Tuesday, February 02, 2010

Mari bekerjasama Padukan Tenaga


Alhamdulilah kita bersyukur kepada Allah kerana telah memberi rahmat dan keamanan kepada negara kita Malaysia. Dengan keamanan ini kita dapat hidup dengan selesa malahan kita dapat melakukan ibadah kepada Allah dalam keadaan tenang dan tenteram.

Ada sesetengah pihak mendakwa bahawa keamanan ini adalah hasil tangan kebijaksanaan mereka yang telah mentadbir urus negara ini. Merekalah yang telah melakukan segalanya yang patut disyukuri dan sanjungi.

Kita tidak menafikan bahawa perancangan dan tadbir urus ini adalah merupakan salah satu daripada keistimewaan manusia sebagai khalifah. Manusia telah diberikan kebolehan merancang dan mengurus mengikut ruang lingkup yang telah ditetapkan.

Apa yang perlu diingatkan ialah sebagai khalifah, manusia juga dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Tugas ini adalah pelengkap kepada tugas merancang dan mengurus. Perancangan dan pengurusan mestilah dalam ruang lingkup amar makruf nahi mungkar.
Semua perancangan dan pelaksanaan apa saja dalam kehidupan mestilah menjurus kepada mentaati Allah dan menjauhi larangannya. Bagi mereka yang mengatakan bahawa merekalah yang telah membawa keamanan dan kesejahteraan dengan kebijaksanaan mengurus dan mentadbir adalah merupakan sesuatu yang perlu diperbetulkan.

Malaysia bernasib baik kerana masih disayangi oleh Allah dengan wujudnya golongan yang masih menjalankan amar makruf nahi mungkar. Wujudnya golongan ini telah memberi keseimbangan kepada negara kita. Walaupun wujud golongan yang dikatakan lupa kepada Allah tetapi di sana juga wujud mereka yang memperjuangkan untuk membetul penyimpangan yang telah berlaku.

Walaupun golongan yang mengambil peranan amar makruf nahi mungkar ini dilihat tidak bersatu dalam satu wadah tetapi kewujudan mereka boleh dikatakan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Ada yang mengambil jalan kebajikan, keilmuan, kerohanian, perniagaan, hiburan, media, politik dan sebagainya.

Tinggal lagi harapan kita ialah golongan ini dapat bekerjasama dan bertolak ansur dalam menjalankan peranan mereka menegakkan Islam sebagai elemen kehidupan. Ambillah peluang suasana negara kita yang masih aman ini dengan pemerintahnya yang masih dilihat amat bertolak ansur dalam banyak hal. Pencinta Islam tidak diberi tekanan dan ujian yang berat sebagaimana yang dihadapi oleh pejuang dinegara lain.

Bersatulah dan bekerjasama lah elakkan perselisihan fokuskan kepada titik persamaan. Ingatlah pesanan tokoh pejuang Syed Rashid Ridha : Saling bekerjasama dengan apa yang telah disepakati dan saling bertolak ansur atas perkara yang tidak disepakati.

Dalam menjalankan dakwah dan menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar kita mestilah selalu merenung pesanan Allah taala:

يَآ أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا َلا يَسخَر قَومٌ مِّن قَومٍ عَسَى أَن يَكُونُوا خَيرًا مِّنهُم وَلَا نِسَآءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَى أَن يَكُنَّ خَيرًا مِّنهُنَّ وَلَا تَلمِزُوا أَنفُسَكُم وَلَا تَنَابَزُوا بِالأَلقَابِ بِئسَ الاِسمُ الفُسُوقُ بَعدَ الإِيمَانِ وَمَن لَّم يَتُب فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Realitinya masih ada beberapa kerat mereka yang cintakan Islam dan tidak ingin ketinggalan dalam medan dakwah, lantang dengan gelaran-gelaran diberikan kepada individu atau kumpulan yang tidak sealiran dengan mereka. Tidak kurang juga masih ada kumpulan yang galak memperlecehkan kerja
kumpulan lain dengan mendakwa bukan sunnah dan sebagainya..

Keadaan ini hendaklah diselesaikan secara bersama dengan mewujudkan ruang perbincangan ilmiah
yang bebas dari penguasaan emosi yang sudah tentunya tidak terlepas dari hasutan syaitan.

Ya.. banyak lagi yang perlu dilakukan diluar sana. Setiap orang perlu memainkan peranan mengikut peranan masing-masing. Apa yang penting Allah dan Rasulnya di di agongkan di atas muka bumi ini. Ayuh jangan tunggu lagi.

No comments: