Itulah menu masakan yang disediakan oleh Kafeteria Universiti al Albayt, selepas kami mohon kepelbagaian menu makan tengah hari dan malam. Sebelum ini menu yang disediakan ialah ayam, daging lembu atau kambing. Kami pelajar Malaysia yang baru sampai ke tanah Arab tidak biasa dengan menu kambing setiap hari. Walaupun ianya istimewa tapi kami tidak biasa.
Tekak kami masih lagi tekak Malaysia. Mesti makan ikan
setiap hari. Wakil pelajar telah membuat perjumpaan dengan pihak universiti
memohon menu agar menu di kafeteria
dipelbagaikan dan lebih bersifat nusantara yang sesuai dengan tekak Malaysia.
Malangnya tukang masak di sana tidak pernah ada pengalaman
menu Asia. Menu ikan yang dimasak pun
adalah ala Arab. Ikan yang dimasak tidak
pernah kami makan. Ikannya pelik berbentuk panjang hampir sejengkal tapi tanpa kepala.
“Syusmu samak?” (Apa nama ikan ni?) saya pernah
bertanya tukang masak yang melayani kami di kafeteria.
“Maqtu’ Ra’s” (ikan tanpa kepala). Itu saja jawapan
mereka.
Ikan tersebut dimasak berkuah sebagaimana permintaan kami.
Kami inginkan kari Ikan sebagaimana di
Malaysia. Tapi yang dimasaknya ialah Ikan masak kuah yang
diletak herba yang janggal bagi kami. Kali pertama makan terpaksa pejam mata
untuk telan ikan tersebut. Tapi oleh kerana lapar terpaksa kami makan juga.
Kalau tidak makan akan lapar, kerana universiti Albayt amat
baru ketika itu dan tiada langsung kedai yang menjual makanan melainkan
kafeteria sahaja. Walaupun kami sebagai pelajar tajaan KPM yang berduit. Tapi tiada
apa yang boleh dibeli. Hanya tunggu hari minggu untuk keluar mencari sumber makanan
di pekan Mafraq.
Ramai yang tidak dapat makan menu baru ini. Kami menyesal
minta menu ikan ini. Lebih baik menu ayam atau kambing. Pada hari menu ikan
tanpa kepala, memang amat kurang pelajar Malaysia yang datang makan. Terutama
pelajar perempuan. Hanya ada berapa kerat saja yang ada. Hairan juga kami
bagaimana mereka boleh bertahan tanpa makan.
Saya berpegang kepada prinsip makan apa saja yang halal.
JIka kita paksa makan, ianya akan menjadi biasa. Bagi saya tiada masalah. Alah
bisa tegal biasa. Orang Arab sihat pun makan ikan ini. Sudah tentu makanan
disediakan adalah halal dan baik. Cuma ianya tidak biasa dengan tekak Malaysia.
Saya teringat firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 172:
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ
إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik (halal) yang
telah Kami kurniakan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah jika benar kamu
hanya menyembah-Nya.”
Firman Allah dalam surah al Maidah ayat 88:
وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا
طَيِّبًا وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنْتُمْ بِهِ مُؤْمِنُونَ
Maksudnya:
“Dan makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu, yang halal lagi baik; dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.”
Ada yang biasa makan ikan ini kah? Apa nama sebenar dia.
Tidak pernah jumpa pun di Malaysia.
No comments:
Post a Comment