Wednesday, February 10, 2010

ADAB DENGAN ALLAH TAALA.

Setiap muslim percaya dan yakin kepada Allah Taala sebagai tuhan yang maha kuasa, mencipta alam maya ini dan mengurusnya tanpa memerlukan bantuan sesiapa.

Sebagai hamba Allah kita mempunyai adab dalam kehidupan kita seharian berkaitan dengan Allah Taala.

Kita hendaklah sentiasa mengenang nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya tidak mampu dihitung dengan ilmu akal manusia. Nikmat ini diberi oleh Allah kepada kita bermula dari dalam perut ibu sehinggalah kedetik terakhir kita menghembuskan nafas. Semua unsur kehidupan dari aspek fizikal, mental dan persekitaran, semua kemudahan ini telah disediakan oleh Allah Taala. Cara kita beradab dengan Allah ialah sentiasa mengenang nikmat Allah ini dengan mengucap “Alhamdulillah” di samping sentiasa memuji dan menyebut bahawa segala kemudahan dan kesenangan ini adalah merupakan pemberian dan kemurahan Allah taala kepada kita.

Adalah bercanggah dengan adab terhadap Allah apabila manusia lebih banyak mengenang dan memuji orang lain atas kesenangan dan kemudahan yang kita dapati dalam kehidupan seharian. Allah yang bersifat pemurah dan pengasih ini seolah tidak mempunyai jasa dalam kehidupan. Lihatlah pertuturan masyarakat islam kita hari ini! Dalam kehidupan mereka berapa kali mereka melahirkan rasa terhutang budi kepada Allah dan mengucapkan rasa syukur. Kalimah “Alhamdulillah” hanya menjadi alunan sebagai zikir selepas solat dan juga sebagai doa-doa dalam situasi tertentu sahaja.

Kita perlu menzahirkan rasa syukur dan terhutang budi kita kepada Allah dengan lebih ikhlas dengan membiasakan menyebut alhamdulillah bila setiap masa dan detik kita merasa senang dan selesa. Luahan perkataan dalam bahasa melayu yang boleh kita gunakan ialah seperti “Ini semuanya nikmat Allah”. Kata-kata ini juga boleh diucapkan apabila ada orang menyebut atau memuji sesuatu nikmat dan kelebihan pada diri kita..

Cara kedua kita beradab dengan Allah ialah membuktikan rasa terhutang budi dan terima kasih kita kepada Allah dalam kelakuan kita seharian. Semua tingkah laku dan aktiviti hendaklah menjurus kepada ketaatan kepada Allah dan terhindar dari perkara yang boleh mengundang kemurkaannya.

Adab seterusnya ialah kita hendaklah merasai bahawa Allah sedang melihat dan memerhatian segala gerak geri kita setiap masa dan setiap ketika. Merasai kehebatan Allah di dalam hati dan gerun kepadanya. Seterusnya timbul rasa malu untuk melakukan dosa atau perkara yang tidak disukai oleh Allah.

Marilah kita sama berusaha untuk menjadi hamba yang bersyukur...

Tuesday, February 09, 2010

Budayakan "Qaulan Sadida"

Firman Allah di dalam surah al Ahzab ayat 70:

يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله وقولوا قولا سديدا

Wahai orang-orang Yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan Katakanlah perkataan Yang tepat - benar (dalam Segala perkara),

Allah Taala telah menunjukkan satu prinsip yang perlu mejadi pegangan orang beriman dengan memerintahkan mereka akan sentiasa berada dalam keadaan berhati-hati dalam kehidupan mereka agar tidak melakukan perkara yang menyebabkan kermurkaan Allah.

Prinsip seterusnya ialah sentiasa menegakkan kebenaran terutama dalam percakapan seharian. “Qaulan Sadida’ disini mempunyai makna yang sangat luas. Di antaranya ialah:

1. Perkataan yang mengandungi kebenaran. Orang beriman hendaklah sentiasa becakap tentang benar dan tidak sekali-kali bercakap perkara yang tidak pasti. Kebenaran yang sebenar ialah kebenaran tentang Islam. Kita hendaklah sentiasa becakap tentang kebenaran Islam dan apa yang telah dibawa oleh Rasulullah.

2. Kata-kata atau percakapan yang boleh memberi manfaat seperti memulakan salam, bercakap perkara yang boleh mendatangkan kegembiraan kepada seseorang atau bercakap sesuatu yang boleh membawa perdamaian kepada pihak yang bertelagah.

3. Apabila bercakap hendaklah sentiasa menggunakan ayat suci al Quran dan hadis sebagai sandaran untuk memberi peringatan dan bimbingan. Begitu juga kita hendaklah sentiasa memetik kata-kata ulamak dan bijak pandai yang boleh memberi peringatan dan pengajaran kepada kita.

4. Sentiasa memuji dan mengagongkan nama Allah dan menjadikan ianya sebagai kebiasaan harian. Begitu juga kita hendaklah sentiasa membiasakan diri dengan perkataan yang berbentuk pujian, galakan dan sebagainya berbanding perkataan yang berunsur menghina, memperkecilkan seseorang.

Marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadikan pesanan Allah ini sebagai prinsip dalam kehidupan kita seharian. Ini adalah merupakan ciri-ciri mereka yang beriman dan bertakwa ..

Mudahan kita semua dirahmati dan diberkati Allah

Monday, February 08, 2010

Susahnya menjalankan amanah

Hari Ahad cuti hujung minggu kami tidak kemana-mana. Hari cuti di isi dengan aktiviti dirumah. Minggu lepas kami telah bercuti di Morib bersantai dengan keindahan pantai menghayati alam semulajadi ciptaan Allah.

Seharian melayan kerenah anak-anak, bermain , membaca, mengemas rumah adalah merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Meluang masa bersama anak mengurus kehidupan seharian ini tanpa gangguan kesibukan kerja adalah amat bermakna.

Kesempatan ini diambil untuk bercerita tentang nilai dan akhlak terutama sebagai hamba yang beriman kepada Allah. Mercerita tentang kejadian manusia dan keagongan pencipta adalah merupakan topik yang agak rumit untuk dibincang dengan anak-anak yang masih mentah. Tetapi perkara ini telah menjadi kewajipan kita sebagai ibu bapa untuk menerapkan nilai aqidah yang sebenar sebelum ruang kepercayaan aqidah dalam diri mereka diisi dengan perkara lain.

Sebagai bapa dan ketua keluarga telah menjadi tanggungjawab kita dan ianya akan dipersoalkan di akhirat nanti adakah kita telah menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada kita. Tugas yang maha berat ini sebagaimana dijelaskan oleh Allah di dalam surah Al Tahrim ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلائِكَةٌ غِلاظٌ شِدَادٌ لا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan.

Sememangnya amat susah dan rumit bercerita tentang akidah kepada anak-anak kecil. Ia memerlukan penerangan yang mudah dan boleh meresap kedalam jiwa mereka seterusnya dapat membentuk jiwa dalam kehidupan seharian.

Apa yang kita lihat sekarang ini ramai ibu bapa yang sibuk untuk melayan anak-anak dan mendidik dan membimbing anak-anak sebagaimana yang sepatutunya. Ibu bapa dilihat seolah mementingkan diri sendiri dan hanya berusaha menyelamatkan diri sendiri sahaja. Urusan penerapan akidah dan nilai banyak di abaikan dan diserah bulat –bulat kepada sekolah dan juga pembantu rumah.

Antara perkara yang kita dapat perhatikan ialah tentang amalan solat dimasjid. Dimana-mana masjid kita melihat para jemaah hanya kebanyakan mereka terdiri dari kalangan mereka yang dewasa. Sementara golongan remaja dan kanak-kanak adalah amat sedikit bahkan di sesetengah masjid langsung golongan ini tidak kelihatan kelibat mereka. DI manakah mereka semua? Kenapa mereka tidak ke masjid untuk sama-sama mendapat rahmat Allah?

Jika kita meneliti dan bertanya adakah para jemaah yang ke masjid, mereka juga mempunyai anak-anak. Kenapa mereka ke masjid untuk solat berjemaah bersendirian meraih pahala dan rahmat Allah sedangkan anak-anak mereka tidak dibawa bersama membiasakan dengan ketaatan pada Allah? Adakah ini lambang kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya?

Jadilah marilah kita sama-sama mengambil tanggungjawab mendidik dan membimbing isteri, anak-anak dan mereka yang dibawah tanggungjawab kita. Kita perlu pastikan bahawa mereka telah memahami tujuan kehidupan di dunia ini dan juga mengenal kahidupan di akhirat yang pasti kita semua akan tempuhi. Kita akan di soal di akhirat nanti.. itulah susahnya menjadi seorang lelaki..

Thursday, February 04, 2010

Kalah bukan bererti Menyerah

Keputusan pilihanraya kampus telah menunjukkan bahawa aliran Aspirasi berjaya menguasai pusat pengajian tinggi kecuali UIA. Walaupun terdapat bantahan dari aliran Mahasiswa lantaran kemungkinan terdapat pelenyelewengan dari pihak pentadbiran ianya patut dilihat dari sudut realiti.

Selepas bergaul dengan sebahagian mahasiswa dari dua aliran pemikiran ini saya dapat menangkap beberapa perkara yang boleh dibuat kesimpulan.
Perancangan aliran mahasiswa masih belum mantap dan perasaan teruja menguasai diri mereka. Jalur pemikiran banyak dibentuk oleh sentimen-sentimen tertentu yang tidak mudah diterima oleh semua pihak. Dengan kata lain perjuangan mereka masih lagi perlu dilaraskan agar lebih mesra dengan golongan mahasiswa zaman moden ini.

Memang disana terdapat beberapa isu yang dilihat tidak adil kepada mahasiswa tetapi isu ini boleh ditangani dengan lebih berhemah. Aliran mahasiswa lebih memberi fokus kepada isu-isu agama dalam menjalankankempen mereka dan hal ini secara tidak sedar menjarakkan mereka dari sebahagian pengundi. Lebih buruk lagi jika kempen dijalankan lebih berbau sentimen agama dan politik.

Istilah ‘orang kita’ dalam kempen boleh diganti dengan strategi baru yang lebih halus dan dapat menawan selera mahasiswa mengundi. Apa yang penting ialah perjuangan masih belum berakhir. Walaupun kalah dalam pilihanraya, masih banyak perkara yang perlu dilakukan. Rancanglah strategi yang baru yang lebih bertenaga untuk membina arus pemikiran mahasiswa . Jangan hanya berehat menghitung masa

Kejayaan perjuangan bukannya hanya pada kemenangan dalam pilihanraya. Kemenangan sebenar ialah penguasaan pemikiran dan peneraju perubahan.

Wednesday, February 03, 2010

Assalamualaikum Bang!

Minggu ini kuliah-kuliah saya di surau dan masjid banyak berkisar tentang adab salam dalam kehidupan. Rasulullah berpesan :

“Sebarkan salam di kalangan kamu”

“Ucapkan salam kepada siapa sahaja yang kamu kenali atau tidak”

“Kamu semua tidak akan masuk ke syurga sehingga kamu beriman, Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu saling mengasihi, Adakah kamu mahu jika aku tunjukkan sesuatu jika kamu lakukan kamu akan saling mengasihi? Ucaplah salam!”

Inilah antara hadis yang menjadi pengisian kuliah-kuliah saya di samping cerita-cerita tauladan.

Salam adalah doa kesejahteraan dan keselamatan. Alangkah indahnya hidup ini jika disulami dengan doa keselamatan dan kesejahteraan!

Saya menganjurkan..

“Berilah salam pada penjual ikan dan sayur”

“Jangan lupa beri salam bila masuk ke kedai”

“Bila nak membayar.. beri lah salam pada juruwang”

“Sebelum bayar tol, berilah salam pada jurutol itu”

“Jumpa kanak-kanak bermain, berilah salam”

“Sebelum masuk taman perumahan, berilah salam pada pak guard dulu”

“Beri salam dengan suara yang boleh didengari, tidak terlampau kuat dan tidak terlampau perlahan, agar boleh didengari dengan jelas oleh penerima”

Inilah antara saranan saya kepada para jemaah yang tekun mendengar.. sebenarnya saranan ini adalah untuk saya sendiri. Diri sendiri pun masih lagi terkial-kial untuk membiasakan adab salam ini sebagaimana di anjurkan oleh sunnah. Muda-mudahan dengan menyebut hal ini secara tidak langsung memberi peringatan kepada diri sendiri..

Lantas Allah telah menegur saya melalui seorang pengawal keselamatan. Oleh kerana jalan raya yang sesak menyebabkan saya terlewat sampai ke surau di sebuah kawasan kediaman. Sampai sahaja di pintu pagar, kerana mahu cepat, saya hanya mengucapkan salam dengan tergesa-gesa dan suara yang rendah. Cuma yang kedengaran jelas ialah:

“Nak ke Surau!”

Tiba-tiba sorang pengawal keselematan menjenguk kecermin kereta saya :

“Assalamualaikum Bang!” katanya sambil mengangkat tangan. Suaranya cukup jelas dan teratur.

Ya Allah! Sambil menjawab salam, hati ini terkedu. Ini bukan semata-mata ucapan salam. Semacam di sana ada teguran kepada saya.. Salam mesti diucapkan dengan jelas!!

Ah alangkah susahnya membiasakan Sunnah..

Tuesday, February 02, 2010

Mari bekerjasama Padukan Tenaga


Alhamdulilah kita bersyukur kepada Allah kerana telah memberi rahmat dan keamanan kepada negara kita Malaysia. Dengan keamanan ini kita dapat hidup dengan selesa malahan kita dapat melakukan ibadah kepada Allah dalam keadaan tenang dan tenteram.

Ada sesetengah pihak mendakwa bahawa keamanan ini adalah hasil tangan kebijaksanaan mereka yang telah mentadbir urus negara ini. Merekalah yang telah melakukan segalanya yang patut disyukuri dan sanjungi.

Kita tidak menafikan bahawa perancangan dan tadbir urus ini adalah merupakan salah satu daripada keistimewaan manusia sebagai khalifah. Manusia telah diberikan kebolehan merancang dan mengurus mengikut ruang lingkup yang telah ditetapkan.

Apa yang perlu diingatkan ialah sebagai khalifah, manusia juga dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Tugas ini adalah pelengkap kepada tugas merancang dan mengurus. Perancangan dan pengurusan mestilah dalam ruang lingkup amar makruf nahi mungkar.
Semua perancangan dan pelaksanaan apa saja dalam kehidupan mestilah menjurus kepada mentaati Allah dan menjauhi larangannya. Bagi mereka yang mengatakan bahawa merekalah yang telah membawa keamanan dan kesejahteraan dengan kebijaksanaan mengurus dan mentadbir adalah merupakan sesuatu yang perlu diperbetulkan.

Malaysia bernasib baik kerana masih disayangi oleh Allah dengan wujudnya golongan yang masih menjalankan amar makruf nahi mungkar. Wujudnya golongan ini telah memberi keseimbangan kepada negara kita. Walaupun wujud golongan yang dikatakan lupa kepada Allah tetapi di sana juga wujud mereka yang memperjuangkan untuk membetul penyimpangan yang telah berlaku.

Walaupun golongan yang mengambil peranan amar makruf nahi mungkar ini dilihat tidak bersatu dalam satu wadah tetapi kewujudan mereka boleh dikatakan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Ada yang mengambil jalan kebajikan, keilmuan, kerohanian, perniagaan, hiburan, media, politik dan sebagainya.

Tinggal lagi harapan kita ialah golongan ini dapat bekerjasama dan bertolak ansur dalam menjalankan peranan mereka menegakkan Islam sebagai elemen kehidupan. Ambillah peluang suasana negara kita yang masih aman ini dengan pemerintahnya yang masih dilihat amat bertolak ansur dalam banyak hal. Pencinta Islam tidak diberi tekanan dan ujian yang berat sebagaimana yang dihadapi oleh pejuang dinegara lain.

Bersatulah dan bekerjasama lah elakkan perselisihan fokuskan kepada titik persamaan. Ingatlah pesanan tokoh pejuang Syed Rashid Ridha : Saling bekerjasama dengan apa yang telah disepakati dan saling bertolak ansur atas perkara yang tidak disepakati.

Dalam menjalankan dakwah dan menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar kita mestilah selalu merenung pesanan Allah taala:

يَآ أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا َلا يَسخَر قَومٌ مِّن قَومٍ عَسَى أَن يَكُونُوا خَيرًا مِّنهُم وَلَا نِسَآءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَى أَن يَكُنَّ خَيرًا مِّنهُنَّ وَلَا تَلمِزُوا أَنفُسَكُم وَلَا تَنَابَزُوا بِالأَلقَابِ بِئسَ الاِسمُ الفُسُوقُ بَعدَ الإِيمَانِ وَمَن لَّم يَتُب فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Realitinya masih ada beberapa kerat mereka yang cintakan Islam dan tidak ingin ketinggalan dalam medan dakwah, lantang dengan gelaran-gelaran diberikan kepada individu atau kumpulan yang tidak sealiran dengan mereka. Tidak kurang juga masih ada kumpulan yang galak memperlecehkan kerja
kumpulan lain dengan mendakwa bukan sunnah dan sebagainya..

Keadaan ini hendaklah diselesaikan secara bersama dengan mewujudkan ruang perbincangan ilmiah
yang bebas dari penguasaan emosi yang sudah tentunya tidak terlepas dari hasutan syaitan.

Ya.. banyak lagi yang perlu dilakukan diluar sana. Setiap orang perlu memainkan peranan mengikut peranan masing-masing. Apa yang penting Allah dan Rasulnya di di agongkan di atas muka bumi ini. Ayuh jangan tunggu lagi.

Monday, February 01, 2010

Bangkitlah Muslimah Ku!


Kerja dakwah adalah merupaka kerja yang amat mulia dan mencabar. Kedudukan kerjaya ini adalah amat tinggi dan hanya boleh di jalankan oleh mereka telah dipilih oleh Allah SWT untuk meraih ganjaran pahala yang besar di ahirat nanti.

Kerja dakwah ini adalah merupakan kerja para rasul dan nabi dan juga orang-orang yang soleh sebelum ini. Nabi kita Muhammad SAW rasul terakhir adalah merupakah tokoh utama dalam kerjaya ini dan baginda telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Baginda telah menyampaikan segala perigatan dan panduan kepada manusia sebagaimana yang telah ditetapan oleh Allah Taala. Kita sebagai umat Islam adalah merupakan pewaris kepada kerja dakwah ini. Umat islam telah mewarisi kerja rasul untuk mejalankan semua kerja yang telah ditinggalkan iaitu menyampai dan membimbing manusia agar mengenal dan patuh kepada kehendak Allah Taala.

Kerja ini adalah kerja yang mulia dan merupakan misi yang maha hebat kerana menanggung amanah yang sangat berat. Amanah menjalankan kerja dakwah ini tidak hanya terletak di atas bahu kaum lelaki sahaja bahkan ianya meliputi kepada kaum wanita. Perintah Allah dalam al Quran meliputi kepada kaum lelaki dan juga kaum wanita :

إِنَّ المُسلِمِينَ وَالمُسلِمَاتِ وَالمُؤمِنِينَ وَالمُؤمِنَاتِ

Masyarakat Islam terawal yang telah memikul kerja dakwah ini telah menunjukkan contoh tauladan yang amat jelas tentang peranan wanita dalam medan dakwah. Hal ini tercatit dalam catatan sejarah mengkisahkan tentang Ummu Atiyyah al Ansaari yang telah membuka kelas pengajian agama dirumahnya. Ia terkenal aktif dengan memberi kuliah-kuliah agama dan tazkirah dikalangan kabilah-kabilah arab pada zaman Rasulullah SAW sehinggakan ia telah ianya disiksa dan dipenjara. Alangkah hebatnya usahanya ini yang telah mengorbankan jiwa raga dan hidupnya demi untuk menegakkan Islam agar dikenali dikalangan masyarakat. Usaha ini telah menjadi contoh kepada wanita-wanita dalam menjalankan kerja dakwah . Semoga Allah memberkati segala usahanya.

Masyarakat Islam sekarang amat memerlukan kepada kaum wanita yang memainkan peranan dakwah yang berkesan. Antara keburukan tamadun barat ialah mereka mempergunakan kaum wanita sebagai cara untuk menyebarluaskan segala keburukan dan kehancuran seterusnya meruntuhkan nilai-nilai akhlak dan kemanusiaan. Musuh-musuh islam yang rosak aqidahnya telah berusaha dan berkempen agar budaya mereka menjadi ikutan. Mereka menggunakan Media cetak dan elektronik untuk menyebarkan dan menyemarakkan budaya pemikiran dan kehidupan mereka. Ianya berjaya mempengaruhi masyarakat Islam lantas menjadi ikutan kaum wanita tidak kira remaja atau dewasa lantaran kerana kurangnya ilmu pengetahuan, tiadanya didikan agama dan lemahya iman di dalam hati.

Dalam keadaan ini hanya kaum wanita yang boleh menjalan kerja dakwah membimbing kaum sejenisnya mengenali Allah dan taat kepadanya. Ini kerena mereka lebih tahu dan faham tentang tabiat dan keperluan kaum wanita . Justeru itu lebih mudah untuk mereka menyampaikan peringatan terus kepada lubuk hati mereka seterusnya dapat membimbing mereka dalam menghayati kehidupan.

Medan kerja dakwah ini amat luas dan ianya tidak hanya terhenti di masjid semata-mata atau hanya di kuliah-kuliah agama atau pun usrah. Tetapi ia adalah meliputi penampilan dan akhlak yang bersepadu, menyeluruh seperti penampilan akhlak mulia, kata-kata yang dikeluarkan sentian mengandungi nasihat, jiwa yang penuh kasih sayang, terkedepan dalam menghulur bantuan, tidak emosional dalam menghadapi cabaran dan tentangan.

Medan dakwah mempunyai ruang lingkup yang amat luas. Setiap orang boleh memainkan peranannya. Tidak semua mampu menyampaikan kuliah agama dan memberi tazkirah atau mengahadiri perbincangan dan seminar. Tetapi mereka ini mampu untuk membina hubungan yang baik dengan sesiapa sahaja dan memilih apakah jenis sumbangan yang mereka dapat berikan. Mereka boleh boleh memilih apa kegiatan yang mereka dapat ceburi yang memberi peluang untuk bersama kaum wanita dan mejalankan aktiviti secara bersama.

Sebagai contoh sebagai seoang suri rumah yang juga seorang ibu tidak sepatutnya hanya menjadikan rumah mereka sebagai ruang lingkup kehidupan. Mereka tidak sepatutnya menjadi kerja rumah, mengurus suami dan anak- anak sebagai kerja utama dengan mengabaikkan kerja dakwah yang lain. Keadaan ini lama kelamaan akan menyebabkan Muslimah itu akan merasa hilang tanggungjawabnya kepada agama dan juga dakwah seterusnya hanya menjadi sebagai wanita biasa yang larut dengan budaya masyarakat sekeliling. Ianya akan melupakan tanggungjawab dan cita-citanya untuk menegakkan Bait Muslim sebagainama yang dianjurkan oleh Rasulullah.

Keseimbangan diantara kerja dakwah dan megurus rumah tangga adalah merupakan tanggungjawab yang perlu dititik beratkan. Seorang muslimah yang prihatin menguruskan kehidupannya perlu berusaha mewujudkan keseimbangan. Ia tidak boleh mengutamakan kerja dakwah sehingga mengabaikan tanggungjawab rumahtangga, begitujuga tidak boleh mengutamakan urusan rumah tangga dan permasalahan anak-anak sehingga mengabaikan tanggungjawab dakwah yang mulia ini. Apa yang penting ialah seorang muslimah itu perlu bijak membaca situasi dan keadaan. Dapat memilih dan mengutamakan keperluan dan menyeimbangkan antara keduanya.

Mendidik anak kecil juga penting bagi memastikan mereka itu membesar dan matang sebagai muslim sejati. Apabila tugas ini dapat diselesaikan dengan baik, carilah masa terluang untuk melaksanakan misi dakwah agar tugas ini tidak tertinggal begitu sahaja walaupun dalam kesibukan membesarkan anak-anak. Jika tidak diuruskan dengan baik muslimah itu kemungkinan akan rugi samaada dari aspek pengalaman dan juga terlepas ganjaran pahala dari Allah yang sangat besar nilainya.

Umat Islam amat memerlukan peranan anda sebagai muslimah yang menjalankan kerja dakwah. Jadilah Insan yang prihatin kepada keperluan masyarakat. Berusahalah untuk membangkitkan semangat perjuangan wanita dan berjaya membimbing mereka mengamal kehidupan berlandaskan Islam . Ya kita amat memerlukan kepada tenaga muslimah yang peka tentang kepentingan misi ini. Wahai muslimah andalah pejuang utama untuk menegakkan agama Allah ini.

وَمَن أَحسَنُ قَولًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ المُسلِمِينَ

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: « Sesungguhnya aku termasuk orang- orang yang berserah diri? »

Lelaki yang hebat tak mampu melakukan kerja dakwah ini melainkan dengan bantuan anda semua wahai wanita-wanita yang dikasihi Alllah..