Wednesday, October 01, 2025

SOLAT BERJAMAAH BERSAMBUNG SAMBUNG

 “Hinaak.. Jamaah. Salli hinak” (Di sana ada jamaah. Sembahyang di sana)

Seorang pakcik Arab menunjukkan kepada saya ada ada 3 orang sedang solat berjamaah di bahagian kanan Masjid di Balad Zarqa. Saya sampai di Pekan Zarqa ketika waktu zohor sudah agak lewat. Namun saya dan kawan saya Rafiq tetap ke masjid untuk solat Zohor.


Saya dan Rafiq mengucapkan terima kasih kepada ammu Arab tadi dan solat bersama jemaah tersebut.

Antara perkara baru yang kami rasai ketika berada di Jordan ialah budaya solat berjamaah. Kita dapat melihat budaya ini amat dititik berat dan menjadi amalan kepada masyarakat di sini. JIka kita terlewat ke masjid atau diluar waktu utama solat kita akan dapati akan ada solat berjamaah.

Seingat saya seolah tidak pernah lihat arab solat bersendirian secara terasing jika ia solat fardhu. Jika kita terlihat mereka solat sendirian biasanya kita akan lihat mereka solat 2 rakaat, iaitu solat sunat.

Biasanya di masjid masjid besar yang ramai pengunjung kita akan dapat lihat solat berjamaah akan bersambung-sambung. Selesai saja solat jamaah yang utama, ahli jamaah yang baru sampai akan mencuit makmum masbuk yang sedang selesaikan rakaat solat yang berbaki sebagai tanda dia akan menjadi makmumnya. Jika datang makmum yang lain mereka terus solat bersama dengan imam baru tadi.

Hal ini sudah menjadi budaya dan persahaman yang kemas dalam masyarakat. Sehinggakan  solat tadi akan bersambung sambung sehingga pernah saya terlihat ianya sampai kebahagian belakang dan sampai ke pintu masuk masjid!

Sesiapa yang terlewat hadir kemasjid akan melilau matanya mencari jemaah solat yang ada. JIka tiada mereka akan menunggu jika ada sesiapa yang baru sampai untuk solat bersama. Sudah menjadi kebiasaan pun jika kita masuk ke masjid dan solat jamaah utama sudah selesai akan ada beberapa orang yang menunjukkan kepada kita kepada jemaah baru bersambung agar solat bersama mereka.

Budaya ini amat bagus dan amat berbeza dengan budaya kita di Malaysia. Di Malaysia kita lebih suka untuk solat sendirian dengan alasan lebih khusyuk dan cepat. Amat mengecewakan jika solat di surau awam atau RnR ramai masuk terus solat sendirian walaupun sudah ada solat jemaah sedang berlangsung.

Jom jadikan budaya solat jemaah dalam masyarakat kita. Kita sendiri jadilah pencetus solat jemaah dimana saja kita berada. Ingatlah solat berjamaah pahalanya berganda. Asas pahala solat berjamaah ialah 27. Ianya boleh bertambah mengikut keadaan situasi dan usaha masing-masing.

Amatlah rugi jika kita solat sendirian. Boleh dikatakan tidak cerdik sesiapa yang solat sendirian sedangkan peluang solat berjamaah di depan mata.

No comments: