Thursday, July 23, 2026

MEMBUDAYAKAN KEBERSAMAAN MELALUI SOLAT BERJEMAAH

Semalam, dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands ke Bangi, saya singgah untuk menunaikan solat jamak taqdim Maghrib dan Isyak di surau Plaza Tol Jalan Duta. Ketika itu baru sahaja masuk waktu Maghrib. 

Selesai berwuduk, saya masuk ke surau. Beberapa orang sedang bersolat sendirian. Saya menunggu seketika kerana melihat beberapa jemaah baru mula masuk.

Seorang lelaki masuk tanpa memandang sekeliling. Beliau terus mencapai sejadah dan menghamparkannya di satu sudut surau untuk bersolat bersendirian.

Saya menegurnya dengan sopan.

"Jom kita solat berjemaah."

Beliau mengangkat muka lalu berkata,

"Saya nak solat jamak."

Saya tersenyum.

"Saya pun sama. Marilah kita solat bersama."

Beliau terus mengambil sejadahnya dan datang berdiri di sebelah saya.

Tidak lama kemudian, seorang lagi masuk. Keadaannya juga sama. Beliau terus menghamparkan sejadah dan bersedia mengangkat takbir.

Saya menjemputnya menyertai kami.

"Saya nak solat Maghrib sahaja. Saya tak jamak," katanya.

Saya menjelaskan,

"Tidak mengapa. Ikut sahaja solat Maghrib berjemaah bersama kami."

Beliau terus bersetuju. Alhamdulillah, kami memulakan solat Maghrib berjemaah.

Selesai solat Maghrib, saya bangun untuk meneruskan solat Isyak secara qasar. Ketika itu beberapa orang lagi telah masuk ke surau, tetapi masing-masing terus bersolat sendirian.

Tiba-tiba seorang lagi datang berhampiran kami dan bersedia untuk memulakan solat.

Saya segera memanggilnya.

"Jom solat berjemaah bersama kami."

Beliau bertanya,

"Tuan solat Maghrib atau Isyak?"

Saya menjawab,

"Kami sedang solat jamak taqdim. Maghrib tadi sudah selesai. Sekarang kami hendak solat Isyak dua rakaat secara qasar."

Beliau kelihatan ragu-ragu.

"Saya nak solat Maghrib tiga rakaat."

Saya menerangkan,

"Tidak mengapa. Solat sahaja bersama kami. Apabila imam memberi salam nanti, saudara bangun dan tambah satu rakaat lagi."

Alhamdulillah, beliau turut serta. Maka kami bertiga berjemaah untuk solat Isyak, manakala beliau menyempurnakan solat Maghribnya selepas imam memberi salam.

Pengalaman ini mengingatkan saya bahawa masyarakat kita sebenarnya sudah mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menjaga solat. Di mana-mana surau di kawasan rehat atau hentian lebuh raya, kita akan melihat ramai orang berhenti untuk menunaikan solat.

Namun, budaya mengutamakan solat berjemaah masih belum benar-benar subur. Ramai yang terus bersolat sendirian walaupun ada peluang membentuk jemaah. Sebahagian pula masih kurang memahami hukum dan tatacara berjemaah dalam situasi solat jamak dan qasar.

Mungkin ada yang masih mengingati pesanan ketika belajar dahulu bahawa orang yang bermusafir tidak boleh mengikut imam yang bermukim jika ingin mengqasarkan solat. Ada juga yang menyangka orang yang hendak jamak tidak boleh berjemaah dengan orang yang tidak jamak. Sedangkan fiqh solat berjemaah sebenarnya lebih luas dan lebih mudah daripada sangkaan ramai.

Minggu lalu, ketika dalam perjalanan ke Pulau Pinang, saya singgah di R&R Tapah bersama beberapa orang sahabat. Kami menunaikan solat Asar secara qasar berjemaah bersama beberapa orang musafir lain. Selepas selesai, beberapa jemaah yang berniat melakukan jamak ta'khir pula bangun untuk menunaikan solat Zuhur secara qasar dan seorang daripada mereka menawarkan diri menjadi imam.

Ketika saya berjalan keluar, saya terlihat sekumpulan individu berpakaian korporat hijau sebuah parti politik sedang bersiap untuk membentuk jemaah mereka sendiri. Mungkin mereka baru pulang daripada kempen pilihan raya di Johor.

Saya terfikir, alangkah indahnya jika mereka menyertai sahaja jemaah yang sudah sedia ada di hadapan. Bukankah tujuan asal solat berjemaah ialah menghimpunkan hati-hati orang Islam, bukan memisahkannya kepada kelompok-kelompok kecil?

Hakikatnya, masjid dan surau ialah tempat penyatuan umat. Ketika berdiri di dalam saf, tiada lagi beza parti politik, organisasi, negeri, pangkat atau kedudukan. Semua berdiri sama taraf sebagai hamba Allah.

Sebab itu budaya mengajak orang lain menyertai solat berjemaah perlu dibiasakan. Jangan malu untuk mengajak, dan jangan pula terasa janggal apabila diajak. Kadang-kadang hanya dengan satu teguran yang lembut, satu jemaah dapat dibentuk dan pahala berjemaah dapat dikongsi bersama.

Inilah juga sebahagian daripada amar makruf yang sering kita lupakan. Bukan sekadar mengajak orang menunaikan solat, tetapi mengajak mereka menikmati keindahan solat secara berjemaah.

Jika kita benar-benar mahu menyatukan ummah, mulakanlah dengan perkara yang paling mudah. Apabila masuk ke surau atau masjid dan melihat ada orang bersolat sendirian, hulurkanlah jemputan:

"Mari kita solat berjemaah."

Mudah-mudahan dengan budaya yang sederhana ini, Allah menyatukan hati-hati kita sebagaimana Dia menyatukan saf-saf kita di hadapan-Nya.

No comments: