Saya amat tekejut mendengar seorang agamawan menyebut dalam dalam satu majlis bahawa perpaduan melayu adalah perpaduan Islam. Bumi Malaysia adalah hak Melayu dan Melayu itu adalah Islam kerana ianya telah tertulis dalam perlembagaan. Jika melihat realiti semasa secara tohor mungkin kita boleh menerima hujah ini. Tetapi apa yang dilihat daripada kesungguhan penghuraian dan semangat agamawan tadi memperlihat sesuatu perkara yang membimbangkan.
Tersasar dari manhaj Islam! Itulah yang saya dapat simpulkan. Kenapa kita beriya-iya mengutarakan pandangan mengikut penilaian akal sendiri sambil mengumpul segala hujah untuk mengukuhkan pandangannya. Sedangkan hujah yang dipakai adalah amat naif dan bersifat andaian dan bukannya berdasarkan panduan dan petunjuk dari Allah dan Rasul yang bersifat pasti.
Adakah penilaian kita lebih bijaksana dari Allah yang mengatakan bahawa taqwa dan iman itu melampaui sempadan ras dan bangsa. Bahkan Rasulullah menegaskan walaupun beliau berbangsa Arab dan al Quran itu diturunkan dengan bahasa Arab, ianya tidak menjadikan bangsa arab itu ada kelebihan apatah lagi mendapat keistimewaan tersendiri. Iman dan taqwa adalah yang utama.
Allah telah menyediakan sistem kehidupan kepada manusia melalui wadah Islam. Manhaj Islam asasnya meroboh tembok ras dan bangsa. Islam mengajar semua bangsa hidup bersama menghambakan diri kepada Allah. Sejarah telah membuktikan Islam mencapai tahap tamadun yang gilang gemilang apabila Islam dijadikan wadah penyatuan.
Sejarah cuga mencatat peristiwa pahit kejatuhan tamadun Islam apabila faktor bangsa dijadikan alasan untuk menetapkan hak dan keistimewaan. Apa yang paling menyedihkan Empayar khalifah Islam Uthmaniah terakhir dijatuhkan menggunakan senjata kebangsaan. Musuh Islam tanpa penat jemu menyuntik fahaman kebangsaan bahawa arab lebih berhak mentadbir tanah arab dan kenapa tanahair ini ditentukan nasibnya oleh bangsa Turki! Itulah senjata yang ampuh menghancurkan Islam!
Allah telah membuktikan kebejatan pemikiran dan pemahaman kebangsaan ini dengan memperlihatkan kepada kita betapa hanya kerana ingin melihat tanah arab ditadbir oleh bangsa Arab, mereka sanggup menyerahkan bumi Masjidil Aqsa, tempat persinggahan Nabi pada malam Isra’ kepada Yahudi!
Inilah hinanya kita umat Islam bila mengutamakan kebijaksanaan diri dan mengenepikan kebijaksaan Allah dalam mengurus kehidupan di bumi ini. Ingatlah amanah sebenar kita sebagai khalifah Allah ialah memperkenalkan Allah sebagai tuhan yang wajib di sembah dan dipuja kepada semua bangsa di atas muka bumi ini. Gunalah kebijaksanaan minda yang dianugerahkan Allah untuk mempromosikan Islam dan berusaha untuk hidup bersama diatas bumi Allah ini. Mengatakan Islam itu melayu dan melayu itu islam dibimbangi akan membantutkan perkembangan Islam di bumi Malaysia ini.
Allah menafikan bumi ini diciptakan untuk bangsa Arab, jauh sekali untuk bangsa Melayu. Bumi ini adalah untuk orang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Jangan kita tersilap langkah.
Cerita Salasilah
2 months ago
1 comment:
Insya Allah, Islam terbela, Melayu terbela, jika Daulah Islamiyah/Daulah Khilafah dapat ditegakkan semula. Ayuh kaum muslimin, berusahalah kalian untuk mendirikannya semula..
Post a Comment