Antara ilmu yang abang senior kami ajar ketika naik bas atau coaster ialah kegunaan duit syiling. Perlu ada stok duit syiling dalam poket.
“Nanti kalau naik bas atau coaster perlu ada duit syiling. Amat penting. Kalau tidak ada perlu pinjam dari orang lain atau kena minta tolong penumpang lain.”
Terang abang senior kami. Kamu terpinga-pinga tidak faham kegunaan duit syiling tersebut.
“Nanti kamu perhatikan sepanjang perjalanan coaster ini.”
Ya. Baru kami perasan sesuatu. Apabila kedengaran bunyik ‘tik. Tik..tik’
coaster akan berhenti dan penumpang akan turun. Kami perhatikan lagi dari mana
punca bunyi itu.
Nah… sekali kami terpandang seorang penumpang menggunakan duit syiling untuk
mengetuk tingkap cermin sebagai tanda sudah sampai ke destinasi dan
mahu turun.
Deria pemandu juga amat hebat. Telinganya amat sensitif. Ada bunyi
‘tik’ saja dia akan terus berhenti. Begitu
juga dengan bas besar. Jika ingin berhenti di tepi jalan boleh juga dengan
kaedah mengetuk duit syiling di cermin bas. Telinga pemandu akan dapat mendengarnya. Kamu pun hairan
dengan deria pemandu bas ini.
Ada sekali berlaku pada saya. Sebelum sampai ke destinasi
saya sudah siap sedia dengan duit syiling di tangan dan tangan
dilekatkan di cermin bersedia untuk mengetuk cermin bila hampir sampai ke
tempat yang saya mahu turun.
Tiba-tiba coaster seolah terpijak lubang dan coster bergegar. Tiba- tiba bas membrek dan
berhenti. Saya baru sedar bahawa duit syiling di jari saya sudah terketuk ke cermin. Hanya sekali sahaja bunyi ‘tik’ .
Bas terus berhenti..
“Min biddu yanzil huna..?” ( Siapa yang mahu turun
sini?) Teriak pemandu coaster bila melihat
tiada seorang pun yang turun.
“Mafi hada.. bas ana ghaltan..” (Tak ada sorang pun. Saya tersilap ketuk) Saya
terpaksa menyahut mengaku tersilap
ketuk. Banyak mata memandang saya termasuk ada sorang gadis tersenyum melihat
saya. Saya sebagai orang asing memang
menarik perhatian ramai orang. Lebih-lebih lagi saya dilihat ada iras dengan Jackie Chan pelakon
tersohor.
Lain padang lain belalang. Itu lah hakikat perbezaan budaya yang kami pelajari. Benarlah Firman Allah dalam
surah al-Hujurat ayat 13:
يَا
أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ
شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ
أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu
dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenal.
Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang
paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam
Pengetahuan-Nya.
Mahasuci Allah yang telah menciptakan manusia dengan
pelbagai budaya dan ragam. Saya syukur kepada Allah diberi rezeki sampai ke
bumi Arab ini hingga dapat mengenali cara kehidupan dan budayanya.
No comments:
Post a Comment