Tuesday, November 25, 2025

TETAMU DARI RUMAH JPA

 Pada hari Rabu malam Khamis 7 Jun 1995,  rumah saya menerima tetamu dari sahabat  ahli rumah JPA. Kami memanggil rumah disebelah masjid Anas  sebagai rumah JPA kerana didiami oleh semua pelajar tajaan JPA iaitu Fahrun, Rasyhimi, Kamal, Zikri dan Zainul. 


Rumah  kami  sentiasa menjadi tumpuan rakan-rakan  jika pada hari minggu atau hari cuti. Kami meliki sebuat set Tv dan  pemain video  yang  menjadi peneman dan pelepas rindu setelah   penat belajar.  Rumah kami juga ada kemudahan Set PC dan juga printer dan  mesin taip letrik canggih kepunyaan Surzaidy.

Malam itu Fahrun, Zikri dan Zainul datang bertandang selepas solat isyak. Kamal tidak datang kerana   sibuk mengemas barang untuk pulang ke Malaysia. Manakala Rasyimi katanya ingin menghabiskan buku bacaannya. Kami makan malam dengan sama-sama merasa apa yang dimasak oleh ahli rumah kami Itqan. Dia yang paling pandai memasak. Sahabat-sahabat tetamu kami akan makan masakan Itqan walaupun dah kenyang.

Selepas makan makan malam, Fahrun  mula  leka dengan mesin taip CANON Surzaidy menulis warkah -warkah yang akan dikirimkan kepada ahli rumahnya Kamal yang akan pulang ke Malaysia esok.  Kami membiarkan dia bersendiri dibilik  saya. Manakala kami semua berkumpul di bilik utama  berbual sambil menontot siaran tv  14 Inci Panasonic.

Perbualan semakin hangat apabila Itqan menghidangkan   cekodok bawang yang amat enak.  Kami beruntung tinggal bersama sahabat yang pandai memasak. Syamsudin yang kami panggil ‘Bung’ pula telah keluar membeli PEPSI untuk kami menambahkan lagi keenakan cekodok.

Kami   berbual pelbagai topik sehingga lewat malam. Zikri yang pendiam hanya banyak mendengar dan sekali sekala menyampuk. Zainul  yang  banyak ramah bercerita menceriakan suasana. Biasanya Fahrun juga   menceriakan suasana  kami. Tapi malam itu dia menyendiri melayan perasaannya menulis warkah pada yang tersayang. Jadi kami tidak menggangunya.

Zainul memberitahu kami bahawa mereka akan menghantar Kamal pulang ke  Malaysia selepas Zohor hari khamis. Paginya Fahrun akan mengambil kereta sewa kerana ia lebih mudah untuk bergerak  berbanding mengambil teksi. Katanya mereka semua akan ke Sweileh dulu bertemu rakan-rakan  JPA mereka sebelum  ke Lapangan Terbang Queen Alia pada malamnya.

Selepas menghantar Kamal Mereka tiada rancangan pun untuk kemana-mana.  Mungkin kalau ada sempat ingin ke Mu’tah  menziarahi  pelajar Malayssia di sana. Itu saja antara yang diberitahu kepada kami.  Malam itu Surzaidy  tidak pulang kerumah selepas  keluar solat isyak  di Masjid.  Mungkn dia ada program tabligh dengan kawan-kawannya. Memang dia biasa begitu. Tapi malam itu dia tidak pulang.

Begitulah kehidupan kami di perantauan.  Sudah hampir setahun kami di pekan Mafraq. Kami panggilnya sebagai pekan cowboy kerana  suasananya yang klasik. Pekan ini  baru dikenali ramai selepas Universiti al Albayt memulakan operasi. Kami pelajar Malaysialah yang banyak meneroka dan memberi sumbangan kepada kemeriahan pekan Mafraq ini.

Rakan-rakan dan sahabat kami ini adalah ibarat tetamu walaupun ianya hampir setiap hari datang kerumah. Kami  amat mengalu-alukan kedatangan rakan dan sahabat. Kami berkongsi makanan, bercerita suka dan duka.   Islam menganjurkan kita memuliakan tetamu dengan sabdanya:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Itulah  amalan dan  budaya kehidupan kami  di Mafraq pelajar Malaysia di perantauan. Cuma kami tidak terfikir bahawa itulah malam   terakhir berberapa orang sahabat bersama kami.


No comments: