Ayat yang kedua yang digunakan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam menggariskan perbezaan antara generasi zaman kegemilangan Islam dan generasi masakini ialah ayat 17 hingga 19 surah al-za:riya:t:
كانوا قليلا من الليل ما يهجعون وبالأسحار هم يستغفرون وفي أموالهم حق للسائل والمحروم
mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian Yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin Yang meminta dan orang miskin Yang menahan diri (daripada meminta). (al-za:riya:t 51:17-19)
Antara ciri-ciri orang beriman yang berjaya yang digariskan di sini ialah:
1. Sanggup mengenepikan keselesaan dan kerehatan demi kereinduan mengadap Allah taala pada waktu yang paling disukainya.
2. Sanggup bangun awal untuk memohon ampun dan bermunjat kepada Allah walaupun terpaksa meninggal saat tidur yang paling indah.
3. Harta dan wang ringgit digunakan untuk membantu saudara seislam yang kesusahan yang telah ditakdirkan Allah kurang mendapat rezeki dan kesenangan dunia.
Jika kita renungi dan hayati ayat ini dengan mendalam dan cuba kita lihat kepada diri kita. Adakah ciri-ciri ini sudah ada dalam diri kita? Ramai dikalangan kita mengeluh tentang kemunduran dan kelemahan Islam. Malah umat islam dilanda pelbagai masalah kehidupan yang teruk yang kadangkala lebih teruk dari mereka yang kufurkan Allah.
Antara sebabnya ialah masyarakat islam kita amat naif dari memiliki sifat-sifat di atas. Pernah saya mendengar keluhan pimpinan dewan ulamak sebuah parti Iislam di malaysia. Beliau mengatakan bagaimana perjuangan Islam di Malaysia mahu mencapai kemenangan sedangkan pejuang-pejuang Islam yang bertaraf ulamak pun tidak ramai yang sanggup mengurangkan tidur bangun mengadap Allah. Beliau mengatakan dalam satu program pernah diajukan soalan siapakah yang istiqamah qiamullail sekurang-kurangnya sekali seminggu? Hanya tiga atau empat orang sahaja yang mengangkat tangan.
Inilah masalah yang dihadapi oleh kita semua. Ramai yang bercakap bedegar-degar mahu memperjuangkan islam dan sanggup berjihad melawan musuh. Tetapi malangnya pejuang-pejuang berpangkat general sendiri pun masih tak mampu melawan hawa nafsu. Apatah lagi orang awam yang kurangnya ilmu dan iman.
Marilah kita mulakan untuk melatih diri kita untuk berjihad dan berkorban untuk Allah. Ketepikan keseronokan dan keselesaan di dunia. Kejarlah apa yang telah di janjikan Allah di akhirat. Dunia adalah tempat untuk bekerja. Akhirat adalah tempat untuk berehat bersama bidadari di dalam istana yang amat indah.
No comments:
Post a Comment