Beberapa hari lepas, ini negara dikejutkan dengan kes seorang pemuda yang dijatuhi hukuman kerana memukul seorang penunggang motosikal sehingga cedera parah. Puncanya kelihatan kecil — dia berasa marah kerana dibunyikan hon.
Dalam budaya masyarakat Malaysia,
membunyikan hon sering ditafsirkan sebagai tanda marah, menyindir atau memarahi
orang lain. Sebab itulah ramai yang mudah tersinggung apabila dihon, walaupun
hakikatnya mungkin sekadar ingin memberi peringatan.
Namun, pengalaman saya ketika berada
di negara-negara Arab memperlihatkan suasana yang agak berbeza. Bunyi hon bukan
semestinya membawa maksud kemarahan. Ada kalanya ia sekadar isyarat mesra untuk
menyapa rakan, memberitahu kehadiran, atau meminta laluan tanpa sebarang niat
menghina. Masyarakat setempat menerimanya sebagai perkara biasa.
Begitulah uniknya perbezaan budaya.
Sesuatu perbuatan yang dianggap sopan di satu tempat, mungkin pula dianggap
kasar di tempat yang lain.
Sebagai contoh, menyentuh kepala
seseorang. Dalam masyarakat Malaysia, perbuatan itu sering dianggap tidak
sopan, terutama jika dilakukan kepada orang yang lebih tua. Sebaliknya, di
sesetengah masyarakat Arab, sentuhan pada kepala dalam keadaan tertentu boleh
melambangkan kemesraan dan hubungan yang rapat.
Sebaliknya pula, menepuk bahu rakan
lelaki di Malaysia lazimnya dianggap sebagai tanda persahabatan. Namun di
beberapa tempat dalam budaya Arab, sentuhan fizikal tertentu antara lelaki
boleh ditafsirkan secara berbeza, malah boleh menimbulkan salah faham jika
tidak memahami adat setempat.
Perbezaan budaya juga dapat dilihat
melalui bahasa dan peribahasa.
Dalam bahasa Melayu, ungkapan "panjang
tangan" membawa maksud seseorang yang suka mencuri. Sebaliknya, dalam
bahasa Arab terdapat ungkapan طويل اليد (ṭawīl
al-yad) yang bermaksud seorang yang pemurah,
suka memberi dan banyak membantu orang lain. Frasa yang hampir sama, tetapi
membawa makna yang bertentangan.
Inilah yang dinamakan kontra nilai
dan budaya. Jika kita menilai sesuatu hanya berdasarkan kaca mata budaya
sendiri, kita mudah membuat kesimpulan yang salah terhadap orang lain.
Lebih besar daripada itu, kesilapan
yang sama boleh berlaku ketika memahami al-Quran, hadis dan khazanah ilmu Islam
yang berbahasa Arab. Seseorang mungkin memahami sesuatu perkataan berdasarkan
makna dalam bahasanya sendiri, sedangkan maksud sebenar yang dikehendaki oleh
syarak dipengaruhi oleh bahasa, adat, budaya dan konteks masyarakat Arab
ketika wahyu diturunkan.
Atas sebab itulah para ulama sejak
dahulu bukan sekadar menguasai tatabahasa Arab, bahkan mereka turut mendalami
balaghah, uslub, syair Arab, sejarah, adat resam dan budaya masyarakat Arab.
Semua ini membantu mereka memahami maksud sebenar nas syarak, bukannya sekadar
makna literal sesuatu perkataan.
Allah SWT sendiri mengajar manusia
supaya mengenali kepelbagaian bangsa dan budaya, bukan untuk saling merendahkan
antara satu sama lain, tetapi untuk saling memahami.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ
إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ
ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ
شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ
عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ
ۚ إِنَّ اللَّهَ
عَلِيمٌ خَبِيرٌ
"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami
telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian
Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling
mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang
paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam
Pengetahuan-Nya."
(Surah al-Hujurat: 13)
Pepatah Melayu ada menyebut, "Lain
padang lain belalang, lain lubuk lain ikannya." Setiap tempat
mempunyai adat dan cara hidup yang tersendiri. Orang yang bijaksana bukanlah
orang yang memaksa semua orang mengikut budayanya, tetapi orang yang mampu
memahami budaya orang lain tanpa mengorbankan prinsip agamanya.
Semoga Allah mengurniakan kepada kita
keluasan ilmu, kebijaksanaan dalam memahami manusia, dan kefahaman yang benar
terhadap agama-Nya. Amin.

No comments:
Post a Comment