Minggu ini kuliah-kuliah saya di surau dan masjid banyak berkisar tentang adab salam dalam kehidupan. Rasulullah berpesan :
“Sebarkan salam di kalangan kamu”
“Ucapkan salam kepada siapa sahaja yang kamu kenali atau tidak”
“Kamu semua tidak akan masuk ke syurga sehingga kamu beriman, Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu saling mengasihi, Adakah kamu mahu jika aku tunjukkan sesuatu jika kamu lakukan kamu akan saling mengasihi? Ucaplah salam!”
Inilah antara hadis yang menjadi pengisian kuliah-kuliah saya di samping cerita-cerita tauladan.
Salam adalah doa kesejahteraan dan keselamatan. Alangkah indahnya hidup ini jika disulami dengan doa keselamatan dan kesejahteraan!
Saya menganjurkan..
“Berilah salam pada penjual ikan dan sayur”
“Jangan lupa beri salam bila masuk ke kedai”
“Bila nak membayar.. beri lah salam pada juruwang”
“Sebelum bayar tol, berilah salam pada jurutol itu”
“Jumpa kanak-kanak bermain, berilah salam”
“Sebelum masuk taman perumahan, berilah salam pada pak guard dulu”
“Beri salam dengan suara yang boleh didengari, tidak terlampau kuat dan tidak terlampau perlahan, agar boleh didengari dengan jelas oleh penerima”
Inilah antara saranan saya kepada para jemaah yang tekun mendengar.. sebenarnya saranan ini adalah untuk saya sendiri. Diri sendiri pun masih lagi terkial-kial untuk membiasakan adab salam ini sebagaimana di anjurkan oleh sunnah. Muda-mudahan dengan menyebut hal ini secara tidak langsung memberi peringatan kepada diri sendiri..
Lantas Allah telah menegur saya melalui seorang pengawal keselamatan. Oleh kerana jalan raya yang sesak menyebabkan saya terlewat sampai ke surau di sebuah kawasan kediaman. Sampai sahaja di pintu pagar, kerana mahu cepat, saya hanya mengucapkan salam dengan tergesa-gesa dan suara yang rendah. Cuma yang kedengaran jelas ialah:
“Nak ke Surau!”
Tiba-tiba sorang pengawal keselematan menjenguk kecermin kereta saya :
“Assalamualaikum Bang!” katanya sambil mengangkat tangan. Suaranya cukup jelas dan teratur.
Ya Allah! Sambil menjawab salam, hati ini terkedu. Ini bukan semata-mata ucapan salam. Semacam di sana ada teguran kepada saya.. Salam mesti diucapkan dengan jelas!!
Ah alangkah susahnya membiasakan Sunnah..
No comments:
Post a Comment