Antara perjuangan paling besar Nabi Muhammad SAW ialah mendidik manusia agar benar-benar yakin bahawa dunia ini hanyalah persinggahan sementara. Kehidupan yang sebenar ialah kehidupan di akhirat yang kekal selama-lamanya.
Selain mengajak manusia mentauhidkan
Allah sebagai Tuhan Yang Maha Pencipta dan satu-satunya yang berhak disembah,
Baginda juga mendidik manusia supaya melihat setiap keputusan hidup dengan
ukuran akhirat. Inilah antara tarbiah yang paling sukar kerana manusia lebih
mudah mengejar sesuatu yang dapat dilihat di hadapan mata daripada ganjaran
yang dijanjikan Allah.
Namun apabila keyakinan terhadap
akhirat benar-benar meresap ke dalam hati, seluruh prinsip hidup seseorang akan
berubah.
Lihatlah bagaimana teguhnya iman para
sahabat seperti Bilal bin Rabah dan Khabbab bin al-Aratt. Mereka sanggup
menanggung pelbagai seksaan demi mempertahankan akidah. Pada pandangan mereka,
kesakitan di dunia hanyalah sementara, sedangkan nikmat akhirat kekal
selama-lamanya.
Rasulullah SAW turut menceritakan
tentang orang-orang beriman daripada umat terdahulu. Ada antara mereka yang
digergaji dari kepala sehingga terbelah dua. Ada juga yang disikat dengan sikat
besi sehingga tertanggal daging daripada tulang. Namun semua seksaan itu
sedikit pun tidak memalingkan mereka daripada agama Allah. Mereka yakin bahawa
kehilangan nyawa di dunia jauh lebih ringan daripada kehilangan nikmat akhirat.
Begitu juga para ahli sihir Firaun.
Sebaik sahaja mereka menyaksikan mukjizat Nabi Musa AS, mereka terus beriman
tanpa sedikit pun ragu-ragu. Walaupun Firaun mengancam untuk memotong tangan
dan kaki mereka secara bersilang serta menyalib mereka, mereka tetap teguh
mempertahankan iman. Mereka lebih rela kehilangan nyawa daripada kehilangan
syurga.
Cuba bayangkan jika kita berada di
tempat mereka. Adakah iman kita mampu bertahan sebagaimana mereka?
Hakikatnya, cabaran kita hari ini jauh
lebih ringan. Namun kita masih sukar menghargai ganjaran yang dijanjikan Allah.
Rasulullah SAW memberitahu bahawa
solat berjemaah lebih afdhal sebanyak 27 darjat berbanding solat
bersendirian.
Bayangkan jika ada seorang jutawan
mengumumkan bahawa sesiapa yang hadir ke sebuah dewan pada waktu Maghrib dan
berada di sana selama kira-kira 10 minit akan menerima RM27 juta. Sudah
tentu jalan raya akan sesak. Dewan akan penuh. Malah ada yang sanggup datang
beberapa jam lebih awal semata-mata tidak mahu terlepas peluang tersebut.
Tetapi apabila Rasulullah SAW
mengkhabarkan ganjaran 27 darjat yang nilainya jauh lebih besar daripada
seluruh kekayaan dunia, kita masih mampu berkata, "Tak mengapa... solat
sendiri pun boleh." Kita tidak berasa rugi. Tidak berasa kecewa.
Bahkan ada yang sengaja melepaskan peluang itu tanpa sebarang penyesalan.
Mengapa perkara ini berlaku?
Kerana wang dapat dilihat oleh mata,
manakala ganjaran akhirat hanya dapat dilihat dengan mata iman.
Hakikatnya, kita tidak mempertikaikan
hadis Rasulullah SAW tentang ganjaran 27 darjat. Yang menjadi persoalan ialah
sejauh mana hati kita benar-benar mempercayai nilainya. Jika keyakinan itu
benar-benar hidup dalam jiwa, sudah tentu kita akan berusaha bersungguh-sungguh
mengejar setiap peluang yang mendekatkan kita kepada Allah.
Inilah hakikat yang perlu kita
muhasabah. Keyakinan kita terhadap akhirat masih belum cukup kuat untuk
membentuk cara kita berfikir, membuat keputusan dan menjalani kehidupan. Dunia
masih lebih besar di mata kita berbanding akhirat.
Kalaulah kita benar-benar yakin bahawa
akhirat ialah kehidupan yang kekal dan segala amal soleh di sana mempunyai
nilai yang tidak terhingga, pasti kehidupan kita akan berubah. Solat akan lebih
dijaga. Amanah akan lebih dipelihara. Dosa akan lebih ditakuti. Masa tidak akan
dibazirkan. Harta akan lebih banyak diinfakkan. Peluang melakukan kebaikan akan
segera direbut kerana semuanya dilihat sebagai pelaburan untuk kehidupan yang
tidak akan berakhir.
Rasulullah SAW juga mengingatkan
bahawa dunia ini di sisi Allah sangat hina. Bahkan jika dunia ini menyamai
nilai sebelah sayap nyamuk di sisi Allah, nescaya Allah tidak akan memberi
seteguk air pun kepada orang kafir. Betapa kecilnya nilai dunia jika dibandingkan
dengan nikmat akhirat yang kekal.
Bagaimana mendidik hati agar
benar-benar merasakan akhirat lebih bernilai?
1. Banyak mentadabbur ayat-ayat
al-Quran
yang menceritakan syurga, neraka, hari hisab dan kehidupan selepas mati.
Semakin kerap hati diingatkan tentang akhirat, semakin kecil nilai dunia di
mata kita.
2. Membaca dan menghayati hadis-hadis
tentang kelebihan amal soleh. Jangan sekadar mengetahui ganjarannya, tetapi bayangkan
seolah-olah kita sedang melihat ganjaran itu di hadapan mata.
3. Banyak mengingati kematian dan
menziarahi tanah perkuburan. Kubur mengajar bahawa semua harta, pangkat dan kemewahan
akan ditinggalkan. Yang menemani kita hanyalah iman dan amal.
4. Berkawan dengan orang soleh. Hati manusia mudah dipengaruhi.
Bergaul dengan mereka yang cintakan akhirat akan membantu kita melihat dunia
sebagaimana mereka melihatnya.
5. Biasakan bertanya kepada diri
sebelum membuat sesuatu keputusan: "Adakah pilihan ini hanya menguntungkan dunia,
atau turut memberi keuntungan yang lebih besar di akhirat?"
Akhirnya, marilah kita bermuhasabah.
Mungkin masalah kita bukan tidak mengetahui tentang syurga, neraka dan hari
akhirat. Kita telah lama mempelajarinya sejak kecil.
Tetapi persoalannya, adakah hati
kita benar-benar merasakan akhirat itu lebih bernilai daripada dunia?
Kerana apabila hati benar-benar yakin,
kehidupan pasti berubah. Itulah yang berlaku kepada Bilal bin Rabah, Khabbab
bin al-Aratt, orang-orang soleh daripada umat terdahulu dan para ahli sihir
Firaun. Mereka melihat syurga dengan mata iman sehingga seluruh dunia menjadi
terlalu kecil untuk menggugat keyakinan mereka.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada
kita hati yang sentiasa hidup dengan mengingati akhirat, sehingga setiap
keputusan, tindakan dan pengorbanan kita sentiasa dipandu oleh apa yang lebih
bernilai di sisi-Nya, bukan sekadar apa yang kelihatan menguntungkan di dunia.
"Ya Allah, janganlah Engkau
jadikan dunia sebagai cita-cita terbesar kami, tetapi jadikanlah syurga-Mu
sebagai matlamat utama kehidupan kami." Amin ya Rabbal 'Alamin.

No comments:
Post a Comment