skip to main |
skip to sidebar
Surah an Naba' 1 -16 : Apa Benda Bising-bising ni?
Pesanan Allah Surah An Naba' ayat 1 hingga 16
1. Tentang apakah mereka saling bertanya-tanya?
2. Tentang berita yang besar (Hari kebangkitan semula)
3. Yang mereka perdebatkankan tentang ini.
4. Sekali-kali tidak, pastinya mereka akan mengetahui,
5. Kemudian sekali-kali tidak; pastinya mereka mengetahui.
6. Bukankah kami Telah menjadikan bumi itu bagaikan hamparan?,
7. Dan gunung-gunung sebagai pasak?,
8. Dan kami jadikan kamu berpasang-pasangan,
9. Dan kami jadikan tidurmu sebagai rehat,
10. Dan kami jadikan malam sebagai pakaian,
11. Dan kami jadikan siang untuk mencari kehidupan,
12. Dan kami bina di atas kamu tujuh lapis (langit) yang kukuh,
13. Dan kami jadikan lampu yang amat terang (matahari),
14. Dan kami turunkan dari awan, air yang banyak mencurah-curah,
15. Supaya kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan,
16. Dan kebun-kebun yang subur
Ayat 1 - 3
Allah SWT murka kepada kaum musyrik yang tidak mempercayai akan berlakunya hari kiamat dan wujudnya kehidupan kali kedua. Allah menggunakan teknik soalan dengan bertanya: “Apa yang mereka bisingkan dan pertikaikan itu?” Allah sendiri memberi jawapan. “Oh.. pasal isu besar hari pembalasan..” “ Ini rupanya yang kamu pertikaikan dan kamu tidak percaya”
Ayat 4 dan 5
Kaum musyrikin atau mereka yang tidak percaya kepada wujudnya hari pembalasan tidak sepatutnya bersikap demikian. Hari pembalasan itu adalah benar dan akan menjadi realiti. Pada hari pemabalasan mereka akan menerima akibat kengkaran dan penafian mereka. Perkataan ‘Kalla’ adalah merupakan herdikan keras ancamana kepada mereka yang keras kepala ini. Herdikan ini diulang kali kedua selepas perkataan ‘Tsumma’ menunjukkan bahawa balasan yang akan mereka terima itu amat pasti akan berlaku.
Ayat 6 dan 7
Kemudian Allah bercerita tentang kekuasaannya yang amat hebat mencipta komponen-komponen alam sekeliling kehidupan manusia. Tujuan Allah menyebut kekuasaannya yang hebat ini untuk membuktikan bahawa ia juga berkuasa untuk mengadakan hari kiamat dan hari pembalasan.
Allah masih lagi menggunakan teknik dialog untuk berbicara dengan mereka yang engkar. “Bagaimana kamu menafikan wujudnya kebangkitan semula sedangkan kamu telah melihat kekuasaan Allah yang maha hebat. Bumi yang kamu diami ini diciptakan ibarat buaian menjadikan ia amat selesa untuk di diami. Bukit bukau dan gunung ganang telah diciptakan untuk menjadikan bumi ini stabil dan tidak bergerak agar kamu boleh hidup di atasnya”.
Ayat 8
“Kami telah ciptakan kamu dengan jantina lelaki dan perempuan agar kamu dapat saling lengkap melengkapi dan tolong menolong antara satu sama lain. Ciptaan kamu yang berpasangan itu disertakan dengan perasaan cinta untuk kamu berkasih sayang seterusnya meneruskan kelangsungan hidup di bumi ini”
Ayat 9 dan 10
“Kami telah ciptakan untuk kamu aktiviti tidur untuk merehatkan badan kamu setelah penat bekerja di siang hari. Tidur ini akan menjana tenaga dan kekuatan, mencergaskan fizikal dan mental. Kami jadikan malam yang gelap dapat menutup pandangan kamu dari pandangan yang boleh menyebabkan meletihkan fikiran seterusnya memberi ketenangan dan kerehatan Ini dibaratkan pakaian yang menutup anggota badan dari cuaca panas, sejuk dan juga menghindarkannya dari penglihatan orang lain Ini akan menyebabkan kamu lebih selesa dan tenang” Ya, malam yang gelap menjadikan kita tidur dengan lebih selesa dan lebih puas. Malam menjadikan skop pandangan menjadi sempit dan mata dan fikiran kita tidak dibebankan dengan pelbgai gambaran dan imej. Suasana gelap menjadikan rehat kita lebih bermakna berbanding dengan tidur dan rehat pada waktu siang.
Ayat 11
“Kami telah jadikan waktu siang yang diterangi dengan cahaya matahari agar manusia dapat melakukan aktiviti dan kerja-kerja harian yang boleh mendatangkan hasil dan manfaat untuk kehidupan. Dengan kecerahan waktu siang kamu dapat menjalankan aktiviti perniagaan, pertanian, perindustrian dan sebagainya untuk menjana ekonomi yang amat penting untuk kehidupan”
Ayat 12 dan 13
“Kami telah bina di atas kamu tujuh lapisan langit yang amat kukuh binaannya dan amat teliti bentuknya. Ianya dihiasi dengan bintang-bintang dan planet-planet yang bergerak. Kami ciptakan matahari sebagai lampu besar untuk menerangi seluruh bumi yang kamu diami. Matahari ini adalah sumber cahaya dan haba yang amat penting kehidupan kamu di dunia malah ia juga berguna untuk semua makhluk yang wujud dibumi ini. Tanpa matahari ini kehidupan tak akan wujud di bumi ini”
Ayat 14 hingga 16
“Kami telah turunkan dari awan-awan yang telah kami proses, air-air yang banyak diturunkan keatas muka bumi dengan teratur. Air hujan ini akan menjadikan tanah subur dan bumi dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan yang pelbagai. Tumbuhan ini amat banyak dengan pelbagai jenisnya sepeti gandung, beras, barli dan sebagainya sebagai punca makanan kamu dan juga haiwan lain yang hidup di atas muka bumi. Tumbuhan ini pada masa yang sama ada yang mengeluarkan buah, ada yang mengeluarkan wangian pelbagai malah boleh digunakan dan proses untuk membina tempat tinggal kamu.
Huraian
Allah SWT telah menciptakan kehidupan di dunia untuk diuji kepatuhan mereka kepada Allah. Selepas kehidupan ini Allah akan menghentikan pentas kehidupan dan diadakan majlis penilaian dan anugerah. Hari penilaian dan penyampaian augerah inilah yang dimaksudkan dengan hari kiamat atau pembalasan. Setiap prestasi manusia ketika kehidupan di bumi akan dinilai dengan terperinci dan adil berdasarkan rekod yang amat lengkap. Keputusan penilaian ini akan diumumkan dan terus diberi ganjaran bagi mereka yang berjaya dan hukuman bagi mereka yang gagal.
Allah telah memberi al Quran sebagai panduan yang lengkap dan Allah telah menghantar Rasul untuk memberi taklimat tentang tugasan atau ‘task’ yang perlu manusia lakukan. Rasul juga telah memberi taklimat tentang syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Baginda juga menerangkan dengan jelas cara-cara untuk melepasi ujian dan berjaya dengan mudah. Baginda juga menerangkan akibat pelanggaran syarat yang telah ditetapkan oleh Allah.
Allah amat marah melihat manusia yang masih lagi keras kepala dan engkar kepadanya dan menafikan wujudnya hari penilaian dan pembalasan. Kebodohan mereka yang menolak kewujudan hari penilaian dan pembalasan tidak akan mengubah apa-apa. Setuju atau tidak mereka akan hadapi hari tersebut. Jadi Allah telah memberi peringatan bahawa Dia telah mencipta kehidupan di dunia yang amat indah, amat sempurna, amat hebat dan Allah ini jugalah yang akan menghancurkan bumi ini dan di wujudkan hari penilaian dan pembalasan. Adakah manusia akan dapat lari dari ketentuan ini?
Di dalam ayat 6 hingga 16 Allah telah menghuraikan konsep asas kejadian bumi ini dan sistemnya. Sistem langit, tanah, matahari, konsep malam dan siang dan keperluannya dan juga sistem kitaran air untuk menyuburkan tanah sehingga boleh menumbuhkan tanaman yang pelbagai. Semua proses ini Allah telah cipta dan sediakan agar manusia dapat hidup dengan selesa. Sistem ini wajib di fahami dan diterokai oleh manusia agar ia dapat dikembangkan untuk menjadikan kehidupan ini lebih sejahtera. Manusia juga perlu mengelak dari melanggar sistem yang telah ditetapkan oleh Allah agar ianya tidak mendatangkan kerosakan yang boleh menghancurkan kehidupan.
Ingatlah keindahan dan keselesaan kehidupan di dunia ini menuntut kepatuhan dan kehambaan pada Allah. Nun di sana ada lagi kehidupan yang perlu ditempuh oleh manusia dan ia bergantung kepada keadaan kehidupan di dunia ini. Patuhlah pada Allah pastinya anda selamat. Engkar kepada Allah tanda anda akan celaka ..
Selamat menjalani kehidupan yang amat mencabar
Abamuaz
18 Ramadhan 1430H
Kota Damansara
No comments:
Post a Comment