Tuesday, September 15, 2009

Kerja Lepas Ramadhan


“Ustaz! Kuliah Ramadan malam ini di Subang Bestari macammana. Ok ke?”
“ Insya Allah, Kalau tiada aral saya sampai sebelum Isya’.
“ Kami ada permintaan ustaz! Kalau boleh sentuh tentang fadhilat solat jemaah, nak galakkan penduduk Apartment ni datang ke surau ni. Bulan Ramadhan ni, Alhamdulillah ramai. Tapi kalau hari biasa dua tiga orang jer. Harap-harap semangat bulan Ramadhan ni berterusan selepas Ramadhan ni. Boleh ke ustaz?”

Ini sebahagian perbualan telefon saya dengan ahli jawatankuasa surau yang mengatur kuliah Ramadhan di salah sebuah surau di Subang bestari. Alhamdulillah semangat menghidupkan bulan Ramadhan amat meriah di mana-mana sahaja di selangor ini selepas kerajaan baru memerintah.

Berikut adalah ringkasan kuliah Ramadhan di Subang Bestari.

Bulan Ramadhan adalah merupakan bulan rahmat yang Allah anugrahkan kepada umat Muhammad SAW yang tiada pada umat Nabi yang lain. Dua rahmat utama yang amat jelas ialah:

Pertama: Puasa, dimana umat Islam diwajibkan untuk menahan diri dari makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa dari masuk waktu subuh sehingga detik masuk waktu maghrib. Kewajipan ini bukan untuk mendera umat Islam tetapi ianya adalah merupakan latihan untuk memperhambakan diri pada Allah. Berpuasa adalah merupakan salah satu pembuktian bahawa seseorang itu yakin dengan Allah dan sanggup menjunjung perintahnya walaupun terpaksa menyusahkan diri dengan tidak makan dan minum.

Secara zahir kesanggupan berlapar ini adalah merupakan pengorbanan demi mendapat keredhaan Allah. Apa yang manusia dapat dengan berlapar ini? Apa faedah yang Allah beri kepada hambanya yang sanggup menyiksa diri sendiri ini. Mereka ini tidak mendapat sebarang faedah yang berbentuk habuan dunia. Walaupun ramai yang menghiuraikan terdapat faedah untuk kesihatan tetapi itu bukan pokok utamanya.

Di sini Allah ingin mendidik manusia untuk berusaha mendapat keredhaan Allah walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan diri. Allah telah janjikan ganjaran pahala yang banyak bagi mereka berpuasa dengan pahala yang berganda. Adakah pahala ini boleh di lihat? Walaupun tidak boleh di lihat ia adalah benar dan pasti akan mendapat ganjaran dari Allah. Inilah inti akidah Islam yang ingin dibiasakan dalam jiwa kita. Teras kepada aqidah Islam ialah mempercayai perkara ghaib yang disampaikan oleh Rasulullah. Pahala dan ganjaran yang berlipat ganda di bulan Ramadhan ini juga adalah perkara ghaib kerana ianya akan dapat dilihat di akhirat nanti. Ganjaran dan pahala ini juga bagi merkea yang melakukan ketaatan pada bulan lain walaupun tidak sebanyak bulan Ramadhan.

Kedua: Bulan Ramadhan ini telah digandakan rahmat dan keberkatan dengan turunnya al Quraan sebagai paduan untuk kehidupan manusia di muka bumi ini. Al Quraan adalah merupakan pelengkap kepada kepada penciptaan manusia dan seluruh alam ini. Sebagaimana peralatan moden yang canggih dan hebat memerlukan panduan dan tatacara untuk memaksimumkan operasinya. Penggunaan manual yang betul juga menjamin ketahanan dan memudahkan penyelenggaraan.

Begitu juga kecanggihan ciptaan alam dan kejadian manusia memerlukan panduan dan tatacara penggunaan yang lengkap dari pengeluarnya. Panduan ini yang memperincikan cara beroperasi, Fungsi, cara menyelenggara, peraturan penggunaan dan dan sebagainya. Panduan untuk alam dan manusia ini adalah al Quran. Al Quran ini dibekalkan oleh pencipta alam maya ini dan juga pencipta manusia. Jadi amat bertepatanlah Allah mengangkat martabat bulan Ramadhan sebagai bulan yang berkat kerana sempena bulan ini lah manusia dibekalkan dengan manual panduan kehidupan yang akan menjadikan kehidupan mansia lebih bermakna.

Bulan Ramadhan ini Allah telah menjadikan ia sebagai bulan melatih manusia untuk mengharapkan keredhaan Allah dan mengejar rahmatnya dengan melakukan pelbagai amalan lain selain berpuasa seperti tadarus al Quraan, membaca al Quran, Solat Terawih, bersedekah, berzikir dan beriktikaf.

Allah telah menjanjikan pahala dan ganjaran yang berganda-ganda kepada siapa yang melakukan ibadah ini. Sabda Rasulullah:
‘Setiap amalan anak adam akan diganda di bulan Ramadhan, Setiap amalan baik akan diganda sepuluh kali ganda, Allah boleh menganda lebih banyak sehingga 700 kali ganda’

Allah ingin membiasakan diri kita untuk melakukan amal ibadah ini di bulan Ramadahan dengan harapan agar ianya sudah menjadi amalan rutin harian yang sudah tidak berat lagi melakukannya. Ya di bulan Ramadhan masjid dan surau penuh dengan solat jemaah dan solat terawih kerena ingin mengejar pahala solat jemaah yang berjumlah 27 digandakan dengan 70. Alangkah banyaknya.

Kita juga dapat melihat ramai yang bertadarus al Quraan di masjid dan surau. Malah membaca al Quran sudah menjadi kebiasaan dan di boleh dilihat di mana-mana sahaja. Mereka ingin mengejar pahala satu huruf diganjarkan 10 pahala dan akan di gandakan 70. Alangkah banyaknya.

Begitu juga tabung-tabung masjid sentiasa sipenuhi dengan sumbangan mereka yang pemurah demi ingin mencontohi sikap Rasulullah di bulan Ramadhan. Siapa yang tidak mahu pahala infaq yang di janjikan oleh Allah satu ringgit akan diganda 700 dan di bulan Ramadhan akan diganda lagi dengan 70. Alangkah banyaknya.

Cuma apa yang diharapkan amalan-amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan ini dengan mudah dapat diteruskan selepas bulan Ramadhan kerana ini adalah kerja utama kita ketika hidup di dunia ini. Kerja utama kita ialah mengumpul bekal untuk hidup di akhirat. Kerja kita untuk mendapat wang ringgit hanyalah untuk kehidupan dunia yang sementara.

Alasan banyak kerja sehingga tidak ada masa untuk solat berjemaah, membaca al Quraan, menginfak harta, qiamullail dan sebagaiya sebenarnya adalah alasan mereka yang masih belum yakin dengan kehidupan di akhirat.

Pastikan kehidupan kita seharian dipenuhi dengan amalan yang mendapat keredhaan Allah. Jadikan solat jemaah itu satu kerja utama begitu juga membaca al Quran, Ibadah malam dan sebagainya.. jadi tiadalah alasan banyak kerja! Kerana kerja kita adalah ibadah!

Wednesday, September 09, 2009

Surah an Naba' 17 -30 : Nah Rasakan! Padan Muka..


Pesan Allah dalam Surah An Naba ayat 17 hingga 30:

17 Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan,

18 Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);

19 Dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas,

20 Dan gunung-ganang - setelah dihancurkan - diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.

21 Sesungguhnya neraka Jahannam adalah disediakan –

22 Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya.

23 Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.

24 Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman –

25 Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir, -

26 Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).

27 Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal,

28 Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan Kami;

29 Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.

30 (Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu".


HURAIAN


Ayat 17

Hari perbicaraan dan penentuan hukuman telah ditetapkan masa dan ketikanya. Tarikh hari perbicaraan ini sudah ditetapkan dan hanya diketahui oleh Allah. Tarikh ini menjadi rahsia besar tidak diketahui oleh sesiapa pun. Sebarang andaian yang dibuat oleh manusia walaupun berdasarkan telahan, mimpi atau fakta sains tidak boleh diterima. Lebih-lebih lagi menentukan tarikh kiamat adalah sangat bertentangan dengan ilmu Allah taala. Kita sebagai umat Islam yang beriman kepada hari akhirat mesti menolak sesiapa yang telah mengandai dan dan meramal tarikh berlakunya hari kiamat.


Ayat 18

Hari perbicaraan dan penentuan hukum itu bermula apabila Allah telah memerintahkan malaikat Israfil meniup sangkakala atau semboyan. Ketika ini semua manusia yang pernah hidup diatas muka bumi ini bermula dari Nabi Adam sehinggalah orang yang terakhir meninggal pada hari kiamat (tiupan sengkakala pertama) akan di bangkitkan semula dari kubur-kubur mereka. Mereka yang mati tidak berkubur pun akan dibangkitkan tiada seorang pun yang akan tertinggal. Manusia ini akan datang ke tempat perhimpunan atau disebut padang Mahsyar secara berkumpulan mengikut pemimpin ikutan mereka. Allah menerangkan kedatangan manusia berkumpulan ini di dalam surah al Isra’ ayat 71 yang bermaksud: “Kami memanggil mereka pada hari itu dengan pemimpin-pemimpin mereka telah ikuti didunia”.


Ayat 19

Pada hari itu jugalah langit-langit akan dibuka dan keadaannya adalah seperti terbukanya pintu-pintu yang banyak. Malaikat-malaikat akan turun melalui pintu ini. Langit dan bumi yang ada pada hari itu adalah merupakan kejadian yang lain telah ciptakan semula oleh Allah tidak sama dengan langit dan bumi yang dilihat pada hari ini. Hal ini tidak perlu dihairankan kerana alam baru ini berbeza keadaan dan juga sistemnya. Malah fizikal dan sistem badan manusia di akhirat nanti juga berlainan sama sekali dengan kejadian mereka di dunia dahulu.


Ayat 20

Allah telah menyebut kehancuran bumi yang dilihat kukuh dengan adanya bukit bukau dan gunung ganang yang amat besar dianggap mustahil untuk dihancurkan pada perkiraan manusia. Pada hari itu bukit bukau dan gunung ganang tersebut Allah ibaratkan sebagai dipaksa berjalan dan hancur menjadi debu. Kejadian ini dilihat oleh manusia sebagai fatamorgana. Nampak ada tetapi sebenarnya tak ada. Mungkin manusia melihat peristiwa ini dengan keadaan terlopong dan ternganga kerana keajaiban peristiwa yang berlaku.


Ayat 21

Pada hari perbicaraan dan pembalasan tersebut Neraka Jahannam sudah di persiapkan Oleh Allah. Neraka ini telah dipertontonkan kepada semua manusia yang berada di Padang Mahsyar. Manusia dapat melihat dan menengar bunyi ngauman api yang lahap bersiap sedia untuk membakar apa saja yang akan dimasukkan kedalamnya.


Ayat 22

Neraka Jahannam tadi telah disediakan untuk mereka yang telah melanggar garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala ketika hidup di dunia dahulu. Mereka yang melakukan perkara yang dilarang oleh Allah digelar sebagai ‘Tughah’. Neraka Jahannam ini akan menjadi tempat tinggal mereka yang berpangkat ‘Tughah’.


Ayat 23

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam sepanjang masa sedangkan tempoh masa di akhirat nanti tiada pengujungnya. Disebut ahqaab yang bermakna beberapa tempoh masa yang panjang yang tiada penghujung.


Ayat 24

Di dalam neraka Jahannam mereka tidak akan merasa istilah sejuk yang boleh mengurangkan panas api neraka. Mereka juga tidak akan dapat minum apa yang dikatakan sebagai minuman yang boleh melegakan apatah lagi untuk menghilangkan dahaga.


Ayat 25

Melainkan apa yang mereka dapat minum ialah ‘hamim’ iaitu air yang menggelegak yang teramat panas. Mereka juga hanya diberi minum ‘Ghassaqa’ iaitu air darah dan nanah yang keluar dari jasad-jasad ahli-ahli neraka yang lain.


Ayat 26

Itulah balasan yang setimpal dengan apa yang mereka lakukan di atas dunia dahulu.


Ayat 27

Mereka ini ‘Thughah’ ini melanggar batasan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala semasa hidup di dunia dahulu. Apa yang ditegah dan dilarang oleh Allah lakukan tanpa rasa takut dan gerun. Ketika hidup di dunia dahulu mereka beranggapan bahawa tidak akan ada hari perbicaraan, hari penilaian atau hari pembalasan sebegini. Jadi mereka bebas melakukan apa sahaja mengikut rasa hati dan nafsu mereka


Ayat 28

Apabila Rasul dan orang beriman memberi peringatan tentang Hari akhirat dan hari pembalasan mereka menolaknya mentah-mentah. Bahkan mereka tidak berfikir tentang kekuasaan Allah yang telah mencipta mereka dan diberi nikmat yang amat banyak.. Ketika di dunia mereka memandang remeh dan lekeh peringatan-peringatan dan garispanduan yang Allah taala bekalkan melalui al Quran. Mereka menentang Rasul dan para ulamak. Mereka menolak konsep kebangkitan semula dan penalasan hari akhirat. Mereka melakukan kemungkaran dan dosa-dosa tanpa rasa takut dan langsung tidak terfikir tentang akibat perbuatan mereka.


Ayat 29

Kami tahu apa yang mereka lakukan di dalam kehidupan di dunia dahulu. Kami rekodkan semuanya dengan teliti. Kami semak dan kira dengan adil. Apa baik akan direkodkan baik. Apa yang buruk akan direkodkan buruk.Semuanya dicatatkan dengan rapi.


Ayat 30

Kemudian, dengan nada sindiran, Mereka di herdik. “Nah rasalah apa yang kamu dapat, Kami tak akan tambah melainkan dengan azab siksa semata-mata”. Inilah balasan mereka yang engkar dan tidak melanggar batas dan panduan yang telah digariskan oleh Allah.


abamuaz

19 Ramadhan 1430

Kota Damansara

Tuesday, September 08, 2009

Surah an Naba' 1 -16 : Apa Benda Bising-bising ni?


Pesanan Allah Surah An Naba' ayat 1 hingga 16

1. Tentang apakah mereka saling bertanya-tanya?
2. Tentang berita yang besar (Hari kebangkitan semula)
3. Yang mereka perdebatkankan tentang ini.
4. Sekali-kali tidak, pastinya mereka akan mengetahui,
5. Kemudian sekali-kali tidak; pastinya mereka mengetahui.
6. Bukankah kami Telah menjadikan bumi itu bagaikan hamparan?,
7. Dan gunung-gunung sebagai pasak?,
8. Dan kami jadikan kamu berpasang-pasangan,
9. Dan kami jadikan tidurmu sebagai rehat,
10. Dan kami jadikan malam sebagai pakaian,
11. Dan kami jadikan siang untuk mencari kehidupan,
12. Dan kami bina di atas kamu tujuh lapis (langit) yang kukuh,
13. Dan kami jadikan lampu yang amat terang (matahari),
14. Dan kami turunkan dari awan, air yang banyak mencurah-curah,
15. Supaya kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan,
16. Dan kebun-kebun yang subur


Ayat 1 - 3
Allah SWT murka kepada kaum musyrik yang tidak mempercayai akan berlakunya hari kiamat dan wujudnya kehidupan kali kedua. Allah menggunakan teknik soalan dengan bertanya: “Apa yang mereka bisingkan dan pertikaikan itu?” Allah sendiri memberi jawapan. “Oh.. pasal isu besar hari pembalasan..” “ Ini rupanya yang kamu pertikaikan dan kamu tidak percaya”

Ayat 4 dan 5
Kaum musyrikin atau mereka yang tidak percaya kepada wujudnya hari pembalasan tidak sepatutnya bersikap demikian. Hari pembalasan itu adalah benar dan akan menjadi realiti. Pada hari pemabalasan mereka akan menerima akibat kengkaran dan penafian mereka. Perkataan ‘Kalla’ adalah merupakan herdikan keras ancamana kepada mereka yang keras kepala ini. Herdikan ini diulang kali kedua selepas perkataan ‘Tsumma’ menunjukkan bahawa balasan yang akan mereka terima itu amat pasti akan berlaku.

Ayat 6 dan 7
Kemudian Allah bercerita tentang kekuasaannya yang amat hebat mencipta komponen-komponen alam sekeliling kehidupan manusia. Tujuan Allah menyebut kekuasaannya yang hebat ini untuk membuktikan bahawa ia juga berkuasa untuk mengadakan hari kiamat dan hari pembalasan.

Allah masih lagi menggunakan teknik dialog untuk berbicara dengan mereka yang engkar. “Bagaimana kamu menafikan wujudnya kebangkitan semula sedangkan kamu telah melihat kekuasaan Allah yang maha hebat. Bumi yang kamu diami ini diciptakan ibarat buaian menjadikan ia amat selesa untuk di diami. Bukit bukau dan gunung ganang telah diciptakan untuk menjadikan bumi ini stabil dan tidak bergerak agar kamu boleh hidup di atasnya”.

Ayat 8
“Kami telah ciptakan kamu dengan jantina lelaki dan perempuan agar kamu dapat saling lengkap melengkapi dan tolong menolong antara satu sama lain. Ciptaan kamu yang berpasangan itu disertakan dengan perasaan cinta untuk kamu berkasih sayang seterusnya meneruskan kelangsungan hidup di bumi ini”

Ayat 9 dan 10
“Kami telah ciptakan untuk kamu aktiviti tidur untuk merehatkan badan kamu setelah penat bekerja di siang hari. Tidur ini akan menjana tenaga dan kekuatan, mencergaskan fizikal dan mental. Kami jadikan malam yang gelap dapat menutup pandangan kamu dari pandangan yang boleh menyebabkan meletihkan fikiran seterusnya memberi ketenangan dan kerehatan Ini dibaratkan pakaian yang menutup anggota badan dari cuaca panas, sejuk dan juga menghindarkannya dari penglihatan orang lain Ini akan menyebabkan kamu lebih selesa dan tenang” Ya, malam yang gelap menjadikan kita tidur dengan lebih selesa dan lebih puas. Malam menjadikan skop pandangan menjadi sempit dan mata dan fikiran kita tidak dibebankan dengan pelbgai gambaran dan imej. Suasana gelap menjadikan rehat kita lebih bermakna berbanding dengan tidur dan rehat pada waktu siang.

Ayat 11
“Kami telah jadikan waktu siang yang diterangi dengan cahaya matahari agar manusia dapat melakukan aktiviti dan kerja-kerja harian yang boleh mendatangkan hasil dan manfaat untuk kehidupan. Dengan kecerahan waktu siang kamu dapat menjalankan aktiviti perniagaan, pertanian, perindustrian dan sebagainya untuk menjana ekonomi yang amat penting untuk kehidupan”

Ayat 12 dan 13
“Kami telah bina di atas kamu tujuh lapisan langit yang amat kukuh binaannya dan amat teliti bentuknya. Ianya dihiasi dengan bintang-bintang dan planet-planet yang bergerak. Kami ciptakan matahari sebagai lampu besar untuk menerangi seluruh bumi yang kamu diami. Matahari ini adalah sumber cahaya dan haba yang amat penting kehidupan kamu di dunia malah ia juga berguna untuk semua makhluk yang wujud dibumi ini. Tanpa matahari ini kehidupan tak akan wujud di bumi ini”

Ayat 14 hingga 16
“Kami telah turunkan dari awan-awan yang telah kami proses, air-air yang banyak diturunkan keatas muka bumi dengan teratur. Air hujan ini akan menjadikan tanah subur dan bumi dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan yang pelbagai. Tumbuhan ini amat banyak dengan pelbagai jenisnya sepeti gandung, beras, barli dan sebagainya sebagai punca makanan kamu dan juga haiwan lain yang hidup di atas muka bumi. Tumbuhan ini pada masa yang sama ada yang mengeluarkan buah, ada yang mengeluarkan wangian pelbagai malah boleh digunakan dan proses untuk membina tempat tinggal kamu.


Huraian
Allah SWT telah menciptakan kehidupan di dunia untuk diuji kepatuhan mereka kepada Allah. Selepas kehidupan ini Allah akan menghentikan pentas kehidupan dan diadakan majlis penilaian dan anugerah. Hari penilaian dan penyampaian augerah inilah yang dimaksudkan dengan hari kiamat atau pembalasan. Setiap prestasi manusia ketika kehidupan di bumi akan dinilai dengan terperinci dan adil berdasarkan rekod yang amat lengkap. Keputusan penilaian ini akan diumumkan dan terus diberi ganjaran bagi mereka yang berjaya dan hukuman bagi mereka yang gagal.

Allah telah memberi al Quran sebagai panduan yang lengkap dan Allah telah menghantar Rasul untuk memberi taklimat tentang tugasan atau ‘task’ yang perlu manusia lakukan. Rasul juga telah memberi taklimat tentang syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Baginda juga menerangkan dengan jelas cara-cara untuk melepasi ujian dan berjaya dengan mudah. Baginda juga menerangkan akibat pelanggaran syarat yang telah ditetapkan oleh Allah.

Allah amat marah melihat manusia yang masih lagi keras kepala dan engkar kepadanya dan menafikan wujudnya hari penilaian dan pembalasan. Kebodohan mereka yang menolak kewujudan hari penilaian dan pembalasan tidak akan mengubah apa-apa. Setuju atau tidak mereka akan hadapi hari tersebut. Jadi Allah telah memberi peringatan bahawa Dia telah mencipta kehidupan di dunia yang amat indah, amat sempurna, amat hebat dan Allah ini jugalah yang akan menghancurkan bumi ini dan di wujudkan hari penilaian dan pembalasan. Adakah manusia akan dapat lari dari ketentuan ini?

Di dalam ayat 6 hingga 16 Allah telah menghuraikan konsep asas kejadian bumi ini dan sistemnya. Sistem langit, tanah, matahari, konsep malam dan siang dan keperluannya dan juga sistem kitaran air untuk menyuburkan tanah sehingga boleh menumbuhkan tanaman yang pelbagai. Semua proses ini Allah telah cipta dan sediakan agar manusia dapat hidup dengan selesa. Sistem ini wajib di fahami dan diterokai oleh manusia agar ia dapat dikembangkan untuk menjadikan kehidupan ini lebih sejahtera. Manusia juga perlu mengelak dari melanggar sistem yang telah ditetapkan oleh Allah agar ianya tidak mendatangkan kerosakan yang boleh menghancurkan kehidupan.

Ingatlah keindahan dan keselesaan kehidupan di dunia ini menuntut kepatuhan dan kehambaan pada Allah. Nun di sana ada lagi kehidupan yang perlu ditempuh oleh manusia dan ia bergantung kepada keadaan kehidupan di dunia ini. Patuhlah pada Allah pastinya anda selamat. Engkar kepada Allah tanda anda akan celaka ..

Selamat menjalani kehidupan yang amat mencabar

Abamuaz
18 Ramadhan 1430H
Kota Damansara

Monday, September 07, 2009

Berkat Ramadhan dengan al Quran

Apabila ditanya tentang bulan Ramadhan ramai akan menjawab bahawa ianya bulan puasa dimana semua umat Islam diwajibkan berpuasa. Masih tidak ramai dikalangan kita apabila disebut bulan Ramadhan akan teringat kepada keistimewaan bulan ini yang dikaitkan dengan penurunan al Quran. Sedangkan punca keberkatan dan rahmat bulan Ramadhan ini adalah dengan sebab Allah telah menganugrahkan al Quran yang akan menjadi panduan unutk kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

Allah telah menjelaskan kemuliaan bulan Ramadhan ini dengan penurunan al Quran ini dalam surah al Baqarah ayat 187:

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرءان هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان.

Pada Bulan ramadhan ini Quran telah diturunkan sebagai panduan kepada manusia. Ia memberi penjelasan tentang bimbingan Allah dan garis panduannya.

Umat Islam di malaysia menyambut peritistiwa turunnya al Quran ini atau yang kenali dengan Nuzul Quran dengan mengadakan ceramah dan tazkirah tentang peristiwa ini Malah ada beberapa negeri di Malaysia menjadikan 17 Ramadhan ini sebagai cuti umum untuk memperingati Nuzul Quran. Ini adalah satu usaha yang baik untuk mengingatkan umat Islam betapa pentingnya al Quran dalam kehidupan seharian.

Usaha ini amatlah baik dan harus di kekalkan dengan sedikit perubahan. Cuba kita perhatikan di dalam masyarakat kita. Ramai para ustaz dan pencinta agama apabila mereka bercakap tentang pengajian al Quran mereka lebih banyak mefokuskan kepada ilmu tajwid dan tarannum. Lalu dibuka kelas-kelas tajwind untuk memperbetulkan bacaan-bacaan al Quran. Bagi mereka yang sudah baik bacaannya akan digalakkan untuk mendalami ilmu tarannum untuk memperelokkan lagi bacaan al Quraan. Masih kurang kita dengar kempen dan huraian kepada perlunya kita memahami isi kandungan al Quran dan bagaimana cara untuk mengamalnya dalam konteks kehidupan seharian.

Bersempena dengan Nuzul al Quran dan juga bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini marilah kita sama mengorak langkah memulakan arus perubahan untuk mengembalikan semula fungsi al Quran sebagai sebuah kitab yang perlu difahami, dihayati dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Golongan agamawan pula apabila bercakap tentang al Quran perlulah memberi penakanan kepada perlunya memahami isi kandungan al Quran dan menghayatinya daripada memberi penekanan kepada ilmu tajwind dan tarannum.

Rasulullah berpesan:

خيركم من تعلم القرءان وعلمه

Orang yang paling baik dari kalangan kamu ialah sesiapa yang belajar al Quraan dan mengajarnya kepada orang lain.

Hadis ini biasa digunakan untuk menerangkan kelebihan belajar dan mengajar membaca al Quran semata-mata. Sedangkan hadis ini juga membawa maksud bahawa sesiapa yang belajar memahami al Quran dan berusaha untuk mengajar orang lain memahami al Quran seterusnya menghayati dan melaksanakannya dalam konteks kehidupan seharian.

Semarakkan Ramadhan dengan al Quraan!

Friday, September 04, 2009

Bulan Ramadhan...... Bukan Bulan Puasa

Bulan Ramadhan atau bulan puasa? Manakah yang lebih menjadi kebiasaan panggilan untuk bulan ini. Masih ramai dikalangan kita umat Islam di Malaysia masih memanggil bulan ini dengan bulan puasa. Perkataan bulan Ramadhan biasanya disebut dalam situasi agak rasmi sahaja seperti kuliah, tazkirah atau nama seperti bazar Ramadhan.

Mungkin inilah sebabnya keadaaan budaya kita masih tidak dapat menghayati konsep Ramadhan itu sendiri. Apabila pemikiran kita telah diasak dengan bulan puasa, apa yang tergambar di fikiran ialah bulan yang tidak boleh makan di siang hari. Waktu makan yang dibenarkan bermula pada waktu maghrib.

Pemikiran inilah sebenarnya banyak mencorak budaya kita seharian. Bermula dengan tumbuhnya bazar Ramadhan dimerata-rata tempat dengan pelbagai juadah di jual. Pengunjung pula datang begitu ramai melihat dan membeli apa yang dihajati. Tidak ketinggalan juga hotel-hotel mengadakan pakej berbuka puasa sehingga mencecah RM150 seorang! Walaupun mahal dikhaharkan bahawa hotel ini penuh sesak dengan insan yang ingin berbuka puasa.

Tidak ketinggalan juga kita semua orang-orang biasa. Cuba kita perhatikan bahawa menu kita juga berubah di bulan puasa ini. Biasanya hidangan di bulan ini lebih istimewa dari hari biasa dengan tambahan lauk atau air minuman yang jarang di minum pada hari biasa. Boleh dikatakan nilai hidangan semasa berbuka agak berbeza dengan nilai hidangan pada hari-hari biasa.

Di masjid dan surau juga tidak ketinggalan mengadakan jamuan moreh selepas terawih sebagai pencuci mulut selepas berterawih. Makanan selepas solat terawih ini dulunya agak ringkas sesuai dengan istilah moreh. Tetapi pada hari ini dizaman umat Islam mempunyai kemampuan, hidangan moreh sudah berbeza. Banyak kita perhatikan hidangan moreh sudah menjadi makanan berat. Kalaupun ianya dalam bentuk kuih muih ianya amat banyak sehingga tidak dapat dihabiskan oleh para jemaah. Malah ditempat saya ini, kanak-kanak pun tak sanggup nak menghabiskan moreh kerana ianya terlalu banyak.

Inilah kesannya apabila kita menyebut bulan Ramadhan sebagai bulan puasa. Fokus kehidupan kita lebih menjurus kepada makanan. Tetapi jika kita kembali kepada konsep Ramadhan yang dibawa oleh Rasulullah ramadhan ini adalah bulan ibadat.

Puasa adalah ibadat utama yang diwajibkan selain zakat fitrah. Rasulullah juga menganjurkan kita menyerikan bulan Ramadhan ini dengan solat terawih, tadarus al Quran, membaca al Quran, Qiam, bersedakah, menganjurkan buka puasa dan sebgainya.

Solat sunat terawih sudah menjadi amalan kita semua. Cuma apa yang diperhatikan kita masih gagal mengikut Inspirasi Rasulullah berkaitan dengan al Quran. Tadarus al Quran masih tidak menjadi amalan utama, begitu juga membaca al Quran. Amat jarang kita melihat budaya membaca al Quran dikalangan masyarakat kita.

Teras utama bulan Ramadhan ialah Puasa dan al Quran. Bulan Ramadhan semua umat Islam diwajibkan berpuasa dan di bulan inilah Allah menurunkan Al Quran dari Baitul Izzah kelangit dunia sebagaimana petunjuk Allah dalam surah al Baqarah ayat 185:

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).,

Kita sebagai umat Islam perlu bersyukur kepada Allah kerana telah membekalkan al Quran sebagai garis panduan untuk menjalankan kehidupan diatas dunia ini. Rasulullah juga telah mununjukkan contoh bahawa bulan Ramadhan ini dijadikan bulan al Quran. Al Quran dibaca lebih kerap dari bulan-bulan yang lain.

Begitu juga dengan ibadah lain. Walaupun sudah ramai dikalangan umat Islam yang telah memulakan budaya bersedekah, Qiam, menganjurkan buka puasa tetapi masih lagi ianya tidak menjadi kebiasaan masyarakat kita.

Marilah kita sama-sama membiasakan diri kita dengan konsep asal bulan Ramadhan yang penuh dengan barakah ini dengan amal ibadah kepada Allah. Inilah hadiah yang paling bernilai yang Allah telah anugrahkan kepada Umat nabi Muhammad tidak kepada umat yang lain. Bulan Ibadah, bulan rahmat, pahala berganda.

Igatlah! Ini bulan Ramadhan bukan bulan puasa.

Ramadhan Karim.

Wednesday, September 02, 2009

Makan nasi tanpa lauk!

Bulan Ramadahan sudah hampir sampai ke pertengahannya. Suasana Ramadhan jelas dapat dilihat dimana sahaja dengan wujudnya bazar Ramadhan dimerata tempat. Masjid dan surau meriah dari kebiasaan dengan solat terawih, tadarus, kuliah dan sebagainya.

Di bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa dengan menahan dari makan dan minum dan tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa dari subuh hinggalah ke waktu maghrib.


Bulan Ramadhan ini boleh di analogikan dengan hidangan makan. Dalam hidangan makanan utama ialah nasi dan mengiringi nasi ialah lauk-pauk, sayur, sambal, pencuci mulut dan sebagainya. Nasi juga dihidang dengan pelbagai jenis masakan dan resepi yang teridiri dari pelbagai lauk iringan yang membangkitkan selera makan. Malah masakan ini adakalanya dipertandingkan untuk dinilai kelazatan masakan dan tatahias hidangannya.


Begitu juga Puasa boleh dibaratkan sebagai nasi yang perlu diiringi dengan ibadah lain yang pelbagai untuk menjadikan ibadah puasa itu menyelerakan. Jika santapan kita hanya nasi semata-mata adakah ianya sempurna ataupun jika kita dijemput kemajlis makan dan kita hanya dihidangkan dengan nasi semata-mata. Apa reaksi kita?


Rasulullah SAW telah memberi panduan cukup banyak tentang cara untuk menjadikan bulan ramadhan ini menyelerakan. Di samping berpuasa yang wajib itu Rasulullah menggalakkan kita melakukan ibadah sunat yang amat tinggi nilainya di bulan Ramadhan ini seperti solat sunat terawih, Membaca al quran, Tadarus, Qiamullail, Besedekah, Berzikir, mengadakan jamuan untuk bebuka puasa dan sebagainya.


Ibadah-ibaah sunat inilah yang diibaratkan sebagai lauk-pauk, sayur mayur, ulam sambal dan sebagainya yang menjadikan hidangan nasi itu enak dan menyelerakan. Jika kita menghidangkan makanan kepada tetamu dengan pelbagai aneka lauk akan menimbulkan rasa penghormatan.


Begitu juga dengan Allah Taala. Adakah kita sudah memadai dengan hanya berpuasa semata-mata tanpa membuat ibadah sunat yang lain sedangkan Allah telah berjanji untuk menggandakan ganjaran pahala kepada umatnya yang berusaha mencari rahmatnya dibulan yang mulia ini.


Rasulullah berpesan bahawa “Segala amalan baik akan digandakan sepuluh kali”.


Rebutlah peluang Bulan Ramadhan yang berbaki ini.. sebelum kita semua ditamatkan misi kehidupan di dunia ini.

Tuesday, September 01, 2009

Aku yang masih alpa!

Malam ini adalah malam kesebelas bulan Ramadhan bermakna kita semua sudah masuk ke fasa 10 kedua Ramadhan” sebut Seorang penceramah jemputan yang mengisi slot tazkirah Ramadhan malam ni.

“Hah.. cepatnya masa berlalu hari-hari Ramadhan bergerak begitu laju” Aku teringat fadhilat dan kelebihan bulan Ramadhan yang Allah anugrahkan kepada umat nabi Muhammad.

Masya Allah teruknya, Aku rasa aku sepatutnya digolongkan dalam golongan yang lalai yang mensia-siakan peluang yang Allah telah berikan kepadaku..

Niat asal aku untuk khatam Quran seitap 10 hari Ramadhan nampaknya sudah tinggal angan-angan. Belum kira lagi tadarus yang hanya dibuat kadang-kadang sahaja.. Ibadah sedekah masih kurang.. sepatutnya aku menyusun ibadah sedekah ini dengan lebih teratur agar ianya berjaya dimanfaatkan secara maksima sesuai dengan kemampuan yang aku ada.. Qiam.. munajat masih tidak konsisten.

Ya.. masa masih ada.. 18 hari lagi amat luas yang boleh dimanfaatkan..

Banyakkan baca Quraan kurangkan mentelaah surat khabar, hadkan masa untuk melayari internet..

Pastikan solat Berjemaah tidak ditinggalkan dan lazimi semua solat rawatib..


Pastikan tidur awal untuk Qiam yang lebih segar di malamnya.. dengan sekurang-kurang satu juz al Quraan.


Basahilah mulut ini dengan zikir-zikir Cubalah beristiqamah tadarus al Quraan dengan isteri dan anak-anak..

Merancang sumbangan harta yang telah diberi rezeki oleh Allah agar lebih tersusun dan mendapat manfaat yang optima.. Ingatlah..

Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian melainkan orang-orang
yang beriman dan beramal soleh..


Rasulullah berpesan.. Sesiapa yang memeriahkan bulan Ramadhan ini dengan penuh keimanan dan berusaha merebut ganjaran rahmat Allah pastinya Allah akan mengampunkan dosanya..