Wednesday, February 11, 2026
SAYA DI MALAYSIA KAH?
Thursday, February 05, 2026
“ALHAMDULILLAH WA SYUKRU LILLAH”
Itulah ungkapan yang dituturkan oleh salah seorang kawan sekelas saya di pusat bahasa Arab Universiti al Bayt bila saya bertanya tengan khabar. Dia beragama Kristian Orthodoks. Seingat saya dia berasal dari negara Romania. Dulu sebelum kami semua dibenarkan mendaftar mata pelajaran kuliah setiap pelajar diwajibkan untuk mengambil ujian tahap bahasa Arab.
Entah bagaimana, saya tidak melepasi ujian itu dengan baik dan terpaksa belajar dulu di pusat bahasa Arab bersama pelajar pelajar bangsa asing yang lain. Kami mempelajari semula bahasa Arab dari awal. Dari sebutan bunyi, huruf, perkataan dan semua asas perbualan asas bahasa Arab.
Antara yang menjadi kejutan kepada saya ialah semua pelajar tidak kira muslim atau bukan diajar tentang frasa-frasa utama harian. Antaranya ialah tentang sapaan ‘Assalamualaikum’. Ucapan ‘Alhamdulullillah’ ketika kita berada dalam sihat dan situasi yang baik. ‘Masya Allah’ atau ‘Subhanallah’ jika kita kagum atau teruja kepada sesuatu. “Insya Allah’ Jika kita berjanji atau ingin buat sesuatu pada masa hadapan.
Apa yang saya faham ketika belajar di Malaysia, ucapan salam dan juga ungkapan ungkapan lain itu hanya untuk orang Islam, Bahkan ucapan salam tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. Jika merka menyapa dengan salam pun kita tidak dibenarkan membalas balik. Apatah lagi ungkapan ungkapan lain yang mengandungi nama Allah.
Sesiapa yang belajar bahasa Arab akan diajar ungkapan ini sebagai asas bahasa Arab dan juga sebagai elemen budaya. Guru kami menerangkan dengan jelas fungsi fungsi ungkapan tersebut berdasarkan kefahaman Islam. Secara tidak langsung guru kami menerangkan tentang tuhan dan tanggungjawab manusia sebagai hambanya. Manusia perlu ingat dan syukur pada Allah dan sentiasa memujinya. Kemudian ianya diguna dan menjadi amalan dalam perbualan harian rakan-rakan kami yang bukan Islam.
Ketika saya menyewa rumah di Hayyu Dhubat, Jiran hadapan rumah kami amat baik . Kami diminta memanggil namanya sebagai Abu Yusuf dan Isterinya Ummu Yusuf. Dia sentiasa memakai jubah putih dan tangannya tidak lekang dengan tasbih. Setiap petang ketika kami bermain sepak takraw di hadapan rumah Ummu Yusuf akan sediakan Syai untuk kami.
Setiap kali kami bersua akan dimulakan dengan salam seperti biasa. Tengok lah siapa yang mulakan dahulu. Jika ditanya khabar ia akan jawab ‘Alhamdulillah’.. ungkapan insya Allah itu adalah biasa. Tasbih ditangannya pun sentiasa begerak gerak menunjukkan dia sedang berzikir.
Cuma sedikit pelik dengan Ummu Yusuf yang tidak bertudung dan setiap hari memakai skirt dan memakai baju lengan pendek. Ia adalah satu kejanggalan dan saya tidak pernah lihat wanita Islam berpakaian sebegitu.
Sehinggalah pada satu hari, saya bertanya kepada Abu Yusuf di mana dia biasa solat jumaat kerana saya tidak pernah terserempak dengan dia di masjid. Jawapannya amat mengejutkan saya..
“Saya Kristian, saya hanya ke gereja setiap Ahad.”
Rupanya dia beragama Kristian sedangkan penampilan hariannya adalah sebagai Muslim. Setelah lama kami di Jordan barulah kami memahami bahawa ungkapan-ungkapan harian itu adalah rupanya sebagai budaya masyarakat Arab tanpa mengira agama. Begitu juga dengan pakaian.
Bila saya bertanya kepada guru saya Dr Qahtan tentang ini. Jawapannya ialah tidak haram penggunaan ungkapan tersebut bagi bukan Islam dan tidak timbul pun isu penghinaan kepada Agama Islam. Masyarakat Arab Jahiliyyah penentang Islam pada zaman nabi pun menggunakan ungkapan ini setiap hari walaupun mereka kafir. Dr Qahtan juga menyebut bahawa dengan cara itu boleh mendekatkan mereka dengan Islam. Mudah mudahan satu hari nanti Allah buka hati mereka untuk menerima hidayah petunjuk dari Allah.
Mungkin dengan Ucapan salam kita itu sebagai doa kesejahteraan untuk mereka memjadi asbab hidayah untuk mereka memeluk Islam. Kita tidak perlu menghukum. Islam adalah agama damai dan sejahtera.
Saturday, January 31, 2026
TRAGEDI 1995 : DUIT SUMBANGAN KEMATIAN
Saya dan Rafiq sampai di rumah sebelum Jumaat. Kami terus masuk ke rumah dan melihat rakan serumah kami Itqan dan Samsudin duduk bersila di ruang tamu rumah. Wajah mereka muram dan kelat.
“Ada akhawat datang hantar duit derma” Itqan memberi tahu saya sambil mengunjukkan satu sampul surat.
“Akhawat tu kata derma untuk sahabat ahli rumah kita yang
meninggal semalam”
“Ana kata mana ada orang meninggal. Sahabat kami kemalangan
saja.”
“Dia yang terkejut bila ana tak tahu hujung pangkal berita
ni. Dia yang beritahu ana semua sahabat kita tu semuanya meninggal”.
Rupanya berita tentang kematian lima sahabat kami tu sudah
tersebar luas. Ya lah.. berita hangat sudah semestinya cepat tersebar. Cuma
berita ini tidak sampai kepada kami ahli rumah. Setiausaha agung PRISMA yang
datang kerumah kami pagi tadi untuk ambil passport hanya memberitahu sahabat
kami kemalangan. Jangan bimbang. Kemalangan biasa katanya.
Kami berempat semua duduk bersila menghadap antara satu sama
lain. Kami diam seribu bahasa. Tidak ada kata yang mampu diluahkan.
Kami masih terbayang pagi semalam Fahrun singgah kerumah
kami dengan keretanya. Dengan ahli rumah kami Surzaidy yang sempat selesaikan
hutang rumah sewa kami.
Memanglah duit sumbangan di hantar ke rumah kami kerana ahli
rumah kami yang terlibat manakala semua ahli rumah JPA semua meninggal
melainkan Kamal yang dihantar pulang pada malam itu.
Kami pun tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan duit itu.
Kami buntu. Akal kami seolah berhenti seketika. Saya sebagai Ketua Biro
Perhubungan Prisma ketika itu tidak tahu apa tindakan yang perlu dilakukan.
Usai solat jumaat barulah ada beberapa orang sahabat datang
kerumah kami. Ketika itulah kami tahu bahawa berita ini sudah tersebar awal
pagi lagi. Presiden Prisma ketika itu terus ke Amman dengan setiausaha untuk
menguruskan jenazah dengan kedutaan Malaysia. Beliau juga telah menggerakan
persatuan agar bersedia dengan kemungkinan semua pelajar akan bergerak ke Amman
untuk proses seterusnya.
Sahabat saya Haspa yang juga jawatankuasa pengangkutan di
bawah Biro perhubungan rupanya telah menguruskan bas dan coaster untuk
pergerakan kami nanti ke Amman. Cuma masih belum diketahui lokasi sebenar.
Kami sebenarnya agak berkecil hati dan tertanya-tanya kenapa
berita ini dirahsiakan dari kami dari awal.
Kami hanya mengetahui berita ini secara tidak rasmi. Kalau lah kami tahu
dari awal pagi, saya dan Rafiq tidaklah keluar berjalan ke Irbid. Sudah pasti
kami akan terus ke Amman atau pun mungkin ke Aqabah dengan apa cara sekali pun.
Tapi itulah yang terjadi. Mungkin ada hikmah di sebalik itu.
Mulut kami hanya mampu menutur doa untuk sahabat kami sepanjang hari itu. Kami
hanya mampu memujuk hati kami denganAllah berfirman: “Setiap yang bernyawa
pasti akan merasai mati.”(Ali ‘Imran: 185). Sahabat kami telah pergi. Kami pula
pasti menyusul satu hari nanti.
Friday, January 30, 2026
Merebut Saf Pertama: Janji Allah yang Besar, Peluang yang Sering Terlepas
Gambar ini merakam suasana hening di Masjid Sultan Eyup, Istanbul. Sepuluh minit sebelum masuk waktu Subuh, empat saf pertama telah pun dipenuhi jemaah yang menunggu dengan penuh khusyuk. Mereka hadir lebih awal, bukan kerana terpaksa, tetapi kerana sedar nilai dan ganjaran besar di sebalik saf pertama.
Situasi ini jarang kita lihat di Malaysia. Di banyak tempat, saf
hadapan sering kosong, manakala saf belakang dan ruang luar lebih dipenuhi. Ada
yang masuk hanya selepas iqamah dilaungkan. Sedangkan dalam Islam, kedudukan
saf bukan sekadar soal tempat, tetapi soal keutamaan dan pahala.
Saf Pertama: Pilihan Allah dan Rasul-Nya
Allah SWT berfirman:
“Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan
rukuklah bersama orang-orang yang rukuk.”
(Surah al-Baqarah: 43)
Ayat ini memberi isyarat pentingnya berjemaah, dan para
ulama menjelaskan bahawa semakin hampir seseorang kepada imam, semakin besar
keutamaannya.
Rasulullah SAW pula bersabda:
“Sekiranya manusia mengetahui pahala azan dan
saf pertama, kemudian mereka tidak mendapatkannya kecuali dengan cara mengundi,
nescaya mereka akan mengundi.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini sangat kuat. Nabi SAW menggambarkan betapa bernilainya
saf pertama, sehingga jika pahala itu benar-benar difahami, manusia sanggup
berebut dan berlumba-lumba untuk mendapatkannya.
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya
berselawat ke atas orang-orang yang berada di saf pertama.”
(Riwayat Abu Dawud)
Bayangkan — Allah dan malaikat mendoakan kita, hanya kerana
kita memilih untuk berdiri di saf hadapan.
Para sahabat Rasulullah SAW sangat menjaga saf pertama.
Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Mas‘ud RA pernah berkata:
“Jika kamu melihat seseorang selalu menjaga saf pertama, maka
ketahuilah dia benar-benar menjaga agamanya.”
Saidina Umar al-Khattab RA pula akan memerhati saf-saf
solat. Jika saf hadapan kosong, beliau menegur kerana baginya ia tanda
kelalaian umat terhadap keutamaan ibadah.
Bagi para sahabat, datang awal ke masjid dan mengisi saf pertama
adalah maruah iman, bukan beban.
Muhasabah untuk Kita di Malaysia
Mengapa kita selesa di belakang?
Mengapa kita menunggu iqamah baru melangkah masuk?
Mungkin bukan kerana tidak tahu, tetapi kerana belum benar-benar
menghayati janji Allah. Sedangkan saf pertama tidak memerlukan harta, tidak
memerlukan jawatan — hanya memerlukan kesungguhan dan sedikit pengorbanan
masa.
Mulakan Langkah Kecil
Bayangkan jika satu Subuh, satu Maghrib, atau satu Jumaat — kita
niatkan untuk datang lebih awal dan berdiri di saf pertama. Ia mungkin kecil di
mata manusia, tetapi sangat besar di sisi Allah.
Marilah kita hidupkan kembali budaya masjid:
- Datang
sebelum azan atau sejurus selepasnya
- Penuhkan
saf hadapan
- Didik
anak-anak mencintai saf pertama
Mudah-mudahan Allah menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba
yang merebut keampunan, rahmat dan pahala besar yang dijanjikan-Nya.
“Dan berlumba-lumbalah kamu menuju keampunan
daripada Tuhan kamu.”
(Surah Ali ‘Imran: 133)
Semoga budaya saf pertama kembali subur di masjid-masjid Malaysia. 🌙🤲
Thursday, January 29, 2026
Apabila Perempuan Ke Hadapan, Lelaki Mengundur: Satu Renungan Dari Latihan Kebakaran
Semalam, satu demonstrasi kebakaran telah diadakan di asrama IPG KPI dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil. Program yang sepatutnya memberi pendedahan asas tentang keselamatan, pengurusan risiko dan keberanian berdepan kecemasan ini akhirnya membuka satu tabir realiti sosial yang agak mengusik jiwa.
Ketika pegawai bomba meminta sukarelawan lelaki untuk mencuba sendiri teknik memadam kebakaran, suasana menjadi agak sunyi. Sukar mencari yang tampil ke hadapan. Sehinggakan pegawai bomba terpaksa memilih secara rawak daripada kalangan pelajar lelaki.
Namun dalam masa yang sama, sesuatu yang
mengejutkan berlaku — pelajar perempuan berebut-rebut untuk mencuba.
Tanpa ragu. Tanpa takut. Tanpa menunggu dipanggil.
Ironinya, dalam latihan yang melibatkan risiko,
api dan keberanian fizikal, perempuan tampil mendahului, sementara
sebahagian lelaki memilih untuk berundur.
Ini bukan soal menyalahkan. Tetapi soal
muhasabah bersama.
Keberanian:
Sifat Siapa Sebenarnya?
Dalam wacana semasa, kita sering menyebut
tentang “kesamarataan”, “pemberdayaan wanita” dan “peranan sosial moden”. Namun
Islam sejak awal lagi telah meletakkan keberanian, kepimpinan dan
tanggungjawab berat di bahu lelaki — bukan sebagai kelebihan kosong, tetapi
amanah.
Allah SWT berfirman:
الرِّجَالُ
قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pelindung bagi kaum wanita.”
(Surah an-Nisa’: 34)
Qawwam bukan sekadar
bermaksud ketua dalam struktur, tetapi berani ke hadapan ketika genting,
memikul risiko, dan melindungi ketika bahaya.
Keberanian bukan terletak pada fizikal
semata-mata, tetapi keupayaan mengawal takut dan bertindak walaupun gentar.
Apabila Takut
Menguasai, Amanah Terabai
Rasulullah ﷺ
sendiri adalah contoh keberanian tertinggi. Dalam setiap peperangan, Baginda berada
di barisan hadapan, bukan bersembunyi di belakang.
Ali bin Abi Talib r.a. berkata:
“Apabila keadaan menjadi sangat genting, kami
berlindung di belakang Rasulullah ﷺ.”
Ini bukan kisah peperangan semata-mata. Ini nilai
kepimpinan.
Jika dalam latihan kebakaran yang terkawal pun
kita gentar untuk mencuba, bagaimana nanti ketika memimpin murid, mengurus
krisis sekolah, atau mempertahankan prinsip pendidikan Islam dalam dunia
sebenar?
Guru: Kerjaya Yang Menuntut Keberanian
Sebagai bakal guru, khususnya guru
Pendidikan Islam, keberanian bukan pilihan — ia keperluan.
Guru bukan hanya menyampaikan silibus, tetapi:
- berani menegur,
- berani mempertahankan kebenaran,
- berani membuat keputusan sukar,
- berani menjadi contoh akhlak dan
kepimpinan.
Murid tidak hanya belajar daripada kata-kata,
tetapi daripada sikap dan tindakan.
Jika hari ini kita takut untuk tampil memadam
api yang kecil, bagaimana kita mahu memadam “api kerosakan akhlak” dalam
masyarakat nanti?
Perempuan Ke
Hadapan: Cermin Untuk Lelaki Bermuhasabah
Keberanian pelajar perempuan semalam bukan
sesuatu yang negatif — bahkan wajar dipuji. Mereka menunjukkan keyakinan,
kesediaan belajar dan semangat mencuba.
Namun pada masa yang sama, ia menjadi cermin
besar untuk lelaki:
- Adakah kita semakin selesa?
- Adakah kita semakin takut gagal?
- Atau kita sudah terbiasa menjadi
pemerhati, bukan pelaku?
Islam tidak melarang perempuan berani. Tetapi
Islam menegaskan lelaki tidak boleh pengecut.
Memimpin
Bermula Dengan Satu Langkah Ke Hadapan
Keberanian tidak lahir tiba-tiba. Ia dibina:
- dengan latihan,
- dengan kesediaan mencuba,
- dan dengan niat melaksanakan amanah.
Latihan kebakaran semalam mungkin hanya satu
program kokurikulum. Tetapi pengajarannya jauh lebih besar — tentang
jati diri, tanggungjawab dan masa depan kepimpinan ummah.
Semoga selepas ini, apabila diminta
sukarelawan,
lelaki tidak lagi menunggu dipilih,
tetapi bangun melangkah ke hadapan.
Kerana memimpin masyarakat,
bermula dengan berani menghadapi api kecil dalam diri sendiri. 🔥
Tuesday, December 16, 2025
TRAGEDI 1995 : DIANGGAP SEBAGAI PEMUNGUT SUMBANGAN
Tiba di stesyen bas Irbid, saya dan Rafiq mengambil serfis atau teksi putih untuk ke Dawwar Naseem untuk keruma Ustaz Amin. Sampai dirumahnya kami lihat banyak kasut dan selipar diluar pintu rumah.
Mereka ni ada buat makan makan kah berkumpul ramai-ramai pagi Jumaat ini. Saya dan Rafiq membuat telahan. Boleh makan sedap pagi ini.
Pintu sudah terbuka luas. Selepas memberi salam saya
mendengar laungan suara dari dalam menjemput kami masuk.
Melihat wajah saya
dan Rafiq seorang abang senior mengumumkan ketibaan kami.
“Weh.. sahabat Mafraq datang pungut sumbangan ni. Awal mereka
datang..”
“Sumbangan apa pula ni.. tak ada lah. Kami datang jalan-jalan ja..” Jawab Rafiq
dengan muka selamba.
“Tak apa lah . Kami
terus bagi ja lah sumbangan untuk ahli bayt enta dan sahabat-sahabatnya.”
Celah Ustaz Amin. Dia ni memang suka bergurau. Tapi kali ini wajahnya agak
serius.
Memang pagi tu saya lihat abang abang senior semuanya
berwajah suram. Mereka berkumpul ramai-ramai bukannya ada makan-makan pun. Saya yang masih tidak
tahu pokok pangkal pasal sumbangan tadi bertanya semula.
“Kutip sumpangan
untuk apa ni. Kenapa abang-abang semua nampak serius ja pagi ni.” Saya bersuara kerana sejak tadi hanya memerhatikan Rafiq saja yang berbual.
“Enta tak pergi ke Aqabah ke pagi ni”? Tanya seorang
lagi abang Senior dari terengganu. Jarang
saya lihat kelibat dia di rumah ini.
“Kenapa nak ke Aqabah?” Tanya saya sudah mula cuak.
“Eh enta tak tahu lagi kah? Sahabat ahli bayt enta
meninggal malam tadi. Kemalangan kereta dalam perjalanan ke Aqabah. Semua sahabat
dalam kereta tu meninggal.” Sorang lagi abang senior menyatakan situasi
sebenar.
Saya dan Rafiq berpandangan satu sama lain. Teringat kisah
Zuhdi pagi tadi yang datang ambil pasport sahabat kami berempat di rumah. Dia hanya
bagitahu sabahat kami cedera. Langsung tak bercerita bahawa sahabat kami dah
tidak ada. Mustahil dia melum tahu keadaan sebenar masa itu.
“Kami dapat berita mereka terlibat dengan eksiden sahaja.
Di masukkan ke wad di Aqabah dan akan di dipindahkan ke Amman. Nanti petang
nanti kami ke Amman ziarah mereka di hospital.” Saya memaklumkan kepada mereka apa yang saya tahu.
“Mereka semua meninggal awal pagi tadi sekitar jam 2 pagi.
Kereta mereka melanggar lori rosak yang tak sempat dialih ke tepi jalan. Sekarang jenzah mereka
masih di Aqabah dan akan dibawa ke Amman. Mungkin petang ini atau esok. Pihak
kedutaan akan maklumkan kemudian.”
Saya dan Rafiq terduduk mendegar berita itu. Kami terdiam tanpa
suara. Seorang abang senior datang memeluk saya menenangkan keadaan.
Sungguh tak sangka. Saya hanya menjangkakan sahabat kami
cedera ringan saja. Rupa-rupanya sahabat kami pergi selama-lamanya. Kenapa ia
disembunyikan dari pengetahuan kami.
Saya dan Rafiq minta izin untuk segera pulang ke Mafraq segera.
Kami tidak mampu lagi untuk duduk di situ mendengar macam-macam cerita sedih
keadaan kemalangan. Kesimpulannya mudah. Sahabat kami terlibat dengan
kemalangan ngeri yang meragut nyawa mereka serta merta.
Sepanjang perjalanan dari Irbid dan Mafraq saya dan Rafiq
membisu seribu bahasa. Masing-masing melayan fikiran. Hati masih tak percaya
bahawa Surzaidy, Fahrun, Rashimi, Zainol dan Zikri sudah tiada. Saya masih
terbayang-bayang kelibat Surzaidy dirumah menceriakan suasana.
Mulutnya yang mampu menuturkan
Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun…
Allahummaghfir lahum.. warhamhum.. wa aafihim wa’fu anhum…
Perjalanan terasa amat jauh. Tapi mata mampu lelap. Hanya mampu
merenung keluar tingkap melihat rumput-rumput dan bunga-bunga kecil celahan batu
ditepi jalan…
Monday, December 15, 2025
TRAGEDI 1995: PASPORT UNTUK URUSAN HOSPITAL
Selepas solat subuh pagi Jumaat saya dan Rafiq berpakat untuk ke Irbid menziarahi abang senior di sana. Saya dan Rafiq selalu lepak di rumah Abang senior Amin (sudah pulang kerahmatullah) Zaki dan Fadhli di Duwar Nasim. Di sinilah tempat saya dan Rafiq memujuk hati menenangkan minda selepas jerih belajar di Mafraq.
Selepas bersiap-siap saya dan Rafiq keluar dari rumah untuk
berjalan kaki ke mujamma’ Mafraq menaiki bas ke Irbid. Tiba-tiba dari jauh saya
ternampak Zuhdi, Setiausaha agung Prisma sedang berjalan di hujung lorong menuju
kerumah saya.
Selepas memberi salam dan bertukar tanya khabar dia memberi
tujuannya.
“Saya nak minta pasport sahabat kita Rasyimi, Zainol,
Zikri dan Surzaidy.”Minta Zuhdi
dengan wajah yang sedikit serius.
Saya sebagai ketua
biro perhubungan PRISMA bertanggungjawab menguruskan Visa pelajar
Malaysia di Al Bayt. Jadi semua pelajar
perlu serahkan Pasport kepada saya untuk memudahkan urusan dengan Jawazat (Bahagian visa). Kamal dan pelajar
lain yang pulang bercuti ke Malaysia telah memohon Pasport lebih awal. Saya
telah utamakan untuk siapkan pembaharuan
visa mereka lebih awal. Ini memudahkan
mereka untuk keluar dari Jordan.
“Untuk urusan apa? Mereka
berempat ni ke Amman semalam. 3 orang itu hantar sahabat mereka Kamal
balik Malaysia.” Saya bertanya keperluang
penggunaanpassport.
“Mereka terlibat dalam
kemalangan jalan raya dalam
perjalanan ke Aqabah. Surzaidy ikut sekali dari Mator Alia.” Terang Zuhdi.
“Bagaimana dengan keadaan mereka? Teruk kah?” Saya bertanya dengan agak mendesak. Saya tidak dimaklumkan apa-apa maklumat tentang kejadian itu. Pada masa itu sumber maklumat
dan berita amat terhad. Komunikasi hanya
melalui telefon biasa sahaja.
“Jangan risau.
Mereka sedang dirawat di hospital. Mereka perlu passport ini untuk urusan rawatan hospital.” Jamin Zuhdi
menenangkan saya dan Rafik.
Saya masuk semula ke rumah dan menyelongkar almari dan
mengeluarkan pasport mereka berempat. Pasport telah disusun dengan rapi
mengikut susunan nombor memudahkan urusan kerja saya memohon visa. Urusan visa mereka dikemudiankan kerana
mereka tidak keluar dari Jordan dalam
tempoh terdekat. Jawazat hanya mampu menyelesaikan bilangan visa yang terhad
dalam masa seminggu.
Saya membelek-belek
passpot Fahrun, Rasyimi, Zainol, Zikri dan Zurzaidy memastikan tidak ada
dokumen penting lain terselit. Saya kemudiannya menyerahkannya kepada Zuhdi.
“Boleh kami ikut sekali kah ke Amman menziarahi mereka?” Saya
bertanya.
“Nanti dulu. Setakat ini mereka masih di Hospital Aqabah.
Bila mereka dipindahkan ke Amman , ana bagi tahu. Boleh
entum melawat. Saya hanya nak serahkan Pasport ini kepada pihak kedutaan.” Terang Zuhdi
panjang lebar.
Masa itu saya , Rafik, Itqan dan Shamsudin hanya menyangka
mereka hanya terlibat kemalangan biasa dan cedera ringan sahaja. Tidak lebih
dari itu. Sebelum ni kami selalu dengar cerita tentang pelajar Malaysia
terlibat dengan kemalangan jalan raya. Tapi hanya sekadar cedera dan dirawat di hospital. Itulah sangkaan
kami. Cuma, Aqabah itu amat jauh dari
Mafraq untuk kami terus pergi menziarahi mereka di sana.
Zuhdi meminta izin untuk pergi kerana ia perlu segera ke
Amman untuk serahkan passpot tersebut. Kami ahli rumah bersepakat untuk
menungguh berita selanjutnya untuk
menziarahi mereka di hospital.
Sumber berita ketika itu adalah amat terhad. Hanya
bergantung kepada telefon tetap semata-mata. Henset ketika itu adalah sesuatu
yang amat mahal dan mewah. Setahu saya hanya ada beberapa orang pelajar di
Amman dan Irbid sahaja yang memiliki
telefon bimbit. Itupun yang jenis
bersaiz besar hanya boleh dibimbit
sentiasa dan tidak boleh dimasukkan
kedalam poket.
Dalam keadaan resah
mendengar berita sahabat kami terlibat dengan kemalangan, kami tidak
senang duduk. Apa kerja tidak boleh dibuat.
Membaca pun tidak boleh fokus. Menonton
rancangan tv pun tidak menarik.
Nak tidur pun tak mampu lelapkan mata.
Kami hanya mampu berdoa agar urusan sahabat kami
dipermudahkan Allah.
سهل الله أمورهم. شفاهم
الله شفاء عاجلا
Semoga Allah mempermudahkan urusan mereka. Semoga Allah
sembuhkan mereka segera.
Hanya itu yang kami mampu panjatkan pada Allah.
“Jom , kita ke Irbid lah” Rafik memberi
cadangan mengajak saya meneruskan rancangan asal kami pagi tadi.
Saya menyahut saja cadangan Rafik kerana tidak betah lagi di
rumah. Hanya saya dan Rafik saja
bergerak ke Irbid, Itqan dan Shamsudin ingin kekal berehat di rumah. Saya dan Rafik merancang untuk pulang terus petang nanti
dan tidak bermalam di sana sebagaimana biasa.
Petang nanti kami
merancang untuk ke Amman untuk menziarahi sahabat kami yang terlibat
kemalangan. Hanya menunggu maklumat terkini dari Zuhdi yang sudah ke Amman.
Tuesday, December 02, 2025
TRAGEDI 1995 : SIAPA MAHU ISI TEMPAT KOSONG?
Usai solat Zohor di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh, Hakiman kembali kerumah sewa abang Senior Universiti Jordan yang sentiasa jadi rumah persinggahannya di Sweileh. Rumah ini sentiasa menjadi tumpuan adik adik senior dari Mafraq kerana rumah ini lah tempat transit pertama kami ketika sampai di Jordan dulu sebelum di hantar ke Mafraq.
“Assalamualaikum..” Terdengar suara memberi salam
dari luar rumah.
Pintu terkuak dan satu wajah menjengah masuk. Rupanya Surzaidi baru sampai dari
Mafraq.
Setelah bersalaman
dengan abang abang senior di dua rumah
bersebelahan itu, Surzaidy datang duduk bersebelakah Hakiman sambil bertanya.
“Enta datang sorang? Ada nak pergi mana-manakah?”
“Ana ingat nak ke Mator Queen Alia malam ni, mahu jumpa sahabat JPA ana yang akan balik Malaysia malam
ini.” Beritahu Hakiman.
“Ana nak pergi rumah
Ustaz Mad (bukan nama sebenar)
ana nak beli Hi Fi Kenwood dia. Jom
ikut ana kerumah dia bayar harga Hi Fi lepas tu kita pergi Mator Queen Alia la,
ana pun nak wada’ sahabat kita..” Surzaidy mencadangkan.
Hakiman bersetuju. Selesai urusan dirumah Ust Mad. Waktu masih awal. Mereka berpakat
untuk ke Sefeway dahulu. Safeway adalah satu satunya supermarket besar di Amman
ketka itu. Di sinilah kami pelajar
Malaysia melepas rindu merasai suasana Supermarket di Malaysia seperti Parkson,
Hankyu Jaya,Yaohan dan lain-lain.
Selepas membeli sebungkus mee Maggi Hakiman mengajak
Surzaidy ke beberapa buah kedai sekitar untuk menjamu mata melihat
barang seperti ke Arabella yang tersohor. Kemudian mereka menapak ke stesyen
bas yang berdekatan untuk ke mengambil
bas terus ke Mator Alia.
Perjalanan sekitar
setengah jam ke Mator dirasakan panjang oleh mereka berdua . Lalu mereka
bertukar pelbagai cerita dan kenangan seawal dari zaman kanak-kanak, persekolahan, hidup di asrama, kehidupan baru di bumi Kinanah, hati dan perasaan, cinta dan
kasih dan sebagainya. Perjalanan setengah jam itu diisi dengan perkongsian dari hati kehati.
“Ana adalah harapan
dalam keluarga. Ana anak sulung yang
bertanggungjawab memimpin adik adik
dan membantu abah dan Ma.”
“Ana ada satu satunya adik perempuan yang ana sayangi.
Adik beradik lain semua lelaki. Dialah buah hati pengarang jantung keluarga
kami.”
“Abah dan Ma banyak berkorban untuk Ana, membesarkan dan
mendidik ana dengan hampir sempurna
bagai menatang minyak yang penuh.”
“Ana berjanji akan buat yang terbaik, menuntut ilmu mencari
pengalaman dan membina diri agar menjadi anak soleh yang berjasa bukan hanya kepada Abah dan Ma, tetapi juga
kepada agama, bangsa dan negara.”
“Ana mahu menjadi anak soleh sebagaimana nabi sebut yang akan menjadi sumber pahala dan saham
berterusan kepada Abah dan Ma di dunia hingga akhirat.”
Panjang luahan Surzaidy kepada Hakiman. Hakiman terkenal
dengan kesantunan, kesabaran mendegar
dan mengiyakan. Hakiman seorang yang berjiwa empati, berjiwa halus , mempu menyelami jiwa dan
perasaan sahabat.
Sampai di Mator Alia, waktu sudah masuk Maghrib. Mereka
berdua begegas ke surau untuk
menyelesaikan kewajipan utama. Rupanya ramai sahabat pelajar Malaysia sudah bersedia untuk
solat. Mereka solat Maghrib dan isyak jamak qasar takdim diimami oleh sahabat senior
Mafraq, Nuryusri.
Usai solat, Hakiman dan Surzaidy segera ke bahagian daftar masuk berjumpa
dengan sahabat-sahabat yang akan pulang ke Malaysia. Mereka semua sudah selesai
daftar masuk bagasi. Cuma hanya menunggu untuk masuk yang berbaki lagi hampir
dua jam. Macam macam topik perbualan dikongsikan.
Kamal sudah bersedia dengan jaketnya untuk masuk. Fahrun dan
rakan JPA lain Zainul, Zikri, Rasyimi dan Hakiman berlonggok di satu sudut. Surzaidy
pun ada sekali. Walaupun hanya dia pelajar Tajaan KPM di situ, dia tidak kekok
berbual mesra. Kebersamaan hidup di Mafraq sudah meruntuhkan benteng perbezaan
walaupun sebenarnya kami kalangan pelajar Malaysia memandang bahawa pelajar JPA
adalah lebih bijak dan lebih pandai dari pelajar tajaan KPM.
“EH.. balik nanti kereta ada seat kosong lah. Kamal dah
balik. Siapa nak ganti ni. Lepas ni kami nak terus ke Aqabah.” Tiba-tiba Fahrun bersuara memecah rancak
perbualan mereka.
“Tadi, abang senior ada bagitahu, lepas balik dari Mator Alia ni, mereka mahu
terus ke Aqabah bercuti di sana. Kita ikut sekali lah. Kita pun belum pernah
sampai lagi ke Aqabah. Kereta dah ada.”
“Wah.. seronok tu. Macam nak ikutlah.” Hakiman bersuara menunjukkan minat.
“Biar kawe gi lah. Kawe lah ganti seat kosong tempat
Kamal.” Surzaidy tiba-tiba mencelah dengan
yakin.
“Barang kawe ada belako dah ni..” Sambung Surzaidy
Sambil menunjukkan bag sandang yang dijinjingnya.
“Ok.. boleh” Fahrun
menjawab. Rasyimi, Zainul dan Zikri hanya mengangguk kepala bersetuju.
Hakiman hanya tersengih. Dia terlambat membuat keputusan.
Hatinya memang meruntun mahu ikut sama. Tetapi peluang dah terlepas. Surzaidy lebih
mendahului. Dia sebenarnya lebih rapat
dengan mereka sebagai rakan sepenaja JPA berbanding Surzady. Tapi Hakiman hanya
tersenyum. Sifat tenangnya mampu menyembunyikan kekecewaanya.
Hakiman memujuk hatinya. Tempoh dia akan berada Jordan masih
panjang. Ni baru tahun pertama. Banyak lagi peluang untuk ke Aqabah selepas
ini. Sekarang bagi peluang dulu kepada Surzady yang teruja ingin ke Aqabah
bersama sahabat-sabahat JPA.
Hakiman redha dengan keputusan yang ada. Hatinya kecilnya
redha dengan ketentuan Allah. Tak perlu kecewa. Mungkin ada hikmah besar di
sebaliknya.
Setelah semua urusan di Mator selesai. Semua bergerak pulang
ke tempat masing-masing. Surzaidy sudah pergi bersama rakan JPA ke ke kereta
dan terus langsung ke Aqabah bersama dua kereta senior yang lain.
Hakiman menumpang bas yang disewa khas oleh pelajar pelajar
Yarmuk untuk pulang ke Irbid. Malam itu amat tenang. Hakiman hanya melayan
tidur sepanjang perjalanan. Bermimpikan Malaysia dan Aqabah.
Tuesday, November 25, 2025
TETAMU DARI RUMAH JPA
Pada hari Rabu malam Khamis 7 Jun 1995, rumah saya menerima tetamu dari sahabat ahli rumah JPA. Kami memanggil rumah disebelah masjid Anas sebagai rumah JPA kerana didiami oleh semua pelajar tajaan JPA iaitu Fahrun, Rasyhimi, Kamal, Zikri dan Zainul.
Rumah kami sentiasa menjadi tumpuan rakan-rakan jika pada hari minggu atau hari cuti. Kami
meliki sebuat set Tv dan pemain video yang
menjadi peneman dan pelepas rindu setelah penat
belajar. Rumah kami juga ada kemudahan Set
PC dan juga printer dan mesin taip letrik
canggih kepunyaan Surzaidy.
Malam itu Fahrun, Zikri dan Zainul datang bertandang selepas
solat isyak. Kamal tidak datang kerana
sibuk mengemas barang untuk pulang ke Malaysia. Manakala Rasyimi katanya
ingin menghabiskan buku bacaannya. Kami makan malam dengan sama-sama merasa apa
yang dimasak oleh ahli rumah kami Itqan. Dia yang paling pandai memasak. Sahabat-sahabat
tetamu kami akan makan masakan Itqan walaupun dah kenyang.
Selepas makan makan malam, Fahrun mula
leka dengan mesin taip CANON Surzaidy menulis warkah -warkah yang akan
dikirimkan kepada ahli rumahnya Kamal yang akan pulang ke Malaysia esok. Kami membiarkan dia bersendiri dibilik saya. Manakala kami semua berkumpul di bilik utama berbual sambil menontot siaran tv 14 Inci Panasonic.
Perbualan semakin hangat apabila Itqan menghidangkan cekodok
bawang yang amat enak. Kami beruntung
tinggal bersama sahabat yang pandai memasak. Syamsudin yang kami panggil ‘Bung’
pula telah keluar membeli PEPSI untuk kami menambahkan lagi keenakan cekodok.
Kami berbual pelbagai topik sehingga lewat malam.
Zikri yang pendiam hanya banyak mendengar dan sekali sekala menyampuk. Zainul yang banyak ramah bercerita menceriakan suasana.
Biasanya Fahrun juga menceriakan suasana kami. Tapi malam itu dia menyendiri melayan
perasaannya menulis warkah pada yang tersayang. Jadi kami tidak menggangunya.
Zainul memberitahu kami bahawa mereka akan menghantar Kamal
pulang ke Malaysia selepas Zohor hari
khamis. Paginya Fahrun akan mengambil kereta sewa kerana ia lebih mudah untuk
bergerak berbanding mengambil teksi.
Katanya mereka semua akan ke Sweileh dulu bertemu rakan-rakan JPA mereka sebelum ke Lapangan Terbang Queen Alia pada malamnya.
Selepas menghantar Kamal Mereka tiada rancangan pun untuk kemana-mana.
Mungkin kalau ada sempat ingin ke Mu’tah menziarahi pelajar Malayssia di sana. Itu saja antara
yang diberitahu kepada kami. Malam itu Surzaidy tidak pulang kerumah selepas keluar solat isyak di Masjid. Mungkn dia ada program tabligh dengan
kawan-kawannya. Memang dia biasa begitu. Tapi malam itu dia tidak pulang.
Begitulah kehidupan kami di perantauan. Sudah hampir setahun kami di pekan Mafraq. Kami
panggilnya sebagai pekan cowboy kerana
suasananya yang klasik. Pekan ini
baru dikenali ramai selepas Universiti al Albayt memulakan operasi. Kami
pelajar Malaysialah yang banyak meneroka dan memberi sumbangan kepada kemeriahan
pekan Mafraq ini.
Rakan-rakan dan sahabat kami ini adalah ibarat tetamu
walaupun ianya hampir setiap hari datang kerumah. Kami amat mengalu-alukan kedatangan rakan dan sahabat.
Kami berkongsi makanan, bercerita suka dan duka. Islam
menganjurkan kita memuliakan tetamu dengan sabdanya:
مَنْ
كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia
memuliakan tetamunya.”
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Itulah amalan dan budaya kehidupan kami di Mafraq pelajar Malaysia di perantauan. Cuma
kami tidak terfikir bahawa itulah malam terakhir berberapa orang sahabat bersama kami.
Monday, November 24, 2025
TRAGEDI 1995: SELESAIKAN HUTANG DULU
Kami berlima tinggal di rumah sewa Abu Safwan. Rumah yang berada di tengah Hayy Dhubbat. Saya, Itqan, Nik Rafiq, Syamsuddin dan Surzaidi. Kami semua dari Kelantan dan bekas pelajar Maahad Muhammadi Kota Bharu. Hanya Surzaidi berasal dari Sekolah Menengah Agama Falahih. Kami mengenalinya ketika sama-sama semasa kursus persediaan ke Jordan di IKIP.
Surzaidi adalah seorang yang amat peramah, ceria dan baik
hati. Mudah bergaul dengan sesiapa sahaja. Ketika kami mencari ahli rumah sewa
yang ingin tinggal bersama, beliau dengna mudah menerima pelawaan tanpa
berfikir panjang. Kami amat gembira Surzaidi setuju untuk tinggal bersama kami.
Kami telah melantik Sahabat kami Itqan sebagai ketua rumah.
Beliaulah yang banyak membuat keputusan berkaitan rumah kami. Beliau mengetuai perbincangan apa saja keputusan
penting yang berkaitan dengan rumah dan
membuat agihan tugas kepada setiap ahli rumah.
Siapakah yang ditugaskan memkirkan tentang kelengkapan perabut rumah,
bahagian masakan, kebersihan, berhubung dengan tuan rumah dan sebagainya. Saya diberi
tanggungjawab bahagian perhubungan dengan tuan rumah, membayar sewa dan berbincang tentang apa saja tentang keperluan
kami dengan tuan rumah Abu Safwan.
Surzaidi diberi tanggujawab membeli kelangkapan rumah, seperti karpet,
peralatan dapur dan sebagainya. Beliau kami anggap sebagai orang berada dan tidak kisah tentang duit. Dia amat
pemurah. Hampir setiap hari berbelanja untuk kami ahli rumah diluar jadual
perbelanjaan yang sebenar.
Alhamdulillah semua peralatan rumah yang telah diputuskan
sudah dibelinya dengan menggunakan duit
sendiri dahulu. Penuh dapur dengan barang-barang. Kami terkejut juga. Bendahari
belum tetapkan berapa kutipan yang perlu
dikongsikan. Balik dari Uiversiti barang semua sudah sampai di hantar dengan
Pickup.
Surzaidi juga seorang yang mengikut
perkembangan teknologi semasa. Dia lah yang telah membelu mesin tapi letirk jenama CANON. Mesin tapi tercanggih
ketika itu. Semua bahan yang ditaip boleh disunting terlebih dahulu sebelum dicetak
dikertas. Harganya mahal. Kami hanya menumpang tuah menggunakan mesin taip
canggih. Kami yang banyak memanfaatkan mesin taip tersebut dan ia di simpan
dibilik saya. Surzaidi hanya menggunakan mesin taip itu untuk
menulis surat kepada Ayah , Ibu dan
adiknya.
Sahabat kami Fahrun dengan tugasnya sebagai setiausaha banyak
menggunakan mesin tapi tersebut untuk urusan persatuan dan kadangkala urusan
peribadi. Tapi Fahrun telah siap membeli kertas dan ribbon sendiri untuk
kegunaannya.
Surzaidi juga adalah seorang penggiat tabligh. Sentiasa mencari jalan dan mencipta perbincangan
berfikir untuk agama Allah. Kami dirumah pun selepas pualng dari masjid, dia akan kumpulankan kami semua untuk membaca
petikan kitab Fadhail A’mal atau dia memberi
tazkirah ringkas buat kami semua. Kami amat hargai usahanya ini.
Surzaidi tidak pernah bersuara meminta duit semua kos peralatan rumah yang telah
dibeli. Bila kami tanya dia akan cakap biar dahulu.
“Rileks lah.. tak apa lambat pun..”
“Nanti kalau ada duit boleh bayar..”
Kami pun tidak tahu tentang keluarga Surzaidi sebenarnya.
Kami semua berpandangan keluarganya amat
kaya dan tidak kesah sangat tentang duit. Surzaidi memang memang pemurah dan tidak lokek untuk berbelanja.
Malam minggu itu Surzaidi tidak balik kerana dia bermalam
dirumah kawannya. Malam ketika Fahrun menulis warkah panjang menggunakan mesin
tapi CANON. Dia juga tidak ada bersama kami ketika kami menggunakan kereta
sewa Hyundai biru untuk melihat keputusan peperiksaan di Universiti.
Selepas zohor Surzaidi pulang kerumah dan memberitahu kami
dia ingin ke Amman mengambil Mini HIFi Kenwoon yang ingin dibeli dari senior kami di Sweileh. Ketika
itu Ketua rumah kami Itqan mencelah.
“Rasanya bagus hari ini kita selesaikan segala hutang
piutang kita. Kami ahli rumah lain
banyak berhutang dengan Surzaidi. Semua kos peralatan yang dibeli belum di
bayar..”
“Lepas ni lah… nanti balik dari Amman kita kira balik.”
Tolak Surzaidi sambil menggerakkan tangannya
menunjukkan tidak mahu.
“Tak boleh. Kami tak senang duduk ni kalau tak bayar
hutang.. Mesti selesaikan hari ini juga..”
“Hutang wajib diselesaikan segera. Kita tidak tahu apa
yang berlaku pada kita nanti..”
Tegas Itqan sambil
memegang kertas dan pen. Beliau bertanya Surzaidi tentang semua kos peralatan
yang telah di beli. Surzaidi pula jenis tidak
catat pembelian. Dia hanya mengingat-ingat
sahaja semua harga barangan yang
dibelinya. Kami tidak puas hatilah. SIkit sangat kos yang disebut. Mesti dia lupa.
“tak apa.. kira mudah-mudah ja.. saya kira sedekah lah
kalau tak cukup tu..” Surzaidi memberi jaminan.
Setelah dikira semua jumlah kos dan diagikhakan kepada semua
ahli rumah kami . Kami semua melunaskan semua hutang
kepada Surzaidi. Kaya dia pada
hari tu memegang duit tunai. Lebih dari
cukup duit untuk membayar Mini HIFI Kenwood yang akan diambil di Amman.
Selepas besalaman
dengan kami Surzaidi memikul beg sandangnya untuk bergerak ke rumah
senior kami di Sweileh, Amman. Kami tidak ikut bersama kerana ada beberap
urusan yang kami perlu selesaikan di Mafraq ini.
Saya bersetuju dengan ketegasan Itqan untuk segera
selesaikan hutang antara kami kerana banyak Islam amat menekankan persoalan
hutang Antara hadis nabi tentang hutang ialah:
صَاحِبُ
الدَّيْنِ مَحْبُوسٌ بِدَيْنِهِ
“Seseorang yang berhutang akan terhalang (di akhirat)
kerana hutangnya.” — Riwayat Ahmad, al-Hakim
Rasulullah juga amat
كَانَ
رَسُولُ اللّٰهِ ﷺ لَا يُصَلِّي عَلَى رَجُلٍ عَلَيْهِ دَيْنٌ
“Rasulullah
ﷺ tidak mensolatkan jenazah seseorang yang
masih mempunyai hutang.” — Riwayat Muslim
Ini menunjukkan hutang adalah tanggungjawab besar yang tidak
boleh diambil mudah.
Rasululullah juga menerangkan sifat buruk orang yang sengaja
menangguhkan bayar hutang:
مَطْلُ
الغَنِيِّ ظُلْمٌ
“Orang yang mampu tetapi melengah-lengahkan bayaran
hutang adalah satu kezaliman.”— Riwayat al-Bukhari & Muslim
Orang yang mati syahid pun tidak terlepas daripada hutang
يُغْفَرُ
لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلَّا الدَّيْنَ
“Semua dosa orang yang mati syahid akan diampunkan
kecuali hutangnya.” — Riwayat Muslim
Jadi keputusan kami segera selesaikan hutang dengan rakan
rumah kami Surzadi adalah ingin mengilkut
panduan Islam.
Tapi masalahnya ramai
dikalangan orang Islam yang memandang remeh soal hutang. Semoga kami semua
selamat dari beban dan ikatan hutang. Jika
ada sesiapa yang masih saya terhutangnya
dengannya sila maklumkan segera. Saya akan selesaikan .
Monday, November 17, 2025
TRAGEDI 1995 : WARKAH YANG PANJANG
“Malam ni ana nak
tidur rumah enta lah”
“Ana nak guna
mesin taip, nak tulis surat untuk
keluarga di Malaysia.”
“Ana nak kirim surat pada Kamal Nazmi yang akan pulan ke
Malaysia esok petang.”
Fahrun Nizam memberitahu saya usai solat Asar di Masjid Anas. Fahrun adalah setiausaha biro perhubungan dibawah saya. Dia selalu lepak dirumah saya untuk buat kerja persatuan. Kebetulan ahli rumah saya Surzaidi telah membeli sebuah mesin taip letrik jenama OLIVETTI yang boleh dikira canggih pada masa itu. Ianya jenis digital boleh tulis dahulu satu ayat atau satu baris dan boleh disemak dahulu sebelum di print atas kertas. Jadi kesalahan ejaan adalah minima.
Surzaidi guna mesin
taip tu hanya untuk menulis surat kepada keluarganya. Kami pun tumpang sekaki
lah. Apa yang menarik ialah kertas khas yang digunakan jenis panjang bukanya jenis bersaiz A4. Jadi
tulisannya akan bersambung sepanjang mana yang kita mahu.
Malam itu Fahrun berjaga malam. Jam 2 pagi saya lihat dia
masih mengadap mesin taip. Apa yang ditulisnya tidaklah saya tahu. Saya hanya melayan tidur. Mesin taip ini jenis
senyap tidak bising sepertimana mesin taip biasa. Jadi ia tidak mengganggu
tidur saya.
Usai solat subuh di masjid Fahrun meminta saya menunjukkan
suratnya dicoretnya sepanjang malam. Rupanya
dia menulis warkah untuk buah hatinya di Malaysia. Rakan sekolah menengahnya dahulu
yang sudah mengikat janji setia.
“Cuba enta baca surat ana tulis ni. Ok kah?” Dia menghulurkan segulung kertas kepada saya.
Panjang suratnya. Bila dibuka gulungannya hujungnya terus jatuh mencecah lantai. Saya memegang
bahagian atas surat dan mengangkatnya
melebihi paras kepala tapi
hujungnya masih bergulung di atas lantai. Kalau dalam saiz A4 mungkin
lebih 10 helai.
Saya membacanya dari awal. Bahasanya amat puitis dengan
lenggok bahasa sasteranya yang berbunga-bunga. Maklumlah surat cinta. Selepas
membaca beberapa perenggan saya berhenti dan menggulung semula surat tersebut.
“Ok sangat ni.
Boleh angau si dia dia tu baca ayat- ayat
cinta enta ni Fahrun. Untung lah si dia
tu.”
Fahrun menggulung kembali warkah yang panjang itu dan diikat kemas
dengan riben. Ada beberapa lagi surat yang ditulis untuk keluarganya dan rakan yang lain. Ianya dalam
gulungan kecil saja.
Fahrun orang sahabat yang sangat baik. Selalu menumpang
tidur di rumah saya hari cuti. Sebelum tidur
dia akan bercerita nostalgia dia bersama si dia sepanjang perkenalan. Rancangan hidup dia akan datang dan
macam-macam lagi. Saya pula jenis suka melayan.
Begitulah hidup kami di perantauan jauh dari keluarga. Hanya
kawan sebagai tempat untuk berkongsi perasaan. Fahrun sudah dalam selimut
mengqadha tidurnya. Saya juga menyambung
tidur yang masih belum cukup jamnya. Hari
cuti adalah hari untuk tidur.
Friday, November 07, 2025
MAHU CUBA GADIS ITALI?
Ketika saya sedang asyik melayan mata melihat proses penyediaan jaket kulit di kilang kulit bandar Denizli. Kebetulan pula sedang melayan penerangan gadis cantik Turki yang sedang memotong kulit sudah siap diproses.
Tiba-tiba terdengar suara seseorang memanggil saya.
“Jom.. Orang
Malaysia..kita lepak-lepak sini”. Rupanya ada beberapa pemandu pelancong
sedang berbual-bual dan mungkin mereka tahu saya orang Malaysia yang juga
sedang membawa rombongan pelancong. Mereka tidak tahu saya ni juga bukan pemandu
pelancong Cuma sebagai ketua kumpulan ja.
Saya mengikut mereka ke satu sudut dalam kilang tersebut. Rupanya
itu sudut untuk pemandu pemandu pelancong berehat sambil menunggu rombongan pelancong
selesai lawatan. Ramai juga yang berada disitu hampir penuh semua meja. Saya diajak
ke satu meja oleh beberapa orang yang saya sebenarnya baru kenal di situ.
Mereka menawarkan minuman dan beberapa potong roti Turki.
Saya meminta sprite saja. Kami saling berkenalan dan bercerita tentang
kerja-kerja harian.
“Kamu nak cuba gadis Italy?’ Salah seorang mereka
bertanya kepada saya.
“Eh.. cuba apa?” Saya bertanya kembali. Sejujurnya
saya tidak tahu apa maksud sebenarnya.
Dia kemudian membuat isyarat satu tangan genggam satu tangan
lagi terbuka dan menepuknya beberapa kali.
Baru saya mengangguk memahami apa yang dia maksudkan.
“Saya sekarang bawa pelancong muda Italy. Mereka ni datang nak enjoy berabis. Nak mencuba rasa
pelabagai bangsa..”
“Saya rasa dia belum ada pengalaman lagi dengan orang Malaysia.” Beberapa orang gelak mendengar telahan tersebut.
Saya hanya tersenyum sumbing. Lahanat mereka ni semua. Nak
tawarkan perempuan rupanya. Memang gaya hidup pemandu pelancong begini
gamaknya.
“Oh.. Saya orang Islam.. Haram tu.. Tak boleh.” Saya
menolak sambil menggoyangkan tangan.
“Alah.. Lepas ni taubat lah.. Tak perlu bayar… dia yag
suruh saya cari.” Bersungguh-sungguh dia memujuk saya.
“Kalau kamu setuju saya aturkan. Dia ada sebelah sana.”
Sambil dia menunjukkan ke bahagian belakang.
Saya menolakmya dengan baik dan menerangkan tentang
pendirian saya sebagai Muslim. Hubungan seks hanya untuk suami isteri. Titik.
Jelas nampak kekecewaan di wajah mereka kerana gagal menawarkan sesuatu yang
bagi mereka amat menarik kepada kawan yang baru dikenali.
Saya menerangkan bukan sahaja zina itu dilarang keras dalam
Islam. Bahkan mendekati zina itu sendiri juga dilarang. Saya memetik ayat al Quran Surah al Isra ayat 32:
﴿
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ﴾
Maksudnya:
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu satu perbuatan
yang keji dan satu jalan yang sangat buruk.”
“Kamu ni sepatutnya jadi Imam, bukannya pemandu
pelancong.” Salah seorang dari mereka mencelah dan mereka semua ketawa.
Saya melihat mereka amat baik. Ingin menunjukkan kemesraan
dan suka berkongsi apa yang mereka rasa istimewa. Mereka Muslim, tapi hanya
pada nama. Kehidupan mereka seharian tidak menggambarkan mereka muslim. Itulah
yang saya tahu sepanjang perbualan dengan mereka.
Mereka tidak kekok langsung tidak malu bercerita tentang dosa
dan mungkin mereka tidak tahu batasan dosa dan pahala. Tapi mereka masih bangga
dengan agama Islam. Masih ada sekelumit iman jauh dalam lubuk hati mereka.
Semoga mereka kembali ke pangkal Jalan.
Saya memberi tahu mereka bahawa rombongan kami hanya singgah
di Bandar Denizle. Kami akan ke Pamukkale dan akan menginap di Richmond hotel.
Mungkin tidak dapat berjumpa lagi selepas ini. Semoga Allah memberi hidayah
kepada penduduk Turki yang jauh terpesong dari Islam ketika itu.












