Saturday, January 31, 2026

TRAGEDI 1995 : DUIT SUMBANGAN KEMATIAN

 Saya dan Rafiq sampai di rumah sebelum Jumaat. Kami terus masuk ke rumah dan melihat rakan serumah kami Itqan dan Samsudin duduk bersila di ruang tamu rumah. Wajah mereka muram dan kelat.

“Ada akhawat datang hantar duit derma” Itqan memberi tahu saya sambil mengunjukkan satu sampul surat. 


“Akhawat tu kata derma untuk sahabat ahli rumah kita yang meninggal semalam”

“Ana kata mana ada orang meninggal. Sahabat kami kemalangan saja.”

“Dia yang terkejut bila ana tak tahu hujung pangkal berita ni. Dia yang beritahu ana semua sahabat kita tu semuanya meninggal”.

Rupanya berita tentang kematian lima sahabat kami tu sudah tersebar luas. Ya lah.. berita hangat sudah semestinya cepat tersebar. Cuma berita ini tidak sampai kepada kami ahli rumah. Setiausaha agung PRISMA yang datang kerumah kami pagi tadi untuk ambil passport hanya memberitahu sahabat kami kemalangan. Jangan bimbang. Kemalangan biasa katanya.

Kami berempat semua duduk bersila menghadap antara satu sama lain. Kami diam seribu bahasa. Tidak ada kata yang mampu diluahkan.

Kami masih terbayang pagi semalam Fahrun singgah kerumah kami dengan keretanya. Dengan ahli rumah kami Surzaidy yang sempat selesaikan hutang rumah sewa kami.

Memanglah duit sumbangan di hantar ke rumah kami kerana ahli rumah kami yang terlibat manakala semua ahli rumah JPA semua meninggal melainkan Kamal yang dihantar pulang pada malam itu.

Kami pun tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan duit itu. Kami buntu. Akal kami seolah berhenti seketika. Saya sebagai Ketua Biro Perhubungan Prisma ketika itu tidak tahu apa tindakan yang perlu dilakukan.

Usai solat jumaat barulah ada beberapa orang sahabat datang kerumah kami. Ketika itulah kami tahu bahawa berita ini sudah tersebar awal pagi lagi. Presiden Prisma ketika itu terus ke Amman dengan setiausaha untuk menguruskan jenazah dengan kedutaan Malaysia. Beliau juga telah menggerakan persatuan agar bersedia dengan kemungkinan semua pelajar akan bergerak ke Amman untuk proses seterusnya.

Sahabat saya Haspa yang juga jawatankuasa pengangkutan di bawah Biro perhubungan rupanya telah menguruskan bas dan coaster untuk pergerakan kami nanti ke Amman. Cuma masih belum diketahui lokasi sebenar.

Kami sebenarnya agak berkecil hati dan tertanya-tanya kenapa berita ini dirahsiakan dari kami dari awal.  Kami hanya mengetahui berita ini secara tidak rasmi. Kalau lah kami tahu dari awal pagi, saya dan Rafiq tidaklah keluar berjalan ke Irbid. Sudah pasti kami akan terus ke Amman atau pun mungkin ke Aqabah dengan apa cara sekali pun.

Tapi itulah yang terjadi. Mungkin ada hikmah di sebalik itu. Mulut kami hanya mampu menutur doa untuk sahabat kami sepanjang hari itu. Kami hanya mampu memujuk hati kami denganAllah berfirman: “Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”(Ali ‘Imran: 185). Sahabat kami telah pergi. Kami pula pasti menyusul satu hari nanti.

No comments: