Bulan Ramadhan atau bulan puasa? Manakah yang lebih menjadi kebiasaan panggilan untuk bulan ini. Masih ramai dikalangan kita umat Islam di Malaysia masih memanggil bulan ini dengan bulan puasa. Perkataan bulan Ramadhan biasanya disebut dalam situasi agak rasmi sahaja seperti kuliah, tazkirah atau nama seperti bazar Ramadhan.
Mungkin inilah sebabnya keadaaan budaya kita masih tidak dapat menghayati konsep Ramadhan itu sendiri. Apabila pemikiran kita telah diasak dengan bulan puasa, apa yang tergambar di fikiran ialah bulan yang tidak boleh makan di siang hari. Waktu makan yang dibenarkan bermula pada waktu maghrib.
Pemikiran inilah sebenarnya banyak mencorak budaya kita seharian. Bermula dengan tumbuhnya bazar Ramadhan dimerata-rata tempat dengan pelbagai juadah di jual. Pengunjung pula datang begitu ramai melihat dan membeli apa yang dihajati. Tidak ketinggalan juga hotel-hotel mengadakan pakej berbuka puasa sehingga mencecah RM150 seorang! Walaupun mahal dikhaharkan bahawa hotel ini penuh sesak dengan insan yang ingin berbuka puasa.
Tidak ketinggalan juga kita semua orang-orang biasa. Cuba kita perhatikan bahawa menu kita juga berubah di bulan puasa ini. Biasanya hidangan di bulan ini lebih istimewa dari hari biasa dengan tambahan lauk atau air minuman yang jarang di minum pada hari biasa. Boleh dikatakan nilai hidangan semasa berbuka agak berbeza dengan nilai hidangan pada hari-hari biasa.
Di masjid dan surau juga tidak ketinggalan mengadakan jamuan moreh selepas terawih sebagai pencuci mulut selepas berterawih. Makanan selepas solat terawih ini dulunya agak ringkas sesuai dengan istilah moreh. Tetapi pada hari ini dizaman umat Islam mempunyai kemampuan, hidangan moreh sudah berbeza. Banyak kita perhatikan hidangan moreh sudah menjadi makanan berat. Kalaupun ianya dalam bentuk kuih muih ianya amat banyak sehingga tidak dapat dihabiskan oleh para jemaah. Malah ditempat saya ini, kanak-kanak pun tak sanggup nak menghabiskan moreh kerana ianya terlalu banyak.
Inilah kesannya apabila kita menyebut bulan Ramadhan sebagai bulan puasa. Fokus kehidupan kita lebih menjurus kepada makanan. Tetapi jika kita kembali kepada konsep Ramadhan yang dibawa oleh Rasulullah ramadhan ini adalah bulan ibadat.
Puasa adalah ibadat utama yang diwajibkan selain zakat fitrah. Rasulullah juga menganjurkan kita menyerikan bulan Ramadhan ini dengan solat terawih, tadarus al Quran, membaca al Quran, Qiam, bersedakah, menganjurkan buka puasa dan sebgainya.
Solat sunat terawih sudah menjadi amalan kita semua. Cuma apa yang diperhatikan kita masih gagal mengikut Inspirasi Rasulullah berkaitan dengan al Quran. Tadarus al Quran masih tidak menjadi amalan utama, begitu juga membaca al Quran. Amat jarang kita melihat budaya membaca al Quran dikalangan masyarakat kita.
Teras utama bulan Ramadhan ialah Puasa dan al Quran. Bulan Ramadhan semua umat Islam diwajibkan berpuasa dan di bulan inilah Allah menurunkan Al Quran dari Baitul Izzah kelangit dunia sebagaimana petunjuk Allah dalam surah al Baqarah ayat 185:
Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).,
Kita sebagai umat Islam perlu bersyukur kepada Allah kerana telah membekalkan al Quran sebagai garis panduan untuk menjalankan kehidupan diatas dunia ini. Rasulullah juga telah mununjukkan contoh bahawa bulan Ramadhan ini dijadikan bulan al Quran. Al Quran dibaca lebih kerap dari bulan-bulan yang lain.
Begitu juga dengan ibadah lain. Walaupun sudah ramai dikalangan umat Islam yang telah memulakan budaya bersedekah, Qiam, menganjurkan buka puasa tetapi masih lagi ianya tidak menjadi kebiasaan masyarakat kita.
Marilah kita sama-sama membiasakan diri kita dengan konsep asal bulan Ramadhan yang penuh dengan barakah ini dengan amal ibadah kepada Allah. Inilah hadiah yang paling bernilai yang Allah telah anugrahkan kepada Umat nabi Muhammad tidak kepada umat yang lain. Bulan Ibadah, bulan rahmat, pahala berganda.
Igatlah! Ini bulan Ramadhan bukan bulan puasa.
Ramadhan Karim.
Cerita Salasilah
2 months ago
No comments:
Post a Comment