Tuesday, September 15, 2009

Kerja Lepas Ramadhan


“Ustaz! Kuliah Ramadan malam ini di Subang Bestari macammana. Ok ke?”
“ Insya Allah, Kalau tiada aral saya sampai sebelum Isya’.
“ Kami ada permintaan ustaz! Kalau boleh sentuh tentang fadhilat solat jemaah, nak galakkan penduduk Apartment ni datang ke surau ni. Bulan Ramadhan ni, Alhamdulillah ramai. Tapi kalau hari biasa dua tiga orang jer. Harap-harap semangat bulan Ramadhan ni berterusan selepas Ramadhan ni. Boleh ke ustaz?”

Ini sebahagian perbualan telefon saya dengan ahli jawatankuasa surau yang mengatur kuliah Ramadhan di salah sebuah surau di Subang bestari. Alhamdulillah semangat menghidupkan bulan Ramadhan amat meriah di mana-mana sahaja di selangor ini selepas kerajaan baru memerintah.

Berikut adalah ringkasan kuliah Ramadhan di Subang Bestari.

Bulan Ramadhan adalah merupakan bulan rahmat yang Allah anugrahkan kepada umat Muhammad SAW yang tiada pada umat Nabi yang lain. Dua rahmat utama yang amat jelas ialah:

Pertama: Puasa, dimana umat Islam diwajibkan untuk menahan diri dari makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa dari masuk waktu subuh sehingga detik masuk waktu maghrib. Kewajipan ini bukan untuk mendera umat Islam tetapi ianya adalah merupakan latihan untuk memperhambakan diri pada Allah. Berpuasa adalah merupakan salah satu pembuktian bahawa seseorang itu yakin dengan Allah dan sanggup menjunjung perintahnya walaupun terpaksa menyusahkan diri dengan tidak makan dan minum.

Secara zahir kesanggupan berlapar ini adalah merupakan pengorbanan demi mendapat keredhaan Allah. Apa yang manusia dapat dengan berlapar ini? Apa faedah yang Allah beri kepada hambanya yang sanggup menyiksa diri sendiri ini. Mereka ini tidak mendapat sebarang faedah yang berbentuk habuan dunia. Walaupun ramai yang menghiuraikan terdapat faedah untuk kesihatan tetapi itu bukan pokok utamanya.

Di sini Allah ingin mendidik manusia untuk berusaha mendapat keredhaan Allah walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan diri. Allah telah janjikan ganjaran pahala yang banyak bagi mereka berpuasa dengan pahala yang berganda. Adakah pahala ini boleh di lihat? Walaupun tidak boleh di lihat ia adalah benar dan pasti akan mendapat ganjaran dari Allah. Inilah inti akidah Islam yang ingin dibiasakan dalam jiwa kita. Teras kepada aqidah Islam ialah mempercayai perkara ghaib yang disampaikan oleh Rasulullah. Pahala dan ganjaran yang berlipat ganda di bulan Ramadhan ini juga adalah perkara ghaib kerana ianya akan dapat dilihat di akhirat nanti. Ganjaran dan pahala ini juga bagi merkea yang melakukan ketaatan pada bulan lain walaupun tidak sebanyak bulan Ramadhan.

Kedua: Bulan Ramadhan ini telah digandakan rahmat dan keberkatan dengan turunnya al Quraan sebagai paduan untuk kehidupan manusia di muka bumi ini. Al Quraan adalah merupakan pelengkap kepada kepada penciptaan manusia dan seluruh alam ini. Sebagaimana peralatan moden yang canggih dan hebat memerlukan panduan dan tatacara untuk memaksimumkan operasinya. Penggunaan manual yang betul juga menjamin ketahanan dan memudahkan penyelenggaraan.

Begitu juga kecanggihan ciptaan alam dan kejadian manusia memerlukan panduan dan tatacara penggunaan yang lengkap dari pengeluarnya. Panduan ini yang memperincikan cara beroperasi, Fungsi, cara menyelenggara, peraturan penggunaan dan dan sebagainya. Panduan untuk alam dan manusia ini adalah al Quran. Al Quran ini dibekalkan oleh pencipta alam maya ini dan juga pencipta manusia. Jadi amat bertepatanlah Allah mengangkat martabat bulan Ramadhan sebagai bulan yang berkat kerana sempena bulan ini lah manusia dibekalkan dengan manual panduan kehidupan yang akan menjadikan kehidupan mansia lebih bermakna.

Bulan Ramadhan ini Allah telah menjadikan ia sebagai bulan melatih manusia untuk mengharapkan keredhaan Allah dan mengejar rahmatnya dengan melakukan pelbagai amalan lain selain berpuasa seperti tadarus al Quraan, membaca al Quran, Solat Terawih, bersedekah, berzikir dan beriktikaf.

Allah telah menjanjikan pahala dan ganjaran yang berganda-ganda kepada siapa yang melakukan ibadah ini. Sabda Rasulullah:
‘Setiap amalan anak adam akan diganda di bulan Ramadhan, Setiap amalan baik akan diganda sepuluh kali ganda, Allah boleh menganda lebih banyak sehingga 700 kali ganda’

Allah ingin membiasakan diri kita untuk melakukan amal ibadah ini di bulan Ramadahan dengan harapan agar ianya sudah menjadi amalan rutin harian yang sudah tidak berat lagi melakukannya. Ya di bulan Ramadhan masjid dan surau penuh dengan solat jemaah dan solat terawih kerena ingin mengejar pahala solat jemaah yang berjumlah 27 digandakan dengan 70. Alangkah banyaknya.

Kita juga dapat melihat ramai yang bertadarus al Quraan di masjid dan surau. Malah membaca al Quran sudah menjadi kebiasaan dan di boleh dilihat di mana-mana sahaja. Mereka ingin mengejar pahala satu huruf diganjarkan 10 pahala dan akan di gandakan 70. Alangkah banyaknya.

Begitu juga tabung-tabung masjid sentiasa sipenuhi dengan sumbangan mereka yang pemurah demi ingin mencontohi sikap Rasulullah di bulan Ramadhan. Siapa yang tidak mahu pahala infaq yang di janjikan oleh Allah satu ringgit akan diganda 700 dan di bulan Ramadhan akan diganda lagi dengan 70. Alangkah banyaknya.

Cuma apa yang diharapkan amalan-amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan ini dengan mudah dapat diteruskan selepas bulan Ramadhan kerana ini adalah kerja utama kita ketika hidup di dunia ini. Kerja utama kita ialah mengumpul bekal untuk hidup di akhirat. Kerja kita untuk mendapat wang ringgit hanyalah untuk kehidupan dunia yang sementara.

Alasan banyak kerja sehingga tidak ada masa untuk solat berjemaah, membaca al Quraan, menginfak harta, qiamullail dan sebagaiya sebenarnya adalah alasan mereka yang masih belum yakin dengan kehidupan di akhirat.

Pastikan kehidupan kita seharian dipenuhi dengan amalan yang mendapat keredhaan Allah. Jadikan solat jemaah itu satu kerja utama begitu juga membaca al Quran, Ibadah malam dan sebagainya.. jadi tiadalah alasan banyak kerja! Kerana kerja kita adalah ibadah!

No comments: