Tuesday, September 30, 2025

MENGAJAR KAWAN RUSIA BAHASA ARAB

 Di Jordan, kami adalah generasi pertama pelajar Malaysia Universiti al Albayt yang telah di paksarela tinggal di asrama. Ketika kami ditempatkan di asrama dengan bangunan berkotak-kotak itu hanya pelajar Malaysia yang ada.  


Selepas tiga hari kalau tidak silap ingatan saya baru pelajar dari negara lain sampai dan ditempatkan di asrama. Saya ingat lagi selepas waktu isyak ketika kami sedang berehat kami lihat beberapa orang pelajar baru telah sampai. Mereka ditempatkah dibangunan sebelah bangunan saya.

Mereka kelihatan keletihan mungkin baru sampai dari perjalanan yang jauh. Saya menegur mereka. Alhamdulillah, mereka menjawab salam. Hanya itu saja komunikasi kami. Yang lain tidak di fahami. Saya menyebut nama saya dan negara.

“Abdullah.. Malaysia…”

Mereka menjawab…

“Elnour…Russia”

“Arthur… Russia”

Mereka dari Russia rupanya.. dan mereka hanya mampu bertutur dalam bahasa Russia sahaja.. Mereka langsung tidak tahu bahasa Inggeris apatah lagi bahasa Arab. Jadi komunikasi kami ibarat ayam bercakap dengan itik. Lebih baik guna bahasa Melaysia untuk bercakap dengan mereka.

Tiba salah seorang dari mereka menyebut sesuatu…

“Vada.. Vodu..” itu ja yang saya ingat.. sambil membuat gaya tangan ke mulut.

Langsung saya tidak faham apa yang dia sebut dan apa yang dia mahu. Saya hanya geleng kepala.

Dia kemudiannya menarik tangan saya ke bilik air. Dia membuka paip dan menunjukkan air yang keluar sambil menyebut..

“Vada.. Vodu..”

Oh.. rupanya dia mahu air untuk diminum. Saya menjemput mereka kebilik saya untuk memberi minum air mineral jenama ‘al Kauthar’ yang saya beli di pekan Mafraq.

Saya mengajarnya untuk menyebut..

“Maa’”.. (Air).. Selepas beberapa sesi dia mampu menyebut dengan baik..

“Spasiva.. maa”.. Selepas beberapa minggu baru saya belajar dari mereka ‘Spasiva’ adalah bermaksud terima kasih.

Selepas itu hampir setiap malam saya mengajar mereka bahasa Arab. Bermula di mengenal huruf, mengenal perkataan mudah sekitar asrama.

Mereka ini amat bijak dan cepat belajar. Mereka menghadiri kelas bahasa dari pagi hingga petang. Dan apa yang saya tahu mereka mohon lanjutkan masa belajar sehingga lewat petang. Hanya khas untuk mereka.

Hasilnya.. selepas 3 bulan mereka sudah mampu berkomunikasi dengan bahasa Arab dengan baik. Saya tidak perlu lagi mengajar mereka. Bahkan selepas 6 bulan, bahasa Arab mereka lebih baik dari saya. Mereka mampu bercerita sesuatu  dalam bahasa Arab tanpa tersangkut-sangkut atau teragak agak. Kosa kata mereka s lebih banyak dari saya dan mampu menerangkan sesuatu dengan mudah.

Barulah saya kenal dengan bangsa Rusia. Patutlah mereka hebat dalam teknologi. Kesungguhan dan ketekunan mereka seolah tidak ada dalam dalam diri kita orang Malaysia. Saya malu dengan mereka.

 

No comments: