Tuesday, February 09, 2010

Budayakan "Qaulan Sadida"

Firman Allah di dalam surah al Ahzab ayat 70:

يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله وقولوا قولا سديدا

Wahai orang-orang Yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan Katakanlah perkataan Yang tepat - benar (dalam Segala perkara),

Allah Taala telah menunjukkan satu prinsip yang perlu mejadi pegangan orang beriman dengan memerintahkan mereka akan sentiasa berada dalam keadaan berhati-hati dalam kehidupan mereka agar tidak melakukan perkara yang menyebabkan kermurkaan Allah.

Prinsip seterusnya ialah sentiasa menegakkan kebenaran terutama dalam percakapan seharian. “Qaulan Sadida’ disini mempunyai makna yang sangat luas. Di antaranya ialah:

1. Perkataan yang mengandungi kebenaran. Orang beriman hendaklah sentiasa becakap tentang benar dan tidak sekali-kali bercakap perkara yang tidak pasti. Kebenaran yang sebenar ialah kebenaran tentang Islam. Kita hendaklah sentiasa becakap tentang kebenaran Islam dan apa yang telah dibawa oleh Rasulullah.

2. Kata-kata atau percakapan yang boleh memberi manfaat seperti memulakan salam, bercakap perkara yang boleh mendatangkan kegembiraan kepada seseorang atau bercakap sesuatu yang boleh membawa perdamaian kepada pihak yang bertelagah.

3. Apabila bercakap hendaklah sentiasa menggunakan ayat suci al Quran dan hadis sebagai sandaran untuk memberi peringatan dan bimbingan. Begitu juga kita hendaklah sentiasa memetik kata-kata ulamak dan bijak pandai yang boleh memberi peringatan dan pengajaran kepada kita.

4. Sentiasa memuji dan mengagongkan nama Allah dan menjadikan ianya sebagai kebiasaan harian. Begitu juga kita hendaklah sentiasa membiasakan diri dengan perkataan yang berbentuk pujian, galakan dan sebagainya berbanding perkataan yang berunsur menghina, memperkecilkan seseorang.

Marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadikan pesanan Allah ini sebagai prinsip dalam kehidupan kita seharian. Ini adalah merupakan ciri-ciri mereka yang beriman dan bertakwa ..

Mudahan kita semua dirahmati dan diberkati Allah

No comments: