Dahulu semasa tinggal dengan Tok Ayah dan Tok Ji di Kampung Gertak Kechupu, saya akan ke Pulau Melaka setiap malam Jumaat dan Sabtu untuk mendengar kuliah Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Nikmat. Jarak rumah saya ke Pulau Melaka hanya sekitar 4 km sahaja.
Pendengar amat ramai. Saya yang datang selepas Maghrib tidak
ada peluang untuk masuk ke masjid. Saya dan kawan saya hanya duduk atas motor
sahaja di halaman Masjid. Suara Tok Guru amat jelas kedengaran melalui pembesar
suara.
Kelebihan Tok Guru ialah apabila dia membuat kuliah, misalan
dan perbandingannya mudah untuk kita hadam dan
menyerap masuk dalam lubuk hati kita. Saya masih ingat antara kata-katanya
yang masih terngiang-ngian ditelinga ialah:
“Kita ada mata yang amat hebat. Boleh tengok macam-macam,
dengan mata kita boleh bergerak, tengok keindahan alam, tengok perempuan cantik,
tengok bunga dan tonton tv dan
macam-macam lagi. Siapa bagi tu.. Allah yang bagi.”
“Kita ada telinga. Boleh dengar macam-macam bunyi, boleh
dengar lagu, dengan suara bini , suara mak ayah, Macam -macam boleh dengar. Cuba bayangkan bagaimana hidup kita kalau bangun
pagi telinga kita tidak dengar satu
bunyi pun. Telinga tu Allah bagi.”
“Bangun pagi , hidung kita boleh sedut oksijen, masuk dalam
paru-paru. Kita rasa sihat, boleh bernafas.. dengan oksijen. Siapa bagi oksijen
tu. Allah.. tak perlu bayar pun. Kat mana-mana ada
oksijen. Allah bagi free.”
“Tu belum kira lagi
nikmat Allah yang lain. Cukup tengok apa yang ada di badan kita ja. Tak mampu
nak kira dah. Allah sebut dalam Surah An-Nahl, ayat 18
وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ
ٱللَّهَ لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
Maksudnya:
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu
menghitungnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
“Tapi manusia ni jenis lupa diri.
Allah bagi free jah semua tu. Dia tak minta pun harta kita. Allah tak minta
bayar cukai. Bayar cukai apa. Allah ada kerajaan paling kaya di alam semesta
ni. Tak perlu kutip cukai. Dia bagi free semuanya.”
“Allah minta satu benda jah. Mengaku
dia tuhan. Taat pada perintah dia saja. Apa kemudahan kita ada tak perlu bayar.”
“Masalah kita ni payah benar nak
taat pada Allah. Tak yakin dengan Allah. Nak bangun sembahyang pun payah. Nak
datang masjid pun payah. Tapi nikmat Allah
bagi dia ambil semua.”
“Ni jenis ore suka makan free..
kalau kita pergi ke kedai. Ke restoran. Makan sedap-sedap. Ambil tambah lagi.
Tapi tak mahu bayar. Hari hari nak makan
free. Ore lagu ni , ore tak betul. Tak ada ore suka jenis orang sebegini.”
“Hidup atas dunia ni tak ada
barang percuma. Semua kena bayar. Yang percuma tu Allah bagi tapi dia ada bayaran
dia. Orang kafir tu Allah marah sangat
sampai dia masukkan dalam nereka sebab dia tak bayar nikmat dengan ketaatan
lah. Nak makan saja jah. Mana boleh.”
“Sama lah dengan kita, pagi
lambat bangun, solat subuh lambat, tidak pergi masjid. Tapi guna mata, kaki,
tangan buat benda lain. Itulah orang yang tidak bersyukur. Hati keras . Tidak
mengenang jasa.”
Tutur kata dan bicara Tok Guru mudah
menusuk kalbu. Tok Guru lah yang banyak
membentuk peribadi saya dengan mutiara katanya yang indah. Bukan
saya seorang yang terkesan dengan Tok Guru. Sudah pasti Tok Guru sedang menual
hasil kerja dakwah di alam barzakh sana.