Wednesday, February 10, 2010

ADAB DENGAN ALLAH TAALA.

Setiap muslim percaya dan yakin kepada Allah Taala sebagai tuhan yang maha kuasa, mencipta alam maya ini dan mengurusnya tanpa memerlukan bantuan sesiapa.

Sebagai hamba Allah kita mempunyai adab dalam kehidupan kita seharian berkaitan dengan Allah Taala.

Kita hendaklah sentiasa mengenang nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya tidak mampu dihitung dengan ilmu akal manusia. Nikmat ini diberi oleh Allah kepada kita bermula dari dalam perut ibu sehinggalah kedetik terakhir kita menghembuskan nafas. Semua unsur kehidupan dari aspek fizikal, mental dan persekitaran, semua kemudahan ini telah disediakan oleh Allah Taala. Cara kita beradab dengan Allah ialah sentiasa mengenang nikmat Allah ini dengan mengucap “Alhamdulillah” di samping sentiasa memuji dan menyebut bahawa segala kemudahan dan kesenangan ini adalah merupakan pemberian dan kemurahan Allah taala kepada kita.

Adalah bercanggah dengan adab terhadap Allah apabila manusia lebih banyak mengenang dan memuji orang lain atas kesenangan dan kemudahan yang kita dapati dalam kehidupan seharian. Allah yang bersifat pemurah dan pengasih ini seolah tidak mempunyai jasa dalam kehidupan. Lihatlah pertuturan masyarakat islam kita hari ini! Dalam kehidupan mereka berapa kali mereka melahirkan rasa terhutang budi kepada Allah dan mengucapkan rasa syukur. Kalimah “Alhamdulillah” hanya menjadi alunan sebagai zikir selepas solat dan juga sebagai doa-doa dalam situasi tertentu sahaja.

Kita perlu menzahirkan rasa syukur dan terhutang budi kita kepada Allah dengan lebih ikhlas dengan membiasakan menyebut alhamdulillah bila setiap masa dan detik kita merasa senang dan selesa. Luahan perkataan dalam bahasa melayu yang boleh kita gunakan ialah seperti “Ini semuanya nikmat Allah”. Kata-kata ini juga boleh diucapkan apabila ada orang menyebut atau memuji sesuatu nikmat dan kelebihan pada diri kita..

Cara kedua kita beradab dengan Allah ialah membuktikan rasa terhutang budi dan terima kasih kita kepada Allah dalam kelakuan kita seharian. Semua tingkah laku dan aktiviti hendaklah menjurus kepada ketaatan kepada Allah dan terhindar dari perkara yang boleh mengundang kemurkaannya.

Adab seterusnya ialah kita hendaklah merasai bahawa Allah sedang melihat dan memerhatian segala gerak geri kita setiap masa dan setiap ketika. Merasai kehebatan Allah di dalam hati dan gerun kepadanya. Seterusnya timbul rasa malu untuk melakukan dosa atau perkara yang tidak disukai oleh Allah.

Marilah kita sama berusaha untuk menjadi hamba yang bersyukur...

No comments: