Sunday, October 27, 2024

RAKAN IMAN PENCETUS PERUBAHAN!

 Selepas beberapa minggu bertugas di SMK Elopura Bestari, Kehidupan saya pun sudah mula stabil. Saya baru saja berpindah ke rumah sewa sendiri di Taman Pertama. Sebelum ini menumpang di rumah bapa sepupu saya Ust Zamri. Saya bertanya khabar tentang aktiviti surau sekolah. Surau sekolah bersebelahan dengan asrama lelaki namun agak jauh dari asrama perempuan. Ketika itu pelajar tidak diwajibkan untuk solat di surau.




Waktu maghrib dan isyak hanya ada beberapa pelajar yang istiqamah dalam solat berjemah. Saya masih ingat pelajar bernama Nasarudin bin Abdullah ( Allahyarham), kawannya Budirman Daud dan beberapa orang lagi pelajar yang selalu bersama saya jika saya mengadakan pengisian kuliah maghrib dengan pelajar. Mereka berdualah yang selalu melayan saya bersembang sebelum saya pulang.

”Nas dan Budi! Jom kita buat program Usrah”. Cadang saya pada satu hari semasa mereka berdua menghantar saya ke kereta.

“Apa tu usrah ustaz?” Budi bertanya. Ya lah perkataan ini mungkin baru bagi mereka.

Lalu saya menerangkan tentang apa itu usrah. Kami memulakan perancangan untuk mengumpul beberapa orang pelajar pimpinan asrama bagi setiap blok dan tingkatan. Program ini kami namakan sebagai Rakan Iman. Alhamdulillah Nasarudin saya lantik sebagai ketua rakan iman telah banyak membantu saya memilih pelajar untuk program ini.

Pengisiannya ialah tadarus al Quran dan pembentangan oleh  dua orang pelajar berdasarkan artikel saya telah agihkan beberapa hari sebelum. Kemudianya akan ditutup dengan tazkirah dan rumusan oleh saya sendiri.

Perkara baru yang saya buat untuk program Rakan Iman ini ialah borang semak amalan. Senarai semak tersebut ialah solat berjamaah 5 waktu, membaca al quran satu muka surat sehari, istighfar dan selawat 100 kali setiap hari. Senarai semak ini akan di buat oleh ketua kumpulan iaitu Nasaruddin. Tugas Nasaruddin ialah setiap malam sebelum tidur akan bertanya kepada setiap ahli rakan iman dan mengisi senarai semak ini. Pada waktu rehat hari berikutnya  Nasarudin akan melaporkan perkembangan senarai semak tersebut kepada saya.

Alhamdulillah Ustaz, bilangan pelajar hadir solat jemaah semakin ramai”. Lapor Nasarudin bila dia hadir menunjukkan senarai semak.

“ Senarai semak amalan dah semakin penuh. Sekarang ni saya tak perlu lagi cari mereka. Meraka yang datang mencari saya untuk laporkan amalan mereka”. Berseri-seri wajah Nasarudin bercerita kepada saya.

Alhamdulillah perkembangan amalan ahli Rakan Iman semakin baik. Mereka memang berpakat untuk solat berjemaah  bersama-sama di surau. Waktu itu, seingat saya, ahli rakan iman sekitar 12 orang. Tetapi usaha mereka telah berjaya memulakan satu budaya baru di SMK Elopura.  Solat berjemaah Maghrib Isyak semakin ramai. Kualiti bacaan al Quraan ahli Rakan Iman semakin meningkat dan pembentangan mereka semakin lancar.

Ustaz! Ramai pelajar minta nak ikut sama program Rakan Iman. Mereka merayu-rayu ni Ustaz. Aku bilang kena tanya ustaz dulu”.  Nasarudin bercerita pada saya sambil ditemani oleh Budiman.

Berapa orang yang minta?”. Aku bertanya sambil membuka laptop untuk menambah nama dalam senarai ahli Rakan Iman.

“Dekat 20 orang bah ni Ustaz”. Budiman menyampuk.

Aku tak sangka program Rakan Iman diminati oleh pelajar. Hati aku memanjat kesyukuran pada Allah. Aku meminta mereka maklumkan pada pelajar agar bersabar dahulu. Nanti aku akan maklumkan kemudian keputusannya.

Semoga Allah mengaampunkan segala Dosa Allahyarham Nasaruddin yang telah mendahului kami mengadap penciptanya dan di masukkan kesyurganya yang luas terbentang. Sudah pasti pahala kebaikan yang pelajar-pelajar yang berubah menjadi baik itu menjadi saham yang berterusan kepada Nasarudin akan berterusan hingga akhirat. Dia lah antara pencetus perubahan ini.

 

 

Saturday, October 26, 2024

CIKGU! APA TUJUAN HIDUP KITA KAT DUNIA INI?

 Ini adalah persoalan seorang pelajar Tiong Hua kepada seorang gurunya. Ketika kami guru-guru sesi pagi sedang bersiap sedia untuk pulang untuk memberi ruang kepada guru petang mengambil tempat kami di bilik guru saya di datangi oleh seorang guru sesi petang. Guru ini antara yang guru muslim yang tidak bertudung di sekolah kami, muda, cantik, ceria dan digemari oleh semua orang.

Boleh saya dan bercerita pada ustaz sekejap”. Sapanya sambil tersenyum simpul.

“Ya. Boleh. Jom kita ke bilik komputer”. Saya mengamitnya ke bilik komputer di hujung bilik guru. Meja saya terletak di tengah bilik guru dan menjadi laluan guru-guru keluar masuk.


Ada apa Cikgu Stef?”. (Bukan nama sebenar)

Ustaz! Semalam saya terdengar perbualan seroang pelajar Tiong Hua  dengan Cikgu kat sebelah saya. Mereka cakap bahasa Cina. Tapi saya dapat faham sebab dulu saya belajar kat sekolah Cina”. Cikgu Stef memulakan ceritanya.

Pelajar tu tanya cikgu tu kenapa kita hidup di dunia ini? Apa tujuannya? Terkejut saya dengar soalan ni. Tetapi saya buat-buat tidak dengar”.  Semakin serius wajah Cikgu Steff bercerita.

Saya melihat wajahnya dan  serius mendengar.

Wah menarik ni..”

Dia cakap, dia dengar Ustaz yang minta pelajar fikirkan persoalan ini”. Panjang lagi cerita Cikgu Steff pada saya. Perbualan pelajar itu dengan guru agak lama juga. Guru itu menerangkan banyak perkara tentang kehidupan ini. Tapi dalam versi budaya Cina.

Cuma Cikgu Steff mengatakan dia seronok bila pelajar mula berfikir begitu dan saya dalam program 5 minit pagi Isnin telah berjaya merangsang pelajar berfikir tentang kehidupan. Cara ini boleh membuka jalan kepada guru lain untuk mendidik nilai manusiawi kepada pelajar. Cuma Cikgu Steff berpandangan kalau saya sendiri yang menerangkan konsep ini kepada pelajar munking akan lebih jelas dan tepat.

Alhamdulillah, ini adalah antara kesan  positif slot 5 minit pagi Isnin di tugaskan oleh PK HEM sekolah saya. Memang ada satu hari tu saya bercerita tentang konsep kehidupan dengan mengemukanan persoalan..

Dari mana kita datang? Siapa yang rancang dan ciptakan kita sebagai manusia?”

Apa tujuan kita hidup kita atas dunia ini? Apa yang perlu kita buat?”

“Selepas ini ke mana kita akan pergi?”

Saya telah mengemuka beberapa lagi soalan supaya pelajar berfikir.

Rumusan saya bagi ialah tujuan kita hidup ini adalah untuk memberi.. berjasa kepada manusia sejagat dan alam. Apa kebaikan yang kita lakukan atas dunia ada balasannya.. tidak sia-sia. Jika kita melakukan kejahatan, menganggu gugat keselamatan orang lain, menyusahkan orang pastinya ada balasan. Jika tidak di Dunia, nun akan di balas di Akhirat nanti.

Friday, October 25, 2024

5 MINIT SETIAP PAGI ISNIN

 “ Ustaz! Bolehkah bagi sedikit pengisian setiap pagi Isnin di perhimpunan pagi sekitar lima minit hingga sepuluh minit begitu”.  Pinta Penolong Kanan HEM SMK Elopura satu hari ketika saya dipanggi ke biliknya.


Terkejut juga aku mendengar permintaan ini. Berat juga tugas aku. PK HEM ini memang terkenal amat baik dan bertanggungawab. Amat komited dan profesional dalam kerjanya. Tapi dia adalah orang kuat gereja. Aku dengar bahawa dia ini taraf sister dan tidak boleh kahwin. Kenapa dia minta aku yang bagi pengisian.

Miss Fang! Saya ni tak pandai sangat nak bercakap tentang motivasi ni kepada pelajar. Saya ni ustaz. Cakap pasal agama Islam boleh lah”. Aku cuba berhelah. (Miss Fang bukan nama sebenar).

“ Tak apa Ustaz! Agama kita lebih kurang sama ja, Islam dan kristian. Semua ingin mengajak manusia mengenali tuhan dan patuh kepadanya. Perbuatan baik dan buruk di dunia akan di balas  nanti di sana”. Miss Fang memujuk saya.

Dalam hatiku teringat juga tentang tanggungjawab kita sebagai muslim. Wajib melaksanakan dakwah kepada manusia agar mengenal Allah dan patuh kepadanya. Hidup yang sebenar adalah diakhirat nanti. Ini antara persamaan antara agama Islam dan kristian.

Aku teringat juga pesan guruku bahawa berdakwah kepada orang kristian ini lebih mudah kerana akidah kepercayaan asasnya adalah sama dengan Islam kerana ianya adalah agama langit termasuk agama Yahudi. Cuma bezanya ialah mereka menolak kenabian Muhammad dan juga al Quran. Allah juga merakamkan dalam al Quran.

(وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الَّذِينَ قَالُوَاْ إِنَّا نَصَارَى )

Dan sesungguhnya kamu akan mendapati orang-orang yang paling dekat dalam kasih sayang kepada orang-orang yang beriman ialah mereka yang berkata: "Kami adalah penganut Nasrani."

Ah.. aku ambil peluang ini.

“ Saya cuba Miss Fang, nanti kalau ada apa-apa cadangan atau teguran boleh bagi tahu saya juga”.

Slot yang di beri kepada aku ialah setiap pagi Isnin di penghujung perhimpunan yang akan dijalankan selama setengah jam. Jika ada waktu terluang aku akan dijemput. Namun jika ucapan lain terlampau panjang dan tidak ada waktu slot aku di tangguhkan.

Aku banyak menyentuh topik aqidah dalam slot aku.

“Siapa yang cipta kita?”

“ Kemana kita akan pergi selepas mati?”

“ Setiap perbuatan kita akan diperhatikan oleh Allah”.

“ Semua manusia yang pernah hidup atas dunia akan hidup semula kali kedua, tak ada seorang pun yang akan terlepas, tanpa mengira apa agama dan kepercayaan”.

“Apa saja yang kita buat atas dunia akan dibalas di akhirat nanti”.

“Oksigen yang kita sedut setiap saat ini, air yang diminum ini saiapa yang sediakan?”

Alhamdulillah… banyak maklum balas positif yang aku dapat selepas itu. Semoga sumbangan yang sedikit ini mampu sampai kedalam lubuk hati yang mendengarnya.

 

Wednesday, October 23, 2024

BAGUS KITA AJAR KAMBING, TAK SAKIT HATI!

Usai kelas Pendidikan Islam 4B aku terus ke kantin sekolah untuk bersarapan. Kelas aku hari ni awal pagi tak sempat untuk bersarapan awal. Aku lihat ramai rakan-rakan guru sedang bersarapan sambil rancak bercerita. Di Kantin ini lah kami bertukar-tukar cerita berdasarkan pengalaman yang dialami. Sambil berseronok boleh juga ambil pengajaran dari cerita rakan-rakan. Aku yang baru dua bulan memulakan tugas lebih banyak mendegar cerita rakan guru senior.

“Ustaz apa khabar? Bagaimana mengajar di sekolah ini, ok ka?” Cikgu Lamidi menyapa aku sambil mengalih pinggan sarapannya yang sudah selesai.

“Setakat ini ok saja. Alhamdulillah. Pelajar semua bagus. Dengar cakap”. 

Aku menjawab sambil tersenyum. Nasi kuning berlauk ikan basong goreng yang aku minta belum sampai.

“Ustaz orang baru, Pelajar mesti suka orang baru, orang lama macam aku ni, pelajar tak pandang dah”. Keluh Cikgu Lamidi yang sudah lebih lima tahun bertugas di SMK Elopura.

“Mungkin juga, tapi mereka ni macam susah nak ingatlah apa yang diajar. Apa yang diajar hari ni sudah tiga kali saya ulang dari minggu lepas lagi”.

Aku meluahkan juga apa terbuku di hati. Memang sebelum memulakan pengajaran sebagai set induksi aku bertanyak pelajar apa sudah mereka belajar sebelum ini sebagai ulangkaji. Ia juga bertujuan untuk menyediakan pelajar untuk belajar tajuk berikutnya.

“Ha ha ha.. Ustaz! Biasa la begitu. Pelajar-pelajar sini memang begitu. Kadang-kadang bagus lagi kita ajar kambing. Ndak sakit hati”.  Ada sorang cikgu di belakang aku menyampuk. Mungkin dari tadi dia memasang telinga mendengar perbualan aku dengan Cikgu Lamidi.

Aku berpaling ke belakang kepada guru tersebut dan bertanya.

“Apa maksud cikgu lebih baik ajar kambing?”

“Begini bah Ustaz, Kita mengajar mereka dengan harapan mereka faham dan dapat ilmu yang kita ajar. Kalau sudah diulang tak faham-faham, boleh bikin naik darah kita ni. Kalau kita ajar kambing, kita sudah tahu yang dia tak akan faham. Tak lah sakit hati. Cuma kita lah bodoh sebab ajar kambing…”

Cikgu itu menerangkan maksudnya sambil ketawa. Kami ketawa secara berjemaah. Terhibur  hati kami,=.

Nasi kuning ikan basong dah sampai. Aku membaca doa dan terus makan tanpa tunggu-tunggu lagi.

Pengalaman baru aku sebagai guru mengingatkan aku kepada pesan guruku semasa di Mafraq dulu.

Tanggungjawab kita ialah menyampaikan ilmu, mendidik masyarakat kearah kebaikan. Itulah amar makruf yang diperintahkan oleh Allah”.

Allah memberi ganjaran atas usaha kita membuat kerja. Bukannya berdasarkan hasil usaha kita. Tidak semua usaha kita akan berhasil. Tapi Allah tetap memberi ganjaran pahala kepada kita”.

Pesanan itu masih terngiang-ngian ditelinga aku. Itu lah azam aku sebagai guru baru di sekolah baru ini. Aku akan terus menjalankan tugas aku tanpa jemu. Menggunakan segala ilmu pedagogi dan teknik pengajaran yang di pelajari selama setahun di MPI.

Semoga aku berjaya mendidik anak bangsa dan menjalankan tugas aku sebagai pendakwah yang mengamalkan ‘Amar makruf Nahi Mungkar”.

Tuesday, October 22, 2024

SEKARANG AKU SUDAH SOLAT, USTAZ!

Satu hari ketika masih bertugas di SMK Elopura Bestari Sandakan, guru mentor aku Cikgu Masnon minta menemani dia hadir jemputan kenduri kahwin di sebuah kampung yang agak jauh juga dari sekolah. Kami terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda kepunyaan Cikgu Masnon. Setelah hampir setengah jam melalui jalan berbatu kami sampai ke destinasi. Terlihat beberapa khemah besar kenduri kahwin.

Setelah memakir kenderaan di satu sudut jalan. Kami berdua bergerak ke kawasan kenduri.

“ Ustaz Abdullah…!”

Aku terdengar satu suara melaungkan nama aku. Aku melihat sesorang meluru kearah aku sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Selepas bersalaman dia memeluk aku.

“Aku sudah solat Ustaz..” itu yang terpacul keluar dari mulutnya selepas melepaskan pelukan.

Aku tersenyum dan masih terpinga-pinga dengan kejadian itu. Aku melihat mukanya dengan wajah terkejut.

“ Ustaz tak ingat aku kah? Aku ni Razak.. Ustaz pernah tempeleng aku dulu sebab tidak solat subuh..” Dia memperkenalkan dirinya.

Aku terkesima sekejap.

“Oh .. Ini Razak Budasir kah? Pelajar yang saya pernah lempang dulu sampai jatuh dan terkena tong sampah di belakang kelas?”

“ Ya la bah Ustazah!”.  Ia mengiyakan.

“Alhamdulillah. Aku sudah solat sekarang. Aku tidak tinggal solat lagi. Terima kasih bah ustaz.. sebab ingatkan saya agar jangan tinggalkan solat”.

“ Aku sekarang sudah bekerja di pelabuhan dekat Sim-sim sana. Cuci kapal.”

Sambil itu dia membawa aku dan Cikgu Masnon ke bahagian meja yang kosong untuk dihidangkan dengan juadah kenduri .

Aku sebenarnya baru teringat peristiwa aku melempang seorang pelajar kelas 4D lantaran tidak mampu menahan geram bila ditanya siapakah yang tidak solat subuh setiap hari. Masa itu tahun pertama aku di ‘posting’ bertugas di sekolah. Umur pada masa itu baru 25 tahun, masih berdarah muda dengan semangat berkobar-kobar.

Menjadi rutin aku setiap kali masuk kelas bertanya tentang solat kepada anak murid aku. Siapa yang solat maghrib, isyak, subuh semalam. Aku minta pelajar mengangkat tangan jika mereka solat.

Memang amat sedikit yang mengangkat tangan. Kalau ada pun sorang dua saja. Namun apa yang aku perhatikan bila aku membuat pertanyaan begitu setiap kali mulakan pengajaran, bilangan pelajar yang solat semakin ramai.  Aku tidak tahu adakah mereka itu berbohong atau  atau mereka hanya solat semata-mata ingin mengambil hati aku esok hari bila ada kelas Pendidikan Islam.

Tapi pelajar seorang ini yang bernama Razak bin Budasir ini tidak pernah mengangkat tangan mengaku solat tanpa mengira waktu solat. Biasanya bilangan pelajar yang mengangkat tangan mengaku solat maghrib atau isya akan bertambah. Tapi Razak ini tak pernah mengangkat tangan. Biasanya aku akan cubit sikit perut pelajar lelaki yang tidak pernah solat dalam sehari.

Razak ini seorang yang jujur. Walaupun setiap kali dicubit tak ada perubahan walaupun solat maghrib atau isyak. Solat subuh bagi aku kira bonuslah kalau mereka solat.

Satu hari aku bertanya kepada kepada Razak.

“kenapa kau tak pernah solat Razak?”

“ Aku tak senang Ustaz..” jawabnya..

Paaaaang… tangan aku singgah di pipinya.. Razak terjatuh dan terkena tong sampai di tepi kelas. Razak ni berada di meja paling belakang bersebelahan dengan tong sampah. Aku naik angin hari tu. Tidak tahu apa yang merasuk diriku…

Razak bangun dan kembali berdiri dihadapan mejanya. Kelas sunyi sepi.

“Kau tahu.. beza antara orang Islam dan orang kafir adalah solat!”

“Kalau kamu tak solat, apa beza dengan orang bukan Islam”

Razak hanya tunduk memandang lantai.

Aku meninta pelajar semua duduk dan aku memulakan pengajaran pendidikan Islam untuk hari tersebut.

Setelah selesai pengajaran dan masuk ke bilik guru aku sebenarnya menyesal dengan apa yang aku lakukan pada Razak. Aku tidak sepatutnya melempang pelajar tersebut kerana tidak solat.

“Dakwah ini tidak boleh keras”

“Basyyiru wa la tunaffiru….( Beritahulah khabar gembira dan jangan jadikan orang lari)”

Aku teringat pesan guruku semasa pengajian halaqah bersama guruku di Jordan dulu.

Namun, Alhamdullillah aku bersyukur pada Allah bahawa seruan aku telah sampai, Semoga Razak akan sentiasa istiqamah menjaga solat dan menjadi orang yang bertaqwa  seterusnya dan hidupnya sentiasa diberkati Allah.

 

 Marilah renungi beberapa potong pasanan Nabi kita :

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم " بين الرجل وبين الكفر ترك الصلاة"

Ungkapan tersebut bermaksud "Antara seorang lelaki dengan kekufuran adalah meninggalkan solat." Ini menunjukkan bahawa meninggalkan solat merupakan suatu tindakan yang boleh menyebabkan seseorang itu terjatuh ke dalam kekufuran. Dalam konteks ini, solat dianggap sebagai salah satu rukun penting dalam agama Islam yang membezakan antara keimanan dan kekufuran. (Ihsan Sider AI)

من ترك الصلاة متعمداً برئت منه ذمة الله ورسوله

Frasa "من ترك الصلاة متعمداً برئت منه ذمة الله ورسوله" bermaksud "Sesiapa yang meninggalkan solat secara sengaja, maka terhapuslah tanggung jawabnya di sisi Allah dan Rasul-Nya." Ini menunjukkan bahawa meninggalkan solat dengan sengaja adalah satu perbuatan yang serius dalam agama Islam, yang boleh menyebabkan seseorang terlepas daripada perlindungan dan rahmat Allah serta Nabi Muhammad. (Ihsan Sider AI).

Semoga Allah merahmati kita semua.

22.10.2024 Sungai Merab Jaya