Sudah lama saya tidak membuat coretan di blog ini. Rancangan untuk menajamkan mata pena terhenti seketika dengan alasan remeh iaitu ingin menyimpan kekuatan minda untuk menyiapkan kajian sarjana yang dilihat masih jauh lagi untuk mencapai penghujungnya. Tugasan bersama masyarakat pun banyak telah dikurangkan kekerapannya demi meluangkan masa untuk mendalami buku-buku ilmiah yang bertimbun.
Hanya satu perjumpaan saja yang saya tidak punya alasan yang kukuh untuk menolak.Bahkan tidak sampai hati untuk berpisah dengannya. Majlis ilmu bersama pelajar Kolej Kejuruteraan MAS setiap hari isnin adalah merupakan majlis yang tidak ternilai. Pelajar-pelajar yang dahagakan ilmu agama dan bimbingan sentiasa setia memeriahkan taman syurga sehingga lewat waktu isyak. Suasana inilah yang memberi kekuatan kepada saya untuk mengenepikan segala keletihan dan kejerihan aktiviti seharian yang kadangkala nikmat rehat dan makan terpaksa diketepikan seketika. Hambatan masa dan waktu sudah menjadi rutin kehidupan di Kuala Lumpur.
Majlis ilmu malam tadi membincangkan perbezaan antara generasi Rasulullah dan para sahabat dengan generasi umat Islam masa kini. Kenapa generasi Islam dahulu begitu hebat dapat menguasai kehidupan dunia dan akhirat sedangkan generasi masakini hanya sekadar buih di lautan yang tidak mempunyai nilai dunia dan akhirat.
Isu ini telah di utarakan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan sebagai pendorong untuk menyusun bukunya Pendidikan Kanak-kanak berdasarkan Islam. Beliau memetik beberapa ayat al-Quran sebagai perbandingan antara dua generasi. Antara ayat tersebut ialah ayat 29 surah al fath:
محمد رسول الله والذين معه أشداء على الكفار رحماء بينهم ترهم ركعا سجدا يبتغون فضلا من الله ورضوانا سيماهم في وجوههم من أثر السجود
Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang Yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir Yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, Dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. tanda Yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang Yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan Ibadat mereka Yang ikhlas)…. (Surah al-fath 48:29)
Ayat ini menghuraikan akhlak peribadi masyarakat Islam zaman Rasulullah.
1. Bersikap tegas terhadap orang kafir. Sentiasa berusaha mengutarakan bahawa Islam adalah agama yang benar.
2. Berlembut , mudah bertolak ansur, saling membantu sesama Islam.
3. Sentiasa Taat dan patuh kepada perintah Allah.
4. Sentiasa mencari, berusaha, merebut peluang mendapat apa-apa habuan yang telah di janjikan oleh Allah.
5. Mengutamakan keredhaan Allah dalam setiap aspek kehidupan.
6. Penampilan diri menyerlahkan sifat taqwa, rendah diri dan berjiwa hamba.
Ini adalah merupakan satu ayat daripada beberapa ayat yang dipetik oleh Dr Abdulah Nasih Ulwan yang menggariskan perbezaan antara dua generasi. Cukuplah dulu dengan satu ayat ini yang menjadi renungan kita bersama untuk hari ini. Marilah kita sama-sama berusaha mengembalikan sifat-sifat ini pada generasi islam kini. Ianya bermula dengan diri kita!
Cerita Salasilah
2 months ago
No comments:
Post a Comment