama Islam menitik beratkan hubungan  makhluk dengan  penciptanya   sehingga perlu  dikalukan  sebanyak lima kali sehari. Namun Ia boleh dilakukan diamana-mana sahaja.  Tidak semestinya di lakukan di Masjid atau surau. Cuma jika ia dilaksanakan secara berjamaah itu adalah lebih baik dan kelebihannya adalah banyak.

Sudah semestinya sesiapa yang erat hubungan dengan Allah dengan solat 5 kali sehari  dan solat dilaksankan dengan penuh penghayatan akan menambahkan kali keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.  Dalam penutup kuliah saya melontarkan persoalan  minta pelajar membuat perbandingan dengan cara ibadah agama lain.

Thursday, January 30, 2025

HARRY SIM 1: BOLEHKAH SAYA HADIR KULIAH MAGHRIB DI MASJID?

 Satu hari saya didatangi oleh Mus. Beliau ada seorang pelajar yang aktif dalam program rakan iman. Sentiasa bersemangat dan  selalu mempunyai idea untuk tingkatkan  perkembangan program rakan iman. Saya amat berterima kasih kepadanya.

Ustaz,  ada  seorang pelajar   ni dia suruh tanya ustaz. Dia kristian. Bolehkah dia hadir di Masjid al Aqsa nak ikut dengan kuliah maghrib  Ustaz?”.

Memang di SMK Elopura, semua pelajar asrama muslim wajib hadir ke masjid untuk solat maghrib  dan mendengar kuliah maghrib.  Pelajar perempuan yang uzur pun diwajibkan hadir. Mereka akan menunggu di belakang ketika solat maghrib. Mereka akan duduk bersama pelajar perempuan lain bila kuliah maghrib dimulakan. 

Jadi, hanya pelajar non  Muslim sahaja yang akan berada di asrama di waktu maghrib hingga isyak.

“Harry  Sim bilang dia boring berada di asrama sebab tiada kawan”.


“Dari dia duduk saja di asrama bagus dia dengar kuliah ustaz. Lagi pun saya nampak dia banyak berminat tentang Islam”.

Boleh saja, kalau dia mahu, kita tak boleh paksa. Cuma jangan timbul cerita kita yang bawa dia ke masjid untuk dakwah  dia masuk Islam. Payah kita nanti”. Saya memberikan kebenaran dengan bersyarat.

Harry Sim adalah pelajar baru masuk ke SMK Elopura. Di SMKE ini jumlah pelajar non muslim agak ramai juga sekitar 30 peratus juga. Saya tidak kenal Harry Sim ini kerana ia pelajar baru tingkatan 6 dan saya tidak mengajarnya. Si Mus pun tak bawa dia jumpa saya. Hanya sekadar menjadi orang tengah minta kebenaran untuk hadi ke masjid al Aqsa mendengar kuliah maghrib.

Oleh kerana bilangan pelajar muslim ramai banyak program diatur untuk mereka. Bagi pelajar asrama diwajibkan solat berjamaah dan yang paling besar ialah program rakan iman yang memberi fokus pembacaan al Quran dan juga pemantapan ilmu fardu ain secara berkumpulan. Jadi setiap hari meriah dengan program. Manakala pelajar non muslim bebas dengan tiada program khusus untuk mereka. 

Selepas beberapa hari Mus datang lagi berjumpa saya . Mus memberitahu bahawa Harry Sim gembira saya benarkan dia ke masjid dan akur dengan apa yang saya  tegaskan . Dia  perlu mengatakan  bahawa dia sendiri yang mahu hadir ke masjid tiada siapa yang ajak. Dia juga sudah dapat  kebenaran saya untuk hadir.   Dia perlu jelaskan ini jika timbul persoalan dan pertanyaan dari guru dan juga pelajar lain.

“Tapi ustaz,  boleh kah orang non muslim masuk ke dalam masjid?. Ada beberapa orang pelajar beritahu saya haram bagi orang non muslim masuk ke masjid. Alasan mereka non muslim ni dikira najis”.

“Jadi sebenarnya saya jadi ragu-ragu. Saya risau juga mereka nanti akan menghalang  Harry Sim atau memberitahu Harry Sim tentang ini”.

Mus mengemukakan kemusykilan berkaitan  keadaan Harry Sim ke masjid. 

“ Tak  mengapa. Nanti malam ini saya terangkan  kepada pelajar semua tentang keadaan sebenar isu non Muslum masuk kedalam masjid agar semua pelajar pendapat penerangan yang jelas dari saya sendiri.”

“Harry Sim akan hadirkan malam ni?”. tanya saya.

“Ya, dia  akan hadir malam ini”.  Jawab Mus sambil  melirik senyum gembira.

Pada malam tersebut kuliah maghrib saya   berfokuskan tentang peranan Masjid dalam masyarakat Islam.  Saya langsung tidak menyentuh tentang  Harry Sim yang minta hadir  ke masjid. Saya pun tak bertanya siapa Harry Sim dalam kalangan pelajar. Saya   hanya berkuliah seperti biasa.

Saya menerangkan tentang isu non muslim masuk ke masjid yang  terbahagi kepada dua pandangan. 

Pandangan pertama yang berpegang kepada  haram bagi  non muslim masuk ke masjid  berdasarkan  dalil ayat al Quran Surah al Taubah ayat 28:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا 

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu kotor, maka janganlah mereka mendekati Masjidil haram sesudah tahun ini..

Dalil yang kedua ialah ayat 18 surah al taubah;

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ

Maksudnya: Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat.

Imam Nawawi dan juga Imam Malik mengharamkan non Muslim masuk ke masjid. 

Manakala pandangan kedua pula mengharuskan non Muslim masuk ke masjid dengan dengan menggunakan dalil yang sama iaitu ayat 28 Surah al taubah. Imam al Syafie berpendapat bahawa larangan non muslim masuk ke masjid hanya terikat kepada masjidil haram saja dan tidak  kepada masjid yang lain.

Terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Imam al Bukahri yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh Rasulullah SAW di dalam masjid yang ditangkap atas satu kesalahan:

بعث رسول اللَّهِ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ من بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ له ثُمَامَةُ بن أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ من سَوَارِي الْمَسْجِدِ

Maksudnya : Rasulullah SAW menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah ( sedang mengintip) yang bernama Thumamah Bin Uthal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid

Selepas tiga hari, akhirnya setelah dia melihat bagaimana umat islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya, dia akhirnya memeluk Islam kerana tertawan melihat keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.

Baginda juga pernah menerima orang Kristian dari Najran didalam masjid baginda di Madinah. Apabila tiba waktu sembahyang mereka, mereka akan bersembahyang di masjid menghadap ke arah timur. Rasululllah SAW bersabda, yang bermaksud: “Biarkan mereka”.

Saya memberitahu  kepada pelajar bahawa kita di Malaysia berpegang kepada pandangan yang kedua ini. Banyak maslahah dan kebaikan  yang boleh raih sesuai dengan negara Malaysia yang majmuk. Saya menggalakkan pelajar  untuk membawa pelajar non Muslim ke masjid untuk melihat sendiri bagaimana  cara orang Islam beribadah. Apa yang orang islam sembah.

Jangan sekali-kali kita menegah dan menghalang non muslim masuk ke masjid  jika mereka berniat baik. Lain lah  kalau mereka berniat tidak baik dan tidak beradab seperti masuk dengan kasut atau   membuat bising dalam masjid. Jadi sebagai para sahabat yang menyambut baik Thumamah dan beramah mesra denganya walaupun dia dalam keadaan terikat di tiang masjid.

Saya juga menyebut mudah-mudahan jika ada pelajar  non muslim yang datang ke masjid boleh jadi mereka  mengikut jejak langkah Thamamah yang  masuk islam setelah memerhatikan cara orang islam solat dalam masjid dan tertarik dengan akhlak mulia Islam.

Saya memerhatikan juga di kalangan pelajar lelaki dimanakah Harry Sim.  Saya tidak dapat mengenali yang mana satu Harry Sim kerana ketika itu ramai pelajar yang baru dari kalangan pelajar tingkatan  6. Usai solat Isyak saya bertanya kepada Mus  dimanakah Harry Sim.

Ada tadi ustaz . Dia dibelakang. Lepas kuliah  ustaz tadi semasa azan Isyak dia pulang.”

Begitulah keadaan Harry Sim padi hari-hari yang lain. Dia hadir ke masjid selepas  selesai solat Maghrib dan akan pulang ketika azan Isyak. Dia duduk bersama pelajar lain . Alhamdulillah selepas penerangan saya tentang keharusan non muslim masuk ke masjid tidak ada lagi suara-suara pelajar selepas itu.

Wednesday, January 29, 2025

KUNCI PINTU, NAIKKAN CERMIN, JANGAN BERHETI JIKA DITAHAN

 Satu malam,  ketika pulang dari program sahabat Iman dengan  geng pemuda sandakan , ada sepasang suami isteri menahan kereta saya. Ketika itu malam sudah amat lewat . Jam  menunjukkan  hampir jam 12 malam. Waktu yang amat lewat bagi kami di Sandakan.  Saya baru saja masuk Taman Fajar kawasan taman rumah saya. 


 

Mereka adalah pasangan muda suami  isteri  umur lewat 20an. Si isteri dilihat sengan mengendong bayi kecil dalam umur beberapa bulan.

 

Encik! Boleh  tolong kami tak?.  Bayi kami demam panas. Kami perlu balik ke  rumah ibubapa kami di batu dua”.

 

“Semua klinik suudah tutup. Ayah saya  pandai buat rawatan tradisional.”

 

Si suami merayu pada pada saya. Isterinya memandang saya dengan wajah penuh pengharapan.


“Kamu  tinggal di  sinikah? Tak pernah nampak kamu di sini”. Saya bertanya mendapat  kepastian. Risau juga   kerana waktu sudah lewat malam.

 

“Saya hantar ke hospital lah. Batu satu sudah dekat dengan Hospital Hospital Duchess of Kent Sandakan (HDOK).”

 

“Kami tinggal sini sebab ada kerja renovasi rumah. Nun runah  sana.  Kami tak boleh ke hospital. Kami tak ada dokumen”.

 

Memang sudah menajdi lumrah kebiasaan di Sandakan ini. Ramai pendatang luar yang tiada dokumen diri. Mereka ni menawarkan kerja dengan harga yang murah. Jadi  permintaan kerja mereka amat tinggi di Sandakan.  Kalau mereka sakit  atau perlu rawatan  mereka akan ke klinik swasta atau  rawatan tradisional sahaja.

 

Jauh juga tu batu dua ni . Program tadi di batu 3. Saya  kena patah balik untuk menghantar mereka ke sana. Tapi waktu sudah lewat malam.  Teksi pun tidak ada pada waktu sebegini. Saya mengambil keputusan untuk menghantar mereka. Risau juga jika demam anaknya melarat. Saya juga ada anak kecil memahami kerisauan mereka.

 

Saya mempersilakan mereka masuk.

Setelah hampir sampai  ke batu dua. Si  suami bersuara.

“Nanti  tuan masuk ke jalan balai bomba. Tau kan?”

 

Saya mengiyakan. Saya membelok  ke  jalan Balai bomba tersebut. Saya tak  pernah masuk ke jalan itu.  Jalan itu sangat lengang tiada orang kerana  banyak tanah lapang.    Apa yang saya tahu kawasan ini  dinamakan ICEBOX..  kawasan ini kawasan PATI dari Philipin. Penduduk sini rata-rata tiada dokumen. Patutlah mereka tidak mahu ke hospital . Rupanya pendatang Philipin.

 

Si suami  menunjukkan jalan masuk ke beberapa selekoh dan kami berhenti di jambatan  rumah ke  dalam laut. Kawasan tu  amat gelap.  Mereka berdua turun.

 

“Berapa tambang  yang kami kena bayar?” Tanya si  suami.

“Eh.. Tak payah.. saya hantar ikhlas.” Saya jawab sambil melontar senyuman.

“Kami kena bayar tuan. Tuan telah tolong kami.  Kami dah tahan berapa banyak kereta tadi. Tidak ada siapa yang mahu hantar kami ke sini.”  Si suami mendesak sambil menghulurkan sejumlah duit kepada saya.

 

Tak payah. Saya ikhlas.” Ambil duit ni guna untuk rawatan anak”.  Saya menolak sambil menghulurkan duit itu kembali. Sekilas pandang saya lihat duit tadi RM40 . Si suami mengambil duit tadi dengan berat hati. Si isteri setia menunggi disisinya.

 

Kemudian si suami tunduk medekatkan kepalanya ke tingkap kereta saya.

 

“Encik. Nanti  tutup cermin  semua tingkap  kereta, kunci  pintu dan jangan  berhenti kalau ada sesiapa yang tahan  kereta .”

 

Saya hanya  menganggukkan kepada sambil  mengiyakan permintaannya. Dua kali dia mengulangkan nasihatnya.

 

“Kenapa?” Saya bertanya kembali setelah berasa pelik dengan desakannya.

 

Kawasan ini bahaya encik. Encik saja  yang sanggup hantar kami ke sini. Sudah banyak kereta kami  tahan. Bila kami minta hantar ke sini mereka tidak sanggup. Hanya encik yang sanggup. Saya dan isteri amat terharu encik sanggup hantar kami dan tidak diterima duit.”

 

“Hati-hati ya encik. Ikut pesan saya tadi”.

 

Saya mengangkat tangan dan terus  bergerak balik. Memang kawasan itu sunyi . Tiada pun kelibat manusia ketika itu.  Saya  memastikan kereta saya berkunci dan memandu sambil melihat ke  kiri kanan jalan kalau- kalau ada orang yang menahan kereta. Alhamdulillah  tiada apa  yang berlaku.  Saya sampai di rumah jam satu lebih juga.

 

Esoknya semasa menemani pekerja yang sedang membaiki pagar di rumah saya,   saya menceritakan apa yang  berlaku malam tadi. Pekerja tersebut dari  Indonesia yang sudah lama di Sandakan bekerja sebagai buruh  binaan.

 
“Allah .. Ustaz bahaya tu. Kawasan tu kawasan hitam. ICE BOX tu kawasan pendatang Philipin”.

“Mereka tu   ramai samseng,  kalau  lalu kawasan itu mereka kadang-kadang tahan minta duit. Kalau tak bagi mereka terus pukul.”

 

Kalau dalam bas atau kat jalan,  kadang-kadang mereka sengaja ja  buat langgar kita dan marah-marahkan kita lepas tu minta duit”.

 

“Mereka tu tak ada kasihan belas. Kalau kita bertengkar , marah macamana pun kita pukul sahaja. Tapi mereka kalau bertengkar  pakai senjata, boleh sampai bunuh. Kalau setakat pakai parang tu biasa ja bagi mereka.”

 

Kami  geng Indon mengelak bertembung dengan mereka. Tak berbaloi. Tak pasal-pasal boleh mati.”

“Saya pernah kena mereka buat berlanggar bahu dengan saya dan minta duit. Saya bagi ja RM10. Bagus rugi duit dari hilang nyawa.”

 

“Selalu  ja berlaku berlaku perbalahan sesama  mereka dan berantakan sampai mati. Tapi kerana mereka semua  sesama tidak ada dokumen , polis tak buat apa-apa tindakan.”

 

Saya menarik nafas terkejut mendengar  penerangan  pekerja saya itu. Patutlah si suami malam tadi  bersungguh-sungguh menasihati saya  agar mengunci pintu kereta dan jangan berhenti bila di tahan. Dia  risau keselamatan saya.

 

Sebenarnya saya dalam hal ini saya teringat pesan Imam Hassan al Banna yang  meminta kita semua banyak bersangka baik menolong orang yang dalam kesusahan  walau dalam situasi yang genting. Mungkin orang yang meminta bantuan itu amat memerlukan. Kita perlu berserah pada Allah.   

 

Pesan  ini di ceritakan oleh  guru saya Dr Bahjat al Habashinah ketika saya berusrah di rumahnya.

Imam Hassan al Banna pada satu  ketika terpaksa bergerak waktu malam dari Qahirah ke bandar lain yang jauh kerana perlu hadir  program. Sedangkan ketika  itu  perjalanan malam amat bahaya dan terdedah kepada perompak dan orang jahat yang  menahan orang yang lalu lalang di jalan raya.  Mereka selalu membuat helah kereta rosak  atau menahan orang ramai  dengan alasan meminta bantuan.  Sesiapa yang berhenti akan di rompak malah  ada yang di bunuh.

 

Memang malam tu kereta yang dinaiki oleh  Imam Hassan al Banna ditahan oleh sesorang . Di sebelahnya ada kereta berhenti di tepi jalan.  Imam Hassan al Banna ingin berhenti, namun ditegah oleh sahabat yang mengiringnya mengenangkan  situasi ketika itu. Namun Imam Hassa Banna bertegas ingin berhenti. Katanya mungkin orang tersebut betul-betul menghadapi kesulitan.

 

Ya. Betul orang itu  perlu bantuan. Keretanya  kehabisan minyak . Dalam kereta tersebut ada isteri dan anaknya. Mereka perlu ke bandar  yang sama  yang dituju oleh Imam Hassan al Banna pada waktu kerana ada kecemasan. Tanpa  bertanya apa-apa lagi Imam Hassan al Banna  sendiri yang menyedut minyak dari kereta yang dinaikinya dengan  hos yang kebetulan ada dalam kereta dan  mengisi kereta keluarga  tersebut. Setelah selesai Imam Hassan al Banna juga menolak wang  yang ingin dibayar oleh lelaki tersebut dan meneruskan perjalanan .

 

Beberapa tahun selepas itu, ketika Imam Hassan al Banna di tangkap dan dibicara di mahkhamah atas tuduhan memberontak.  Apabila  hakim masuk  ruang mahkhamah dia terkejut bahawa tertuduh adalah  orang yang pernah menolong  mengisi petrol keretanya dalam malam saat genting. Cuma mereka tidak sempat berkenalan  antara satu sama lain. Lantas dia menarik diri dari menjadi hakim.  Diceritakan bahawa dia meletak jawatan hakim dan  berjuang bersama Hassan al Banna dalam Jamaah Ikhwan al Muslimin.

 

Itulah hikmah hadis bersangka baik ‘Ana inda zanna abdi bi’ (Aku  bergantung kepada sangkaan hamba Ku).  Semoga Allah  memberi kekuatan kepada saya untuk mengamalkan prinsip Islam yang terkandung dalam al Quran dan juga hadis rasulullah.


Tuesday, January 28, 2025

SYIRIA 21: KERETA AKU PUN AKU TAK PERCAYA!

 Selepas melepasi sempadan Jordan dan setelah selesai urusan imigresen kami berhenti sekejap di Pekan Ramtha. Urusan imigresen di sebelah Jordan amat lancar sama dengan sebelah Syiria. Cuma tanpa bayaran Bakhsyis (tips). Dua penumpang Arab yang bersama kami turun di Pekan Ramtha. Tinggal saya dan Yusof dalam teksi. 


Pemandu minta saya duduk di hadapan sebelahnya sebagai teman berbual. Kali ini pemandu kami Ammu Jamal amat peramah, berbanding semasa perjalanan dari Damsyik ke sempadan. Dia hanya diam seribu bahasa dan hanya beberapa patah perkataan saja yang keluar dari mulutnya.

Saya bertanya kepada saya kami buat apa di Syiria.

“Syu bitammal fi Dimasyk?” (Kamu buat apa di Damsyik?).

Saya memberitahu kami hanya melancong melawat tempat-tempat bersejarah. Kami pergi sampai ke Halab dan macam-macam lagi. Dia memberitahu saya bawa pandangannya Syiria tak sesuai untuk diziarahi. Bahaya dari aspek keselamatan. Mabahis (mata-mata) ada di merata tempat. Mereka mencari kesalahan rakyatnya dan juga orang luar yang melanggar undang-undang. Bukan sekadar itu saja. Apa yang menakutkan mereka mencari maklumat mereka yang tidak suka kepada Presiden mereka Hafiz al Asad.

Kalau ada maklumat sesiapa saja yang mencela atau memperlekehkan presiden mereka, siaplah, kalau ditangkap maknanya almarhum lah. Kemungkinan untuk hidup adalah tipis.

“Dah tu kamu pun kesana setiap hari?” Saya mencelah

Ini dah kerja saya. Saya cari makan dengan cara ini. Terpaksalah kesana.” Jawab Ammu Jamal

“Di Syiria rakyat mereka cukup takut kepada kerajaan. Mereka juga hidup miskin, hinggakan nak makan pun susah.”

“Sesiapa yang memberi maklumat kebencian terhadap Presiden mereka atau penentangan akan dapat habuan lumayan. Hinggakan ramai rakyat mereka secara diam-diam mencari makan dengan cara ini.”

“Ada juga yang amat takut kepada tindakan kerajaan jika ada anasir kebencian dan penentangan  dalam kalangan rakan, jiran atau keluarga sendiri. Kalau ada laporan satu kampung atau satu keluarga di tangkap dan di penjara atau hilang tanpa berita. Mungkin di bunuh.”

“Selalu terjadi laporan dibuat oleh keluarga sendiri. Anak lapor tentang anak. Anak lapor tentang ayah. Pendek kata, ahli keluarga sendiri  pun tidak boleh dipercayai. Apatah lagi kawan-kawan”.

“Di Syiria ni aku tak percaya pada sesiapa pun. Tu yang kamu lihat saya senyap banyak cakap”.

“Dalam kereta tadi dengan kami pun tak banyak cakap tadi”. Saya mencelah.

“Ya.. tadi ada arab dua orang. Aku risau juga boleh jadi juga mereka mata-mata atau akan beri maklumat demi duit kepada pihak polis. Kamu berdua orang Malaysia aku yakin tak akan buat begitu”.

“Kereta aku sendiri pun aku tak percaya. Boleh jadi kereta aku boleh buat laporan pada polis aku tak suka pada presiden Syiria.”

“Sekarang kita ada di Jordan negara aku sendiri. Lega bila kita sudah melepasi sempadan. Bebas sikit nak bercakap”.

Saya dan Yusof ketawa mendengar kata-kata Ammu Jamal. Panjang lebar Ammu Jamal bercerita kepada kami tentang keadaan di Syiria. Aku mengesahkan ceritanya kerana dalam tempoh seminggu lebih kami di Syiria banyak pengalaman yang kami lalui. Dalam beberapa negara Arab yang sudah saya sampai, Syiria lah negara yang menggerunkan kami. Hati kami tidak tenang sepanjang kami berada di sana.

Sekarang kami sudah sampai ke Jordan. Negara kami yang kedua selepas Malaysia. Negara yang bebas untuk rakyatnya hidup dan mengemukakan pandangan. Saya bersyukur kerana lahir di Malaysia negara yang aman dan bebas.

Saya simpati dengan rakyat Syiria yang di kawal begitu sekali. Rakyat mereka di sogokkan dengan maklumat bahawa negara mereka sajalah yang paling maju di dunia. Sehinggakan ketika di Halab ada seorang bertanya kepada saya adakah Malaysia mempunyai jalan raya seperti mereka. Mereka menganggap bahawa kereta yang ada di negara mereka adalah teknologi yang canggih tak ada di tempat lain.

Belum dikira lagi tentang kawalan pemikiran. Nasib baik masih ramai ulamak dan penggiat ilmu agama masih bertahan menjalan tugas mereka. Suatu hari nanti Allah akan bebaskan Syiria, bumi Syam yang barakah ini.

Setelah tiba di Stesen teksi di Irbid. Selesai membayar tambang kepada Ammu Jamal, kami terus menaiki bas balik ke Mafraq. Kami sudah rindu kehidupan Mafraq yang tenang.

Monday, January 27, 2025

SYIRIA 20: PASPORT SIAP DI COP TAK SAMPAI 5 MINIT!

Saya dan Yusof sambung tidur sekejap selepas solat subuh kerana tidak cukup tidur lantaran gangguan Madam malam tadi. Tiga kali terganggu tidur gara-gara tawaran khidmat madam ke bilik kami. Nasib baik Iman kami kuat dan tidak tergoda dengan tawaran tersebut.

Selepas hampir dua jam kami sambung tidur, saya dan Yusof bangun membersihkan diri dan mengemas barang terus mendaftar keluar hotel. Di Kaunter saya lihat orang lain yang bertugas. Bukan lagi anak muda berkumis nipis yang aku tunjuk penumbuk ke mukanya malam tadi. Mungkin syifnya sudah selesai. 


Kami berjalan kaki ke stesen kereta sewa yang lebih kurang hampir 15 minit berjalan dengan menjinjing beg kami yang agak berat. Beg yang masa datang dulu kosong sekarang penuh terisi dengan barang-barang sebagai hadiah untuk keluarga di Malaysia.

Setelah sampai di stesen teksi, sudah ada teksi yang akan bertolak ke Irbid hanya menunggu seorang saja lagi penumpang. Teksi tersebut mengambil 4 orang penumpang. Saya, Yusuf dan ada seorang lagi Arab Jordan  terpaksa menunggu seorang lagi penumpang untuk penuhkan satu teksi.

Sementara menuggu, saya dan yusof mengambil peluang bersarapan dengan syawarma dan teh panas bersama na’na. Kali terakhir merasai makanan di Syiria. Lebih kurang setengah jam menunggu, pemandu teksi memanggil kami untuk mula bergerak kerana penumpang sudah cukup bilangannya.

Saya, Yusof dan penumpang baharu itu duduk di belakang. Manakalan warga Jordan seorang lagi duduk di hadapan sebelah pemandu. Saya sudah lupa secara tepat tambang teksi tersebut dari Damsyik ke Bandar Irbid. Kalau tak silap ialah sekitar 12 atau 13 Dinar Jordan. Tambang di bayar bila sampai ke destinasi nanti. Jadi duit Lira saya masih masih berbaki sekitar 50 lira lagi.

Sepanjang perjalanan kami semua senyap membungkam. Sesekali terdengar pemandu berbual dengan warga Jordan sebelahnya. Tapi sekadar perbualan pendek. Semuanya melayan perasaan masing-masing. Saya dan Yusof melayan tidur lagi. Sekali sekala bila tersedar saya memandang keluar tingkap melihat suasana di Syiria. Dari segi muka bumi sama sahaja antara negara Syiria dan Jordan seolah tak ada beza langsung. Apa yang berbeza ialah sedikit pertuturan dan penampilan masyarakat sahaja. Itupun hanya golongan warga emas.

Saya tersedar dari tidur bila dikejutkan oleh pemandu teksi meminta kami semua memasukkan duit 10 lira dalam pasport masing-masing.

“Hattu asyara lira juwwa al jawaaz.” (letakkan 10 lira dalam pasport)

“Syu ya ammu. Haaza khata’ haza rashwah”. (Apa ni Pakcik. Ini salah. Ini Rasuah). Aku membantah. Tak pernah aku buat kerja ini walaupun banyak kali juga aku lalui mana-mana sempadan mesti letak duit dalam pasport.

Biddak ta’uud ilal Urdun wa la laa?’”. (Kamu nak balik Jordan atau tidak?)

Sergah Ammu Jamal, pemandu teksi tu pada saya dan Yusuf. Saya lihat penumpang Arab sebelah kami pun sudah siap meletakkan duit dalam pasport dan menghulurnya kepada pemandu Ammu Jamal.

Haati jawaz. Antum Khallu fis sayyarah”. (Beri kepada saya pasport. Kamu semua kekal dalam kereta).

Arah Ammu jamal sambil keluar membawa pasport kami semua.

Saya lihat dia berjalan ke dalam bangunan dan tak sampai 5 minit saya lihat dia sudah keluar dan masuk balik ke dalam kereta. Dia agihkan pasport kepada kami semua dalam kereta.

Cepatnya selesai. Amat berbeza dengan urusan ketika kami datang dahulu. Saya membelek pasport. Ya. Sudah siap di cop keluar dari Syiria. Rupanya kena masukkan angpow dalam pasport. Ketika kami datang dulu tidak ada siapa pun bagitahu kepada kami tips ini. Patutlah kami disidai lebih 3 jam menunggu pasport untuk di cop.

Rupanya mereka yang sekejap saja selesai sudah tahu tips sebenar untuk berurusan dengan imigresen Syiria. Kami tak perlu pun keluar tunjuk muka kami untuk di cop pasport. Boleh dikirim saja kepada sesiapa sahaja bila sudah diletakkan angpow dalam pasport.

Kemudia teksi kami ditahan lagi untuk pemeriksaan kastam. Beg saya di buka dan petugas melihat banyak lembaran tulisan khat sulam yang saya beli untuk hadiah keluarga. Saya dikenakan cukai 20 lira hanya  dibayar kepada pegawai tersebut tanpa resit.

Ammu Jamal memarahi saya kerana tidak memaklumkan kepadanya bahawa saya membawa banyak barang. Katanya kalau dia tahu dari awal dia boleh tolong ja untuk lepaskan tak perlu bayar cukai. Mereka tidak akan buat pemeriksaan pun. Saya kata kalau kena bayar, sama saja rasuah dengan cukai tadi.

“la.. Basiitah. Bass Haza..Khalas… masyil hall..” ( Tidak.. mudah ja.. cukup hanya ini.. semua selesai) Nafi Ammu Jamal sambil dia tunjukkan rokok yang sedang di hisap di jarinya…

Ohh.. Hanya dengan sebatang rokok sahaja mereka dah tak perlu buat pemerksaan barang. Begitu rupanya keadaan pegawai yang menjaga sempadan. Terdetik di hati ini, kalaulah beginilah keadaan di seluruh Syiria negara ini akan hancur satu hari nanti.

Saya hanya mampu berdoa agar hal sebegini tidak berlaku di Malaysia, negaraku yang tercinta..


Sunday, January 26, 2025

SYIRIA 19: BIDDAK MADAM?

 Kami sampai ke Damsyik dari Halab awal pagi dan terus balik ke rumah Ustaz Salahuddin. Esoknya Ustaz Solahuddin ada urusan penting di Universiti dan akan keluar awal pagi selepas subuh. Begitu juga dengan Ustaz Ismail juga akan keluar awal pagi ke Kolej.

Saya dan Yusof tidak mahu menyusahkan Ustaz Solahuddin dan Ustaz Ismail pada pagi tersebut untuk sarapan pagi dan juga menunggu kali keluar. Kami mengambil keputusan untuk menginap di Hotel di Bandar Damsyik yang berdekatan dengan Mujamma’ Serfis (Stesen teksi) untuk balik ke Jordan. Saya memberi alasan kepada Ustaz Solahuddin dan Ustaz Ismail untuk melihat suasana malam di bandar Damsyik. Kemudiannya esok pagi dalam jam 9 pagi  baru kami ke Mujamma untuk mengambil teksi balik ke Irbid, Jordan. 


Petang itu Ustaz Solahuddin menghantar kami ke hotel. Hotel tersebut hanya bertaraf dua bintang saja rasanya dan kalau tidak salah ingatan saya nama hotel tersebut ialah Fonduq al Syarq (Hotel timur). Hotel ini berdekatan dengan bulatan besar Damsyik dan  juga berdekatan dengan patung besar pahlawan tersohor Salahuddin al Ayyubi sedang menuggang kuda.

Kami dapat bilik ditingkat dua hotel. Pada waktu malam saya dan Yusof  bersiar-siar di sekitar hotel sambil makan malam di restoran. Tidak banyak yang menarik dengan suasana malam di Damsyik. Mungkin kawasan sekitar hotel bukan tempat tumpuan untuk waktu malam.

Sekita jam 10 kami telah balik ke hotel untuk berehat. Tidak sampai sejam kami dalam bilik dan sudah bersedia untuk untuk melelapkan mata tiba-tiba pintu bilik diketuk. Saya memandang Yusof dan dia memberi isyarat kepada saya untuk membuka pintu. Kami cuak juga mengingatkan situasi Syiria yang luar jangka ini.

Terlihat kelibat seorang lelaki di muka pintu sebaik saja pintu dibuka. Tanpa memberi salam terus dia bersuara:

“Ya Syabab.. biddak madam? Madam hilwah”. 

(Hai orang muda.. kamu mahu Madam? Madam cantik)

“Syu ya’ni Madam?” Aku bertanya ingin tahu.. setahu aku Madam dalam bahasa Perancis bermaksud perempuan atau wanita.

Lelaki itu membuat isyarat bentuk badan wanita yang ramping dan memuncungkan mulutnya dengan gaya mengucup. Oh.. saya seakan faham apa maksudnya.

“Syarmuutah?” saya meneka.

Lelaki itu senyum sambil mengangkat ibu jari.

Syu haza… Haram alaik.. Ma biddi. Khalas.. ruh” (Apa dia ni.. Tak betul kamu ni. Aku tidak mahu. Pergi dari sini). Saya menolak dan menghalaunya pergi.

Kami sambung tidur. Sedang nyenak tidur kami dikejutkan ketukan pintu sederhana keras. Kami ingatkan polis atau mata-mata datang cari kami. Risau kami ada lakukan kesalahan tanpa kami sedar. Kali ini Yusof yang bangun membuka pintu.

Dia membuka perjalan dan sedikit saja. Tersembul muka lelaki dan terus dia bersuara tanpa berbosa basi:

“Biddak madam?” (Mahu pelacur?).

Lalu di jerkah oleh Yusof

“Haraam.. Izhab Ilal Jahim. Mu Bidna madam”. Lalu dihempasnya pintu dengan kuat.

“Mereka tengok muka kita ni nak cari pelacur ka. Bengong sungguh menatang Arab ni”.

Yusof menarik selimut sambung tidur kembali. Aku lihat jam tangan sudah jam 12 lebih.

Tiba-tiba..

Tok.. tok.. tok.. tok..

Pintu bilik diketuk lagi.. Saya membuka mata dan melihat jam tangan menunjukkan jam 1.40 pagi. Kacau sungguh. Nak tidur pun tidak senang. Sudah tiga kali tidur kami diganggu. Saya lihat Yusof masih nyenyak tidur.

Pintu bilik diketuk lagi. Saya dengar suara Yusof dari bawah selimut.

“Madam lagi lagi lah tu…Malas aku bangun. Mu gi marah pulak.”

Aku bangun dan membuka pintu sedikit. Dari celah pintu nampak kelibat lelaki muda.

“Biddak Madam?”

Saya hilang sabar. Terus keluar dari bilik dan mengadap lelaki tersebut.

Enta muslim wa la kaafir..?”  (Kamu ni Muslim atau kafir?) Aku bertanya kepadanya.

“Syu. Ana muslim alhamdulillah” Jawabnya dengan muka tak bersalah.

“Enta muslim wa ta’mal amalal al kaafir.” (Kamu Muslim tapi buat kerja orang kafir”) Aku menolak badan pemuda tersebut agar beredar. Aku sudah hilang sabar dan turun ke tingkat bawah terus menuju ke kaunter hotel. Ada lelaki berkumis nipis di sana duduk di kerusi belakang kaunter.

“Enta Ya zalama.. ba’din lau tukbir ahadan an ghurfati misyan Madam syuf haza”.

(Hei.. Bro.. lepas ini kalau kamu bagi tahu bilik saya untuk ajen pelajar. Nampak ni”) Saya memarahi dengan sedikit menengking kepada lelaki tersebut sambil menunjukkan genggaman penumbuk ke mukanya.

Dia terdiam dan melihat ke muka saya dengan wajah terkejut.

“Aku tahu.. kamu bagitahu mereka nombor bilik saya kan? Kamu bersubahat. Lepas ni jangan bagi tahu lagi. Saya tidak mahu madam. Saya tidak mahu tidur saya diganggu. Saya bayar bilik untuk berehat. Bukan untuk di ganggu dengan Madam”. Panjang pula aku memarahi penjaga kaunter.

Sebenarnya aku risau juga. Bimbang dia buat fitnah lapor kepada polis, kami orang jahat. Saya naik ke bilik dan sambung tidur. Alhamdulillah selepas itu tiada lagi gangguan ‘Madam’. Saya dan Yusof dapat tidur dengan nyenyak dan tersedar bila terdengan azan Subuh berkumandang sekitar bandar Damsyik.

Begitulah keadaan suasana bandar Damsyik, Syiria yang saya tahu negara islam yang dipenuhi dengan ulamak. Tapi di sebalik itu, ada sisi gelapnya yang tersendiri. Saya dan Yusof tidak sabar untuk keluar dari Syiria. Kami sudah merindui bumi Mafraq yang aman damai.

 Alhamdulillah. Kami selamat dari godaan syaitan dan peluang maksiat.

Saturday, January 25, 2025

SYIRIA 18 : TEKSI KLASIK TANPA CERMIN DEPAN

 Selepas selesai menggurup wang di bank dengan pengalaman yang tersendiri, Ustaz Solahuddin mencadangkan kami mengambil teksi untuk melawat kubu Besar Halab. Kami berjalan kaki kesuatu kawasan stesen teksi. 


Bandar Halab ini adalah bandar klasik. Bagi saya bandar ini lebih klasik dari bandar Damsyik. Mungkin saya tidak meneroka bandar ini dengan lebih luas. Namun apa yang saya lihat kelainan yang amat berbeza pada pandangan saya. Saya lihat masih ramai masyarakat Halab yang masih memakai pakaian tradisional Arab lama yang kita boleh lihat dalam filem era tahun 50an. Seluar besar di bahagian paha dan juga memakai tarbus atau lilitan di kepala yang besar.

Begitu dengan teksi. Disamping teksi yang menggunakan model yang baru masih ada teksi yang menggunakan kereta model lama sebaris dengan model apa yang saya ingat sebagai model ‘moris minor’ ketika saya masih kecil. Saya amat teruja melihat teksi-teksi jenis lama ini.

Ustaz Solahuddin mencadangkan kami menaiki teksi yang baru. Lebih selesa katanya. Namun saya mempunyai pemikiran yang berbeza. Saya memili untuk menaiki teksi jenis klasik ini. Jadi kami semua berdiri ditepi jalan untuk menahan teksi yang lalu lalang. Kami hanya menahan teksi model klasik.

Ada beberapa teksi yang kami tahan tak pergi ke kawasan Kubu lama Halab. Pelik juga. Ingatkan semua teksi boleh pergi kemana saja tidak mempunyai laluan khas. Sehiggalah saya menahan satu teksi yang kelihatan uzur. Teksi itu boleh menghantar kami ke Kubu lama Halab. 


Saya naik di bahagian hadapan sebelah pemandu. Bila teksi mula bergerak alangkah terkejutnya saya kerana teksi tersebut tiada cermin di bahagian depan. Angin menerpa kemuka kami dengan kuat ibarat kami menaiki motosikal. Sudahlah teksi ini teksi model klasik macam zaman kolonial Jerman sebagaimana saya tonton dalam televisyen. Tiada cermi pula.

Bila saya tanya kenapa tiada cermin. Pemandu teksi menjawab sambil ketawa.

“Hai… mukayyib tabieiy… Mumtaz. Al hawa naqie”

(inilah pendingin hawa original.. amat bagus. Udara bersih).

Kami bertiga ketawa mendengar jawapan pemandu teksi tersebut. Nasib baik perjalanan teksi hanya dalam bandar sahaja dan banyak lampu isnyarat dan simpang. Jadi teksi tidak begitu laju dan angin yang menerpa muka kami tidak kuat. Kami masih boleh berbual-bual.

Saya bertanya pemandu teksi bila dia akan pasang cermin tersebut. Dia kata dia tidak bercadang untuk memasang cermin dalam masa terdekat. Alat ganti susah untuk di dapati dan juga cuaca di sana tiada masalah kerana tiada hujan. Penumpang pun tidak ramai yang merungut. Hanya kami sahaja yang tidak suka teksi tersebut. Itu katanya.

Itulah antara kenangan kami yang paling menarik di Bandar Halab.

 

 

Friday, January 24, 2025

SYIRIA 17: BANK KLASIK DI ALEPPO

 Kami sampai di bandar Halab (Aleppo) selepas maghrib. Keadaan sudah gelap. Kami singgah di sebuah restoran untuk makan malam. Kemudian kami mencari hotel bajet untuk berehat. Duit lira saya hanya cukup untuk makan malam dan bayaran bilik hotel. Bekalan duit hanya dalam Dinar dan tidak diterima oleh penjual. 


Oleh kerana Syiria hanya membenarkan bank atau agensi kerajaan yang menguruskan pertukaran wang, Kami terpaksa menuggu hari siang esok untuk berurusan dengan bank. Kami tidak mahu mengambil risiko bertanya tempat untuk menukar duit. Kami bimbang terjebak dengan pemberi maklumat yang mencari habuan melaporkan kesalahan kepada pihak kerajaan hanya untuk wang beberapa lira.

Selepas sarapan saya mencari bank terdekat dengan hotel untuk menukar wang.  Sebagaimana biasa bank memulakan operasi hanya pada jam 9 pagi. Saya terpaksa menunggu agak lama di luar bank. Apabila masuk bahagian penggurup wang masih belum dibuka. Pegawai yang bertugas di kaunter penggurup wang belum masuk. Saya terpaksa menunggu.

Suasana dalam bank adalah amat unik. Saya terpaku dan tersenyum sendiri dengan situasi dalam bank. Saya seolah kembali ke zaman tahun 50an dalam filem Holywood. Sebelum ini saya hanya meihat suasana ini hanya dalam filem. Hari ini saya boleh melihat sendiri suasana itu. Semua kelengkapan dan susun atur bank adalah amat klasik.

Suasana bingit dengan bunyi mesin taip dan bunyi pegawai mendail telefon. Semua telefon yang diguna adalah jenis perlu dipusing nombornya untuk mendail sesuatu nombor, bukannya jenis butang tekan. Bayangkan setiap meja menggunakan telefon tersebut dan pegawai semua mendail nombor berterusan. Semua dokumen di taip menggunakan mesin taip. Saya mengintai-intai juga melihat kalau kalau ada komputer yang digunakan. Tak ada.

Lama juga saya melayan bunyi kebisingan yang unik itu Bunyi mesin taip dan bunyi dail telefon yang unik. Seorang pegawai menggamit saya.

“Kami turid tasrif? Dollar au Dinar?” Pegawai itu bertanya kepada saya.

Saya menukarkan wang Dinar 100. 50 untuk saya dan 50 lagi untuk Yusuf. Saya melihat pegawai itu menggunakan satu alat yang pelik untuk menghasilkan resit pertukaran. Mesin itu mempunyai pemegang yang perlu ditarik kedepan dan kebelakang dan akan timbul tulisan di atas kertas kecil. Saya amat teruja sekali melihat alat itu.

Alhamdulillah semua selesai. Saya tersenyum sendiri mengenangkan pengalaman berada dalam bank ini. Saya bertanya kepada Ustaz Solahuddin adalah bank itu memang mengekalkan perkhidmatan yang klasik sebegai satu keistimewaan. Rupanya rata-rata bank di Syiria masih begitu. Mereka masih lagi tidak menggunakan teknolgi komputer  yang masih baru pada masa itu.

Sekarang saya sudah boleh berbelanja. Kami menuju ke pasar lama Halab dan selepas itu kamu ke Kubu Solahuddin al Ayyubi.

Thursday, January 23, 2025

SYIRIA 16 : PULUHAN RIBU DIBUNUH HANYA KERANA CINTA KEPADA ISLAM

Di bandar Hama ini juga Ustaz Solahuddin membawa kami melawat beberapa kesan yang telah dihancurkan oleh Rejim Hafiz al Asad dalam serangan besar-besaran pada tahun 1982. Mengikut Ustaz Solahuddin seramai sekita 40 ribu orang terbunuh dalam serangan tersebut. 


Kesalahan mereka ialah kerana terdapat beberapa orang penduduk yang terlibat dengan gerakan Ikhwan al Muslimin.”

“Di Syiria, berdasarkan undang-undang yang telah diwartakan oleh rejim Hafiz al Asad bahawa sesiapa yang terlibat dengan gerakan Ikhawan al Muslimin akan dihukum bunuh”.

“Apa yang terjadi di Hama, pihak rejim ini menghukum semua penduduk kawasan tersebut dengan membuat serangan udara dan darat secara besar besaran. Bayangkan mereka di bom dengan jet pejuang F16 dan juga juga serangan darat dengan artileri dan kereta kebal.”

Mereka di serang macam perang besar sedangkan mereka adalah orang kampung yang tidak besenjata. Semua lapisan masyarakat dibunuh tidak kira, tua, muda, wanita dan kanak-kanak.”

Panjang lebar Ustaz Solahuddin bercerita kepada kami. Dia bercerita bila kawan kami si Mahmoud tadi telah beredar meninggalkan kami. Kami risau jika dia adalah mata-mata gelap atau orang awam yang ingin mencari peluang mencari habuan tambahan dengan memberi maklumat penting kepada kerajaan.

Rejim Hafiz al Asad adalah rejim yang amat zalim. Boleh dikatakan antara yang paling zalim di dunia ketika itu. Jika kesalahan atau penentangan dilakukan oleh seorang saja dalam satu keluarga atau kampung. Satu keluarga atau satu kampung akan dihukum bunuh.

Jika di negara Arab lain seperti Libya, Mesir, Iraq yang terkenal dengan presiden autokratik kuku besi pun mereka hanya menangkap dan menghukum individu yang salah itu sahaja. Manakala keluarga pesalah tidak akan diusik. Paling teruk pun mereka hanya diugut. Berlainan dengan di Syiria, dimana rejim Hafiz al Asad berpegang bahawa jika ada penentang atau pemberontak dalam satu kawasan. Semua penduduk dikira bersalah kerana tidak menghalang dan membiarkan timbulnya pemberontak.

Peristiwa di Hayy al Hader dan Hayy al Baroudiyyah di bandar lama Hama menjadi punca trauma kepada rakyat Syiria. Tidak ada lagi kerajaan di seluruh dunia yang sanggup membunuh rakyat sendiri sebegitu sekali. Hanya berlaku di Syiria.

Oleh sebab tidak ada lagi pemberontakan dan penentangan terhadap rejim selepas itu. Sesiapa yang memberi maklumat penentangan kepada kerajaan akan diberi ganjaran yang lumayan. Dalam keadaan rata-rata masyarakat Syiria yang amat miskin menjadikan maklumat sebegini adalah sebagai peluang mendapat wang demi untuk hidup.

Kami melihat kawasan yang kawasan yang dihancurkan oleh rejim. Memang bangunan dan kesan sengaja tidak dibaik pulih dan dibaiki semula. Kerajaan membiarkan keadaan sebegitu sebagai penjaran kepada rakyatnya. Lagipun siapa lagi yang akan membangunkan kawasan tersebut kerana mereka semua mati dibunuh. Jika ada saudara mara diluar pun tidak akan mengaku sebagai waris kerana mereka juga akan dikira bersalah.

Kesan bom amat jelas. Rumah-rumah hanya tinggal batu yang runtuh. Masih ada tinggalan dinding yang masih belum runtuh sepenuhnya. Tidak boleh gambarkan bagaimana keadaan yang berlaku pada masa itu.

Setelah hampir setengah jam dikawasan tersebut kamu beredar berjalan ke stesen bas untuk bertolah ke Halab. Kami juga risau akan dicurigai kerana melawat kawasan tersebut. Tak semena-mena kami pulak di kira salah melawat kawasan Ikhwan al Muslimin.

Sambil berjalan Ustaz Solahuddin bercerita:

Dr Said Ramadhan ketika ditanya oleh kami kenapa dia lunak kerajaan Hafiz al Asad dan banyak memuji rejim ini sedangkan ianya sudah jelas zalim. Jawapan Dr Said mudah saja. Itulah pertimbangan yang paling dengan situasi di Syiria.”

“Dr Said ingin menyampaikan ilmu kepada rakyat Syiria dengan membuat kuliah menulis kitab. Usaha ini akan kekal berterusan. Kitab dan rakaman kuliah akan kekal walaupun seleas dia mati.”

“Dia juga ingin mewariskan pejuang islam melalui keturunannya dari empat isterinya.”

“Pendirian ini memberi peluang untuk Dr Said menyampak slot khas di TV Syiria setiap hari Jumaat. Dakwahnya sampai ke seluruh Syria”.

‘Jika dia menzahirkan penentangan dia, ahli keluarga dan masyarakat kawasannya akan menerima nasib yang sama dengan penduduk Hama tadi. Dihancurkan selumatnya seluruh keturunan.”

“Itu pendirian yang terbaik dan bijaksana setakat ini”.

Penerangan panjang lebar Ustaz Solahuddin tentang pendirian Dr Said Ramadhan dan juga beberapa ulamak besar Syiria yang lain memberi satu ilmu baru pada saya tentang fiqh semasa.

Alangkah tidak adilnya beberapa pihak yang sinis menuduh Dr Said Ramadhan sebagai pengampu Hafiz al Asad.

Saya, Ustaz Solahudddin dan Yusof mengambil peluang melelapkan mata bas dalam perjalanan kami ke bandar seterusnya iaitu Halab. Ustaz Farid dan Ustaz Zahari telah bepisah dengan kami kerana mereka ingin menziarahi rakan mereka di bandar lain.

Semoga Allah selamatkan kami sepanjang kami berada di Syrian. Hanya itulah doa saya dalam hati ketika itu.

Boleh rujuk bacaan tambahan tentang Peristiwa berdarah di Hama di pautan berikut

https://en.wikipedia.org/wiki/1982_Hama_massacre

 


Wednesday, January 22, 2025

SYIRIA 15: KINCIR AIR BANDAR HAMA

 Oleh kerana banyak perkara yang agak janggal dan melibatkan keselamatan di Syiria berbeza dengan negara lain saya meminta Ustaz Solahuddin untuk berjalan bersama kami ke beberapa bandar lain di Syiria. Faktor keselamatan menjadi perkara utama dalam perjalanan kami.

Risau juga kalau melanggar undang-undang di Syiria ini secara tidak sedar. Kalau di negara lain mungkin kami boleh bayar saman  tapi tidak di Syiria. Kesalahan dan pelanggaran undang-undang dihukum penjara tanpa boleh bincang. 


Alhamdulillah Ustaz Solahuddin bersetuju untuk membawa kami jalan ke Bandar Hama dan Juga Halab. Kami juga merancang untuk sampai ke al Lazikiyyah (Lattakia) bandar tepi laut yang amat indah pemandangannya.

Awal pagi lagi kami kami berempat dan Ustaz Solahuddin keluar dari rumah menaiki bas bandar Homs. Perjalanan ke Homs menaiki bas mengambil masa setengah jam. Di Homs kami hanya berjalan-jalan mengelilingi bandar melihat suasana bandar lama di Syiria. Terdapat beberapa tempat bersejarah seperti kubu dan juga masjid. Kami solat Zohor di Masjid Khalid al Walid dan kemudiannya makan di sebuah restoran. Kami makan nasi ayam panggang dan juga sejenis kuih ‘Basbousa’.

Selepas zohor kami berjalan ke stesyen bas untuk menyambung perjalanan ke Bandar Hama. Perjalan ke Hama hanya sekejap saja tak sampai sejam. Di sini Ustaz Solahuddin membawa kami ke kawasan Kincir air tradisional yang terletak di sepanjang Sungai Orontes yang menjadi mercutanda bandar Hama.

Kincir air ini dikenali sebagai "Norias" (النوّارات) dan merupakan alat yang digunakan untuk mengangkat air dari sungai untuk pengairan tanah pertanian di kawasan tersebut. Kincir-kincir air ini adalah simbol tradisi pertanian di Hama dan telah ada selama berabad-abad. Terdapat lebih dari 17 buah kincir air besar di sepanjang sungai yang menghiasi pemandangan bandar ini.

Norias di Hama merupakan contoh warisan teknologi purba yang sangat penting dalam sejarah pertanian di kawasan tersebut. Walaupun sesetengah kincir telah rosak atau tidak berfungsi sepenuhnya, mereka tetap menjadi daya tarikan utama bagi pelancong dan simbol kebudayaan yang kuat bagi penduduk Hama dan Syria secara keseluruhan.

Ketika kami sedang menikmati pemandangan kincir air dan sungai Orntos saya mendengar satu suara menyapa kami.

“ Kamu semua dari mana?” Asalnya dia menyapa kami dalam bahasa Inggeris. Tapi saya membalasnya dalam bahasa Arab. Dia terkejut dengan jawapan saya. Lebih-lebih lagi saya menggunakan lahjah syamiyah atau loghat negara Syam.

“Ana min Meleiyzia. Enta syuu esmak?”

 Saya bertanya namanya. Nama dia Mahmoud. Dia adalah sorang pelajar universiti di Bandar Homs. Patutlah dia pandai berbahasa Inggeris. Saya banyak bertanya kepada beliau tentang sejarah Hama dan juga tentang Syiria.

Apabila saya bertanya pasal kerajaan dan juga politik beliau mengelak untuk mejawab. Hanya sepatah jawapan dia.

“Haza ma dakhalni ana”.

 Ini saya tak ada kaitan.. itu jawapan dia. Memang Isu kerajaan dan politik amat sensitif. Saya menghormati pendirian si Mahmoud. Saya teringat pantang larang berada di Syiria.

Mahmoud membawa kami berjalan sekitar Sungai Orontes dan melihat kincir air yang amat klasik. Kemudia Mahmoud membawa kami menziarahi Pusara tokoh sejarah Syiria Ismail Abu Ali al Fida seorang tokoh sejarah dan juga geografi zaman al Ayyubi. Tokoh ini tidak dikenali ramai kerana bukannya tokoh besar sejarah. 

DI Bandar Hama ini kami berpisah dengan Ustaz Farid dan Ustaz Zahari. Mereka berdua ingin ke bandar lain untuk bertemu dengan kawan lama Ustaz Farid. Jadi saya, Yusof dan Ustaz Solahuddin akan meneruskan perjalanan ke Bandar Halab petang nanti.

 

Friday, January 17, 2025

SYIRIA 14: SOLAT ZOHOR SELEPAS SOLAT JUMAAT DI MASJID DR SAID RAMADHAN AL BOUTIY

Dr. Sayyid Ramadan al-Bouti tinggal di kawasan al-Mazra'a di Damsyik. Masjid yang paling dekat dengan tempat tinggal beliau adalah Masjid al-Imam al-Ansari (مسجد الإمام الأنصاري), yang merupakan tempat beliau sering mengajar dan memberi kuliah agama. 

Kami telah sampai ke masjid tersebut sekitar jam 11 pagi dan kuliah sebelum jumaat sudah bermula. Masjid sudah penuh dengan ahli jamaah pencinta ilmu. Kami sudah tidak dapat masuk kedalam masjid. Hanya mampu masuk ke beranda sahaja. Itupun terpaksa berhimpit dan bersesak dengan jemaah lain.

Para jemaah khusyuk mendengar mutiara ilmu yang disampaikan oleh Dr Said Ramadhan al Bouti yang disampaikan dengan begitu jelas dan bahasa yang tersusun. Amat mudah untuk difahami oleh pendengar dan juga oleh kami sebagai bukan penutur bahasa Arab.

Dr Said Ramadhan al Bouti bukannya berbangsa Arab. Beliau adalah berbangsa Kurdish sama dengan Solahuddin al Ayyubi. Beliau dilahirkan di Turkey dan dibesarkan di Damsyik selepas keluarganya berpindah dari Turkey semasa zaman pemerintahan Mustafa kamal Ataturk yang amat keras terhadap agama Islam.

Di Syiria Dr Said telah dibesarkan dengan bimbingan ulamak besar di Syiria. Dia mendalami bahasa Arab dan al Quran dengan amat tekun sekali dan menguasai pelbagai disiplin ilmu Islam seperti Usuluddin, Fiqh, Mantiq sirah dan sebagainya. Dia menjadi rujukan penting masyarakat ketika umur masih muda. Beliau menyambung pengajian Phd di Universiti al Azhar pada tahun 1965. Beliau adalah Professor dalam bidang akidah dan sirah di Universiti Damsyik tempat Ustaz Solahuddin belajar.

Selepas kuliah  lebih kurang 15 minit sebelum waktu zohor. Saya, Ustaz Solahuddin dan rakan-rakan lain tidak berganjak ditempat kami sebagaimana para jamaah yang lain terus menunggu untuk khutbah dan solat jumaat. Khutbah jumaat juga disampaikan oleh Dr Said Ramadhan.

Selepas selesai solat jumaat terdapat pengumuman oleh bilal untuk solat Zohor 4 rakaat. Saya merasa pelik dan janggal namun hanya mengikut saja sebagaimana para jamaah yang lain. Saya lihat mereka seolah bersedia dan biasa dengan solat zohor sejurus selepas solat Jumaat.

Usai solat saya bertanya kepada Ustaz Solahuddin.

“Eh, kenapa solat zohor semula selepas solat Jumaat?”.

“Banyak masjid sekitar Dimasyq ni buat begini. Ini kerana masjid di sini amat dekat antara satu sama lain dalam qaryah yang sama. Mengikut pandangan mazhab Syafei hanya satu masjid saja dalam satu qaryah yang sah solat jumaat. Itu dikira masjid mana yang selesai awal. Susah nak pastikan masjid mana yang selesai solat Jumaat paling awal. Jadi Dr Said membuat keputusan untuk solat zohor sejurus selepas solat Jumaat sebagai langkah berjaga-jaga.” Ustaz Solah menerangkan kedudukan hukum dengan panjang lebar.

Inilah kali pertama saya tahu tentang pandangan ini. Di Jordan walaupun masjid berdekatan dan saling boleh dengar antara satu sama lain kerana dalam satu qaryah yang sama tidak mengambil kaedah ini kerana mengikut pandangan Mazhab Hanafi yang lebih ringan dalam hukum solat jumaat ini.

Alhamdulillah. Hari ini dapat merasai pengalaman manis mendengar kuliah Dr Said Ramadhan al Bouti secara langsung. Sebelum ini hanya dapat mendegar kuliah beliau dari rakaman kaset dan juga melalui televisyen. Ilmu yang baru juga ialah tentang solat zohor sejurus selepas solat Jumaat.  Negara Syiria berpegang kepada mazhab Al Syafie sebagai mazhab rasmi negara jadi banyak persamaan amalan antara negara kita Malaysia dan juga Syiria.

Selepas solat kami makan aiskrim yang dijual di perkarangan masjid dan kemudianya mencari restoran untuk makan tengahhari.

Thursday, January 16, 2025

SYIRIA 13: KENAPA UNDUR KERETA NI?

 Hari Jumaat kami merancang  solat Jumaat di Masjid Syeikh Dr Said Ramadhan al Buthiy di Masjid al Ansariy. Kami pergi seawal jam 11 pagi kerana ingin mendengar kuliah yang disampaikan oleh beliau sebelum  solat jumaat. 


Kami mengambil sebuah teksi untuk ke masjid tersebut. Dalam teksi  kami berbual pelbagai cerita dengan pemandu teksi.  Satu ketika di persimpangan lampu  isyarat, oleh kerana kami ralit bersembang   tiba-tiba lampu isyarat bertukar merah. Pemandu teksi membrekkan kereta dengan keras sekali sampai kami tertolak ke depan. Kemudianya tiba-tiba dia mengundurkan keretanya sedikit dengan cepat sekali.

“Eh kenapa Ammu undurkan kereta?” Saya bertanya kehairanan sedangkan kami  berhenti di depan sekali dan tidak lah melebihi tiang lampu isyarat.

“Bahaya..! Tadi kita berhenti lebih garisan putih.   Salah besar tu boleh kena ‘mukhalafah’ (saman).” Terang pemandu sambil matanya  melihat kiri dan kanan  seolah mencari sesuatu.

“Alhamdulillah. Tak ada polis. Kalau ada polis tadi   pasti aku kena denda.  Aku  kena masuk penjara”. Ujar pemandu teksi penuh kelegaan.

“Kenapa pula kena masuk penjara?” Aku bertanya ingin pendapat kepastian.

Pemandu teksi menerangkan dengan panjang lebar tentang undang-undang di sana. Semua kesalahan tidak boleh di bayar dengan duit. Hampir semua kesalahan adalah penjara. Kesalahan lalu lintas seperti melanggar lampu merah hukumannya adalah penjara. Kesalahannya tadi kalau kedapatan oleh polis mungkin dikenakan hukuman penjara satu hari.

“Teksi ini sebenarnya ada dua pemandu. Satu lagi pemandu simapanan. Kalau saya kena penjara kerana kelasalah tadi nanti pemandu kedua akan bawa teksi ini nanti. Begitulah kami bergilir. Kalau tidak teksi ini akan banyak tersadai tiada pemandu. Rugilah”. Terang pemandu dengan panjang lebar.

Memang pelik undang-undang di Syiria ni. Kesalahan penjara ada juga dalam bentuk jam saja. Ada hukuman 10 jam . Ada yang separuh hari. Biasanya sehari dua saja.

Rupanya Ustaz Solahuddin juga bekas banduan. Dia memberitahu kami bahawa dia pun pernah masuk penjara atas kesalahan  lewat memperbaharui visa.  Kalau tak silap dia kena penjara sehari semalam saja.

“Ana dilayan macam penjenayah. Kena rantai kaki dan tangan masuk ke penjara. Macam kesalahan  membunuh. Penjara pula bawah tanah”.

“Dalam penjara ana diletak sekali dengan  pencuri, perompak dan macam-macam kesalahan lain.”

“Boleh dikatakan hampir semua pelajar Malaysia pernah ada pengalaman masuk penjara”.

“Kalau  antum silap tempat tukar duit  tu boleh lah merasa masuk penjara. Boleh lah merasai pengalaman masuk penjara”. Terang Ustaz Solahuddin sambil bergurau.

Pemandu tadi juga bercerita bahawa hukuman begitu dibuat kerana orang Syiria rata-rata miskin. Jadi kerajaan membuat hukuman begitu  agar  tidak perlu membayar denda yang mungkin kosnya lebih tinggi. Mungkin saman kesalahan laggar lampu isyarat sama nilai dengan  hasil  4 atau 5 hari  bekerja.  Kalau masuk penjara hanya sehari. Itu lebih baik.

Memang pelik. Tapi itulah hakikatnya keadaan di  Syiria. Diam -diam kami berdoa dalam hati  kami  tidak tersilap langkah melakukan kesalahan yang menyebabkan kami dapat pengalaman masuk penjara sepanjang kami berada di Syiria ini. Banyak lagi destinasi yang kami hendak lawati di Syiria ini.


Wednesday, January 15, 2025

SYIRIA 12: SIAPA TULIS INI BOLEH KENA TANGKAP SEBAGAI PENJENAYAH

 “Saya nak pergi ziarah kawan-kawan Jordan kami yang  sedang  bertalaqqi kitab di sini”. Saya memberi tahu Ustaz Solahuddin.

Boleh .    Nanti malam kita pergi. Ana tahu mereka tu tinggal tak jauh dari sini. Tapi kena pergi dengan teksi juga”. Ustaz Solahuddin  bersetuju membawa kami menziarahi rakan kami  dari Universiti al Bayt yang sedang mengabiskan cuti semester  menadah kitab dengan ulamak-ulamak di Syiria. 


Mereka ini amat rajin belajar. Bila cuti  semester akan merancang untuk mencari ulamak untuk menuntut pelbagai ilmu. Kali ini mereka  datang ke Syiria menyewa rumah dalam tempoh sebulan untuk menuntut ilmu dengan pelbagai ulamak sekitar Damsyik.   Mereka ini seingat saya ialah  Bakri, Nik Malik, Ahmad Hafizullah, Abdul Aziz Hakim dan beberapa orang lagi .

 Kami menaiki teksi ke satu kawasan yang saya tidak pasti di mana. Ustaz Solahuddin yang bahawa kami. Dia sudah tahu tentang maklumat rumah sewa rakan kami kerana ianya telah diuruskan oleh rakan Ustaz Solahuddin sebelum ini. Pelajar Malaysia tidak ramai ketika itu. Semua urusan pelajar Malaysia diketahui oleh semua pelajar memelui persatuan.

“Kita solat Isyak di masjid dulu kemudian baru ke rumah mereka”. Cadang Ustaz Solahuddin.

Selepas wirid dan doa selepas solat isyak kami   berjalan kaki kerumah mereka yang tidak jauh dari masjid. Amalan wirid dan doa secara berjamaah ini di Syiria ini sama dengan Malaysia.  Berbeza di Jordan wirid dan doa  dilakukan secara individu. Keadaan ini  mengimbau kembali  suasana wirid dan doa di Malaysia. Amat menarik.

Kami sampai di satu bangunan yang agak besar dan menaiki tangga ke tingkat satu bangunan tersebut. Sampai di satu rumah berpintu kayu yang besar dan cantik, Ustaz Solahuddin mengetuk pintu dan memberi salam . Alhamdulillah pintu terbuka dan   Nik Malik yang membuka pintu menyambut kami. Alhamdulillah mereka semua ada  diruma sedang mengulangkaji kita yang akan dipelajari esok hari. Malam ini mereka tiada kelas.

Kami di jemput masuk  dan mereka semua terkejut melihat kami dari Mafraq menziarahi mereka tanpa notis.

“Eh enta datang juga  ke sini?  Belajar kitab jugakah”? Tanya Bakri.

“Aku  bukan rajin macam hangpa semua lah.. aku mari jalan-jalan ja makan angin”. Saya menjawab  sambil ketawa.

Tiba-tiba saya lihat Ustaz Solahuddin   menanggalkan sesuatu dari dinding rumah . Kemudian dia mengoyak kertas tersebut  menjadi cebisan  kertas kecil  sehingga hampir hancur dan membuangnya dalam tong sampah.

“Siapa tulis ni. Kalau di ketahui oleh  Mabahis (mata-mata) kamu semua boleh ditangkap dan dipenjara kerana tulisan ini”. Kata Ustaz Solahuddin dengan nada marah.

“Apa yang tertulis atas kertas tadi”? Tanya Yusof kepada Ustaz Solahuddin.

Rupanya apa yang tertulis atas kertas tadi ialah petikan kata-kata Syeikh Hassan al Banna, mursyid Jamaah Ikhwan al Muslimin satu jemaah dakwah yang tersohor dari Mesir. Kata-kata tersebut adalah:

"اِجْتَهِدْ أَنْ تَتَكَلَّمَ العَرَبِيَّةَ الفُصْحَى فَإِنَّ ذَلِكَ مِنْ شَعَائِرِ الإِسْلَامِ"

"Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab fusahah kerana itu adalah salah satu syiar Islam."

Petikan kata-kata ini sememangnya menjadi satu moto kami di Jordan. Moto ini adalah satu inspirasi untuk kami sebagai pelajar kuliah bahasa Arab untuk berusaha menguasai bahasa Arab. Masyarakat Arab sekeliling rata-rata bertutur dalam loghat tempatan. Jadi kami terpaksa berpegang dengan prinsip ini untuk bertutur seharian walaupun sentiasa menjadi bahan ketawa kepada Arab.

Rupanya-rupanya di Syiria ini apa saja yang ada kaitan dengan Jamaah Ikhwan al Muslimin adalah berbahaya dan boleh mengundang padah kepada sesiapa yang ada kaitan dengannya. Ustazah menasihati kami agar sentiasa berhati-hati dalam semua perkara. Suasana di Syiria amat berbeza dari Jordan yang lebih terbuka.

Di Syiria apa saja kaitan dengan Jamaah Ikhwan al Muslimin adalah merupakan satu kesalahan yang besar yang boleh kenakan tindakan dan hukuman nyawa. Sesiapa yang terkait akan di tangkap dan dihukum bunuh. Bukan itu sahaja. Ahli keluarga dan jiran sekeliling juga akan diheret sama dihukum atas alasan tidak membiarkan perkara itu berlaku atau tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Jadi masyarakat syiria amat berhati-hati dalam hal ini. Jika perbuatan rakan kami tadi dapat diketahui oleh pihak berkuasa, bukan mereka sahaja akan dihukum malah tuan rumah dan jiran-jiran juga akan terbabit. Allahul mustaan.

Rakan-rakan kami mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Solahuddin atas nasihat tadi. Hati saya terdetik

Oh.. hebatnya  cabaran dan ujian yang dihadapi oleh masyarakat Syiria untuk mengamalkan Islam”.